Looking for Something?

Hati, kaki dan kasut…

Author:

susun-kasut Kasut atau sepatu cuma alat, yang penting kaki. Kaki pun masih alat, yang penting hati. Apabila hati baik, insya-Allah kaki jadi baik. Apabila kaki baik, sepatu yang dipakainya akan digunakan untuk melakukan perkara yang baik-baik atau pergi ke tempat-tempat yang baik.

Oleh itu nilai kasut bukan pada bahan apa diperbuat, atau secantik dan secanggih mana reka bentuknya, tetapi nilainya terletak pada apa tujuan ia dipakai.

Mudahnya, kasut yang berharga murah akan menjadi tinggi nilainya jika dibawa untuk bersolat di masjid. Sebaliknya kasut yang berharga beribu-ribu ringgit akan menjadi tidak bernilai apabila dipakai untuk melakukan maksiat di hadapan Allah s.w.t.

Sebab itulah, pemakaian kasut bukanlah soal kecil atau perkara yang remeh. Jika demikian, masakan Rasulullah menunjukkan tatacara menggunakannya.

Baginda bersabda:  “Apabila kamu memakai kasut, mulakan dengan kaki kanan. Apabila kamu menanggalkannya, hendaklah mulakannya dengan kaki kiri. Dan hendaklah kamu memakai semuanya (kedua-dua belah) atau menanggalkan semuanya.” (Riwayat Ahmad)

Setiap apa yang ditakrirkan, disebutkan dan ditunjukkan tatacaranya oleh Rasulullah, itu disebutkan sebagai sunnah. Dan tentunya, setiap sunnah Baginda itu bernilai dan berguna untuk diikuti termasuklah dalam soal pemakaian kasut.

Bahkan itulah bukti cinta dan mahabbah kita kepada Rasulullah. Jika sunnah Rasulullah dalam memakai kasut itu dapat diteladani dengan rasa mahabbah kepadanya, insya-Allah itu boleh membawa kita ke jannah.

Justeru, jangan memandang remeh setiap sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah, kerana sudah tentu ia mempunyai hikmahnya yang tersendiri.

Dan ingat, kita bukan hanya berkasut di dunia… tetapi juga bakal berkasut di akhirat.

 

Sudah tentulah kasut syurga tidak sama dengan kasut dunia. Yang mana, ia pasti sangat indah, selesa dan tahan lama. Malah, tidak dapat dibayangkan oleh akal dan perasaan kita betapa hebatnya material, kualiti dan reka bentuknya kasut syurga.

Namun persoalannya, bagaimanakah caranya ingin memakai kasut syurga?

Teladanilah Sayidina Bilal bin Rabah yang derap kasutnya sudah didengar oleh Rasulullah semasa Baginda dimikrajkan ke langit.

Baginda pernah memanggil Bilal, lalu bersabda: “Hai Bilal, mengapa engkau mendahuluiku masuk ke syurga? Sesungguhnya ketika aku masuk syurga malam tadi (malam Israk), aku mendengar suara derap kasutmu dihadapanku.’

Bilal menjawab: ‘Wahai Rasulullah, tidaklah sekali-kali aku menyerukan azan melainkan terlebih dahulu aku melakukan solat dua rakaat. Dan tidak sekali-kali aku berhadas, melainkan aku berwuduk sesudahnya.’ Rasulullah bersabda: ‘Kerana ini.”’ (Riwayat Ibn Khuzaimah)

 

Walau bagaimanapun, sekiranya kasut yang digunakan itu adalah untuk melakukan kejahatan, maka ia akan membawa si pemakainya ke neraka. Akibatnya, si pemakai akan diseksa dengan azab yang sangat pedih.

Nu‘man Bin Basyir menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya seringan-ringan seksaan penghuni neraka pada hari Kiamat ialah seseorang yang diletakkan di bawah dua telapak kakinya sepasang bara api neraka (kasut) sehingga mendidih otak yang ada di kepalanya.

Dia mengira bahawa tidak ada orang lain yang lebih dahsyat seksaan daripadanya, padahal dialah orang yang paling ringan seksaannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jika memakai terompah neraka pun boleh membuatkan otak manusia mendidih, apalagi kalau jasadnya yang lain. Sudah tentulah akan hancur binasa. Allahuakbar.

Subhanallah, melalui kasut juga Allah mentarbiah RasulNya. Allah mendidik Nabi Musa sekaligus mentarbiahkan kita agar merendahkan diri kepada-Nya.

Lihatlah pada surah Taha yang berlatarbelakangkan lembah suci yang bernama Tuwa.

Diceritakan ketika Nabi Musa menuju nyalaan api di Tuwa, tiba-tiba Baginda terdengar suara: “Wahai Musa, sesungguhnya Aku adalah Tuhan kamu.” (Surah Taha 20: 12).

Lalu Allah memerintahkan Nabi Musa menanggalkan kasutnya ketika berada di lembah suci Tuwa. Dan pada ketika itulah, Allah mengangkat  Nabi Musa sebagai rasul.

Lihat, begitulah tarbiah Allah agar Nabi Musa merendahkan dirinya kepada-Nya dengan penuh sifat kehambaan. Jangan rasa tinggi, tetapi merendahlah dengan rasa lemah di sisi-Nya.

Begitu juga adab orang Islam apabila masuk ke tempat-tempat suci seperti masjid dan pusat-pusat pengajian. Kita mesti masuk tanpa berkasut sebagai kesucian dan penghormatan yang patut diberikan ke tempat tersebut.

Malah dalam kalangan masyarakat kita, sudah menjadi budaya kita diajar untuk memakai kasut di luar rumah dan di tandas. Dan mesti menanggalkan dan meninggalkannya setiap kali ingin masuk ke dalam rumah.

Tujuannya agar di dalam rumah terhindar daripada sebarang najis dan kotoran di tandas dan di luar rumah.

Dalam sejarah peradaban dunia, ada di antara pemerintah atau diktator yang mempunyai terlalu banyak pasang kasut. Sikap tamak, rakus dan tidak memperdulikan rakyat miskin telah mendorong mereka membeli ribuan pasang kasut dengan tujuan melawa, bermewah-mewah dan menunjuk-nunjuk.

Isteri diktator Filiphina; Imelda Marcos misalnya, mempunyai hampir 2,000 pasang koleksi kasut. Itulah jumlah kasut ketika dia dan suaminya ketika melarikan diri meninggalkan Filipina semasa pemberontakan kuasa rakyat.

Antara jenama kasut yang dimilikinya ialah Ferragamo, Givenchy, Channel dan Christian Dior yang bersaiz 8 1/2 inci.

Begitulah akibatnya apabila hati dikuasai sifat tamak. Hati akan mempengaruhi kaki untuk melangkah dengan sombong dan bongkak. Namun, semua itu tidak akan bermakna jika ia menjadi sebab seseorang melangkah ke neraka.

Bukankah Allah sudah mengingatkan kita: “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri” (Surah Lukman 31: 18).

Pengajarannya, jangan sombong dengan kasutmu. Kerana kasut yang digunakan ke arah kejahatan adalah bayangan kasut neraka. Sebaliknya, kasut yang digunakan ke arah kebaikan dan kebajikan adalah bayangan kasut syurga.

Sayangnya, ramai orang yang berbangga dengan kasut yang mahal. Mereka merasakan tinggi diri hanya kerana kasut yang dipakainya mahal.

Tidak benar sama sekali jika nilai diri kita terletak pada nilai kasut yang kita pakai. Jika itu benar, siapakah diri kita sekiranya kasut yang mahal itu hilang atau rosak?

Hakikatnya, jangan dihinakan nilai diri kita yang mulia dengan hanya pada sepasang kasut yang terletak di kaki. Kerana nilai diri kita yang sebenarnya terletaknya pada hati.

Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla tidak melihat rupa lahir kamu dan harta benda kamu, tetapi Dia melihat pada hati dan amalan kamu.” (Riwayat Ahmad)

Namun, ini tidak bermakna orang Islam dilarang berhias dan bercantik-cantik dengan pakaian, termasuk dengan kasut yang mereka pakai.

Asalkan niat memakainya kerana Allah yakni tidak sombong dan menunjuk-nunjuk, diperbuat daripada bahan yang halal dan suci dan dengan sumber wang yang halal untuk membelinya, maka memakai kasut yang indah tidak menjadi satu kesalahan, malah digalakkan.

Rasulullah bersabda: “Allah itu indah dan suka kepada keindahan.” (Riwayat Muslim)

Oleh yang demikian, pakailah kasut yang indah, tetapi pastikan hati kita lebih indah. Insya-Allah hati yang indah itulah yang akan membawa kaki kita melangkah ke syurga. Dan di syurga pasti ada kasut yang lebih indah daripada kasut kita di dunia!

 

 

 

 

 

 

 

 

Feedback

4
  • khadijah

    Ya Allah,kekalkanlah rasa kehambaanku…:(

  • hamba yang naif

    JazakALLAH ustaz. Moga dijadikan pedoaman buat kita semua

  • cahaya matahari

    terima kasih di atas sentuhan tulisan ustaz…lama menanti.

  • Reasenty

    Assalamualaikum
    Selalu menantikan tulisan ustaz..
    Mohon kebenaran mengambil gambar atau sedikit sebanyak kata2 dari tulisan ustaz utk dikongsi pada rakan saya yang lain.
    Terima kasih.

Leave a Reply

%d bloggers like this: