Looking for Something?

KASIH EMAK YANG LUNAK

Author:

Kata-Kata-Mutiara-Untuk-Ibu-620x315                                                                                                                            Jarang aku melihat emak menangis. Dia pandai menyembunyikan kesedihannya. Pada hari kematian ayah pun emak tidak menangis. Hanya muram dan redup wajahnya sahaja dapat membayangkan akan kesedihan hati.

Watak emak berbeza dengan bapa. Jika bapa keras, baran dan kuat kemahuan, sebaliknya emak lembut, bersahaja dan mudah bertolak ansur. Walau sekasar mana perlakuan bapa terhadap emak, dia tidak pernah menyebut sekalipun tentang itu selepas kematian bapa. Apa yang selalu diucapkannya, “sudah dua minggu tidak zirah kubur bapa kamu.”

Baginya, tempoh dua minggu itu sudah terlalu lama.

Ini kisah lebih 40 tahun yang lalu…

 

Sabarnya Emak

“Emak, nak pergi memancing,” pintaku pada suatu pagi.

“Jangan! Nanti bapa kamu marah.”

“Tapi pergi memancing sahaja, bukan mandi.”

“Jangan, bapa kamu tidak bagi.”

“Bapa tidak bagi sebab takut saya mandi. Saya tak mandi, cuma memancing,” balas aku.

“Ha, pergilah. Jaga diri baik-baik. Jangan balik lewat. Jangan bergaduh.”

Itulah antara dialog aku dengan emak sewaktu di sekolah rendah. Emak memang mudah dikecek. Dia selalu mengalah. Bukan kerana lemah, tetapi kerana sifat lemah lembutnya.

Aku dididik mendirikan solat oleh emak. Sebagai pelajar sekolah agama yang cerdik, emak seorang yang taat mengerjakan solat. Aku masih ingat bagaimana seronoknya “membonceng” emak sewaktu emak sujud. Dan paling trill apabila emak bangun dari sujud kepada qiyam.

Itulah hiburan aku, yang paling aku ingat hingga kini. Seingat aku usia aku waktu itu baru enam atau tujuh tahun. Aku tidak pernah melihat emak marah atau merungut melainkan dibiarkannya sahaja aku berpaut di dagunya. Sekarang, apabila cucu sendiri berbuat demikian kepada aku, terasa juga rimasnya. Alhamdulillah, baru aku insafi emak rupa-rupanya sangat sabar.

 

Tulisan emak

Tulisan aku sangat dipengaruhi emak. Maksud aku bentuknya. Dulu, kami diajar menulis secara sambung di sekolah. Apabila kita sudah belajar tulisan sambung, menunjukkan kita telah naik kelas. Huruf S, R, F dan seumpama punya liuk-lentoknya tersendiri. Apabila pulang dari sekolah, emaklah yang jadi tumpuan aku.

“Emak, ajar tulis sambung,” pinta aku sebaik sampai di rumah. Emak senyum dan berkata, “pergi salin baju dan makan dulu!”

Emak pun dengan tekun mengajar aku. Tulisan emak cantik. Mesti condong ke kanan. Satu, satu, emak membantu dan memandu aku. Sehinggalah tulisan aku betul dan tersusun. Emak gembira, kalau tulisan aku dapat markah A. Dulu, kami belajar menulis dalam subjek yang dikenali sebagai ‘tulisan’ oleh guru-guru di sekolah rendah.

Ayat yang ditulis sama ada peribahasa, madah atau pantun. Semuanya membawa mesej yang sangat baik. Sambil mengindahkan tulisan, kita dididik dengan adab dan akhlak yang baik. Emak akan menerangkan maksud peribahasa atau madah yang aku tulis di sekolah apabila belajar menulis dengannya di rumah. Sehingga sekarang, apabila tulisan aku dipuji kecantikannya, aku teringat emak.

 

Ketupat

Namun, tidak semua yang emak ajar dapat aku warisi. Apabila emak mengajar aku mata pelajaran “membuat ketupat”, aku gagal. Masih gagal sehingga sekarang. Aku kurang sabar.

Emak pakar menganyam ketupat. Ketupat bawang, ketupat kerbau (kerana bentuknya seperti kerbau), ketupat jantan, ketupat betina, semuanya ada dalam kepala emak. Aku cuba juga, tetapi sering meleset. Akhirnya apabila melihat aku tidak “berbakat”, aku disuruhnya menjaga api apabila kami merebus ketupat menjelang hari raya.

Mungkin mereka yang tidak dibesarkan sezaman aku beranggapan, merebus ketupat kerja mudah. Mengawal api hanya dengan alat pengawal seperti dapur gas sekarang. Bukan. Bukan begitu!

Kerja merebus ketupat bermula dengan mencari kayu api. Sejurus menerima tugasan, aku bergegas ke belukar belakang rumah untuk mencari kayu api. Setelah agak banyak, bermulalah proses menyalakannya. Perlu ada kepingan getah atau minyak gas dan ditiup, barulah menyala.

Kaedah merebus ketupat memerlukan tahap api yang berlainan. Sewaktu belum mendidih, sudah mendidih, sehinggalah ketupat hampir masak. Di sinilah perlunya kesabaran menahan panas, meniup dan menyuraikan api.

Emak akan melihat aku dari jauh. Jika aku leka, dia mengingatkan.

“Dahaga?”

Aku mengangguk-angguk.

“Tahan. Kita berpuasa. Pergi basuh muka kalau tak tahan sangat. Memanglah panas, dekat api,” pujuk emak.

Emak memang tahan berpuasa. Sehingga kini, yakni ketika usianya sudah mencecah tujuh puluhan. Aku dilatih berpuasa sejak berumur tujuh tahun.

Walaupun kami miskin tetapi emak akan menyediakan makanan spesial sewaktu berbuka. Aku masih ingat emak menyediakan “bubur gunting”, yakni  bubur manis bersantan dengan tepung yang digunting kecil-kecil di dalamnya. Atau emak akan masak kacang panjang goreng bercili untuk aku sewaktu berbuka. Itulah gaya emak mendidik aku berpuasa.

 

Buku

Minat aku pada buku bermula sejak belum pandai membaca. Aku suka melihat lukisan komik atau lukisan di kulit sebuah buku. Tentunya waktu itu buku cerita panglima dan pendekar yang sedang bersilat.

Aku masih ingat buku cerita klasik tentang Hang Tuah. “Emak, baca ni mak. Ini cerita panglima,” kata aku sambil menunjukkan sebuah buku bertulisan rumi kepadanya.

“Ceritanya panjang,” kata emak sambil menyapu rumah.

“Emak baca juga. Seronok. Saya nak tahu. Emak bacalah,” rengek aku.

Emak pun berhenti menyapu dan melayan aku. Begitulah hari demi hari, ada sahaja buku yang aku jumpa untuk dibaca emak. Kadangkala hanya cebisan surat khabar yang memaparkan cerita Tarzan, Mandrake, Cowboy dan sebagainya.

“Ini emak tak tahu,” akui emak apabila aku ajukan cebisan akhbar Inggeris.

“Emak baca juga.”

Akhirnya emak membaca juga. Kini aku sedar, emak bukan membaca tetapi mereka cerita demi tidak mahu mengecewakan aku.

 

Keris

Cerita panglima tidak habis di situ sahaja. Emak menjadi “mangsa” keghairahan aku ingin jadi panglima. Panglima yang punya sebilah keris.

“Emak tolong buatkan keris,” desak aku.

“Emak tak tahu, minta bapa buatkan.”

Mendengar nama bapa, aku jadi  kecut. Sungguh tidak berani. Bapa sangat keras. Silap-silap aku akan dimarahinya. Bapa hanya fokus untuk aku belajar.

“Emak, tolonglah. Saya nak keris. Nak jadi panglima.”

Perlahan-lahan emak bangkit dan mula mengambil kayu dan ditakik-takiknya dengan parang. Lama juga emak “membuat” keris aku. Berpeluh-peluh juga emak dibuatnya.

“Nah, ini kerisnya,” akhirnya emak bersuara sambil menunjukkan sebatang kayu yang bengkak-bengkok umpama lok sebilah keris.

“Emak, hulu dia tak cantik. Nak yang macam kepala burung,” komplen aku.

Emak dengan sabar mengambil semula kayu itu dan mula menakik lagi. Begitulah emak sabar dengan kerenah aku. Tidak cukup setakat itu, sudah siap “keris”, aku minta emak ambil pelekat untuk dijadikan pengikat pinggang dan sapu tangan menjadi tengkolok. Setelah siap, aku pun mula berpencak dengan musuh-musuh panglima yang aku imaginasikan. Emak hanya tertawa. Puas.

Berbeza dengan cucu-cucu aku sekarang. Kehendaknya menjadi ultraman, spiderman dan superhero popular kini. Era panglima sudah berlalu. Sekarang, aku tidak lagi perlu mencari kayu, parang untuk membuat keris dan sebagainya. Cukup hanya membeli di kedai permainan kanak-kanak. Ketika cucu bergaya dengan gaya melompat dan “memfire” aku jadi gembira. Senyum.

Namun jauh di sudut hati, aku mengakui kepuasan membeli alat atau barang permainan cucu jauh sekali menandingi kegembiraan emak sewaktu membuat barang permainan untuk aku. Tiada peluh yang mengalir, cukup hanya mengeluarkan wang. Oh, baru terasa betapa ikhlas dan tingginya pengorbanan emak demi menggembirakan anaknya yang terakung.

Komik

Ketika darjah empat, tangan aku patah ketika bermain. Dan kecederaan itu memaksa aku dimasukkan ke wad untuk mendapat rawatan susulan. Siapa lagi kalau bukan emak yang menjadi peneman.

Setelah puas memarahi aku, bapa berpesan kepada emak, “jaga dia baik-baik.” Pesan pendek daripada seorang suami kepada isteri. Emak tunduk akur.

Apabila bapa keluar dari wad untuk menyambung kerjanya sebagai buruh, barulah emak berani bersuara, “itulah emak pesan, kalau main jangan ikut sangat kawan-kawan yang besar. Kamu kurus. Mudah cedera.”

Aku diam. Namun tidak lama.

“Emak, komik yang budak cina tu baca. Hospital punya ke dia yang punya?” tanya aku sambil menuding jari kepada budak cina yang berbaring selang beberapa katil dari katil aku. Dia sedang membaca komik Tarzan.

“Nanti emak tanyakan.”

Emak bingkas bangun dan menuju ibu budak cina itu. Mereka pun berbual. Tidak berapa lama, emak pulang semula ke sisi dan terus diam. Walaupun masih kanak-kanak, aku faham, komik itu kepunyaan budak Cina itu.

Melihat emak diam, aku diam. Tidak seperti masa kecil dulu, ketika aku selalu mendesak dan merengek. Kini aku mula memahami dan berfikir akan kesusahan keluarga kami.

Aku sudah mula melupakan keinginan untuk membaca komik apabila tiba-tiba tiga hari kemudian bapa datang dan berkata, “nah, baca ni,” sambil menunjukkan sebuah komik cerita Tarzan. Aku sangat gembira. Aku percaya itu semua usaha emak yang slow talk dengan bapa tentang keinginanku.

Ah, betapa gembiranya saat itu!

Walaupun aku boleh mengagak komik second hand’ itu sangat murah harganya. Namun sangat mahal pada penilaian hatiku. Jika tidak masakan aku mengingatinya hingga kini. Emak tetap komited untuk memenuhi keinginanku. Emak tidak memiliki harta, tetapi punya kualiti jiwa yang sangat tinggi untuk terus menyayangi.

 

Roti Canai

Pulang dari hospital, kami berjalan berdua menuju ke perhentian bas. Kami perlu berganti dua bas sebelum tiba ke kampung.

“Emak, laparlah. Teringin makan roti canai,” pintaku. Berjalan dengan tangan kiri bersimen sangat memenatkan. Aku jadi lapar dan dahaga.

“Kita tak ada duit. Duit yang ada cukup buat tambang bas kita berdua,” emak berkata perlahan.

Aku diam. Rela dan tega. Tiba-tiba emak bersuara, “kita boleh makan roti canai dengan dua syarat.”

Tanpa mendengar responsku, emak berkata, “Lepas makan kita kena berjalan kaki ke perhentian bas yang kedua. Tak jauh, tapi penat juga. Satu lagi, kita boleh beli hanya sekeping roti canai dan dua gelas ais kosong.”

Aku mengangguk. Setuju.

Kami pun singgah di sebuah kedai mamak tepi jalan. Emak memesan makanan dan minuman seperti yang dikatakannya tadi.

“Mari kita kongsi makan,” kata emak dan terus berdoa.

Kami berkongsi makanan. Tetapi aku lihat emak makan dengan perlahan. Nampak sangat dia memberi laluan untuk aku, anaknya yang sangat “kelaparan” itu. Roti canai waktu itu hanya berharga 20 sen. Ais kosong 5 sen. Sangat jauh bezanya dengan harga roti canai sekarang.

Namun, masih sangat mahal bagi kami anak-beranak waktu itu. Keluarga kami miskin, bapa pula cuma buruh kasar. Namun bagiku, dulu, kini dan selamanya itulah roti canai terlazat yang pernah aku nikmati.

Roti canai hasil kasih sayang ibu. Roti canai hasil muafakat kami anak-beranak yang sanggup berjalan hampir 2km sebagai ganti duit tambang bas yang terpaksa dikorbankan  untuk membelinya.

 

Kuku Emak

Sekarang emak sudah tua. Badannya tidak sekuat dulu. Tetapi jiwa dan perasaan sayangnya tetap kukuh. Anehnya, sampai saat ini emak tidak pernah meminta wang walau dalam keadaan apapun.

Emosinya juga masih sukar ditebak. Sikap bersahajanya tetap satu misteri yang sukar dibaca. Kalau sekali-sekala aku terlewat memberikan belanja bulanan, dia tidak pernah mendesak. Tidak juga mengingatkan.

Ya, berbeza sekali sikapnya dengan aku, anak lelaki sulungnya yang sering mendesak dan meminta sejak dulu. Benarlah kata orang bijaksana, siapa yang lebih cintanya, dialah yang paling banyak memberi.

Kini, hanya ungkapan ini yang menjadi tagline emak setiap kali aku menelefon, “Insya-Allah, emak doakan kamu.”

“Insya-Allah, emak doakan kamu.”

Kata-kata itu sangat sederhana. Namun penuh makna. Doa itulah yang menjadi sumbu dalam pelita hidupku. Walaupun cuba kubalas dengan jutaan budi dan jasa, mana mungkin kubeli doa emak yang sangat mahal harganya itu. Bagiku, doa yang pendek itulah yang menjadi kenangan, pengajaran, dan penghubung antara kami berdua walaupun ketika salah seorang daripada kami pergi menghadap Ilahi nanti.

Emak, kasih sayangku yang seribu, hanya layak menumpang di hujung kuku kasihmu!

 

 

Feedback

15
  • Nur idayu bt mohd aris

    Sebak Dan berjaya menebak perasaan saya.

  • ermafatiha

    Kasih ibu di bawa ke syurga. Hari ini hari ke 103 ibu saya pergi menemui Ilahi. Sungguh cepat waktu berlalu, setiap detik bersama dirinya masih segar dalam hati ini. Sungguh, rasa sayang dan cinta pada dirinya kerana Allah tidak pernah berkurang sedikit pun malah semakin bertambah. Semoga Allah temukan kami di Syurga Abadi sedikit masa lagi, inshaAllah 🙂

    Rindu ibu.

  • Rodzi

    Akhirnya air mataku tewas..terima kasih atas perkingsian pnglmn ustaz..

  • Ana Fatihah

    Subhanallah~ Kasih ibu sangatlah luar biasa. :’)

  • Nabila Syifa

    Tergambar betapa akrab penulis dgn emak

  • nasuha

    Mengalir air mata…sgt menyentuh hati

  • faizura

    terima kasih ustaz kerana mengingatkan saya tentang seorang ibu.

  • Reasenty

    Tersentuh…

  • Na

    Sebak…

  • Izu Zubaidah

    Menitik air mata membacanya… saya juga membesar dalam zaman sama seperti tuan. Zaman yang serba sederhana. Sekarang saya seorang ibu kepada putera-puteri yang sedang remaja. Zaman yang serba mudah tetapi penuh cabaran.

  • Sue latif

    Cukup2 mengusik jiwa..terbayang wajah emak n ayah ketika masih kecil2 dulu.

  • Roziah Hassan

    Doa dan kasih ibu membawa ke syurga.

  • azman abdillah

    lajunya mengalir airmata ini tika membaca bait-bait kata dlm tulisan ini. teringat kenangan sewaktu bersama arwah nenek dan juga ibuku. betapa sabarnya mereka melayan karenah cucu sulung dan juga anak sulung mereka. tapi sayangnya aku tak mampu menulis kenangan itu sebaik penulis. namun jauh disudut hatiku akan sentiasa segar kenangan bersama mereka yang tersayang.

  • Honey Solehah

    No wonder you are a great man..You do have an amazing mother..

  • muzlifatini

    sungguh menyentuh perasaan ini..

Leave a Reply

%d bloggers like this: