RSS

PERGI TANPA BEBAN DI HATI…

23 Mar

Cvr bicara iman 2                                                                                                                  PETIKAN DARI BUKU YANG BAKAL TERBIT:  BICARA IMAN UNTUK TENANG. (INSYAALLAH)

Berapa lama lagi kita akan hidup? 10, 20 atau sekadar lima tahun lagi? Saya yakin tidak ada orang yang mampu menjawabnya. Jika mendengar khabar ada sahabat, kenalan atau saudara kita meninggal dunia kerana kemalangan atau serangan jantung, apa perasaan kita?

Cuba bayangkan, apakah si mati pernah membayangkan bahawa dia akan mati pada saat kematiannya itu? Agaknya, apakah yang ada di dalam hati dan perasaannya beberapa bulan, minggu, hari atau beberapa jam sebelum ajalnya tiba?

 

Saya yakin tentu sekali masih banyak list-to-do (senarai perkara yang ingin dilakukan), tetapi tidak kesampaian. Mungkin antaranya adalah kata-kata cinta yang belum diluahkan kepada isteri atau suami, hasrat ingin meminta maaf kepada kedua-dua ibu bapa atau mungkin juga kesudiannya memberi maaf kepada insan tersayang, tetapi masih belum dilaksanakannya.

 

Sekiranya manusia tahu saat kematiannya, apakah semua perkara yang penting itu tidak diberi keutamaan? Jawabnya, tidak!

 

Jadi, bagi kita yang akan meninggal dunia dan tidak tahu pula saat kematian itu (sama seperti si mati sebelumnya), hakikat itu sewajarnya mengajar kita agar tidak bertangguh. Jangan sekali-kali menangguhkan ucapan-ucapan yang baik, perbuatan-perbuatan yang benar dan keputusan-keputusan yang tepat. Sementara masa masih ada, usia masih bersisa. Jadilah “si mati” yang telah beres segala kerjanya.

 

Pergi Tanpa Beban

Bagaimana hendak mencapai rasa hati yang begitu? Mudah sahaja, ingat mati selalu. Ingatkan diri kita sendiri bahawa hari ini mungkin hari terakhir kita hidup di dunia. Apabila bangun dari tidur, katakan kepada diri:

“Wahai diri, hari ini mungkin hari terakhir aku hidup di dunia. Oleh itu, aku tidak akan menangguhkan ucapan kasih sayangku kepada semua yang akrab denganku. Aku tidak akan menangguhkan amal kebaikan yang telah lama aku berazam untuk lakukan. Aku tidak akan menunggu lagi untuk meminta maaf dan memberi maaf kepada semua orang yang aku bersalah dengannya atau yang bersalah denganku.”

 

Alangkah leganya jika kita meninggalkan dunia yang fana ini tanpa beban kerja yang belum dilangsaikan. Ketika itu, tentulah orang yang kita tinggalkan akan merelakan pemergian kita tanpa rasa terkilan di hati. Isteri atau suami yang ditinggalkan pasti berasa sedih, namun mampu menghadapinya dengan sabar kerana tidak ada lagi rasa terkilan yang tersimpan. Segalanya sudah tuntas dan selesai. Ibu bapa akan terasa kehilangan, namun jauh di sudut hati mereka ada rasa lega kerana kita pergi tanpa label anak derhaka.

 

Mengingati mati itu sangat penting untuk menjalani kehidupan. Ia ibarat janakuasa yang menggerakkan amal bakti untuk bekalan hidup sesudah mati. Hati yang ingat mati adalah hati yang hidup. Hati yang ingat mati akan menggerakkan seluruh pancaindera dan anggota untuk melakukan ketaatan dengan segera. Ia umpama “deadline” yang menjadi peringatan untuk menyiapkan tugasan, malah lebih daripada itu. Hakikat bahawa mati itu datang secara tiba-tiba adalah satu gesaan, dorongan malah paksaan untuk kita melakukan ketaatan. Justeru, solatlah seolah-olah itu solat kita yang terakhir.

 

Cuba kenangkan, jika benarlah solat yang kita akan dirikan nanti adalah solat yang terakhir … tentulah kita akan bersegera, bersungguh-sungguh dan melakukannya dengan penuh rasa takut, harap, malu, cinta dan hina kepada Allah I. Mana mungkin kita menangguh-nangguhkan solat atau melaksanakannya sambil lewa jika kita merasakan itu solat kita yang terakhir. Mungkin seorang pesalah yang akan dihukum gantung sampai mati sahaja yang boleh menceritakan rasa hatinya ketika mengerjakan solatnya yang terakhir!

 

Hadiah Terakhir

 

Betapa terkilannya rasa hati apabila kita tinggalkan isteri dalam keadaan marah-marah. Rupanya itulah kali terakhir kita melihat wajah dan mendengar suaranya. Oh, pasti ada rasa sangat kesal! Mengapa bentakan, wajah yang masam dan tolakan yang kasar kita “hadiahkan” sempena pertemuan terakhir itu? Ya, kita tidak mungkin pulang lagi kerana kita telah pergi tak kembali lagi.

 

Ramai yang benci apabila ada yang mengingatkan bahawa mungkin hari ini hari terakhir kita. Nafsu yang inginkan keseronokan sentiasa berbisik, saat itu masih jauh. Ditusuknya jiwa kita dengan pelbagai alasan dan justifikasi palsu.

 

“Engkau masih muda. Masih sihat. Masih kuat. Saat matimu lambat lagi!”

 

Mati akan memadamkan rasa lazat terhadap maksiat. Mana mungkin syaitan tegar membiarkannya. Lalu, syaitan dan nafsu berpadu tenaga melupakan manusia saat ia pulang menemui Penciptanya.

 

Jika ada penasihat yang kata-katanya sangat berkesan untuk mengingatkan orang yang masih hidup, semestinya orang yang telah mati. Malangnya, mereka tidak pernah kembali untuk mengingatkan kita.

 

Apa yang telah dilihat, didengar dan dirasakan oleh mereka di alam barzakh sana? Apakah kekesalan atau kelegaan mereka? Aduh, kita tidak akan mengetahuinya kerana kita akan diberi peluang untuk itu hanya apabila kita sendiri sudah sampai di sana!

 

Namun bagi orang yang beriman, tidak perlu jasad sampai ke alam barzakh untuk mengetahui dan merasai kebenarannya. Cukup ayat-ayat al-Quran, hadis dan atsar  yang menjelaskan hakikat hidup setelah mati. Inilah di sebalik pesanan Rasulullah g: “Demi Tuhan yang jiwaku ini berada dalam ‘genggaman’-Nya. Jika kamu semua tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa.” (Riwayat al-Bukhari)

 

Kita tidak mungkin mendapat nasihat daripada si mati, tetapi kita dituntut untuk mendapat nasihat daripada kematian. Justeru, Rasulullah g  berpesan lagi, “Cukuplah bagimu mati itu sebagai penasihat.” (Riwayat)

 

Semoga hari-hari tidak berlalu tanpa kita tidak mengingati mati. Kematian itu pasti dan setiap yang pasti itu dekat. Lalu apa lagi yang ditunggu? Ucaplah, buatlah dan bertindaklah atas segala kebaikan dan kebajikan yang masih kita tangguhkan. Jangan meninggalkan sebarang “hutang” dengan manusia untuk menghadap Tuhan Yang Esa!

 
11 Comments

Posted by on 23 March 2016 in Tarbiyah

 

Tags: , , , ,

11 responses to “PERGI TANPA BEBAN DI HATI…

  1. asma

    25 March 2016 at 9:20 pm

    assalamualaikum ustaz,
    agak-agaknya bila akan diterbitkan?..tolong war-warkan nanti.

     
  2. junainah

    26 March 2016 at 12:10 pm

    jangan meninggalkan sebarang ‘hutang’ dengan manusia untuk menghadap Tuhan Yang Esa.. terima kasih ustaz..kata2 peringatan yg sungguh memberi kesan di hati sy..InsyaALLAH..

     
  3. huda

    28 March 2016 at 4:26 pm

    Subhanallah… Terima kasih ustaz..
    Smoga Allah memberkati ustaz untuk terus berkarya..

     
  4. mama dinina

    8 April 2016 at 11:36 am

    Alhamdulillah..saya baru berdepan dengan pemergian ayah tercinta. Semoga Allah menerima amal baik arwah abah selama dia hidup dan menempatkannya bersama-sama roh para solihin, tenang dan bahagia.

    Kesedihan melihat dia sakit terbaring dapat dipujuk bila dia masih ada.Tetapi kepedihan hati lebih terasa apabila melihat tempat baringannya sekarang telah kosong.

    “Mati benar-benar mendidik hati”.

     
  5. Reasenty

    18 April 2016 at 9:50 am

    Assalamualaikum ustaz,
    Saya selalu membaca tulisan-tulisan ustaz..
    Saya juga teringin untuk menghadiri ceramah-ceramah ustaz..
    Bagaimana agaknya untuk saya mendapat tahu bila dan tempat ustaz memberi ceramah?
    Bagaimana untuk saya menghadirkan diri untuk mendengar ceramah-ceramah ustaz itu?
    Sekian, terima kasih.

     
  6. rosmizar

    22 April 2016 at 9:09 am

    TAKUT + HARAP + MALU + CINTA + HINA = SOLAT

    ALLAHU AKBAR….
    “bantu aku ya…rabb dapat merasai ‘kemanisan’ semua itu dalam solatku”.
    Jazakumullah….tn…atas entry tn yang sungguh dan sentiasa ‘tersentuh’ di HATI.

     
  7. hasna

    28 April 2016 at 7:56 pm

    subhanallah..terkesan dihati saya. terima kasih ustad

     
  8. Shah

    12 June 2016 at 6:57 am

    Assalamualaikum Ustaz..bagaimana untuk tebus kesilapan contoh jika kita pernah mengambil haknya( ketiga itu kita sgt susah)… Dan kita tak tahu dimana mereka sekarang…bolekah saya bersedekah Dan niat pahala pd org itu..

     
  9. Affan

    1 August 2016 at 8:21 am

    Masya Allah..terasa diri ini jauh dari rahmat Allah..air mata menitis saat membaca artikel ni..terlalu byk yg belum langsai! Ya Allah ampunkan dosa2 ku..jgn d hukum diri ini lantaran byknya dosa yg d sedari atau x d sedari..

     
  10. hissamm

    3 September 2016 at 11:57 pm

    alhamdulillah ustaz….terima kasih buat diri yg selalu leka ini……….

     
  11. M.azam Sarmin

    4 September 2016 at 12:48 am

    Assalamualaikum Ustaz. Saya teringin sangat nak jumpa Ustaz. Saya nak minta nasihat dan cara untuk punya iman yang stabil. Saya doakan Ustaz panjang umur dan terus memberi sebanyak-banyaknya. Terima kasih atas segala ilmu yang Ustaz sampaikan.

     

Leave a Reply

 
%d bloggers like this: