RSS

JADILAH SEORANG RAJA

22 Jan

 

 

 

 

 

 

Apabila kita mula terasa terlalu ingin dipuji. Apabila yang kita mahu dengar hanyalah kata yang sedap-sedap sahaja, lebih-lebih lagi atas kedudukan kita sebagai pemimpin atau ketua dalam sesuatu organisasi atau masyarakat, dan ditambah pula kehadiran pembantu yang kaki ampu, maka ambillah iktibar daripada kisah raja tanpa baju.

Cerita pendek turun-temurun ini telah kita dengar sejak di bangku sekolah rendah lagi. Memang sudah lama, namun iktibarnya tetap relevan dan signifikan sepanjang masa. Pengajaran daripada cerita ini sangat penting buat para pemimpin. Menurut Rasulullah s.a.w. setiap kita ialah pemimpin, justeru cerita ini sangat perlu diambil iktibarnya oleh setiap individu.

Selalunya pemimpin yang gila puji akan dikelilingi oleh pembantu yang kaki ampu. Dia terkeliru antara ampu dengan setia. Kaki ampu menipu. Sedangkan orang setia berpegang kepada prinsip yang benar. Setia pada kebenaran itulah setia yang sebenar. Manakala kaki ampu hanya dahagakan pangkat dan kedudukan.

Jika setiap teguran dan kritikan terus dicap sebagai ‘menderhaka’ maka para pemimpin akan kehilangan orang setia yang tidak suka bermuka-muka. Sedangkan sejarah kepimpinan yang berjaya dalam kalangan para rasul dan Khulafa’ al-Rasyidin semuanya mengamalkan sikap terbuka kepada teguran.

Apabila orang yang jujur mula meninggalkan pemimpin maka yang tinggal hanyalah pengampu yang bukan membantu tetapi ‘membuntu’. Nasihat dan pandangan pengampu bukan berdasarkan realiti sebenar tetapi lebih didorong untuk menjaga kepentingan peribadi. Akibatnya, berlakulah seperti yang dikatakan pepatah ‘harap sokong, sokong yang membawa rebah’ atau ‘harapkan pegar, pegar makan padi.”

Ya, yang pastinya dunia kepimpinan menagih kejujuran persis kanak-kanak jujur dalam cerita Raja Tidak Berbaju ini untuk dimurnikan semula. Mereka yang tidak bergantung hidup kepada pemimpin sahaja yang dapat menyuarakan kebenaran tanpa takut dan segan silu. Menegur bukan kerana benci, tetapi kerana sayang.

Harga kejujuran sangat mahal. Namun itu sangat perlu untuk menjaga kehormatan ‘raja’ agar tidak muncul di hadapan pengikut dengan tidak berbaju. Juga, agar orang bawahan tidak berterusan menderita akibat penindasan para pembantu yang terus mengampu!

Raja tanpa baju akan terus terkesima dengan pujian. Dia tidak dapat membezakan antara kesetiaan dengan ampuan. Dia tidak tahu cerita sebenar kerana terleka oleh cerita yang suka didengar. Orang jujur yang berani berkata benar (walaupun pahit) akan terhimpit dan akhirnya terpinggir…

Kita sekali-kali tidak akan rela melihat atasan kita menjadi raja tanpa baju. Justeru rasa sayang, kita perlu bertindak untuk membetulkan keadaan. Walaupun terpaksa membayar harga yang sangat mahal, namun segala-galanya wajib direlakan demi melihat kebenaran, kebaikan dan keadilan tegak semula.

Beberapa tahun lalu saya pernah menulis enekdot seorang raja…tetapi bukan raja tanpa baju tetapi tentang seorang petani yang menjadi raja. Berikut adalah enekdot itu…

JADILAH SEORANG RAJA

“Berapa lama awak dalam bidang ini?” Begitu kadang-kadang anda ditanyakan orang. Kemudian yang bertanya akan membandingkan pencapaian itu dengan pencapaian si polan itu, si polan ini. Silap-silap anda akan terasa kerdil bila si penanya akan meletakan ‘orang besar’ dalam bidang tersebut sebagai penanda aras kecapaian. Aduh, terasa anda masih jauh. Anda masih merangkak ketika orang lain telah berjalan, berlari dan melompat. Anda kalah, kalau jika sebaik sahaja perbualan itu tamat, anda mula merasakan, oh, malangnya nasib ku!

 

“Berapa ramai anak di universiti?” Sebaik sahaja anda menjawabnya, si penanya akan bertanya, “dalam bidang apa? Doktor, jurutera, farmasi atau arkitek?” Jika anak anda berada di bidang-bidang lain, yang tidak dianggap ‘prestij’, si penanya akan menerangkan betapa ‘rendahnya’ nilai profesion anak anda itu jika bidang pengajiannya ‘biasa-biasa’ sahaja. Jika tidak berhati-hati, rasa rendah hati akan tersuntik tanpa disedari. Alangkah bertuahnya dia, alangkah ruginya aku…

 

Itu belum lagi anda bertemu dengan ‘pak lawak’ yang merasa besar hanya kerana punya kenalan di kalangan ‘orang-orang besar’. Anda seperti hendak ketawa bila dia bercerita tentang Tan Sri itu, Puan Sri ini, Datuk ini, Datin itu, yang kononnya sangat akrab dengannya. Padahal dia hakikatnya hanya ‘pecacai’ sahaja kepada orang besar yang diuar-uarkannya itu. Keinginannya menjadi besar menyebabkan dia ‘kecil’ bila hilang harga diri dan suara hati sendiri ketika bergaul dengan ‘orang besar’nya. Angguk-angguk, tunduk-tunduk… Ya, Tok! Yes, Tan Sri!

 

Perkara-perkara yang saya sebutkan di atas, mengingatkan saya kepada perbualan bersama Mat (bukan nama sebenar) seorang sahabat yang sangat akrab dengan saya.

“Bagaimana rasanya bila tidak dihargai?” tanya Mat. Nadanya sedih.

“Mengapa?” tanya saya simpati.

“Mereka masih melihat jawatan, harta dan nama.”

“Kau tidak perlu penghargaan mereka yang seperti itu.”

Dia merenung jauh.

“Kalau kita dihargai kerana berpangkat, berharta dan bernama, penghargaan itu hakikatnya bukan untuk kita tetapi untuk pangkat, harta dan nama.”

“Tetapi aku sedih… Setelah sekian banyak yang aku lakukan.”

 

“Jangan mengharap terima kasih Mat. Nanti kita sakit jiwa. Hakikatnya, majoriti manusia yang hidup di dunia ini tidak pandai berterima kasih. Jika kepada Allah pun hanya sedikit manusia yang mampu bersyukur, inikan pula kepada sesama manusia,” kata saya seakan memujuk.

“Aku sedih, itu sahaja…”

“Lupakan Mat. Aku kenal kau sejak dulu. Kau tak perlukan penghargaan kerana kau sememangnya berharga. Kata bijak pandai, jangan sedih kalau kita tidak dihargai tetapi sedihlah jika benar-benar kita tidak berharga.”

Mat mendongakkan mukanya yang sejak tadi tunduk.

“Apa maksud kau?”

 

Melihat Mat mula tenang saya mula bercerita. Ada dua cerita, secara santai saya mula bercerita:  Pertama, cerita tentang Nasiruddin seorang Sufi yang ketika dia masuk ke sebuah kampung, seluruh kampung mengalu-alukan kedatangannya.

“Selamat datang ulama, selamat datang orang alim… Ajarkan kami, ajarkan kami,” sorak penduduk kampung.

“Mengapa kamu semua merasakan aku orang alim?”

“Kerana serban besar yang tuan pakai.”

Nasiruddin pun membuka serbannya dan dipakaikan ke kepala keldai yang ditunggangnya.

“Nah, sekarang kau semua belajar daripada keldai ku. Dia alim sekarang, kerana telah memakai serban besar!”

 

Mat ketawa mendengar cerita saya.

“Kau tahu, Nasirudin tetap Nasiruddin walaupun tanpa serbannya. Yang lebih penting ialah diri kita bukan pakaian, gelaran dan harta yang kita miliki. Dan kita sebenarnya tidak perlu penghargaan orang asalkan kita pandai menghargai diri kita sendiri.”

“Betul ke?”

“Ini hasil kajian pakar psikologi Mat… Menurut mereka penilaian kita terhadap diri sendiri jauh lebih penting berbanding penilaian orang lain terhadap kita.”

“Jadi, jangan sampai penilaian orang lain mempengaruhi penilaian kita terhadap diri kita sendiri, begitu maksud kau?”

“Kau lebih tahu Mat. Lagipun apa gunanya penghargaan daripada orang yang sebegitu. Hidup terlalu singkat untuk kita berikan masa bagi mereka yang semacam itu.”

 

Cerita kedua: Seorang bijak pandai telah dijemput ke satu majlis jamuan makan. Dengan pakaian yang sangat sederhana bijak pandai itu pun pergi ke sana. Malangnya, setibanya di majlis itu dia tidak dijemput langsung untuk makan. Tuan rumah mengutamakan orang-orang kenamaan yang lain. Si bijak pandai pulang semula ke rumahnya lalu menukar pakaian yang mahal dan gemerlapan dan pergi semula ke majlis tersebut. Kali ini dia disambut dengan mesra dan dihidangkan makanan yang lazat. Si bijak pandai lantas menuangkan lauk-pauk dan makanan yang terhidang ke pakaiannya.  “Mengapa?” tanya orang ramai. Si bijak pandai menjawab, “tuan rumah hendak menjamu pakaian ku  bukan diri ku!”

 

Sekali lagi Mat ketawa.

“Mat, orang pandai kenal orang bodoh. Tapi orang bodoh tak kenal orang pandai. Life is to ‘complete’ not to ‘compete’ – hidup bukan satu pertandingan, tetapi satu perkongsian. Tinggalkan mereka yang asyik nak bertanding dengan harta, nama dan jawatan. Kita teruskan dengan perkongsian ilmu, iman dan kebajikan. Yang penting ikhlas. Memberi bukan untuk menerima. Berjuang bukan kerana nama!”

Kemudian, giliran  Mat pula bercerita – betapa ramai anak yang begitu ‘admire’ dengan Ibu Mithali yang dinobatkan oleh pihak itu dan ini sehingga mengecilkan jasa ibu sendiri. Kononnya, ibu Mithali itulah yang lebih baik daripada ibu mereka sendiri. Dan betapa ramai pula ibu yang impikan anak seperti mereka yang dianugerahkan ‘Pelajar Cemerlang’, ‘Remaja Dedikasi’ dan sebagainya… hingga merasakan anak sendiri kurang ‘harga’nya.

 

“Apa pesan awak untuk anak dan ibu seperti itu?”

“Aku katakan, ibu kita mungkin bukan ibu yang terbaik… tetapi sebagai anaknya, kita mesti nampak di mana kebaikan ibu kita sendiri.”

“Tepat Mat. Begitulah juga dengan diri sendiri. Kita ini bukan orang terbaik, tetapi kita mesti menghargai ‘kelebihan’ atau ‘kebaikan’ kita sendiri. Kita akan memajukan diri kita ke tahap maksimum selaras dengan kelebihan itu.”

“Ertinya kita bertanding dengan diri sendiri?”

“Betul tu, bertanding dengan diri sendiri, berkongsi dengan orang yang lain.”

 

Oh, alangkah tenangnya diri jika berpegang kepada prinsip sendiri daripada terpaksa hidup bermuka-muka dengan topeng yang dipakai oleh kepura-puraan manusia… hanya untuk mencari nama, harta dan jawatan. Saya teringat cerita Hamka tentang seorang Raja. Ketika dia dengan megah  bertanya kepada seorang petani miskin dari atas kuda tunggangannya, “siapa kamu?”

“Saya raja,” jawab petani.

“Raja? Raja negeri mana?” raja mencebir.

“Raja pada diri saya sendiri!”.

 

 
1 Comment

Posted by on 22 January 2017 in Tarbiyah

 

Tags: , ,

One response to “JADILAH SEORANG RAJA

  1. Norhayati Abdullah

    10 February 2017 at 1:32 am

    Assalamualaikum wbt

    Dear Ustaz,

    Jika Ustaz berkelapangan, boleh tulis tentang husnuzon, definisi serta kepentingannya dalam amalan seharian? Terima kasih.

    Saya cuba cari, tapi tak jumpa topik ini dalam blog Ustaz.

    Norhayati
    Michigan

     

Leave a Reply

 
%d bloggers like this: