RSS

JADILAH HANG NADIM ITU

08 Feb

JADILAH HANG NADIM ITU!

“Kaedah pengurusan saya mudah. Tegas dan jelas. Yang bekerja dengan baik diberikan ganjaran dan yang membuat masalah diberikan hukuman. Hasilnya, awak lihat syarikat saya sekarang,” kata seorang pengurus sebuah syarikat pembekal makanan halal kepada saya sewaktu kami menghadiri kursus pengurusan dan kepimpinan.

Sejak awal, dia yang mendominasi perbualan. Sifat “powerful choleric” begitu mendominasi. Jelas, dia sanggup menggunakan apa jua kesemptan untuk mencapai matlmat. Dan dia sentiasa berani memanupulasi peluang bahkan ‘orang’ untuk menjayakan misinya.

“Sudah berapa banyak anugerah kecemerlangan yang saya berikan untuk staf. Mereka tentu berpuas hati dan memberi pulangan yang tinggi untuk syarikat. Yang buat masalah, mereka terima akibatnya!”

“Berapa ramai pekerja yang masih kekal sejak awal penubuhan syarikat?” Saya mengubah sedikit hala tuju perbualan.

“Boleh dikira dengan jari. Ramai pekerja baru. Tapi saya tidak bimbang. Yang berhenti atau diberhentikan mudah sahaja mencari gantinya. Dengan wang kita boleh membeli kepakaran.”

“Itu petanda yang tidak berapa elok,” kata saya. Dalam diam hati saya berkata, “tapi dengan wang kau tidak boleh membeli kesetiaan dan persahabatan.”

“Mengapa?”

“Jika pekerja kerap bertukar ganti, itu menunjukkan syarikat belum berjaya,” kata saya berlapik.

“Tapi syarikat mencapai keuntungan berganda setiap tahun!”

Saya senyum. Betapa dia hanya fokus pada keuntungan. Sedangkan ukuran pencapaian berdasarkan Balance scorecard syarikat ada empat; tercapai objektif kewangan, kepuasan pelanggan, proses kerja dalaman yang baik dan faktor pembelajaran dan perkembangan warga kerja.

 

Kisah Angsa Bertelur Emas

“Awak hanya fokus pada telur emas tetapi tidak menjaga angsanya,” kilas saya tiba-tiba.

“Telur emas?”

“Tentu awak pernah dengar cerita angsa bertelur emas. Setiap hari si angsa bertelur emas sebiji sehari. Tuannya tidak sabar menunggu. Disangkanya dalam perut angsa ada banyak lagi telur emas lalu angsa itu dibunuh dan dibelah perutnya.

“Hasilnya? Telur emas tidak dapat dan angsanya mati. Rugi berganda. Begitulah akibatnya jika kita hanya fokus pada produktiviti dan kualiti hasil kerja tetapi menafikan perasaan, jiwa dan kebajikan pekerja,” jelas saya panjang lebar.

Dahinya berkerut. Nampaknya dia mula berfikir dan cuba memahami input yang saya cuba sampaikan.

 

Antara Dua

“Saya mempunyai beberapa orang pekerja yang setia. Mereka patuh dan sentiasa memberikan kerjasama.”

“Kita perlu bijak membezakan antara pekerja yang setia dan pengampu. Dibimbangi di sekeliling kita adalah pengampu bukan yang bijak dan kritis, ” celah saya agak tegas.

“Saya tidak suka orang yang kritis. Bagi saya mereka duri dalam daging. Orang yang menikam dari belakang. Golongan seperti ini perlu saya cantas cepat.”

“Itu hak awak. Tetapi syarikat jangan dilihat sebagai organisasi membuat keuntungan sahaja tetapi perlu dijadikan sebagai institusi mendidik. Kita perlu memberi ilmu, mendidik, mendengar, menghargai dan memimpin pekerja,” kata saya.

“Antara kebijaksanaan dan kesetiaan, saya memilih kesetiaan,” jawabnya.

“Tanpa perhubungan yang erat dan kasih sayang sejati, awak akan hilang kedua-duanya.”

“Saya kira saya telah mendapatnya sekarang,” ucapnya begitu yakin.

Saya menambah:

“Awak hanya akan dapat orang yang bekerja tanpa kreativiti dan inovasi. Mereka hanya hebat membuat kerja rutin. Atau pekerja yang takut dan tertekan dalam diam yang kreativitinya tersekat tetapi belum mendapat tempat lain untuk meninggalkan syarikat!” tusuk saya berani.

Dia menggelengkan kepala. Tidak bersetuju.

“Saya percaya pada ketegasan. Kita perlu jelas, syarikat sebuah organisasi bermatlamatkan keuntungan.”

“Itu betul jika dilihat pada ukuran yang biasa. Tetapi kita orang Islam, tentu hendak mengurus syarikat secara Islam, bukan? Islam melihat pekerja sebagai matlamat, keuntungan sebagai alat. Berbeza dengan ukuran biasa yang melihat pekerja sebagai alat untuk mendapat keuntungan.”

“Pekerja sebagai matlamat? Maaf, saya tidak faham.”

“Aset yang paling berharga dalam mana-mana institusi ialah manusianya. Sama seperti sebuah keluarga. Yang bernilai bukan rumah, kereta dan set perabotnya tetapi manusianya, yakni suami, isteri dan anak-anak. Begitulah dalam sebuah syarikat Islam, yang paling berharga ialah pekerja.”

“Habis, keuntungan tidak penting?”

“Kita jaga si angsa, insya-Allah ia akan bertelur emas setiap hari,” jawab saya.

“Salahkah saya memberi hukuman?”

“Tidak salah. Mana-mana organisasi mesti ada peraturan. Tetapi hukuman ialah jalan akhir setelah proses perhubungan, penerangan, perbincangan, penjelasan dan komunikasi yang telus dan tulus dilaksanakan.”

 

Pemimpin atau Pengurus?

“Awak seorang pemimpin atau seorang pengurus?” tanya saya.

“Saya pemimpin syarikat.”

“Pemimpin perlu fokus kepada manusia. Hanya pengurus yang fokus kepada sistem. Pemimpin perlu mendekati, memberi ruang dan peluang untuk pekerja didengari, bermesra dan menyayangi pekerja. Paling penting, kasih sayang. Kita boleh menyayangi tanpa memimpin tetapi kita tidak boleh memimpin tanpa menyayangi.”

“Jadi tak perlu hukuman?”

“Peraturan ditambah undang-undang tetapi tanpa kasih sayang hanya akan mencetuskan pemberontakan!” jawab saya jelas.

“Pemberontakan telah saya padamkan.”

“Yang nampak boleh kita padamkan. Tetapi bagaimana yang terpendam?”

“Yang terpendam biarkanlah. Itu hak mereka. Asal jangan buat kecoh dalam syarikat.”

Saya senyum. Seronok berbincang dengan orang yang berbeza aliran fikiran. Kita akan mendapat corak fikiran yang berbeza.

“Yang terpendam sebenarnya lebih berbahaya. Mereka akan membatas daya kreativiti dan produktiviti. Mereka akan bekerja di bawah batas kemampuan dan kebijaksanaan. Melaksanakan kerja tanpa keghairahan dan semangat berpasukan yang tinggi. Nak mengampu mereka tak tega, nak memberi pandangan takut pula jadi Hang Nadim.”

“Hang Nadim?”

 

Hang Nadim yang Terbunuh…

“Hang Nadim, kanak-kanak bijak dalam cerita Singapura Dilanggar Todak. Dia boleh berfikir secara kreatif. Berfikir di luar kotak, kata orang sekarang. Daripada berkubukan betis baik berkubukan batang pisang. Itu pemikiran strategiknya. Akhirnya, Singapura selamat tetapi Hang Nadim tidak selamat.”

“Apa terjadi kepada Hang Nadim?”

“Dia dibunuh raja. Kalau masih kanak-kanak sudah begitu bijak, apalagi kalau sudah dewasa nanti, fikir raja. Lalu Hang Nadim dihukum bunuh.”

Mahu sahaja saya menyoal, “Berapa ramai ‘Hang Nadim’ yang telah ‘dibunuh’ dalam syarikat?” Namun, tidak tergamak saya bertanya demikian. Tidak berakhlak.

“Saya tidak begitu. Saya hanya menghukum yang salah, bukan yang bijak.”

“Tidak salah menghukum tetapi pemimpin perlu mendidik dahulu sebelum menghukum. Dengarlah penjelasannya. Jangan dengar daripada pihak ketiga. Jika kesalahannya berbentuk fizikal dan material, dapatkan bukti-bukti yang bertulis. Jika kesalahan dalam bentuk kata-kata dan sikap, datangkan saksi yang adil.”

“Wah, macam mahkamah pula. Tadi macam sekolah.”

“Seorang pemimpin lebih baik disalahkan kerana tidak menghukum daripada tersalah hukum. Takutilah doa orang yang dizalimi. Orang yang bersalah sekalipun mesti diberi hak diadili dengan saksama sebelum dijatuhkan hukuman.”

“Saya bukan seorang pemimpin negara. Saya hanya pemimpin syarikat perniagaan.”

“Sekalipun pemimpin untuk skala yang paling kecil, semua pemimpin akan ditanya tentang kepimpinannya. Hendak dengar cerita burung dan ulat?”

Dia diam. Saya meneruskan: “Semasa burung hidup, dia memakan ulat tetapi apabila burung mati, dia pula yang dimakan ulat. Kita tidak selamanya di atas. Walaupun sekarang kita terus mendaki, mungkin itu hanya untuk meninggikan tempat kita jatuh. Lebih tinggi, lebih sakit jatuhnya.”

Tiba-tiba, tok, tok, tok, kedengaran ketukan di pintu.

Saya terjaga. Isteri menyapa: “Tertidur kerana baca cerita Hang Nadim?”

Saya merenung buku cerita lama di tangan. Subhanallah, saya berfikir atau tertidur. Atau berfikir dalam tidur tentang Hang Nadim!

 

 

 

 

 

 

 
3 Comments

Posted by on 8 February 2017 in Tarbiyah

 

Tags: , , ,

3 responses to “JADILAH HANG NADIM ITU

  1. nur idayu mohd aris

    9 February 2017 at 10:07 am

    tuntas dan bernas..jazakallu khoir ya ustaz

     
  2. Amir

    9 February 2017 at 7:11 pm

    Assalamualaikum ustaz.. jazakallah khayr atas perkongsian. Sbg pemimpin mmg x boleh lari dari berhadapan dgn anak buah yang bermasalah. Sama ada masalah dari individu tu sendiri atau persekitaran/karenah birokrasi dll yang menjadi faktor. Bila baca artikel ustaz saya jadi takut nak bagi hukuman kerana hadis tentang doa orang dizalimi. Namun dlm organisasi kerja pihak atasan mmg cenderung kpd tindakan menghukum anak buah sbg langkah punitif dan deterrence kpd anak buah yg lain. Dan bagaimana pula jika anak buah tu ambil kesempatan kpd pemimpin yang berhati lembut? Mohon pencerahan ustaz. Terima kasih.

     
  3. aulal hayah

    19 February 2017 at 8:02 pm

    assalamualaikum ustaz,. syukran atas perkongsian ustaz ini.kadang-kadang kita terlupa pula tujuan asal kita melakukan sesuatu. perkongsian ustaz banyak menjentik diri ini. syukran jazilan sekali lagi ustaz. semoga allah merahmati ustaz.

     

Leave a Reply

 
%d bloggers like this: