RSS

MENEGAKKAN ‘HUDUD’ DALAM RUMAH TANGGA

17 Feb

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Saya agak keberatan mengulas tentang politik. Bukan tidak ingin, (masakan tidak, kerana politik juga adalah salah satu elemen dalam kesyumulan ajaran Islam), namun saya belum nampak kematangan berpolitik tahap harmoni. Politik masih dibincangkan dengan kepala yang panas bebanding hati yang dingin.

Kita belum matang menguruskan perbezaan. Hinga setiap perbezaan dianggap sebagai satu pertentangan. Kita belum mampu menggunakan bahasa yang lunak, berhujah penuh adab dengan prinsip, “kita berhak berbeza tetapi kita tidak berhak sama sekali untuk menghina.” Ironinya, kata-kata kita apabila berbeza  adakalanya menjadi terlalu keras dan kasar untuk diterima sebagai bahasa dakwah atau tarbiah mahupun siasah!

Lalu dalam kecamuk fikiran dan amuk perasaan itu, saya selalu mengambil sikap mengalih perhatian. Yakni, masih mengekalkan subjek yang sama tetapi saya bawakan sudut yang berbeza, bukan untuk mencari kelainan… tetapi hanya untuk mencari keharmonian. Lalu dengan itu, saya bawakan satu tajuk: MENEGAKKAN HUDUD DALAM RUMAH TANGGA. Mudah-mudahan sudi difikirkan…

“Ha, lega… lepas bersolat baru rasa senang untuk buat perkara-perkara lain,” kata seorang sahabat ketika kami bersama-sama dalam satu perjalanan yang panjang dan meletihkan. Kami baru selesai mengerjakan solat Zuhur dan asar secara jamak dan qasar.

“Tak betah saya makan dan minum sebelum bersolat…” Dia menyambung.

“Betul kata awak, tapi saya rasa ada yang lebih betul,” saya menjawab perlahan.

“Apakah yang lebih betul?” tanyanya ceria. Kami sudah lama bersahabat, tidak kisah tegur-menegur antara satu sama lain.

“Yang lebih betul, kita mesti rasa senang semasa mengerjakan solat, bukan selepas mengerjakannya.”

“Mengapakah pula begitu?”

 

Dua Analogi

“Bayangkan kita perlu memindahkan satu barang penting yang sangat berat dengan memikulnya. Selepas berjaya memindahkannya dengan selamat tentu kita berasa lega, bukan?” saya bertanya.

“Bila kita rasa senang? Selepas atau semasa memikulnya?” Saya melanjutkan pertanyaan.

“Tentu selepas berjaya memikulnya.” Jawab saya sendiri.

Dia mengangguk-anggukkan kepala tanda bersetuju.

“Bayangkan pula awak seorang suami yang baru berkahwin. Isteri yang baru awak nikahi meminta awak membawanya ke tempat kerja. Sepanjang perjalanan awak berbual mesra dan berpegangan tangan. Sampai di sana awak pun mengucapkan selamat tinggal.

Bilakah awak rasa paling senang; semasa atau selepas menghantarnya?”

“Tentu semasa menghantarnya.” Saya menjawab soalan sendiri.

Dia mengangguk-angguk lagi. Sahabat saya itu kembali menyoal:

“Apakah maksud analogi awak?”

 

Sebab Cinta atau Terpaksa?

“Begitulah perbezaan solat yang dilaksanakan atas dasar cinta dengan solat yang dilaksanakan atas dasar terpaksa. Orang yang bersolat atas dasar cinta umpama suami yang menghantar isteri yang dicintai ke tempat kerja. Manakala mereka yang bersolat kerana terpaksa umpama orang yang memikul beban yang berat untuk dipindahkan.” Saya memberikan pencerahan.

“Beza antara ‘I have to pray’ dan ‘I need to pray’ yang awak selalu katakan dulu?” Dia mengingatkan ayat yang saya selalu katakan sewaktu kami berbincang tentang solat dalam majlis usrah sewaktu kami di kampus.

“Orang yang melaksanakan solat dengan rasa cinta akan rasa gembira, seronok dan tenang semasa mengerjakannya. Sebaliknya, orang yang melaksanakan solat hanya kerana terpaksa dan takut berdosa akan berasa senang, tenang dan lega apabila selesai mengerjakannya.

Mengikut kajian tidak rasmi hampir 80 peratus umat Islam tidak menunaikan solat. Dalam hati mereka sudah tentu tidak ada perasaan terpaksa atau cinta untuk mengerjakan solat. Itulah punca utama kemungkaran yang semakin berleluasa dalam masyarakat.”

“Mengapakah awak berkata begitu?” Dia menyoal.

“Bukan saya, tetapi al-Quran yang mengatakan begitu. Bukankah solat mencegah perbuatan keji dan mungkar? Solat yang tidak khusyuk pun tidak berkesan, apalagi kalau tidak bersolat. Sekarang kita tahu betapa parahnya penyakit umat hari ini.”

 

Kejayaan Sebenar

“Kita selalu mendengar bahawa negara ini semakin stabil. Pertumbuhan ekonominya bertambah baik dan pendapatan per kapita semakin bertambah. Bukankah itu satu kejayaan?”

“Mungkin… itu kejayaan mengikut ukuran manusia. Kejayaan pada ukuran Allah terletak pada kesungguhan seseorang menjaga solat dan khusyuk ketika mengerjakannya.”

“Inti sari surah al-Mu’minun, bukan?”

Saya mengangguk segera.

“Maksudnya, kita gagal jika dilihat pada pandangan Allah?”

“Bukan gagal, tetapi belum berjaya…” ujar saya mempositifkan.

“Kita perlu lebih gigih berdakwah supaya lebih ramai yang menunaikan solat.” Sahabat saya memberi saranan.

“Tidak cukup dengan itu sahaja, tetapi perlu berusaha supaya lebih ramai yang khusyuk dan menjaga solatnya. Itu baru berjaya!”

“Apakah dengan solat sahaja semua akan menjadi baik?”

“Solat menjadi pemula segala kebaikan. Seorang hukama berkata: ‘untuk membaiki dunia, perlu membaiki manusia. Untuk membaiki manusia perlu membaiki hatinya dan untuk membaiki hati manusia perlu dimulakan dengan membaiki solat.’

Tapi ramai yang bersolat tetapi masih melakukan kejahatan. Mereka mengumpat, menerima rasuah, malas dan suka berbalah.”

“Betul. Itu tidak dinafikan. Solat adalah amalan ritual yang sepatutnya membangunkan spiritual.”

“Maksudnya?”

“Sekiranya solat dilaksanakan dengan khusyuk, ia akan membangunkan spiritual seseorang. Hatinya akan bertambah baik. Dia menjadi lebih sabar, tawaduk, pemurah, pemaaf, berani dan lain-lain. Nilai kemanusiaannya menjadi lebih tinggi apabila rasa kehambaan kepada Allah yang dibina melalui solat semakin meningkat.” Saya memberi penjelasan.

 

Ibadat Ritual yang Membangunkan Spiritual

“Ertinya nilai spiritual yang dibina oleh ibadah ritual akan meningkatkan nilai sosial seseorang!”

“Ertinya?” tanya saya.

“Solat itu ibadah ritual. Jika dilaksanakan dengan khusyuk akan meningkatkan nilai spiritual. Nilai spiritual akan meningkatkan nilai sosial. Maksudnya, semakin akrab seseorang dengan Allah, semakin intim hubungannya sesama manusia.” Dia menerangkan.

“Mengapa pula begitu? Mengapa seorang yang baik hubungan dengan Allah, pasti baik hubungannya dengan manusia? Apakah hujah awak? ” tanya saya menagih penjelasan.

“Bukankah sesiapa yang mahu memperbaiki hubungannya dengan Allah, Allah telah meletakkan syarat; berbuat baik kepada hamba-hamba-Nya. Jika mahukan kasih sayang Allah, berikan baik kepada yang fakir, miskin dan melarat.

Impikan keampunan Allah, maafkan kesalahan orang yang bersalah dengan kita. Mahu bersyukur kepada Allah, bersyukur juga kepada manusia. Merebut reda Allah cari dulu keredaan  ibu bapa. Selesaikan urusan manusia yang berhajat kepada bantuan kita, Allah tunaikan hajat kita.”

“Wah, saya yang bagi matannya, awak pula yang menghuraikan,” saya bergurau.

“Jadi inilah yang menjelaskan punca jenayah dan perceraian semakin meningkat sekarang. Nilai sosial kita merudum akibat nilai spiritual yang makin lemah. Nilai spiritual merosot apabila solat tidak khusyuk malah ditinggalkan terus oleh majoriti masyarakat kita.”

Dia terus bersemangat. Kini semakin jelas mengapa solat menjadi persoalan utama selepas iman di dalam peta kehidupan seorang Muslim. Anak-anak perlu dilatih sejak berusia tujuh tahun. Jika mencecah usia sepuluh tahun tetapi masih enggan menunaikan solat, anak-anak boleh dirotan.

Inilah hukum “hudud” yang perlu ditegakkan di dalam keluarga oleh seorang bapa sebagai pemimpin utama. Jika hukum “hudud” dalam keluarga ini pun masih belum dapat dilaksanakan, bererti masih banyak usaha yang perlu dilakukan untuk melaksanakan hudud di dalam negara.

Benarkah begitu? Soalan itu terus menghantui fikiran saya!

 

 
3 Comments

Posted by on 17 February 2017 in Semasa

 

Tags: , , , ,

3 responses to “MENEGAKKAN ‘HUDUD’ DALAM RUMAH TANGGA

  1. samsiah

    17 February 2017 at 1:00 pm

    Terima kasih ustaz atas pencerahan

     
  2. Khairani

    18 February 2017 at 1:21 am

    Ada hikmah disebalik yang berlaku dan yang berlaku itu dengan kehendakNya juga yang terbaik. Kebenaran akhirnya. Tambahkan ilmu dan latihkan komunikasi. T.kasih ustaz.

     
  3. Amir

    19 February 2017 at 7:12 am

    Sgt setuju dgn pendapat ustaz. Jazakallahu khayr. Moga Allah terus kurnia ilhamNya pada ustaz utk terus berdakwah menyampaikan kebenaran. Amin

     

Leave a Reply

 
%d bloggers like this: