RSS

PESAN UNTUK SUAMI

10 Mar

Ingatlah terakhir Rasulullah SAW yang berpesan terus kepada suami. Rasulullah SAW,” sebagaimana kamu mempunyai hak keatas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.”

Rasulullah SAW menyambung lagi, “layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.”

Begitulah seriusnya Rasulullah SAW mengingatkan para suami tentang tanggung jawabnya terhadap isteri. Justeru, keluarga adalah teras dan asas dalam perhubungan antara manusia dengan manusia sebelum adanya hubungan masyarakat, negara dan ummah. Jika hubungan keluarga sudah berantakan, maka hancurlah hubungan-hubungan yang lain. Dan di dalam sebuah rumah tanggalah tegaknya kepimpinan seorang lelaki bernama suami. Jangan harap seseorang mampu memimpin ummah sebelum berjaya memimpin orang rumah.

Sebuah rumah-tangga juga bolehlah diumpamakan sebagai  sebuah kapal yang sedang belayar. Suami ialah nakhodanya. Peranan nakhoda sangat penting kerana dia bukan sahaja perlu memastikan keselamatan para penumpang tetapi pada masa yang sama dia perlu memastikan kapal yang dikemudikannya itu sampai ke matlamat. Begitulah suami, dia mesti menyelamatkan isterinya daripada kesengsaraan hidup dunia sekali gus mencapai keredaan Allah di akhirat.

Sehubungan dengan itu terdapat beberapa keperluan (zahir dan batin)  yang mesti diusahakan oleh seorang suami sebagai melengkapkan infra struktur dan prasarana dalam menyara hidup, mendidik dan memimpin isterinya. Tugas memenuhi keperluan ini merupakan tanggung-jawab paling asasi dan faktor yang paling kritikal untuk menentukan kejayaan ataupun kegagalannya dalam sesebuah rumah-tangga. 

Sebagai imam, suami pada dasarnya wajib memenuhi empat keperluan isterinya. Pertama, keperluan fizikal dan material, yakni soal makan-minum, pakaian, tempat tinggal dan sakit demam isterinya. Ini merupakan keperluan paling asas. Selalunya, ini merupakan bukti paling asas bahawa suami itu bertanggungjawab. Selagi keperluan ini dipenuhi, maka itu petunjuk bahawa suami masih mahu bertanggungjawab walaupun mungkin ada kelemahan dalam memenuhi keperluan-keperluan yang lain.

Kedua, keperluan akal (ilmu). Para suami wajib mengajar isterinya ilmu  fardu Ain. Soal taharah, wuduk, solat dan lain-lain.  Adalah menjadi tanggungjawab suami mengenalkan isterinya kepada Allah, Rasul dan lain-lain elemen dalam rukun iman (Tauhid). Kemudian disusuli cara-cara beribadah asas dalam rukun Islam (Feqah) diikuti pengamalan nilai-nilai mulia pada diri (adab & akhlak).

 

Ketiga, keperluan emosi. Jangan hanya memberi makan dan minum kepada isteri, tetapi seorang suami mesti memberi kasih sayang kepada isterinya. Sehubungan itu, untuk membina dan mengekalkan kasih sayang, maka suami harus menjadi pendengar yang baik pada isterinya. Ingatlah, tanggungjawab pertama cinta ialah mendengar. Suami yang baik ialah seorang pendengar yang baik. Selalunya bertanya, bilakah kali terakhir kita menjadi pendengar yang baik kepada isteri? Apabila pulang daripada kerja, apakah suami memilih untuk menjadi pendengar kepada isteri yang ditinggalkan di rumah?

 

Mungkin, banyak yang ingin diceritakan atau disuarakan oleh isteri yang berada di rumah, namun suami ada kalanya menjadi ‘tuli’ kerana merasakan masalah-masalah lain jauh lebih besar berbanding apa yang dialami isterinya di rumah. Suami yang baik akan menjadi pendengar yang baik kepada cerita, berita, luahan rasa isterinya. Walaupun mungkin yang diperkatakan itu sudah berkali-kali dan kerap  kali diulang-ulang,  tetapi suami yang setia tidak akan jemu-jemu mendengarnya.

 

Keempat, keperluan batin atau rohani. Ini bukan sahaja merujuk kepada keperluan seksual, tetapi keperluan mendapat pendidikan dan akhlak yang baik untuk diteladani. Keperluan ini sangat sukar diisi oleh suami sedangkan ini adalah keperluan yang paling utama dibandingkan keperluan-keperluan yang lain. Bukan itu sahaja malah ada suami yang tidak menganggap soal ini sebagai satu keperluan pun. Apa yang dipentingkan hanyalah keperluan fizikal dan akal semata-mata.

 

Sedangkan keperluan yang keempat  inilah yang akan membawa keselamatan di dunia dan akhirat. Islam juga sangat mementingkan persoalan ini berdasarkan perintah Allah dalam Al Quran:“Wahai orang yang beriman, selamatkanlah diri mu dan keluarga mu daripada azab api neraka.”

 

Ada suami yang bertungkus lumus memenuhi keperluan fizikal dan akal isteri dengan anggapan mereka sudah pun menjalankan tugas suami dengan baik, sedangkan pada hakikatnya mereka bukanlah suami yang baik kerana mengabaikan keperluan emosi dan hati isteri. Sebab itulah tidak hairan jika kita dapati ramai isteri yang tertekan emosi dan terdera jiwanya kerana rohani mereka kosong, tidak pernah terisi.

 

Suami mi mestilah seorang individu yang ‘serba boleh’ . Suami bukanlah seorang individu yang jumud sebaliknya memiliki  kepelbagaian watak selaras dengan kepelbagaian peranannya bagi mengisi empat keperluan yang berbeza itu. Di rumah baginda sentiasa tersenyum, ceria dan menolong kerja-kerja rumah. Hanya apabila azan bergema baginda akan berhenti dan serta merta menuju ke masjid seolah-olah tidak mengenal isterinya lagi.

Jangan terkejut jika diberitakan ada kalanya baginda akan mandi bersama dengan isterinya dan mencedok air dari bekas yang sama. Bukan berlakon-lakon, jauh sekali mengada-mengada, tetapi itulah realiti peribadi Rasulullah, insan paling kasih, paling sayang, yang segala perbuatannya lahir dari hati nurani yang paling murni. Sifat romantiknya lahir dari hati.

Banyak kali baginda mengingatkan, agar suami berlaku baik kepada wanita dan digalakkan bergurau senda dan bermain-main dengan isteri. Baginda bersabda:” bermain-main itu boleh dalam tiga hal. Ketika melatih kuda mu, memanah dan bercanda dengan isteri mu.” Biasa baginda mencium isterinya, ketika hendak berpergian jauh ataupun dekat, lama atau sekejap. Ciuman yang bukan hanya apabila nafsu bergolak, tetapi ciuman cinta yang lahir dari hati yang penuh kasih, kasihan dan sayang.

Rasulullah SAW adalah suami yang ‘sporting’. Suatu ketika pada suatu Hari Raya, Sayidina Abu Bakar masuk ke rumah Aisyah RA yang mana pada ketika itu ada dua orang perempuan sedang menari dan memukul gendang, sedangkan nabi menutup dirinya dengan baju (tidak melihat), maka Abu Bakar yang melihat keadaan itu membentak kedua-dua wanita tersebut, lalu Rasulullah menampakkan wajahnya seraya berkata, “hai Abu Bakar, biarkanlah mereka, sekarang adalah Hari Raya.”

Perkahwinan bukan hanya hubungan badan, tetapi merupakan hubungan fikiran, perasaan dan hati antara suami isteri. ‘Orang rumah’ bukanlah wanita yang hanya tinggal serumah tetapi sama-sama mendirikan sebuah rumah tangga. Suami seharusnya sentiasa ingat, isterinya adalah seorang wanita yang telah meninggalkan ibu, bapa dan seluruh anggota keluarganya untuk hidup bersama kita. Untuk mendapat haknya yakni kesetiaan dan kepatuhan, seorang suami perlulah terlebih dahulu menunaikan hak isterinya.

Hanya setelah kita memberi, barulah kita boleh menerima. Justeru, teladanilah suami seperti Rasulullah, barulah isteri akan meneladani isteri seperti Khadijah dan Aisyah. Ingatlah, sukar bagi seorang suami ke syurga sekiranya isterinya tidak ikut serta. ‘Lesen’ seorang suami ke syurga hanya dapat dimilikinya setelah dia ditanya tentang segala tanggungjawabnya melindungi, memimpin dan menyayangi isterinya. Ayat Quran yang berbunyi, “selamatkanlah diri mu dan keluarga mu daripada api neraka” sesungguhnya ditujukan untuk pertama dan paling utama ialah kepada para suami!

 

 

 

 

 

 

 
Leave a comment

Posted by on 10 March 2017 in Tarbiyah

 

Tags: ,

Leave a Reply

 
%d bloggers like this: