RSS

TAJUK BERBEZA MISI YANG SAMA

28 Apr

 

 

 

 

 

 

 

KATA PENGARANG

Puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, Tuhan yang memiliki taufik dan hidayah.  Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW yang telah berjuang bermati-matian untuk merintis jalan agar manusia  mendapat hidayah.

Tahun 1976, menjadi titik tolak kepada perubahan kepada seorang penyanyi terkenal bertaraf dunia, bernama, Stevens terhadap Islam. Pada tahun itulah Stevens terlibat dalam satu tragedi di Laut Pantai Malibu yang hampir menenggelamkan kapal yang dinaikinya. Dalam satu temu ramah dengan para wartawan, Stevens memaklumkan bahawa pada saat yang kritikal itu beliau telah memohon kepada Tuhan supaya menyelamatkannya dengan mengatakan “Oh Tuhan! Jika Engkau menyelamatkanku, aku akan bekerja untuk-Mu.”

Pengalaman yang hampir meragut nyawa itu telah memperkuatkan pencariannya yang panjang akan kebenaran. Sehingga selepas itu dia mula berjinak-jinak dengan Al Quran yang telah dihadiahkan oleh saudara lelakinya. Akhirnya, dia pun memeluk Islam dengan nama Yusuf Islam. Bayangkan daripada seorang penyanyi yang dilimpahi pelbagai keseronokan, dia akhirnya bertukar menjadi pendakwah yang disinar cahaya kebenaran.

Ya, sering berlaku dalam kehidupan kita, yang disangka pada mulanya sebuah musibah, tetapi apabila sedikit masa berlalu, segalanya bertukar menjadi rahmat. Bukan Yusuf Islam sahaja, bahkan ramai individu yang terlibat dengan satu tragedi, namun dengan itu dia tergerak untuk bermuhasabah dan akhirnya kita menjadi insan yang lebih baik. Ya, mujur musibah itu datang, jika tidak dia akan terus alpa dan kecundang. Justeru, sering dikatakan ada Jannah (syurga) di sebalik musibah.

Apa yang dalam mengharungi hidup yang penuh ujian ini ialah bukan apa yang berlaku ‘di luar’ diri kita tetapi apa yang berlaku ‘di dalam’ diri kita. Sekiranya, hitam yang berlaku di luar, tetapi di dalam hati kita putih…maka yang hitam itu pun akan bertukar menjadi putih. Bukan soal apa yang kita lihat dengan mata, tetapi apa yang kita rasai dengan hati. Ingatlah, mata itu hanya ‘khadam’ kepada hati. Bila hati baik, apa yang dilihat oleh mata semuanya baik…

Oleh itu, cabaran utama buat kita bukanlah untuk mengubah apa yang kita lihat dengan mata tetapi apa yang kita rasai dengan hati.  Jadi, ada baiknya kita betulkan hati dahulu, agar betul mata yang melihat, dan betul pula apa yang kita dapat apabila melihat sesuatu.  Hasilnya, orang mukmin akan mendapat kebaikan bukan sahaja daripada satu kebaikan malah daripada satu keburukan yang dilihat dan dirasainya.

Inilah ajaibnya hati mukmin. Sabda Rasulullah SAW: ”Sungguh menakjubkan perkaranya orang yang beriman, karena segala urusannya adalah baik baginya. Dan hal yang demikian itu tidak akan terdapat kecuali hanya pada orang mukmin; yaitu jika ia mendapatkan kebahagiaan, ia bersyukur, karena (ia mengetahui) bahwa hal tersebut merupakan yang terbaik untuknya. Dan jika ia tertimpa musibah, ia bersabar, karena (ia mengetahui) bahawa hal tersebut merupakan hal terbaik bagi dirinya.”

Ya, semuanya bermula dengan  membetulkan hati. Bila hati betul, benar dan baik, akan berlakulah kebaikan dalam apa jua yang kita alami dan lalui. Inilah misi kedatangan Islam. Islam datang untuk mendidik hati manusia melalui penanaman iman, pematuhan syariat dan penyempurnaan akhlak. Hanya Islam yang serasi dan sebati dengan hati manusia. Apabila nur iman dan Islam masuk ke hati, maka segala yang dilihat dan dirasai akan indah belaka.

Inilah mesej utama yang dibawa oleh buku LABA DI SEBALIK BALA ini. Ia akan menghuraikan bagaimana Islam berinteraksi dengan pelbagai persoalan agar setiap persoalan itu dapat diselesaikan atau dihadapi dengan baik dan memberi kebaikan. Insya-Allah, buku ini akan menjelaskan bagaimana apabila hati telah akrab dengan Allah maka ia akan mampu intim dengan manusia, sehingga dengan itu apa yang dilihat oleh mata menjadi iktibar, apabila lidah berkata-kata menjadi  zikir dan apabila  berdiam diri menjadi fikir.

LABA DALAM BALA tidak sepenuhnya berbicara tentang ujian. Tetapi lebih banyak tertumpu kepada jalan-jalan untuk menghadapinya. Biarlah kita melalui buku ini (mudah-mudahan) lebih tertumpu kepada usaha ‘mencari lampu’ daripada terus ‘mengutuk kegelapan’.  Ertinya, marilah kita kembali menyelesaikan punca masalah bukan hanya mengubati gejalanya sahaja. Punca masalah-masalah kecil sentiasa mengganggu dan mendominasi hidup kita ialah apabila kita meminggirkan masalah-masalah yang lebih besar. Masalah sebenar kita ialah hubungan hati yang renggang dengan Pemberi ujian bukan dengan ujian itu sendiri.

Bila dengan Allah renggang, masalah pun datang. Kita pun terkial-kialnya menyelesaikan masalah itu… padahal penyelesaian sebenarnya bukan di situ, tetapi ialah dengan berusaha untuk kembali akrab dengan Allah, Pemberi ujian itu. Ingatlah, Allah lebih besar daripada segala masalah kita. Jika kita sudah akrab dengan Allah yang Maha Besar, maka segala masalah akan menjadi kecil. Lalu berhubunglah dengan Allah, agar segalanya menjadi mudah. Bagaimana?

Ya…dengan solat. Solat ialah ‘talian hayat’ manusia kepada Tuhannya apabila ditimpa oleh keresahan dan kesedihan.  Lihatlah firman Allah ini: “Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Kecuali orang-orang yang mengerjakan solat. Yang mereka itu tetap mengerjakan solatnya.” (Al Maarij: 19-23)

Mudah-mudahan buku ini sedikit sebanyak, mampu mengajak hati kita agar kembali kepada Allah…kerana hanya di situlah ada ketenangan, kejayaan dan kebahagiaan! Amin.

 

 

 

 

 

 

KATA PENGARANG;

Aliran ilmu umpama aliran air. Air sentiasa mengalir dan tempat yang tinggi ke tempat yang rendah. Lebih rendah sesuatu tempat itu, maka semakin banyaklah air yang bertakung di situ. Justeru, lembah dan Iurah sering bertukar menjadi tasik, sungai dan ngarai. Maka begitu ilmu, perlu ‘ditakung’ dengan hati yang merendah diri. Semakin tawaduk seseorang itu, semakin banyak ilmu yang bakal dimiliki dan diwarisinya.

Ya, begitulah jua adab kita belajar dengan kehidupan ini. Jika merendah diri, kita boleh belajar hampir daripada semua orang. Keadaan dan peristiwa. Teringat kata Luqman al-Hakim ketika ditanya bagaimana dia mendapat hikmah? Dia menjawab, “Aku belajar hikmah daripada orang yang dungu. Jika dia melakukan sesuatu, maka aku tidak akan melakukannya.”

Luqman menjadikan si jahil sebagai ‘guru’ yang mengajarnya erti sempadan pada percakapan dan tindakan. Kita bagaimana? Jangan dilupakan petua dalam pembelajaran; Apabila munid bersedia, guru akan tiba. Maksudnya, apabila kita sentiasa ingin dan bersedia untuk belajar, maka akan muncul ‘guru-guru’ yang mahu mengajar kita.

Pada kisah-kisah yang saya nukilkan nanti ada pengajaran yang tersurat dan tersirat, insya-Allah. Prinsip dalam penulisan saya mudah sahaja – tulislah sesuatu yang memang kita yakini, alami dan rasakan. Perhatikan benar-benar di mana ‘nilai’ didikan (tarbiah) dalam kisah-kisah itu. Padankan segala-galanya dengan kisah-kisah hidup anda sendiri. Bergurulah dengan pengalaman hidup sendiri. Sesetengah ilmu perlu ‘dirasai’ baru boleh difahami, dihayati, seterusnya diamalkan dalam kehidupan.

Anekdot yang saya paparkan dalam buku ini, adalah gugusan kisah benar yang saya rasai sendiri atau pun apa yang telah saya kongsikan bersama keluarga, teman dan kenalan sepanjang kembara kehidupan sebagai anak, suami dan ayah. Walaupun adakalanya isi pada anekdot itu saya ‘lebihkan’ atau ‘kurangkan’ atas sebab-sebab tertentu, namun pada hakikatnya pengajaran atau ibrahnya tetap saya kekalkan. lnsya-AlIah.

Pesan ringkas saya, jangan kesal jika kita tersalah pada masa lampau. Melakukan kesalahan dan kesilapan adalah bukti yang kita masih manusia. Oleh itu, sebaik mendapat pengajaran daripadanya, lupakan dan tumpukan ke masa hadapan. He who does not look ahead remains behind – Seseiapa yang tidak memandang ke hadapan akan sentiasa tertinggal di belakang.

Kita tidak boleh ‘menggergaji habuk kayu’ (meminjam istilah Dale Carnargie). Ertinya, masa lalu akan terus berlalu. Apa yang penting, gunakan pengajaran masa lampau untuk ‘mengemas kini’ masa kini dan merancang masa depan. Yesterday ended last night! (Semalam berakhir malam tadi)

Jangan pula berbangga jika kita dalam kebenaran. Justeru, tidak ada jaminan kita akan seterusnya benar sepanjang hayat. Sering diperingatkan, kejayaan hari ini boleh menjadi musuh kepada kejayaan hari esok. Jagalah kebenaran yang kita miliki dengan selalu memohon hidayah dan taufik. Ingat selalu apa yang sering dipesankan oleh ulama yang mempunyai mata hati. Kata mereka, “Dosa yang menyebabkan engkau menangis Iebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa takbur.”

Jadilah ‘wira’ yang tidak didendangkan. Wira yang berbakti tanpa ingin disanjung dan dipuji. Belajarlah ‘menikmati’ keikhlasan dengan rasa ingin membuat kebaikan tanpa dilihat oleh orang lain. Saya catatkan kisah-kisah ini daripada mereka yang tidak pun tahu kisah mereka telah saya tulis. Mereka ‘menulis’ menerusi amalan. Saya hanya menulis melalui perkataan. Ya, orang yang mencipta sejarah, jarang-jarang mampu menulis sejarah.

Mereka yang saya paparkan kisah-kisahnya ini hanya manusia biasa tetapi menjadi luar biasa kerana budi, nilai dan akhlak yang tinggi. Mereka punya hati emas yang tidak boleh direbut oleh sesiapa. Kekadang gelanggangnya hanya sekangkang kera, namun peranannya seluas maya pada. Adakalanya pangkat mereka cuma kuli biasa, namun jasanya mengatasi hartawan, bangsawan dan sarjana.

Jangan dipinggirkan peranan lelaki di samping keluarga dan rumah tangganya. Lelaki sejati dikenali menerusi peranannya sebagai anak, suami dan ayah. Marilah kita sama-sama menyedari bahawa langkah pertama dan utama untuk menyelamatkan kita daripada malapetaka yang paling hebat dan dahsyat (neraka) ialah dengan menyelamatkan diri dan keluarga. Firman Allah yang bermaksud, “Selamatkanlah diri dan keluargamu daripada api neraka.” (Surah al-Tahrim: 6)

Sebagai anak, ingatlah bahawa redha Allah terletak pada redha kedua-dua ibu bapa. Sebagai suami sedarlah, sebaik-baik lelaki ialah yang terbaik pergaulan dengan isterinya. Manakala sebagai ayah, hubaya-hubaya atas sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Seorang anak dilahirkan putih bersih terpulang kepada ibu ayahnya yang menjadikan dia Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat al-Bukhari)

Sekadar mengutip butiran hikmah yang pernah diluahkan oleh Mother Teresa ketika ditanya bagaimana hendak mewujudkan dunia yang lebih aman, beliau telah berkata, “Pulanglah dan kasihilah keluarga masing-masing. Nescaya dunia ini akan menjadi lebih aman.”

Menerusi ‘Nota Hati Seorang Lelaki’ ini juga saya cuba menyorot ‘sisi gelap’ daripada kisah dan peristiwa. Bukan untuk mencela, jauh sekali untuk menghina. Namun, apabila ada gelap, barulah terserlah gemerlapan cahaya. Al-Quran sendiri memaparkan kisah manusia-manusia durjana sebagai ‘gandingan’ dan ‘bandingan’ manusia-manusia yang mulia.

Begitu al-Quran mendidik, begitu juga kita cuba mencontohinya. Segala-galanya daripada perspektif seorang da’i – yakni melihat sesuatu dalam kerangka seruan dan pendidikan agar manusia lebih dekat dengan Allah dan agama-Nya. Bertanyalah, di mana Allah dalam kehidupan seorang lelaki yang bernama anak, suami dan ayah?

Marilah kita belajar di ‘universiti kehidupan’ dengan gugusan kisah dan rencah peristiwa sebagal teks kuliah yang tidak bernoktah. Kita amati nasihat daripada ‘guru pengalaman’ yang bersyarah tanpa suara dan kata.

‘Nota Hati Seorang Lelaki’ ini adalah suara hati anda sendiri yang cuba saya ungkapkan bagi pihak anda. Yakni, suara ‘hati kecil’ kita yang lebih murni, tulus dan insaf, tetapi sering ditenggelamkan oleh ‘hati besar’ kita yang ego, bangga dan alpa.

Bacalah… bacalah dengan nama Allah. Rendahkan hati dan diri anda. Pedulikan sama ada saya yang menulis ini baik atau jahat, jahil atau ilmuwan kerana jika anda tawaduk anda bukan sahaja boleh belajar daripada orang yang baik dan berilmu, tetapi juga daripada orang yang jahat dan dungu!

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

KATA PENGARANG

Ketenangan adalah suatu yang sangat mahal harganya di akhir zaman ini. Meningkatnya krisis, perpecahan dan kecelaruan dalam kehidupan manusia seperti yang sering terpampang di media massa, membuktikan betapa ketenangan telah semakin hilang dalam diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia umumnya.   Walaupun mungkin sesetengah manusia memiliki kesenangan, tetapi kesenangan tidak sinonim dengan ketenangan.

Ya, punya harta yang melimpah, hidup mewah, belum menjamin hadirnya sebuah ketenangan. Betapa ramai sikaya yang hidupnya diburu gundah. Percayalah, kesenangan tidak akan mampu membeli ketenangan, walaupun ramai manusia menyangka begitu. Begitu juga nama, kuasa, rupa dan lain-lain unsur yang bersifat fizikal dam material, belum menjanjikan ketenangan. Lihat sahaja betapa ramai selebriti, diktator dan jutawan bertaraf dunia, tetapi hidup dalam keadaan merana…

Ketenangan itu letaknya di sini… di hati! Hati yang bagaimana? Hanya hati yang dekat dengan Allah. Jika hati sudah dekat dengan Allah, bukan sahaja hartawan, rupawan, negarawan dapat memiliki ketenangan, malah yang miskin, hodoh, marhaen pun akan mampu memilikinya.

Justeru, untuk mendapat ketenangan dalam hidup, seorang mesti berusaha agar hatinya dekat dengan Allah. Tidak ada jalan lain! Bagaimana pula mendekatkan hati itu kepada Allah? Jawabnya, hanya dengan mengingatinya… Firman Allah: “Dan orang beriman itu tenang hatinya dengan mengingati Allah. Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” Itulah jawapan Allah. Hakikat itu tidak akan berubah selama-lamanya!

Siapa yang melupakan Allah, hatinya akan sentiasa diburu oleh rasa sedih dan ketakutan. Rasa sedih dan takut inilah yang meragut ketenangannya. Hati yang jauh daripada Allah akan sempit dan terhimpit walaupun ada di ruang yang luas dan lapang. Firman Allah:” Dan barang siapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta. (Surah Thaha : 124-126)

Ironinya, dengan segala kebenaran itu, manusia masih berpaling. Peringatan Allah ini diabaikan.  Ramai manusia yang terus serius dan fokus mencari kesenangan berbanding ketenangan. Apa yang dicari hanyalah limpahan harta dan sanjungan manusia. Untung rugi, berjaya gagal, derita bahagianya, hanya diukur berdasarkan pencapaian dua nilai ini – pemilikan harta dan sanjungan manusia.

Lalu dengan prinsip yang tempang itu, seluruh dan sepenuh masa, tenaga dan sumbernya dilaburkan untuk memiliki dua kelebihan itu.   Kebanyakan manusia terlupa, bahawa  selagi cita-citanya dunia, selagi cintanya manusia, maka selagi itulah hidupnya akan menderita!

Namun, tidak salah memiliki harta yang halal dan menjaga hubungan baik dengan manusia. Itu sangat diperlukan dalam kehidupan. Tetapi ingat kepada Allah (zikrulah) perlu diutamakan dan disegerakan. Ia umpama ‘oksigen’ pada hati atau ‘kompas’ pada seluruh kerja buat kita. Tanpa zikir, hati akan mati, kehidupan akan hilang arah. Kehidupan akan bergerak…namun akhirnya akan melencong dan terjun ke dalam gaung!

Buku TENANG ITU ADA DI SINI, Insya-Allah, akan menjelaskan kepada pembaca bentuk ketenangan yang hakiki itu dan bagaimana cara untuk menemuinya. Allah bukan sahaja menunjukkan tujuan malah Dia juga memperjelaskan jalan menuju tujuan itu. Insya-Allah, itulah yang cuba dikongsi dalam buku ini.

Melalui tajuk-tajuk yang khusus, pembaca akan mendapat penjelasan tentang ketenangan yang dicari oleh hati dan diperjelaskan jua jalan-jalan ke arahnya. Dengan itu, diharapkan para pembaca bukan sahaja punya keinginan untuk mencari, bahkan akan mendapat penjelasan tentang kaedah mencari ketenangan itu.

Buku ini mempunyai gagasan yang besar dan misi yang berat, tetapi dengan penyampaian yang mudah, mesra dan ‘dekat’ dengan diri pembaca. Pendekatannya yang bercorak ‘mengajak’ bukan mengajar, memujuk bukan mengutuk, berdiplomasi bukan berkonfrontasi, dengan diri pembaca.

Insya-Allah, yang penting buku ini bukan untuk menyalahkan sesiapa tetapi hanya untuk menimbulkan kesedaran betapa selama ini kita sama-sama bersalah apabila meminggirkan iman dan Islam dalam kehidupan kita. Mungkin, isi dan bahasa TENANG ITU ADA DI DI SINI tidak menyentap, tetapi apa yang lebih diharapkan hanyalah mesejnya mampu menyerap ke relung hati pembaca dengan lunak dan mesra. Bukankah kita sama-sama alpa dan berdosa?

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 
Leave a comment

Posted by on 28 April 2017 in Tarbiyah

 

Tags: , , ,

Leave a Reply

 
%d bloggers like this: