BELAJARLAH DARI MUSIBAH!

Musibah melanda lagi. Apa yang menimpa Gaza, harusnya dirasakan oleh kita jua. Jika tidak ada apa-apa terasa di jiwa, khuatir di dalam dada itu tidak ada rasa bersaudara. Dan tidak ada rasa bersaudara… petunjuk tidak ada iman.

Bukankah iman dan  persaudaraan itu saling berkaitan? Hanya dengan iman, datanglah rasa persauadaraan yang hakikit. Yakni persaudaraan yang merentasi jarak, bangsa dan rupa. Islam itu adalah syahadah yang mengatasi pertalian darah.

Siapapun akan menangis, melihat Gaza menangis. Dari jauh kita himpunkan doa. Dari dekat, kita menyatakan sikap. Di celah dinihari, moga ramai yang tahajud dan solat untuk  umat  Islam di Palestin.

Giliran mereka diuji, mengingatkan kita bahawa hari kita juga pasti datang. Dimulai dengan penjajahan fikiran dan perasaan melalui hedonisme, sekularisme dan materialisme… akhirnya  peluru api dan besi para tirani akan merobek batasan geografi dan watan kita. Ketika kita menangisi Gaza, tangisilah jua nasib umat kita di sini. Umat yang kian leka, lalai dan lupa… padahal rantai-rantai pemikiran sudah diikat di tengkok kita, dan jiwa kita sudah mula dikunci, hanya menanti masa sahaja iman dan Islam kita bakal disembelih!

Untuk sahabat-sahabatku  di Gaza, ku rakamkan tulisan ini sebagai titisan prihatinku untuk nasib kalian (nasib kita jua).  Hanya satu pesanku, untuk mu dan untuk ku… BELAJARLAH DARI MUSIBAH!

Selaku umat Islam yang wajib meyakini kasih sayang Allah sentiasa melindungi kehidupan kita. Kalimah “Bismillahir Rahman nir Rahim” – dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang – sentiasa menjadi sebutan kita. Namun ketika musibah seperti kematian, kesakitan, kemiskinan, kegagalan dan kekalahan melanda diri, mungkin hati kecil kita tertanya-tanya, mengapa? Mengapa Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang itu mentakdirkan begitu? Sudah sirnakah kasih-sayangNya?

Jangan. Jangan begitu. Dalam apa jua keadaan pun kita wajib yakin bahawa takdir Allah pasti mengandungi banyak hikmah dan kebaikan. Istilah buruk, hanya ada dalam rumus pemikiran manusia. Manakala di sisi Allah, segalanya punya maksud baik walaupun kekadang pada zahirnya tidak begitu. Kelihatannya sangat pahit, tetapi ia manis dan indah. Hanya apabila hikmahnya dapat dicungkil, insya-Allah. Baca baki entri ini »

BIARKAN SILUNCAI TERJUN DENGAN LABU-LABUNYA!

Kadangkala mendidik secara perlambangan, lebih mengesankan. Menegur secara metafora, kurang menyakitkan. Memperingat secara analogi, lebih melunakkan hati. Begitulah yang saya yakin dalam usaha kita menyedarkan diri sendiri dan orang lain.

Mesej yang baik, perlu disampaikan dengan cara yang baik dan pada ketika yang baik… Namun jika dimarah juga, kita berserah kepada Allah. Kita manusia yang lemah, Allah jua yang memberi hidayah.

Banyak yang berlaku minggu-minggu kebelakangan ini. Banyak persoalan menerjah ruang ingatan. Saya berdoa agar apa yang pernah saya tuliskan dalam buku-buku atau blog kembali ditelaah dan diperhatikan. Di sana mungkin terselit jawapan, samada secara langsung ataupun tidak. Kali ini saya paparkan semula satu tajuk dalam buku “NOTA FIKIR UNTUK ZIKIR”… jadi pohon kembali difikir-fikirkan. Semoga ada zikir (ingat) sejurus selepas itu…

Keceluparan kerapkali mengundang bencana. Kata pepatah, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Terlajak perahu boleh dibelok, terlajak kata buruk padahnya. Begitulah yang terjadi pada Si Luncai. Akibat kata-katanya, dia dimurkai raja.

Apa tidaknya, ketika menghadap raja, terluncur kata dari mulutnya bahawa muka raja mirip wajah arwah bapanya. Raja yang zalim itu terasa dipersendakan. Baginya, mukanya tidak sekali-kali boleh disamakan dengan rakyat biasa … apatah lagi dengan muka arwah bapa Si Luncai yang miskin dan dipandang hina itu. Tanpa mempertimbangkan perkara ini dengan adil dan teliti, raja pun menjatuhkan hukuman. Penghinaan Si Luncai mesti dibayar dengan nyawa. Dan untuk itu, Si Luncai dihukum bunuh secara dicampakkan ke tengah laut.

Namun Si Luncai bukan anak sembarangan. Yang miskin cuma hartanya, bukan minda dan ketangkasan fikirannya. Otaknya bergeliga dengan pelbagai taktik licik untuk menyelesaikan masalah. Walaupun telah dihukum mati, Si Luncai tidak panik. Sebelum dia dibawa dengan sampan untuk dicampakkan ke tengah laut, dia sempat membeli sebiji labu besar. Sejak itu dia menangis berhiba-hiba sambil mengusap-usap labu itu.

Selang beberapa ketika, dua orang pengawal istana pun tiba untuk melaksanakan hukuman. Dengan senjata yang lengkap, mereka berdua bersedia untuk membawa Si Luncai dengan sampan untuk dihumban ke tengah laut. Menyedari kedatangan pengawal itu, Si Luncai pun tambah beria-ia menangis sambil membelai-belai labu airnya. Melihat telatah Si Luncai, dua pengawal kehairanan lalu bertanya, “Kenapa kamu menangis dan memeluklabu ini?”
Si Luncai pun menjawab, “Hamba terkenangkan arwah bapa hamba, bukankah hamba akan berjumpanya sebentar lagi.”
Melihat perilaku Si Luncai itu, kedua-dua pengawal berasa kasihan. Mereka pun membenarkan Si Luncai membawa labu itu bersama dalam sampan untuk menuju ke tengah laut. Sewaktu mereka sedang mengayuh, Si Luncai pun memulakan strategi untuk menyelamatkan diri. Dia berkata, “Sebelum hamba mati, bolehkah tuan hamba berdua menunaikan hajat hamba?”
Seorang daripada pengawal itu menjawab, “Boleh jika hajat itu tidak berat.”

Si Luncai gembira seraya berkata, “Memang tidak berat. Tuan hamba berdua hanya perlu menyanyi satu lagu untuk hamba.”
“Lagu apa?” tanya kedua-dua pengawal itu.
“Mudah sahaja, pengawal yang duduk di belakang hamba hendaklah mengulang kata yang begini, Si Luncai terjun dengan labu-labunya … Manakala tuan hamba yang di hadapan pula membalas, Biarkan, biarkan … .”
“Baiklah,” jawab kedua-dua pengawal itu tanpa mengesyaki apa-apa.
Mereka pun sama-sama menyanyi.
Si Luncai terjun dengan labu-labunya.
Biarkan, biarkan … .

Senikata itu dilagukan berulang-ulang serentak dengan kayuhan sampan. Semakin lama semakin rancak. Setelah agak lama, kedua-dua pengawal itu semakin terleka. Pada saat itulah Si Luncai pun terjun dari sampan untuk menyelamatkan diri. Melihat hal itu, pengawal yang di belakang segera memberitahu kawannya yang di hadapan, “Si Luncai terjun dengan labunya!”

Malangnya, pengawal di hadapan terus menjawab, “Biarkan, biarkan…” Dia menyangka, pemberitahuan itu masih lagi sebahagian senikata lagu yang mereka nyanyikan sebelumnya.

Setelah Si Luncai jauh berenang menyelamatkan diri, barulah pengawal dihadapan itu menyedari kejadian sebenarnya. Tetapi apa boleh buat, Si Luncai telah berjaya menyelamatkan diri. Mereka pun pulang tanpa memberitahu raja hal sebenarnya. Apa tidaknya, jika silap perhitungan, mereka pula akan dihukum. Si Luncai yang telah selamat daripada lemas, lari menyembunyikan diri. Namun dalam hatinya menyimpan dendam yang sangat mendalam kepada raja yang zalim dan angkuh itu. Setiap hari dia memikirkan bagaimanakah caranya untuk membalas dendam. Padanya, raja adil raja disembah, raja zalim, raja disanggah. Setelah beberapa hari lamanya, barulah Si Luncai mendapat idea.

Pada hari yang terpilih itu, Si Luncai pun mengenakan baju serba putih lengkap dengan serbannya sekali. Imej yang dibinanya adalah imej orang alim lagi warak.
Setelah itu dia pun dengan beraninya pergi ke istana raja. Melihat Si Luncai datang, terkejutlah seisi istana, kerana tidak menyangka yang Si Luncai telah ‘hidup’ kembali. Raja pun keluar dan terjadilah pertemuan baginda dengan Si Luncai buat kali kedua.
“Apa yang terjadi kepada kamu?” tanya baginda.
“Alhamdulillah, patik sekarang telah insaf … patik akan menjadi orang alim. Patik tidak perlukan apa-apa lagi dalam hidup ini.”
“Apa yang terjadi kepada kamu?”
“Patik telah sampai ke alam arwah dan bertemu dengan arwah-arwah orang yang telah mati … termasuk arwah ayah patih dan almarhum ayahanda tuanku.”
“Armarhum ayahanda beta? Bagaimana gerangannya di sana?”
“Ampun, tuanku. Almarhum sangat dukacita kerana perbuatan tuanku.”

“Apa yang beta lakukan?”
“Entahlah, almarhum cuma berdiam diri. Katanya baginda ingin bertemu sendiri dengan tuanku untuk memberi nasihat,” kata Si Luncai.
“Bagaimana, bolehkah beta bertemu ayahanda beta?”
“Masakan tidak, hamba yang hina ini pun boleh, apalagi tuanku yang mulia.”

Si Luncai tersenyum dalam hatinya. Perangkapnya sudah mengena. Raja yang zalim tapi bodoh itu akan berjaya ditipunya.
“Bagimanakah cara?” tanya raja.
“Begini … tuanku hendaklah masuk ke dalam laut dalam peti yang dilubangi. Patik dahulu pun begitu juga. Di dasar lautlah akan berlaku pertemuan itu nanti.”
Tanpa berfikir panjang, raja pun bersetuju. Pendek cerita, raja pun dibuang ke laut di dalam peti yang berlubang. Apalagi, air pun masuk dan raja pun mati lemas. Si Luncai lari menyembunyikan diri dan tidak diketahui lagi keadaan dan nasibnya selepas itu.

Apa yang boleh kita pelajari daripada kisah Si Luncai ini? Selain daripada keburukan akibat keceluparan berkata-kata, cerita yang sarat dengan unsur satira ini penuh dengan sindiran dan pengajaran yang sangat tajam dan menusuk hati. Si Luncai adalah ‘gambaran’ orang bawahan yang berdepan dengan kezaliman atasannya. Walaupun tanpa kuasa dan senjata, Si Luncai berjaya mengalahkan raja berbekalkan minda, keberanian dan kemahuan.

Cerita ini juga mengisahkan bagaimana akibat buruk yang boleh menimpa rakyat jika diperintah secara zalim oleh seorang pemerintah yang ego dan dungu. Pemerintah yang begini bukan sahaja berpotensi memporak-perandakan negara bahkan akhirnya memakan diri sendiri. Kisah Si Luncai juga memaparkan bagaimana ‘agama’ dan ‘kerohanian’ boleh dijadikan ‘alat’ untuk mengeksploitasi orang lain demi kepentingan diri dan puak.

Ironisnya, kisah Si Luncai ini relevan sehingga sekarang. Penguasaan ilmu dengan konsep ‘knowledge is power’ (pengetahuan itu kuasa) semakin dominan dalam konteks k-ekonomi sekarang ini. Penguasaan ilmu semakin penting justeru ia sangat dominan peranannya dalam bidang ekonomi, ketenteraan, sosial dan lain-lain. Si Luncai moden boleh jadi mampu menguasai sebuah negara dan dunia dengan ilmunya, justeru ilmu lebih berpengaruh daripada harta dan senjata.

Mungkin falsafah daripada cerita Si Luncai ini boleh diperluaskan dalam konteks negara-negara membangun dalam menghadapi perancangan kotor negara-negara maju. Walaupun kuasa besar itu kuat di sudut ketenteraan, dengan kebijaksanaan kita mampu pula menghadapi perancangan jahat mereka.

Kita tidak memilih strategi ‘hantuk kepala’ yakni berdepan dengan kejahatan secara membabi-buta. Dunia Islam pada dasarnya, belum bersedia untuk berdepan secara terbuka dengan Barat. Iraq, Taliban dan Libya pernah mencuba, tetapi akhirnya kecundang. Apa yang kita pelajari di sini adalah: Jika lemah senjata dan harta, gunakan kekuatan minda dan jiwa!

Namun ada sisi ‘gelap’ dalam cerita Si Luncai ini. Nampaknya agama telah dieksploitasi untuk memperjuangkan kepentingan peribadi atau kelompok. Si Luncai telah menggunakan taktik ini dan angkara ini terus berkesinambungan hingga kini. Agama terus diperalatkan justeru sifatnya yang lebih maknawi dan subjektif serta sukar ‘diukur’. Keislaman selalunya dilihat pada ritual dan kulit, bukan pada ‘substance’ atau isi. Ini dipergunakan oleh Si Luncai untuk menipu raja.

Ya, bagi mereka yang hanya punya keinginan dan semangat (tetapi kurang ilmu asas dan rujukan yang tepat), maka mudahlah ditipu oleh ‘Si Luncai’ moden yang kaya dengan pura-pura. Ramai manusia moden hari ini seolah-olah menjadi ‘raja’ dalam cerita Si Luncai apabila berdepan dengan soal kerohanian.

Malah profesor, doktor, ahli perniagaan serta ahli sains dan ekonomi pun turut terperangkap dengan ‘gula-gula’ kerohanian. Akibat miskin ilmu wahyu dan rujukan yang autentik, akal cuba dipisahkan dengan hati. Kononnya hati sahaja yang mampu menjangkau soal rohani yang berbelit-belit. Dimomokkan seolah-olah akal dan hati saling bermusuhan dan kerohanian adalah subjek yang mesti dituruti dan dipatuhi dengan ‘kosong’ kepala.

Mereka lupa, roh ilmu daripada kalimah awalan Quran – Iqra’ – dan betapa persoalan iman diterangkan oleh Allah sendiri dengan dalil maqru’ah (naqli) dan manzurah (aqli). Justeru pada hakikatnya, akal dan hati adalah gandingan serasi untuk mendapat kebenaran. Tidak ada agama bagi yang tidak berakal!

Kini muncullah ‘Si Luncai’ moden dengan citra alim dan warak, berbaju agama tetapi berhati serigala. Boleh jadi dia muncul dalam gelanggang ekonomi, politik atau sosial. Ceritanya tetap sama … mimpi alam rohani dengan janji-janji murni yang diadun antara realiti dan fantasi. Ada kebenarannya, tetapi melaut kepalsuannya. Dan mereka hakikatnya adalah taukeh ‘skim cepat kaya’ yang menabur saham-saham pengampunan dosa dan jalan pintas ke syurga. Lahiriah indah dan tampak gagah, tetapi isinya adalah strategi biasa ahli siasah (politik) atau tijarah (ekonomi).

Malangnya, kerana abad ke-21 adalah abad ‘lapar rohani’ maka ‘mi segera’ jenama agama ini mudah mendapat pasaran. Sekali lagi strategi ‘Si Luncai’ telah digunakan … kali ini dengan maksud jahat dan sesat. Ramai yang tertipu oleh kelicikan Si Luncai jika tidak punya keberanian, ilmu asas yang kukuh dan dihantui oleh dosa-dosa silam. Ya, jika manusia zaman moden ini mempunyai ilmu asas yang kuat, tidak dibayangi oleh dosa-dosa lampau yang melampau, maka ajakan ‘Si Luncai’ jenama agama tidak akan mendapat sambutan.

Orang yang boleh ditipu hanya orang yang dungu. Orang yang boleh digertak, hanya orang yang banyak salah. Si Luncai tahu itulah hakikat raja yang sedang dihadapinya. Dan kita mesti membuktikan bahawa kita lebih cerdik dan lebih baik dengan memantapkan ilmu, amal dan bertaubat. Tidak ada jalan pintas ke syurga. Biarlah Si Luncai terjun dengan labu-labunya!

REVOLUSI BERUK

Saya senyum sendirian membaca cerpen-cerpen lama yang pernah saya tulis waktu muda-muda dahulu. Begitu polos dan terus sindirannya. Tanpa hiasan hikmah dan belaian indah kata-kata, dahulu saya menyampaikan mesej secara keras dan kejang begitu sahaja. Orang muda… begitulah.

Saya tidak berhenti menulis cerpen sebenarnya. Cuma cerpen-cerpen saya kebelakangan ini, lebih “melo” dan peribadi sifatnya. Lalu saya simpan sahaja untuk tatapan peribadi.

Suka saya berkongsi dengan pengunjung blog… sebuah cerpen yang telah saya tulis lebih kurang 20 tahun yang lalu.  Maafkan saya, jika tulisan ini terlalu satira dan sangat sinikal. Orang muda… memang begitu. Mungkin pendekatannya kasar, tetapi insya-Allah MESEJnya relevan hingga kini.

Terimalah…

REVOLUSI BERUK

Sesungguhnya ilmu itu bukanlah kejahilan

akan tetapi ada ilmu yang bahayanya

lebih daripada kejahilan.

-Imam Al Ghazali

Raja Beruk termenung.Ekor panjangnya melilit di celah batang sambil tangannya yang berbulu itu memegang ranting dahan.

Dia termenung.Anak-anak buahnya bergayutan dari dahan ke dahan,berteriak,menjerit penuh riang.

“Nyet…nyet…nyet,”gegak-gempita,rimba raya ditusuk jeritan beruk-beruk hutan.Tapi Raja Beruk terus termenung…

“Mengapa paduka tuan?”tanya Menteri Beruk.

Diam..tiada jawapan.Raja Beruk terus diam.

“Mengapa paduka tuan?”Tanya Menteri Beruk sekali lagi.

“Aku risau…”sepatah jawab Raja Beruk.

Pokok ketapang tempat semayam Raja Beruk tetap tegap.Buah-buahan hutan hadiah anak buahnya tidak dijamah.

Menteri Besar terus tertanya-tanya.Apa dah jadi pada Rajanya?

Raja Beruk tetap risau.

“Apa khabar utusan-utusan yang kita tugaskan?”

“Sudah seminggu mereka tak balik-balik,Kakap belum balik

dari Selatan.Semik belum balik dari Barat,Koring belum sampai dari Timur…Mana Sigah dari Utara?”keluh Raja Beruk.

“Jangan risau tuanku ,mereka pasti balik”,pujuk Menteri Beruk.

“Itu aku tahu tetapi berapa lama?”bentak Raja Beruk dengan nada tinggi.Marah nampaknya dia,

“Mana manuskrip itu? Cuba bacakan sekali lagi!”perintah Raja Beruk.Memanda Menteri mencapai kertas keramat yang dimaksudkan.Dikeluarkan dari celah banir pokok yang terlindung dengan daun-daun kayu.Dalam hati Memanda Menteri Beruk hot juga.Nak protes depan-depan tak berani. Dia dah jemu sebab kali ini sudah seratus sembilan puluh,manuskrip itu dikeluarkan.Dan dia sudah pasti,pasti..

dia diperintahkan membacanya lagi .

Tiba-tiba…

“Nyet…nyet…ook…ook…”suara garau Raja Beruk bertitah.

Suaranya bergema di kawasan hutan itu.Anak buah yang tadinya bergayutan menjerit ,bergurau,dan bersuka-suka diam serta merta.Semuanya taat perintah.Raja Beruk perintahkan diam.Dia ingin menghayati isi manuskrip itu.Jangan diganggu konsentrasinya.Anak buahnya mesti diam.Dan mereka nampaknya terus patuh.Titah R aja Beruk tetap dijunjung.

Meskipun beruk sama-sama beruk tetapi ia jadi Raja.Dan rakyatnya hanya menerima beruk menjadi raja.Sudah tentu!

“Ini perutusan agung dari datukmu Darwin:asal kami adalah beruk…tetapi sekarang kami dipanggil manusia.Kami bina tamadun hidup yang tinggi,kekayaan dari perut bumi kami gali,kami duduk dalam rumah berhawa dingin dan menikmati makan-minum,tidur baring dan berhibur dengan selesa.Kami bina ia dengan keupayaan kami sendiri.Dengan otak yang telah berkembang.Ekor kami jadi kecil,wajah kami jadi cantik…

Semua penukaran semulajadi dan ini kami tangani dengan revolusi otak dan evolusi fizikal…

“Gunakan otak wahai saudara-saudaraku beruk!Hutan akan musnah,pokok tempat bergayut akan ditebang manusia.Buah kelubi,pisang hutan dan lain-lain milik kamu akan pupus.Teknologi manusia akan menghimpit kamu.Satu dan hanya satu jalan keluar …Beruk-beruk mesti jadi manusia!Jadilah manusia!Jadilah manusia!”

Begitulah isi manuskrip yang dibaca oleh Menteri Beruk.

Mata Raja Beruk jadi bersinar,fikirannya melayang-layang…

Aku…detik hatinya,aku akan memimpin rakyatku untuk satu revolusi.Revolusi besar,hebat dan gagah.Apa dia?Menukar dan memimpin beruk menjadi manusia!Nah, itu misi revolusiku…

Itulah impian Raja Beruk.Mimpi yang dibawanya ketika bergayut.Mimpi yang dibawanya ketika memamah buah kelubi.

Mimpi ketika bermesra dengan permaisuri beruk…mimpinya ingin menjadi manusia.

Anak buahnya memandang Raja Beruk dengan mata terkebil-kebil.Simpati ada,rasa risau pun ada.Selalunya badan sasa Raja Beruk akan kelihatan melompat ke sana ke mari.

Memimpin ketika mencari makan ,mengatur ketika bermain-main dan macam-macam lagi kehebatnnya.Kini Raja Beruk terpesuk ,tunduk dengan wajah murung.Tentu ada sesuau yang difikirkan…Apakah tempat baru ini tidak sesuai?Mustahil.Mereka baru sahaja berpindah ke tempat ini. Baca baki entri ini »

HANTU DALAM HATI KITA…

Secara sinis seorang sahabat berkata, “tidak ada hantu yang berkeliaran pada malam Jumaat.”
“Malam Jumaat, malam yang berkat. Esoknya, penghulu segala hari raya. Hari raya mingguan untuk umat Islam. Mungkin itu sebabnya,” balas saya.
“Bukan itu yang aku maksudkan,” katanya.
Saya senyum sambil bertanya kembali, “kenapa tiba-tiba kau bercakap tentang hantu?” tanya saya kembali.

Dia diam sebentar. Kemudian menyambung, “semua hantu dah masuk dalam TV. Macam-macam hantu telah dimunculkan semula. Pemikiran orang kita kembali ke belakang,” ujarnya.
Saya senyum dengan sindirannya. Teringat kata guru penulisan saya, “ada tiga unsur yang menjadi bahan pelaris dalam media yang dikuasai oleh orang Melayu – seks, mistik atau misteri dan gosip. Benar, media cetak dan elektronik yang ada ketiga-tiga unsur ini akan mendapat sambutan.

“Aku bimbang, pemikiran anak-anak kita akan diracuni. Bukankah siapa kita lima tahun akan datang ditentukan dengan siapa kita bergaul dan oleh apa yang sering kita baca, tonton dan dengar? Kalau cerita-cerita hantu ini yang kerap mereka tonton dan baca, fikiran bawah sedar anak-anak kita akan terkebelakang!”

Saya diam. Memang ada kebenaran kata-katanya itu. Budak-budak sekarang jadi penakut tidak bertempat, hendak ke bilik air, hendak tidur, hendak bersendirian semua penakut. Apa tidaknya cerita-cerita hantu sarat dengan adegan hantu muncul tiba-tiba dari bawah katil, dari sebalik pintu dan sebagainya.

“Aku bimbang melihat peranan ahli agama dan ayat-ayat Quran yang disalah tafsirkan dalam cerita-cerita hantu ini…” tambah saya untuk menyuburkan percambahan fikiran.
“Ada yang berhujah, tengok dalam cerita hantu ini kami memartabatkan ahli agama dan ayat-ayat Quran. Bila ahli agama datang dengan serban dan kopiah serta membaca ayat-ayat Quran, hantu akan cabut lari, terbakar, ghaib dan sebagainya. Apa pandangan kau tentang ini?”
“Al Quran ditujukan untuk difahami, dihayati dan diamalkan oleh manusia. Itu fungsi utamanya. Jika manusia tidak menghayati al Quran, manusia akan jadi hantu yang lebih ganas dan dahsyat!” Baca baki entri ini »

NIKMATNYA SYURGA DUNIA!

86369502Pernahkah anda rasa lebih miskin setelah mendapat sesuatu? Ramai yang pernah saya tanyakan mengakui pernah. Bila saya tanyakan lagi, mengapa? Mereka menjawab, sebab keinginan jadi semakin bertambah. Ketika duit sedikit… keinginan mungkin hanya satu.

Tetapi bila duit mula bertambah, keinginan jadi 2, 3, 4 dan seterusnya. Dan paling malang bila kadar pertambahan duit itu adalah rendah berbanding kadar peningkatan keinginan… Dan kita akan menjadi lebih “kurang” dan “miskin’ daripada sebelumnya! Inilah sifat tabie manusia yang diceritakan dalam al Quran, “sangat mendalam cintanya kepada kepada harta”. Tanpa kawalan iman, keinginan itu akan menjahanamkan.

Psikologi ini malangnya dieksploitasi semaksimumnya oleh para kapitalis. Mereka tahu… sebaik manusia mendapat sesuatu, keinginan mereka mula berpindah kepada sesuatu yang lain pula. Inilah di sebalik penciptaan produk dan perkhidmatan yang begitu laju. Fesyen pakaian, jenama produk, eksesori alat telekomunikasi, menu makanan  yang sentiasa dinamik.

Dibius atas nama “kemajuan”, manusia disiksa dengan pelabagi keinginan yang tidak bertepian. Lalu… kapitalis memperalatkan kehendak nafsu manusia yang tidak ada batas dan tidak mengenal puas walaupun di sana Al Quran ada mengingatkan, “tidaklah kehidupan dunia ini melainkan mata benda yang menipu daya!” Mari ikuti tulisanini… jangan dicari neraka dunia. Carilah syurga dunia. Tetapi sebelum itu ikuti kisah ini:  Cerita ini pendek dan ringkas sahaja.

Namun pengajarannya cukup relevan dan padat. Ia mengisahkan seorang budak yang telah kehilangan sejumlah wang dalam perjalanannya ke kedai untuk membeli gula-gula. Setelah puas mencari wangnya yang hilang tetapi tidak juga ditemuinya, maka budak itu kecewa lalu menangis teresak-esak di tepi jalan. Tangisannya itu telah menarik perhatian seorang tua yang kebetulan sedang berjalan di situ. Orang tua itu berhenti dan lalu bertanya, “mengapa engkau menangis wahai budak?”.  Baca baki entri ini »

DEMONSTRASI MELALUI SOLAT SUBUH BERJEMAAH?

ethiopia_muslim_boy_islam_by_ademmmDalam buku Misteri Solat Subuh karangan Dr. Raghib As Sirjani menukilkan, “pernah salah seorang penguasa Yahudi menyatakan bahawa mereka tidak takut dengan orang Islam kecuali satu hal berlaku yakni bila jumlah jemaah solat Subuh menyamai jumlah jemaah solat Jumaat.”

Atas dasar apa dia berkata demikian, tidak pula dinyatakan secara pasti. Namun jika kita sendiri melihat situasi ini lebih dekat, ada logik dan kebenarannya.

Pada tahun 80’an, sewaktu masih menuntut di universiti, terjadi satu tragedi besar dalam dunia Islam. Tentera Soviet Union (yang belum berpecah seperti sekarang) telah menyerang Afghanistan. Pada ketika itu Nur Muhammad Taraki, Babrak Karmal (seingat saya) dan lain-lain tali barut komunis telah menjadi musuh yang “menjemput” tentera Rusia menjajah Tanah Air mereka sendiri. Pelajar-pelajar Islam di universiti tempatan ketika itu telah bangun melancarkan demonstrasi.

Saya masih ingat bagaimana ucapan berapi-api daripada para pemimpin pelajar ketika itu telah membakar emosi dan menimbulkan rasa marah yang amat sangat kepada Komunis Rusia. Bendera Soviet, patung Breznev dan Babrak Karmal telah dibakar. Ucapan yang berapi-api telah disambut oleh jeritan, “Allah hu Akbar! Allah hu Akbar!” telah bergegar di padang tempat kami melakukan tunjuk perasaan.

Rasa-rasanya, kalau dilihat pada semangat yang memuncak, bagaikan semua telah bersedia untuk dihantar ke Afghanistan untuk membantu Mujahidin (waktu itu belum ada Taliban) bagi melancarkan jihad. Bilangan pelajar Islam yang berdemonstrasi saya rasa hampir mencecah ribuan orang.   Baca baki entri ini »

SEORANG JURUTERA DI ATAS BUKIT

kisah nabi musaSetelah kembali ke KL malam semalam, saya terus menangani kerja-kerja penulisan seawal pagi ini. Buku Mukmin Profesional: Celik Mata hati sudah 80% selesai. Kali ini buku yang saya tulis agak berat dan sarat dengan seruan, gagasan, panduan dan hujah-hujah yang praktikal.

Program yang saya laksanakan bersama teman-teman di Selesa Beach Resort, Port Dickson semalam memberi saya input-input baru untuk ditangani dan diungkaikan. Alhamdulillah, perjuangan untuk membaiki diri dan ketrampilan yang tidak berpenghujung ini nampaknya sering mendapat pencerahan.

Walaupun kekadang terlalu banyak pengalaman peribadi untuk dikongsi, tetapi saya seboleh mungkin akan menjauhkan diri daripada menulisnya dalam blog ini. Lalu, acapkali sesuatu yang bersifat peribadi itu saya tambah rencah-rencahnya agar lebih kelihatan umum agar lebih mudah dikongsi dan dihayati.

Namun, ingin saya tegaskan apa yang saya tulis hakikatnya ialah usaha saya mengenengahkan kebenaran, yakni kebenaran dari segi prinsipnya dan kebenaran daripada segi kisah dan faktanya.

Kisah yang saya tulis, “Seorang Jurutera di atas bukit” misalnya ialah kisah dialog saya dengan anak lelaki setelah 3 bulan dia bekerja. Kebimbangan hati saya agar anak tidak terjebak dalam rasuah menyebabkan kisah itu saya nukilkan. Orang muda khususnya, bila mula mendapat kerja yang baik dan berpendapatan agak tinggi sedikit akan dilanda pelbagai godaan. Dan kita sedia maklum, ujian kesenangan lebih getir dan bahaya berbanding ujian kesusahan. Dalam sukar masih ramai yang mampu sabar, tetapi dalam senang, ramai yang lupa syukur, lalu kecundang.

Begitu juga apabila ada seorang lagi anak yang berdepan dengan dilema samada memilih bidang pengajian yang lebih sukar dan  mencabar atau yang lebih mudah,  saya mula bersembang-sembang untuk “membetulkan” persepsinya. Saya ingatkan, jangan mengejar “glamour” .  Pandangan diri terhadap diri sendiri lebih penting daripada pandangan orang lain terhadap kita.  Ingat kata Ibn Jauzi, petanda orang sakit jiwa ialah apabila dia lebih percaya penilaian orang ramai berbanding pandangan dirinya sendiri.

Sebab itulah ramai orang yang ingin “mempamerkan” betapa dia berjaya dan bahagia walaupun dia sedar jauh di sudut hatinya bahawa dia sebenarnya tidak bahagia. Bergambar di khalayak ramai sebagai pasangan yang bahagia, tetapi bila pulang ke rumah begitu sukar bermesra sekalipun untuk bertegur sapa. Oh, dunia… akulah yang paling bahagia, dabik dadanya di hadapan ramai. Namun ketika sunyi sendiri, dia mengeluh, aduh… deritanya hidupku! Ini bukan cerita artis dan orang berkuasa sahaja, tetapi “orang biasa-biasa” pun ramai yang kena! Baca baki entri ini »

ORANG BAIK MATI CEPAT…

sb10064839t-002Salam sahabat-sahabat pengunjung. Ku tulis kisah ini sebagai memori tarbiah yang berkekalan. Tentang pemergian seorang sahabat. Ku adun ilusi dan realiti namun tapak dan dasarnya tetap yang hakiki. Bulan puasa ini aku agak terkejar-kejar waktu. Selalunya, tempoh Ramadan adalah tempoh istirahat aktiviti luaran. Tetapi Ramadan tahun ini berbeza. Hingga saat ini kehendak dakwah dan tarbiah terus membuak-buak. Tidak ada pilihan meliankan memikul kedua-duanya. Selepas Subuh tadi saya tuliskan kisah ini…Orang baik mati cepat!

Semacam satu musim. Begitu kekadang dirasakan. Sekarang “musim kematian”. Sejak kebelakangan ini ramai sahabat dan kenalan rapat yang meninggal dunia. Secara tiba-tiba pula. Insya-Allah, mereka yang pergi itu yang baik-baik akhlaknya. Sewaktu menziarahi jenazah seorang sahabat yang meninggal 2 minggu lalu secara tiba-tiba timbul pertanyaan di hati, kenapa orang baik mati cepat? Walaupun aneh kedengarannya, tetapi soalan itu menerjah juga tanpa dapat ditahan-tahan.

“Kenapa orang baik mati cepat?” tiba-tiba soalan yang sama dilontarkan oleh seorang sahabat lain yang sama-sama menziarahi Allahyarham. Saya terkejut. Rupa-rupanya ada juga orang lain yang sama rasa dengan saya. Cuma dia “berani” meluahkannya, saya pula hanya memendamkan.
“Kenapa? Orang jahat mati lambat?” balas saya.
Dia tersenyum.
“Dalam pengalaman saya ramai orang baik mati cepat. Lihat sahabat kita ini baru mencecah 40 tahun sudah dijemput pulang.”
Saya termenung mencari makna dan kata-kata. Terkesima. Ah, saya yang “lebih tua” ini belum mati.. Mungkin saya tidak sebaik dia. Begitu gerutu dalam hati. Baca baki entri ini »

SUBUH YANG TERAKHIR!

usrah fikrah IslamiahKali terakhir saya bertemunya di hadapan hotel berhampiran Masjid il Haram sewaktu mengerjakan umrah akhir bulan Jun yang lalu. Tidak sangka itu adalah pertemuan terakhir kami. Dia hanya tersenyum, berjabat tangan dengan saya yang kebetulan bersama ustaz Muhammad Nasib. Isterinya, Jannah turut tersenyum.
Mereka berdua memang rapat dengan keluarga saya. Kami pernah tinggal berjiran di Kepong. Anak-anaknya pernah dijaga oleh isteri saya. Bila mereka berpindah, hubungan terus rapat. Seingat saya, boleh kata setiap hari raya Idil Fitri, dia akan menziarahi saya. Jannah, isterinya kerap juga menelefon isteri saya. Bertanyakan resipi itu dan ini.

Kali terakhir perbualan intim dengannya seusai solat Zuhur beberapa bulan yang lalu. Dia kerap bertanya dan bertukar-tukar pandangan apabila hendak menerbitkan album baru. Tetapi perbualan kami lebih bersifat adik abang sahaja. Tidak ada soal-soal perniagaan atau komersial.

Mendengar berita yang beliau meninggal dunia pagi ini sangat mengejutkan saya. Begitulah… kematian yang datang tiba-tiba. Senyum, suara dan sifat ramah-tamah serta hormatnya masih terbayang di ruang mata. Al Fatihah sahabat dan adik ku… Allahyarham ASRI IBRAHIM. Istirahatlah wahai sahabat dari ujian dunia, semoga kau soleh di sisi pangkuan Cinta Allah di sana.

Benar, tadi adalah subuh mu yang terakhir! Baca baki entri ini »

AKU BUKAN SUMAYYAHMU!

agamawan duit 2Semalam saya membaca buku Hayatus Sahabah sehingga tertidur. Hiba membaca kisah Rasulullah SAW yang kekadang mengalami kelaparan yang teramat sangat. Begitu juga Sayidina Abu Bakar RA dan Umar RA. Sekali baginda makan roti dan air dengan sahabat-sahabat, beliau telah mengingatkan bahawa nikmat itu juga akan ditanyakan oleh Allah.

Ah, betapa kita yang sering kenyang ini ingin menteladaninya?  Buku inilah yang telah mencetuskan rasa hati saya beberapa tahun yang lalu untuk menulis sajak tentang Sumayyah. Ada dua buah sajak yang saya tulis tentang sahabiah itu. Satu telah dikongsi bersama masyarakat… apabila telah dijadikan nasyid oleh kumpulan Hijjaz. Yang satu lagi, tetap tersimpan sebagai “hadiah” untuk isteri.

Tempoh sibuk dengan penulisan bagi menyiapkan majalah SOLUSI edisi 11 dan 2 artikel dalam majalah Anis serta penulisan buku CELIK MATA HATI: 7 LANGKAH PERKASA DIRI, jika tidak dikawal akan menyebabkan blog ini kesepian tanpa entry baru. Sebab itu, sekarang saya isikan kedua sajak ini sebagai memenuhi masa yang begitu mencabar ini. Insya-Allah, nanti saya tulis sesuatu yang lebih serius.

Sumayyah… kau tahu untuk apa kau hidup dan kau juga  tahu untuk apa kau mati! Ya, orang yang layak hidup, hanya orang yang tahu untuk apa dia mati!

sumayyah 1SUMAYYAH

Dalam diri selembut sutra
Kau memiliki iman yang teguh
Kau nyalakan obor agama diri-mu bak lentra
dibelengu jahiliah kau tempuh dengan berani
Walau pun jasad-mu milik tuan
Tetapi hati-mu milik Tuhan

Padang pasir menjadi saksi ketabahan keluarga itu
Tika suami dan anak dibaring mengadap mentari
Disuruh memilih iman atau kekufuran
Samar jahiliah atau sinaran akidah

Sabarlah keluarga Yasir
Bagi-mu syurga disana
Dan kau pun tega memilih syurga
Walau terpaksa mengorban nyawa
Lalu tombak yang tajam menikam
Jasad-mu yang tiada bermaya
Namun iman didada-mu sedikit tidak berubah

Darah-Mu menjadi sumbu pelita iman
Sumaiyah kaulah lambang wanita solehah
Tangan yang disangka lembut menghayun buaian
Mengoncang dunia mencipta sejarah

Sumaiyah kau dibunuh didunia sementara
Untuk hidup disyurga yang selama-lamanya
Kaulah wanita terbaik
Sebaik manusia
Nama-mu tetap menjadi sejarah

sumayyah 2AKU BUKAN SUMAYYAHMU!

Suami ku bunga semalam telah layu
Gugur dari jambangannya
Mujur cinta dan perjuangan kita
Bukan itu lambangnya

Mulut ku kaku untuk merayu
Hati ku malu untuk terus cemburu
Tidak seperti dulu
Kerana kini kau mujahid
Yang rindu memburu syahid

Maaf kiranya tutur dan tingkah
Senyum dan seri wajah
Pudar dan hambar di mata mu
Pada ku yang baru belajar
Menjadi seorang mujahidah

Aku kini hanya mendoakan
Agar kau menjadi Yassir
Walau kiranya… bukan aku Sumayyahmu
Dalam tangis ku cuba senyum ketika kau bermusafir
Sepertinya Siti Hajar
Sewaktu ditinggalkan Ibrahim

Biar selalu kita berpisah
Selalu derita kerap susah
Kerana syurga menagih ujian berat
Sedangkan neraka dipagari nikmat!

KENANGAN DI UM (Universiti Mujahadah)

88496203Selepas Subuh tadi, saya membelek-belek kembali buku catatan saya semasa ditahan di Kamunting. Terjumpa banyak lembaran-lembaran tulisan yang tidak pernah saya ketengahkan. Hanya untuk tatapan peribadi. Antaranya, saya bertemu dengan tulisan yang akan saya ketengahkan ini.

Saya akui diantara buku yang banyak saya uliti sewaktu di sana ialah Tafsir Al Azhar oleh Hamka, Pengajaran Hikmah Al Hikam dan huraian oleh Prof. Muhibbudin Al Wali, Hentikan risau dan Mulakan kehidupan oleh Dale Carnargie, dan banyak lagi.

Mari kita kongsikan satu catatan yang saya buat sebaik sahaja habis membaca “Hanya untuk hari ini oleh Dale carnargie”. Catatan yang saya buat sebaik menyapu sampah dan membersihkan longkang di sekeliling kem tahanan (hari itu saya bertugas). Ah, sekadar catatan ringkas. Semuga ada manfaatnya – bukan sekadar mengimbau nostalgia tetapi untuk mendapat “:rasa-rasa” yang melatari peristiwa yang sangat mendidik saya itu.

Saya akui, rasa takut, resah dan “lemah jiwa” yang sering menghantui hidup saya sebelumnya dapat sedikit sebanyak dikikis melalui pengalaman pahit itu. Ya, pahit… tapi ubat. Syukur ya Allah, dalam derita itu saya banyak belajar… ISA adalah UM (Universiti Mujahadah) saya. Inilah catatan itu: HANYA UNTUK HARI INI. Baca baki entri ini »

BELAJAR ILMU IKHLAS

76c0e34e9552e7a7ffdc5d790f133d06“Mari ku ajarkan mu tentang ikhlas,” kata seorang guru kepada muridnya.
“Nanti saya ambilkan buku dan pena untuk menulisnya.”
“Tak payah, bawa sahaja karung guni.”
“Karung guni?” soal anak muridnya, seperti tidak percaya.
“Mari kita ke pasar!”

Dalam perjalanan ke pasar mereka berdua melalui jalan yang berbatu-batu.
“Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam guni yang kau bawa itu,” kata guru itu memberi arahan.
Tanpa soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temui sepanjang jalan.
“Cukup?”
“Belum, isi sampai penuh karung guni itu. Lebih banyak lebih baik.”

Sampai di pasar, mereka berdua tidak membeli apa-apa pun. Gurunya hanya berlegar-legar, melihat-lihat dan kemudiannya mula beredar ke luar.
“Tok guru, kita tidak beli apa-apa kah?”
“Tidak. Bukankah karung guni mu telah penuh?”
“Ya, ya…” kata murid itu sambil memikul guni yang berat itu kelelahan.  Baca baki entri ini »

KEMBARA MATA HATI (1)… (Catatan perjalanan mujahadah dalam Umrah & Ziarah)

84751876Alhamdulillah, syukur, saya telah selamat kembali ke tanah air semula setelah lebih kurang dua minggu di Tanah Suci melaksanakan umrah dan ziarah. Dan di kesempatan ini saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sama-sama mendoakan saya.

Insya-Allah, segala catatan “Kembara Mata Hati” ini akan disiapkan sedikit demi sedikit. Mudah-mudahan dapat juga dikongsi bersama pengunjung blog ini.  Saya cuba amalkan apa yang dikatakan oleh pakar-pakar pendidikan bahawa 95% ilmu terserap ke dalam diri apabila disampaikan.

Maksudnya, belajarlah dengan niat hendak “mengajar” orang lain. Ini juga yang dimaksudkan oleh hadis, sampaikan daripada ku walaupun sepotong ayat. Buat masa ini saya masih berkongsi rasa bersama keluarga sendiri, meneliti kembali catatan-catatan yang kekadang jelas dan samar akibat dilambung oleh pelbagai rasa, suasana dan keadaan.

Saya memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemaskinikan blog ini. Saya cuba-cuba juga mencari waktu dan kesempatan untuk melakukannya semasa berada di Makkah, Madinah mahupun di Kaherah, namun tidak kesampaian. Akur dengan keterbatasan itu, saya mencari hikmah… ya, mungkin saya ditakdirkan untuk fokus semata-mata kepada Allah. Berperang dengan hati sendiri, berhempas pulas di jalan mujahadah. Bukan lupa tetapi belajar melupakan demi mencari satu peringatan!

Sudah menjadi kebiasaan, sebelum melaksanakan sesuatu yang dianggap “besar” saya sering meminta panduan daripada orang “tua-tua” dahulu – tidak kiralah sama ada dia itu “tua” pengalaman, ilmu, akhlak atau usia. Bagaimana seharusnya adab, sikap, rasa hati dan perlakuan saya sebagai tetamu Allah dan Rasul-Nya nanti.

Saya ingin berguru dan mendapat ilmu semaksimumnya daripada mereka. Mudah-mudahan hati dan diri saya terpimpin. Pengalaman ketika menulis beberapa buah buku dan pengalaman menguruskan kerja  dan majlis pernikahan anak sulung saya lebih kurang setahun yang lalu telah banyak mengajar saya betapa panduan daripada orang-orang tua itu sangat berguna untuk mendapat keselamatan, ketenangan dan keberkatan (insya-Allah). Oleh kerana itu saya tidak malu-malu bertanya, kerana ilmu yang ditimba daripada pengalaman tentunya lebih dapat dihayati berbanding apa yang diperolehi daripada pembacaan.

Nama-nama “guru-guru” rujukan saya dalam umrah ini terlalu personal untuk dinyatakan satu persatu. Tetapi sudi apalah kiranya mendengar kata nasihat mereka (yang kekadang pendek atau panjang). Inilah antara panduan-panduan yang saya terima daripada mereka: Baca baki entri ini »

Catatan perjalanan: Aku dan 3 ibu…

kelahiran1Kali ini izinkan aku menulis tentang jasa IBU. Aku tidak pandai berfalsafah. Aku hanya ingin berkongsi rasa. Susuri rasa ini dalam tulisan sederhana yang ku beri tajuk: Aku dan 3 ibu…

Ibu pertama:

Aku mengayuh basikal laju-laju. Ingin cepat sampai ke destinasi. Masih terngiang-ngiang pesan emak sebentar tadi.

“Jumpa misi (jururarawat) sahaja terus bagi kad merah tu. Katakan emak dah sakit,” kata emak lemah. Wajahnya berkerut-kerut menahan kesakitan. Umur ku ketika itu baru 12 tahun. Emak sakit perut untuk bersalin. Ayah ku seorang buruh telah pergi bekerja awal pagi tadi. Di rumah tinggal aku dan dua orang adik perempuan.

“Emak nak bersalin ke?” tanyanya naif.

Emak tak bercakap banyak. Hanya mengangguk-angguk. Tubuh emak begitu kurus.

 Tanpa berfikir panjang aku terus meminjam basikal jiran sebelah. Kebetulan tidak ada siapa orang lelaki yang boleh diharap kecuali aku. Pak cik sebelah menyebelah juga keluar bekerja. Rumah misi yang juga pusat kesihatan daerah kami agak jauh. Tetapi pada tengah hari itu semuanya seakan dekat. Aku mengayuh terus.

 ”Misi, emak saya nak bersalin. Ini kadnya,” kata ku tercungap-cungap sambil menyerahkan  kad tersebut.

Misi, seorang perempuan Cina lewat 40′an itu agak terkejut. Namun kemudian membelek dan melihat kad itu secara terperinci.

“Aiya, saya tak boleh jadi bidan emak lu. Dia punya darah dan jantung ada sikit “problem”. Saya tak boleh…” Baca baki entri ini »

KILL YOUR DARLING!

pemandangan-indahKILL YOUR DARLING!

Dalam penulisan, sering terjadi sesuatu frasa yang kita anggap paling indah, bernas dan hebat sebenarnya tidak sebegitu dalam realitinya. Walaupun selalu diingatkan supaya kita melakukan “self editing” tetapi frasa yang kononnya sangat indah itu tidak akan kita buang. Munasabahkan kita membuang sesuatu yang kita sayang?

Justeru, kita perlukan orang lain menyunting tulisan kita. Dan hanya pada ketika itu sahaja frasa “kesayangan” kita dipotong atau diperbaiki. Kill your darling, itu istilah yang selalu digunakan dalam bidang penulisan. Hasilnya, hasil tulisan kita akan menjadi lebih baik, bernas dan tepat.

Teman, kekadang kehidupan seperti itu juga. Sentiasa ada individu, sikap, pendirian atau pandangan hidup yang kita anggap benar tetapi hakikatnya tidak. Walaupun kita cuba bermuhasabah, ia tidak akan kelihatan juga sebab ia sudah terlalu dekat dengan diri kita. Cuba dekatkan sedekat-dekatnya tapak tangan kita ke mata sendiri. Semakin dekat, semakin kecil radius penglihatan kita dan ia menjadi semakin kabur. Maka begitulah sikap, pandangan dan individu yang terlalu hampir dengan kita… kekadang sudah terlalu hampir hingga kita menjadi “buta” untuk melihatnya.  Baca baki entri ini »

RAJA TANPA BAJU: IKTIBAR UNTUK PEMIMPIN GILA AMPU

© Copyright 1999-2008 Getty Images, Inc. All rights reserved.

© Copyright 1999-2008 Getty Images, Inc. All rights reserved.

Apabila sekali-sekala kita terasa terlalu ingin dipuji dan apabila yang kita mahu dengar hanyalah kata-kata yang sedap-sedap sahaja, lebih-lebih lagi apabila kita mempunyai kedudukan yang tinggi dalam organisasi atau masyarakat, ditambah pula oleh orang disekeliling kita terdiri daripada kaki ampu dan ‘bodek’, maka renungilah sejenak kisah raja tanpa bajunya ini. Cerita pendek turun-temurun ini telah kita dengar sejak di bangku sekolah rendah lagi. Memang sudah lama, namun iktibarnya dapat kita manfaatkan sepanjang usia. Bukan sahaja untuk menilai dan memperbaiki diri kita, malah untuk menilai orang lain, suasana dan perkembangan semasa.
Baca baki entri ini »

BANGAU OH BANGAU – BUDAYA MENUDING JARI

© Copyright 1999-2008 Getty Images, Inc. All rights reserved.

© Copyright 1999-2008 Getty Images, Inc. All rights reserved.

 

Bangau oh bangau, Mengapa engkau kurus? Macamana aku tak kurus, Ikan tidak timbul.

Ikan oh ikan, Mengapa kau tak timbul? Macamana aku tak timbul, Rumput panjang sangat.

  Baca baki entri ini »

KAMBING GURUN ‘BERTANDUK’ PANJANG: TRAGEDI ORANG LEMAH

© Copyright 1999-2008 Getty Images, Inc. All rights reserved.

© Copyright 1999-2008 Getty Images, Inc. All rights reserved.

Seekor kambing gurun tiba-tiba dikejar oleh seekor harimau. Dengan pantas kambing memecut dan lari mendaki bukit yang berhampiran. Kepantasannya tidak dapat ditandingi oleh harimau yang akhirnya tertinggal di bawah bukit. Namun harimau tidak putus asa, ia terus menunggu dibawah dengan harapan kambing itu akan turun juga akhirnya. Harimau terus menunggu, dan kambing terus pada kedudukannya di atas bukit. Masing-masing menanti siapakah yang akan mengalah. Sejak pagi kedua-duanya menunggu hinggalah tiba waktu tengahari dan matahari mula condong ke Barat. Pada waktu itu bayang-bayang kambing yang di atas bukit mula tertayang di atas muka bumi.
Baca baki entri ini »

IKTIBAR BATU BELAH BATU BERTANGKUP: IBU TIDAK BOLEH MERAJUK

gua1Cerita dongeng batu belah batu bertangkup pernah kita dengar. Setidak-tidaknya sekali terutamanya semasa kecil hati kita mungkin pernah merasa seram dan ditakut-takutkan oleh kisah seorang ibu menyerahkan dirinya ke dalam sebuah gua batu yang boleh menelan manusia. Lalu hati kita kecut, takut-takut ibu kita pula akan ditelan batu. Lalu kita pun berhenti menangis atau merajuk takut-takut ibu kita akan mengalami keadaan yang sama. Walaupun cerita ini jelas berunsurkan dongeng malah di sesetengah tempat terdapat elemen tahyul, namun cerita ini tetap masyhur disampaikan dari generasi ke satu generasi.   Malah karyawan seni Melayu telah memertabatkan kisah ini menjadi sebuah filem suatu masa dahulu.
Baca baki entri ini »

IKTIBAR CERITA ARNAB DAN KURA-KURA

© copyright 1999-2008 Getty Images, Inc. All rights reserved.

© copyright 1999-2008 Getty Images, Inc. All rights reserved.

Tersebutlah kisah arnab sedang berjalan-jalan mencari makanan. Tiba-tiba ia terpandang seekor kura-kura yg merangkak-rangkak naik ke tepi sungai.

 

“Alahai, kura-kura. Mengapalah engkau lambat sangat? Bila nak sampai tu?”

“Sedikit-sedikitlah arnab. Lama-lama  aku sampailah.” Jawab kura-kura.

“Hahaha…gelihati aku lihat cara engkau berjalan. Bilalah engkau nak sampai si tua lambat ni…ha..ha.”

“Jangan engkau hina aku arnab.”
Baca baki entri ini »