RSS

Arkib Kategori: Kemudi Hati

SEIMBAS TENTANG POLIGAMI…

Saya pernah mendengar secara langsung bagaimana seorang isteri dianiaya oleh suaminya yang berpoligami. Sudahlah selama ini dia membantu suaminya menyara keperluan keluarga (gajinya lebih besar daripada suami), tiba-tiba suami bernikah lain tanpa pengetahuannya.

Dan sejak itu suami jarang pulang ke rumah. Jika pulang pun, hanya sekali-sekala, itupun kerana ‘mengecek’ wang isteri pertama. Isteri yang selama ini berkorban, terus terkorban… bertahan cuma untuk membesarkan anak-anak. Tidak ada kebahagiaan lagi.

Ada pula saya temui lelaki ‘handsome’ yang sihat, kaya, baik tetapi terhimpit oleh masalah ‘dalaman’ apabila isterinya tidak sudi melayaninya lagi. Sukarnya untuk memahamkan isteri akan cabaran-cabaran lelaki yang ingin menjadi muslim sejati dalam dunia yang penuh godaan dan cabaran ini. Isteri tidak pula sudi membantu untuk mengurangkan beban cabaran itu. Bersoleklah, berhiaslah dan jagalah penampilan diri… Berzina? Tidak terlintas sama sekali. Hendak berpoligami? Jangan harap. Alamat perang saudaralah nanti!  

Sekali-sekala saya terjumpa lelaki berpoligami yang begitu bijak dan sabar mengendalikan bahtera rumah tangga. Anak-anaknya ramai tetapi terdidik dengan baik. Isteri-isteri terurus dan terkendali dengan stabil. Perjalanan ‘rumah-rumah’ tangganya yang agak sempurna dan lancar, lebih baik daripada perkahwinan monogami oleh sesetengah lelaki yang lain. Jika demikian, dia layak memimpin beberapa orang wanita, detik hati saya.

Sering saya temui, lelaki yang hidupnya tunggang langgang. Anaknya hanya seorang, isterinya hanya satu… tetapi kendali hidupnya sungguh celaru. Hidup tanpa tanggung jawab. Dia masih tebal dengan budaya hedonisme dan berpeleseran dengan mengekalkan momentum zaman bujangnya. Hati saya tertanya-tanya, mengapa agaknya dia berkahwin? Apa tujuannya? Dia menyiksa dirinya dan orang di bawah tanggungannya. Usahkan berpoligami, bermonogami pun dia tidak layak!

Lalu hati saya berkata… semuanya bergantung kepada iman. Tidak kira poligami atau monogami, lelaki yang beriman dapat mengendalikannya dengan baik. Ada yang berbahagia dengan seorang isteri… ya itulah yang normal. Namun, sekali-sekala terjadi juga yang ‘kadang-kadang’, ‘jarang-jarang’, berbahagia pula dengan dua, tiga atau empat isteri. Allah Maha Mengetahui, di sebalik segala takdirnya, ada bahagia… sekiranya ada iman yang kukuh dan teguh di dada.    

Justeru, apabila ada kalangan pengunjung blog meminta saya menulis tentang poligami, saya persembahkan tulisan di bawah dengan rendah hati… Ya, Allah. Bantulah kami memahami tentang hukum poligami ini. Ya, saya akan menulis lebih panjang lagi tentang subjek ini. Namun buat sementara terimalah tulisan di bawah sebagai muqaddimahnya:  

MENYINGKAP MISTERI BERPOLIGAMI

Poligami, sering dianggap satu subjek yang ‘taboo’. Membincangkannya akan menyebabkan berlakunya pergeseran pendapat yang agak ‘sengit’ dikalangan umat Islam sendiri. Malah sering juga musuh Islam mengambil kesempatan mengecam Islam dan Nabi Muhammad kerana poligami.

Namun, realitinya poligami dalam Islam adalah satu praktik yang telah lama berlaku yakni sejak zaman Rasululullah s.a.w sehinggalah kini. Rasulullah s.a.w, Sayidina Abu Bakar, Sayidina Umar dan lain-lain para sahabat telah mengamalkannya. Ini menunjukan poligami memang boleh diamalkan.

Tindakan Nabi Muhammad saw melarang Sayidina Ali berpoligami tidak bermakna baginda melarang poligami.  Memang benar Rasulullah s.a.w melarang Sayidina Ali menduakan puterinya. Baginda amat marah mendengar ura-ura Sayidina Ali hendak berpoligami lalu masuk ke masjid dan menaiki mimbar sambil berseru: “Beberapa keluarga Bani Hasyim bin al Mughirah (kerabat Abu Jahal) meminta izin kepadaku untuk mengahwinkan puteri mereka (anak Abu Jahal) dengan Ali bin Abi Talib. Ketahuilah aku tidak akan mengizinkan, sekali lagi aku tidak akan mengizinkan. Sungguh tidak aku izinkan kecuali Ali bin Abi Talib menceraikan puteriku terleboih dahulu. Fatimah adalah sebahagian dari diriku, apa yang mengganggu dirinya mengganggu diriku, dan apa yang menyakiti hatinya menyakiti hatiku.”

Namun hadis ini  difahami dan diperjelaskan secara berbeza oleh para ulama. Berdasarkan Imam Nawawi, fokus utama hadis ini bukanlah berkaitan poligami secara umum tetapi ia berkaitan dengan hasrat Sayidina Ali memadukan isterinya Siti Fatimah binti Muhammad saw dengan puteri Abu Jahal.   Ini diperjelaskan lagi oleh sabdanya sebagai kesinambungan daripada hadis yang pertama: ”Dan sesungguhnya aku tidak mengharamkan yang halal dan tidak  pula menghalalkan yang haram, akan tetapi, demi Allah jangan sekali-kali bersatu puteri utusan Allah dengan puteri musuh Allah.” Read the rest of this entry »

 
31 Comments

Posted by di 10 Januari 2012 in Kemudi Hati

 

Label: , , , ,

KATA-KATA SELEMBUT RASA CINTA

Apabila Allah inginkan kebaikan kepada sebuah rumah tangga, maka dberikannya kelembutan dalam interaksi dan komunikasi sesama anggotanya.

Itulah petanda yang sangat ketara dan dapat dirasai bukan sahaja oleh mereka tetapi bagi orang lain yang melihatnya.

Cinta dan kasih sayang umpama mentari, cahayanya boleh dilihat oleh sesiapa sahaja yang punya mata. Bersyukur jika kelembutan itu ada dalam rumah tangga kita, kerana itu petanda kebaikan berada bersama kita. “Orang yang dijauhkan dari sifat lemah lembut, maka ia dijauhkan dari kebaikan.” (HR.Muslim)

Malangnya, kini semakin sering terdengar betapa kelembutan itu semakin hilang. Tutur kata yang kasar, bahasa yang kesat dan suara yang tinggi sudah semakin lumrah di antara suami isteri.

Mengapa suami ku suka membentak? Mengapa sejak akhir-akhir ini isteri ku sudah mula menjerit-jerit? Suaranya menjadi tinggi, bahasanya menjadi kesat sekali, mengapa? Itulah antara keluhan yang samada diluahkan atau dipendamkan dalam sebuah rumah tangga.

Ah, betapa manusia semakin lupa bahawa sifat lemah-lembut itu bukan sahaja diperlukan di dunia, bahkan diperlukan di akhirat. Syurga itu disedikan untuk mereka yang lemah lembut dalam sikap dan tutur kata. Rasulullah saw telah bersabda: “Mahukah aku kabarkan kepada kalian tentang orang yang diharamkan dari neraka atau neraka diharamkan atasnya? Yaitu atas setiap orang yang dekat (dengan manusia), lemah lembut, lagi memudahkan.” (HR. Tirmidzi)

Mengapa frekuensi suara pasangan suami isteri boleh meninggi? Mana bisikan cinta dan luahan rasa yang mendayu-dayu seperti mula-mula dahulu?  Mengapa suara dinyaringkan padahal jarak fizikal antara mereka begitu hampir? Ya, mengapa perlu menjerit dan membentak pada hal mereka cuma duduk bersebelahan? Apakah telinga sudah tuli atau lidah kehilangan tenaga untuk berkata-kata? Read the rest of this entry »

 
12 Comments

Posted by di 20 Disember 2011 in Kemudi Hati

 

Label: , , , ,

DI MANA ALLAH?

Mengapa manusia melakukan kejahatan? Para ulama memberi tiga sebab yang utama – pertama, tidak yakin kepada Allah. Kedua, tidak yakin akan adanya Hari Akhirat dan ketiga, kerana terlalu cinta kepada diri lalu mengambaikan orang lain. Solanya, mengapa orang Islam pun masih melakukan kejahatan?

Ya, kerana kita hanya percaya kepada ketiga-tiga perkara di atas tetapi tidak yakin. Kalau ditanyakan apa bezanya antara percaya dan yakin? Terlalu jauh bezanya. Percaya itu di akal, dimiliki oleh pemikiran dengan belajar. Manakala yakin itu di hati, dimiliki dengan tarbiah dan mujahadah.

 

Sebab pertama dan kedua dinamakan Iman – yakin kepada Allah dan Hari Akhirat. Kedua sebab itu menumbuhkan sebab yang ketiga yakni ukhwah atau persaudaraan (kasih sayang). Dengan iman kepada Allah, terbentuklah kasih sayang sesama manusia. Jika ditanya, siapakah manusia yang paling kasih kepada manusia lain? Jawabnya, mudah. Siapa yang paling kasih kepada Allah maka dialah yang paling kasih kepada manusia.

 

Mengapa begitu? Kerana jika kita ingin mengasihi Allah, Allah letakkan syarat agar kita mengasihi hambaNya. Allah minta manusia yang hendak mengasihiNya menjadi saluran untuk Dia mengasihi hamba-hambaNya yang lain. Kita mesti menjadi saluran Allah untuk menyalurkan ilmu, rezeki, kasih, sayang, keadilanNya kepada manusia.

 

Jadi, jika kenyataan ini dipandang dari sisi yang lain, kita boleh tegaskan begini: Hanya orang yang hatinya benar-benat yakin kepada Allah sahaja boleh menabur kebaikan dengan seikhlas-ikhlasnya kepada manusia lain. Jika ada manusia yang ingin menaburkan jasa dan kebaikan kepada manusia, tetapi tidak nampak sedikitpun keseriusannya untuk mendekati Allah, maka hubaya-hubaya (berjati-hati), besar kemungkinan dia hanya berpura-pura. Boleh jadi dia memberi untuk mendapat pulangan yang lebih besar lagi!

 

Betapa ramai manusia yang mendabik dada ingin membuat kebaikan kepada manusia lain tetapi mengabaikan hubungannya dengan Allah. Mungkin sama ramainya dengan manusia yang mendakwa hubungannya sangat akrab dengan Allah tetapi meminggirkan hubungan sesama manusia. Inilah yang telah  menimbulkan golongan manusia yang gila kuasa, cinta kedudukan, dan obsesi ekonomi… kononnya untuk meneruskan legasi jasa kepada orang lain.       

 

Jangan kita lupa ‘yakin kepada Allah’ adalah kunci kepada segala kebaikan dan kejujuran. Dan jangan kita lupa pula ‘cinta kepada dunia’ itu kepala kepada segala kejahatan. Jika Allah dipinggirkan dalam diri, keluarga, masyarakat, pertubuhan, negeri atau sesebuah negara, maka jangan sekali-kali kita percaya dakwaan diri itu, keluarga itu, keluarga, pertubuhan, negeri atau negara itu untuk berjasa kepada manusia!

 

Seruan untuk mendekatkan diri kepada Allah, mengamalkan syariat dan akhlak Islamiah mesti mendominasi seruan-seruan yang lain. Dasar dakwah Islamiah adalah mengajak orang ramai merdeka daripada penghambaan sesama manusia untuk bebas menghambakan diri kepada Allah. Menyedarkan manusia agar memburu kelapangan Hari Akhirat dengan meninggalkan kesempitan dunia – maksudnya, menggunakan nikmat dunia untuk menadapatkan kenikmatan syurga! Dan akhirnya, meninggalkan kezaliman sistem hidup buatan manusia untuk mendapat naungan keadilan sistem hidup Islam.

 

Di mana Allah dalam hati, keluarga, masyarakat dan pertubuhan kita? Itulah satu muhasabah untuk difikirkan jika kita benar-benar jujur untuk menabur bakti kepada manusia. Inilah jalan para rasul, nabi, sahabat-sahabat dan umumnya para salafussoleh yang telah banyak menabur bakti kepada manusia lain. Merekalah individu yang rapat dengan ummah untuk mengetahui apa masalah mereka dan akrab dengan Allah untuk membantu manusia menyelesaikan masalah-masalah itu! Read the rest of this entry »

 
32 Comments

Posted by di 2 Disember 2011 in Kemudi Hati

 

Label: , , , ,

HATI TETAP SAMA

Kadangkala kita mengidamkan sesuatu berlaku, tetapi yang lain pula yang terjadi. Sebaliknya, ada yang kita tidak inginkan sama sekali, tetapi itu pula yang berlaku.

Apabila berlaku demikian hati kita pasti terusik. Sesal, kesal, marah dan kekadang sangat kecewa.  Jadi bagaimana kita harus menghadapi situasi sedemikian dengan sebaik-baiknya?

Pertama, kita perlu faham bahawa hidup ini ada peraturannya. Salah satu peraturannya ialah apa yang kita hendak tidak semuanya akan dapat dicapai. Inilah ‘rules of life” – sunahtullah. Siapa yang tidak mahu menerima hakikat ini … maka tidak layaklah dia hidup. Misalnya, kalau kita main bola, kena gunakan kaki. Tidak boleh gunakan tangan. Siapa yang hendak gunakan tangan juga, maka dia tidak layak bermain bola.

Begitulah juga dengan hidup ini. Hidup ini satu ujian. Tidak semua yang kita idamkan dapat dikecapi. Yang kaya, kadangkala tidak sihat. Yang ternama, dimusuhi orang. Yang sihat, terputus pula kasih-sayang. Inilah buktinya kita masih dan terus kekal sebagai hamba Allah. Hamba dicorakkan oleh Tuhan-nya. Justeru, kita tidak boleh memberontak, kenapa jadi begini? Kenapa gagal? Read the rest of this entry »

 
36 Comments

Posted by di 2 November 2011 in Kemudi Hati

 

Label: , , ,

WARNA SEBENAR KITA DI JALAN RAYA

Saya amat menghargai para pembaca yang memberi respons terhadap entri-entri dalam blog ini.

Sesetengahnya sempat saya respons semula, adakalanya tidak. Saya pohon berbanyak maaf.

Bukan mudah mengurus waktu dengan baik ketika saya sedang berusaha sedaya upaya untuk membena kesihatan tubuh badan.

Masa selepas Subuh yang selalu saya gunakan untuk menulis, terpaksa dikorbankan untuk berjalan-jalan cepat di sekitar taman perumahan. Semoga ada pembaca yang sudi mendoakan saya agar sihat iman dan badan – bagi meneruskan dakwah di bidang penulisan ini.

Dan untuk pembaca semua saya doakan agar diberikan Allah kekuatan untuk terus bermujadah bagi menjadi insan yang soleh dan solehah. Amin. Dalam ruang masa dan tenaga yang terbatas ini terimalah tulisan ini seadanya…

WARNA SEBENAR KITA ADA DI JALAN RAYA 

“Kenapa orang yang begitu baik tiba-tiba boleh menjadi ganas apabila memegang stereng kereta?” Tanya seorang ahli kariah masjid ketika kami sama-sama berehat selepas menunaikan solat Asar.

“Saya rasa bukan tiba-tiba sahaja mereka jadi ganas tetapi mereka memang ganas sebelum memegang stereng kereta lagi,” jawab saya perlahan.

“ Eh, kenapa awak kata begitu?”

“Jalan raya hanya menjadi sebab untuk mereka mengeluarkan warna mereka yang sebenar.”

“Maksud awak ‘true colour’ mereka hanya keluar di jalan raya yakni ketika mereka memandu?”

“Ya. Sifat-sifat diri yang sebenar tidak terkeluar di tempat-tempat lain… mungkin kerana segan, takut, malu dan sebagainya. Di pejabat, mungkin kerana ada bos atau ada orang lain yang disegani. Di rumah kerana ada isteri. Begitu juga di tempat-tempat lain, ramai yang perlu mengawal diri kerana ada kepentingan tertentu di hadapan orang tertentu.”

“Maksud awak?”

“Di tempat-tempat itu mereka terpaksa memendam rasa marah, menahan rasa kecewa atau mengurung rasa dendam yang ada di dalam hati. “ Read the rest of this entry »

 
34 Comments

Posted by di 4 Oktober 2011 in Kemudi Hati

 

Label: , , ,

KEMBALILAH KEPADA FITRAH

Salam Aidil Fitri untuk sahabat dan saudaraku, khususnya para pengunjung blog Gentararasa yang dihormati,

Maafkan saya kerana sudah agak lama juga tidak mengisi entri baru dalam blog ini. Pengisian jadual pada bulan ramadan tahun ini agak berbeza, jadi sekali lagi saya belum berjaya mengatur masa antara ibadah khusus dan umum, habluminallah dan habluminannas, membaca Al Quran dan menulis, berceramah dan bermuhasabah…

Harapan saya cuma satu… semoga kita istiqamah di jalan mujahadah ini. Apapun terjadi, kita terus mendaki. Tidak kira berapa kali kita jatuh, namun kita pasti bangkit kembali. Ramadan yang mulia telah pergi, namun rohnya tetap di sini. Di hati kita. kita akan terus berusaha  untuk mendidik diri. Marilah kita bersama saling kuat menguatkan, doa mendoakan, ingat mengingatkan, dengan sifat kasih dan mengasihi. Walau kita tidak pernah bersua, tetapi kesatuan cita-cita dan rasa… membentuk satu talian yang sukar diberi nama tetapi sangat tinggi makna. Apa lagi kalau bukan kasih mengasihi kerana Allah.

Hari ini hari raya… Hari kembali kepada Fitrah. Hari keluar daripada fitnah (ujian dunia dan manusia) untuk terus terikat dengan syariat. Itulah kemerdekaan yang hakiki. Fikiran dapat menjangkau Pencipta di sebalik penciptaan, nafsu bebas dari belenggu kehendak taraf bawah untuk melonjak ke taraf tinggi dan akhirnya hati bebas daripada sebarang cinta… kecuali cinta Allah dan cinta sesuatu kerana-Nya jua!

Marilah kitan klembali kepada fitrah… dengan mengatur  kehidupan dunia sebagai musafir yang sentiasa merasakan akan kembali kepada Allah. Mulakanlah langkah untuk membuat perubahan dengan berbekalkan dua keyakinan – keyakinan kepada Allah dan keyakinan kepada diri sendiri. Dua keyakinan ini sangat berkaitan antara satu sama lain. Setiap kita mempunyai potensi untuk menjadi orang yang bertakwa.

Potensi dalaman itu sebenarnya ada pada setiap umat Islam. Percayalah kita lebih kuat daripada apa yang kita sangkakan. Jika kekuatan ini benar-benar ‘dioptimumkan’, kita tidak akan terkesan oleh gangguan luaran. Maka hidup ini akan lebih selesa, ceria dan mesra kerana segala-galanya bermula dan terbina dari dalam diri. Kita tidak akan terlalu bergantung kepada keadaan, peraturan dan segala yang bersifat luaran.

Kata hukama, “Jika kita dapat menguasai diri kita, kita akan dapat menguasai dunia.” Ertinya, dengan menguasai diri kita sendiri, pengaruh kita untuk menguasai orang lain, mengubah keadaan dan mencorak suasana luaran itu akan meningkat. Itulah sebenarnya sifat orang bertakwa. Yang hati mereka hanya terikat dengan Allah. Ketika Rasululullah menerangkan tentang takwa, baginda telah bersabda sebagaimana yang dilaporkan oleh Abu Hurairah:

التَّقْوَى هَا هُنَاMaksud: Takwa itu di sini (sambil menunjukkan dadanya). (Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut, jil. 4, hlm. 1986, no. hadith: 2564)

Takut dan cinta mereka yang bertakwa hanya kepada Allah. Keyakinan diri mereka sangat tinggi hasil mengingati Allah, detik kematian dan hari Akhirat. Apa yang mereka takutkan jika mereka merasai Allah sentiasa bersama mereka? When Allah is your friend, who is your enemy? Mereka akan terasa ringannya ujian di dunia apabila mengenangkan azabnya mati. Dan mereka akan yakin menghadapi kesusahan hidup di dunia kerana menyedari itulah bekalan untuk hidup di akhirat nanti. Read the rest of this entry »

 
28 Comments

Posted by di 29 Ogos 2011 in Kemudi Hati

 

Label: , , ,

LAPANGKAN HATIMU DENGAN TAUBAT

LAPANGKAN HATIMU DENGAN TAUBAT

Satu cara untuk mengetahui sejauh mana kita benar-benar beriman ialah dengan mengukur sejauh mana kesan dosa terhadap hati kita? Apakah hati kita akan terasa kesal dan menyesal dengan dosa? Atau kita merasa biasa-biasa sahaja apabila berdosa? Jika terasa menyesal, itu petanda iman masih ada di dalam dada. Sebaliknya, jika dosa tidak memberi kesan apa, malah kita tetap gembira… itu satu petanda buruk. Iman kita amat lemah, Hati kita sedang sakit. Boleh jadi sudah menanti masa sahaja untuk melayang.

 Apa tanda menyesal? Menyesal bukan menyesal jika kita hanya berasa sedih tanpa berbuat apa-apa. Tetapi menyesal yang sebenarnya apabila kita mula bertindak selaras dengan apa yang kita kesalkan. Kita menyesal dengan dosa? Langkahnya, terus kita tempuhi jalan-jalan taubat dengan memberhentikannya, niat tidak akan mengulanginya lagi dan berbuat baik sebagai ‘galang-ganti’ kepada kejahatan yang kita lakukan itu.

Mari kita bertanya pada hati masing-masing? Bagaimana kita dengan dosa? Bagaimana kita dengan taubat?  Amat malang di Ramadan 1432 H ini jika kita terlepas lagi peluang untuk diampunkan dosa seperti di Ramadan 1431 H yang lalu. Sedangkan bulan Ramadan yang sedang kita lalui ini  melimpah ruah dengan keberkatan, keampunan dan janji terlepas daripada api neraka. Read the rest of this entry »

 
50 Comments

Posted by di 7 Ogos 2011 in Kemudi Hati, Uncategorized

 

Label: , ,

PESAN BUAT SAHABAT-SAHABAT PENULIS…

Alhamdulillah, walaupun saya tidak kaya harta tetapi kaya sahabat. Sahabat pun tidak ramai, tetapi syukur, yang setia dan seiya sekata terus ada.

Ya, saya punya ramai sahabat setia, termasuk  di kalangan penulis dan penggiat media.

Sejak dulu kami sering bertemu, berbincang dan ‘berusrah’ walaupun masing-masing mempunyai syarikat atau organisasi yang berlainan.

 Seperti mereka, saya sangat suka menulis dan berkongsi idea dengan sahabat-sahabat di kalangan penulis yang mempunyai fikrah dan cita-cita yang sama – berdakwah dan mendidik diri dan masyarakat. Untuk menyebut nama mereka, terasa malu… kerana ada yang sudah menjadi nama besar dalam penulisan Tanah Air. Tetapi biarlah saya sebutkan beberapa nama…

 Saya masih ingat saudara Ahmad Yani (penulis berprofil dari Karangkraf), sekarang editor majalah I yang sering bertemu pagi, petang, siang dan malam untuk merangka majalah Minda. Alhamdulillah akhirnya Minda dapat diterbitkan dan itulah majalah yang membuka ruang untuk saya menulis kembali setelah beberapa bulan ‘berehat’ di Kamunting. Walaupun kini kami jarang bertemu tetapi dari jauh, kelibat penanya tetap saya ikuti. Saya sering berharap dia akan pergi ‘lebih jauh’ dengan menambah pengalaman dan keaslian dalam tulisannya.

 Begitu juga sahabat rapat saya saudara Zakaria Sungib, ‘orang kuat’ Galeri Ilmu. Dia ialah teman rapat sejak dulu dan hingga kini. Berbincang dengannya, menghidupkan jiwa dan rasa. Dia adalah sahabat yang paling memahami cara dan gaya saya menuangkan pemikiran dan rasa ke dalam tulisan. Saya sangat gembira dan lega sekiranya diberitahu bahawa beliaulah yang akan menyunting buku atau artikel saya. Zakaria, tidak banyak ‘bercakap’ (pendiam) tetapi ayat-ayat yang diraut oleh mata penanya sangat tepat dan tajam.

Dengan Zakaria saya, saya sering meminta dan diminta nasihat. Bila berbual dengannya saya merasa bebas kerana bahang persahabatan yang akrab mampu meleburkan dinding-dinding organisasi yang bernuansa komersil. Kami benar-benar duduk sebagai da’i yang memikirkan hala tuju yang sama walaupun dengan kenderaan yang berbeza. Dan tambah rancak jika sahabat lama saya sejak di IPT, Wan Azmin tumpang sekali. Banyak nostalgia yang masih dalam lipatan kenangan, yang menyebar bau harum sebaik sahaja diadakan pertemuan.

 Saya kagum dengan tenaga muda sewaktu mula-mula saya singgah di Telaga Biru, saudara Rohizir Rais – pemuda yang berani, energetik dan konsisten dengan sikap terus terang dan cinta ilmu. Sewaktu menekuni kerja-kerja ‘membidani’ kelahiran Solusi, saya mendapat bantuan yang begitu besar daripadanya. Apa sahaja yang saya minta dan cadangkan, segera dilaksanakannya. Read the rest of this entry »

 
38 Comments

Posted by di 26 Julai 2011 in Kemudi Hati

 

Label: , , , ,

MAHAR SEBUAH SYURGA

Musuh perkara yang lebih penting ialah perkara yang penting. Kita mesti belajar ‘mengorbankan’ sesuatu yang berharga untuk mendapat sesuatu yang lain, yang lebih berharga. Begitu ditakdirkan oleh Allah. Oleh hukum sunnatullah. Di persimpangan ini kita mohon hidayah, biarlah suluhan hati kita dan pertimbangan akal ini dipandu oleh Allah. Jangan sampai kita tersalah pilih.

Perjalanan malam dan melewati dinihari dari Segamat ke Kuala Lumpur, membulatkan tekad di hati saya untuk serius dan fokus pada penulisan buku. Dan untuk itu, saya perlu ‘mengorbankan’ masa untuk memberi kuliah dan berceramah. Ceramah hanya terhad kepada khalayak yang tertentu , dan buat masa yang tertentu juga. Tetapi buku, punya khalayak yang lebih ramai dan boleh dimanfaatkan untuk masa yang panjang.

Saya kasihan melihat pembantu saya menahan rasa mengantuk membawa saya ke sana ke mari untuk mengisi program ceramah. Walaupun kekadang makannya di sukat (agar tidak mengantuk), minum dari pelbagai jenama minuman bertenaga… namun masakan kita boleh melawan fitrah yang keletihan bila tenaga digunakan secara berlebihan. Puas saya mengurut belakang dan leher, berbual dari topik ke topik, kekadang sama-sama bernasyid atau mendendangkan Asmaul Husna… namun mengantuk menyerang jua.

Jadi, cukuplah… biarlah saya berpada-pada. Saya ingin menumpukan dakwah dan tarbiah melalui tulisan dalam buku-buku, artikel dan blog. Mudah-mudahan dengan ini dakwah akan terus tersebar walaupun tenaga ‘lima puluh’ ini sudah tidak ampuh. Saya berdoa, semoga keputusan untuk ‘mengurangkan’ aktiviti ceramah dan sering keluar kawasan untuk berdialog, berforum dan sebagainya ini direstui Allah. Mudah-mudahan masa yang terluang nanti dapat digunakan untuk lebih bermuhasabah diri, menambahkan ibadah khusus dan menulis… dan menulis.

Untuk sahabat dan saudara/i pengunjung blog Gentarasa… marilah sama-sama kita mengambil peringatan daripada tulisan ini:

MAHAR SEBUAH SYURGA.

Dalam hidup, kita sentiasa berdepan dengan dua perkara. Pertama, perkara yang perlu kita lakukan. Kedua, perkara yang suka kita lakukan. Sudah menjadi “sunnatullah”, kedua-dua perkara itu saling bertentangan antara satu sama lain. Biasanya perkara yang perlu kita lakukan adalah perkara yang tidak suka kita lakukan. Dan perkara yang kita suka lakukan adalah perkara yang tidak perlu kita lakukan.

Untuk berjaya dalam hidup, kita mesti lakukan perkara yang perlu kita buat walaupun kita tidak suka melakukannya. Tidak ada pilihan, paksa diri untuk melakukannya! Lawan godaan dan rangsangan yang menggamit hati kita untuk melakukan perkara yang suka kita lakukan.

Dalam hidup, untuk berjaya dan bahagia kita perlu melakukan perubahan. Kita perlu keluar daripada “zon selesa” menuju “zon mencabar” kerana di zon yang mencabar itulah letaknya kemajuan, perkembangan dan peningkatan dalam kehidupan kita. Zon selesa ialah keadaan yang kita berada sekarang, sementara zon mencabar ialah keadaan yang kita inginkan pada masa depan.

Untuk mencapai apa yang kita inginkan, kita mesti melakukan perubahan. Kita perlu lebih berusaha, menambah ilmu dan berani melakukan langkah-langkah baru dalam kehidupan. Ringkasnya, kita perlu berubah. Tetapi perubahan itu “awkward”– yakni canggung, kekok dan tidak selesa sifatnya.

Oleh sebab itulah ramai yang tidak mahu berubah. Mereka ingin terus selesa di zon selesa walaupun terpaksa menerima nasib atau menanggung keadaan yang sama. Kesannya? Mereka terus gagal, hina, miskin, lemah atau jahil kerana enggan berubah.

Berlakulah apa yang sering diungkapkan:

“Orang yang berjaya ialah orang yang memaksa dirinya berubah manakala orang yang gagal berubah hanya apabila terpaksa!”

Hidup ini adalah perubahan. Kata bijak pandai, yang tidak berubah hanyalah perubahan.  Manusia tidak akan mampu menahan perubahan. Ia mesti berubah, atau dipaksa berubah. Mereka yang berubah dengan rela akan berjaya. Manakala yang berubah dengan terpaksa akan gagal. Read the rest of this entry »

 
37 Comments

Posted by di 4 Julai 2011 in Kemudi Hati

 

Label: , , ,

MAHKAMAH HATI

Assalamualaikum wbt.

Saya boleh memberi pelbagai alasan, tetapi hakikatnya biarlah saya akui kelemahan saya – gagal menguruskan waktu dengan baik terutamanya bila banyak perkara dan tugas di luar jangkaan menerjah dengan mendadak. Akibatnya, komitmen saya terhadap pengunjung blog Genta Rasa terjejas. Agak lama tidak memuatkan enteri baru dan banyak respons pembaca yang tidak dapat saya layani dengan baik. Saya memohon jutaan maaf.

Minggu-minggu kebelakangan ini saya diamanahkan dengan beban kerja yang agak banyak berbanding biasa. Sahabat saya pergi mengerjakan umrah dengan tugasannya terpaksa diagih-agihkan kepada kami sahabat seorganisasi.

Manakala majalah Solusi akan menerbitkan isu berganda menjelang bulan Ramadan dan Aidil Fitri nanti dan tambahan tugas itu perlu dimulakan sekarang. Menghantar anak-anak ke IPT dan meraikan musim cuti sekolah mereka juga satu keperluan mendesak. Ditambah anak-anak saudara yang melangsungkan pernikahan. 

Saya masih belum berjaya menguruskan masa dengan baik. Terutamanya bila bertembung tugasan memberi ceramah dan forum berbanding menulis buku dan artikel. Tetapi saya lalui sahaja hidup ini seadanya. Bila bercuti saya tinggalkan sahaja laptop di rumah tanpa diganggu idea-idea untuk menulis. Tetapi masakan mampu… tangan terus juga menulis dalam buku catatan kecil di mana sahaja saya berada.

Sekali lagi saya memohon maaf. Ya, pada kali ini saya ingin kongsikan satu tulisan kecil dan ‘simple’ sebagai bahan fikir dan ‘zikir’untuk menghadapi krisis besar di kalangan masyarakat Melayu-Islam kini. Isu fitnah, sumpah dan pelbagai lagi yang begitu menjijikkan. Mereka yang mencetuskan, menyemarakkannya dan menyalakannya pasti suatu hari akan melihat kesan perbuatan mereka . Allah Maha Melihat. Yang menuduh dan dituduh pasti dibicarakan di Mahkamah Allah Rabbul Jalil.

Saya tidak ingin masuk campur. Untuk membaca berita, fakta dan kisahnya pun kekadang sangat memualkan. Cuma, apabila para ulama dan orang-orang yang tersohor kewibawananya bercakap… kita wajib mendengar. Ada ilmu, hikmah dan panduan di sebalik semua itu.

Kita masih dan terus berpegang, salah kerana tidak menghukum adalah lebih baik daripada tersalah hukum. Dan kita sentiasa kekurangan fakta di tengah rimba muslihat politik yang begitu mengelirukan. Untuk menyiasat di tengah silat kata dan sandiwara fakta ini kita tidak mampu. Fitnah akhir zaman ini sungguh dahsyat. Kita mesti mesjauh daripada perkara yang kita tidak tahu dan tidak berkaitan dengan kita secara langsung.

Saya hanya orang awam. Penulis kecil yang menginginkan kedamaian jiwa untuk ummah. Dengan keterbatasan itu, bukan alasan untuk berdiam diri. Pesan saya kepada diri dan kepada semua yang terlibat, melihat dan mendengar… selalu-selalulah bersidang di

MAHKAMAH HATI!

Bukankah kita sering diperingatkan,  berani kerana benar, takut kerana salah? Benar itu menjadi sumber keberanian. Salah itu punca ketakutan. Jangan dibiarkan hidup dalam ketakutan, akibat terus menerus melakukan kesalahan. Bersalah menimbulkan rasa bersalah. Rasa bersalah itu sangat menyeksa selagi tidak ditebus dengan maaf dan taubat. Bersalah dengan manusia pun sudah cukup meresahkan, apatah lagi bersalah kepada Allah.

Mahkamah pengadilan itu ada tiga. Pertama, mahkamah di dunia, yang mana saksi, pendakwa dan hakimnya adalah manusia seperti kita juga. Kekadang, dengan kebijaksanaan dan kelicikan, mahkamah dunia ini dapat diperdayakan. Telah sering kali yang bersalah terlepas, sebaliknya yang benar pula terhukum. Justeru, masyhurlah kata hukama, tidak ada keadilan yang muktamad dan mutlak di dunia ini. Jerung sering bolos, bilis sahaja sering di gilis.     Read the rest of this entry »

 
31 Comments

Posted by di 6 Jun 2011 in Kemudi Hati

 

Label: , , ,

PEMERHATI SUNYI…

Dalam melaksanakan tanggung jawab sebagai isteri atau suami pasti ada kesepian dan kelelahan. Tugas rutin yang dijalankan hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan sehinggalah bertahun-tahun adakalanya menimbulkan kejemuan dan kesepian. Putaran kehidupan, pasti meletihkan. Ditambah pula kadangkala oleh sikap pasangan yang tidak memahami jiwa dan perasaan. Ketika itu segalanya hambar dan tawar.

Jika itu yang sedang terjadi pada diri kita kini, jangan dibiarkan berlarutan. Bertindaklah untuk mengubah keadaan bermula dengan mengubah jiwa, pemikiran dan perasaan sendiri. Kita tidak mampu mengubah apa yang di luar diri tetapi kita boleh mengubah diri. Pertama, perlu kuatkan jiwa. Bagaimana? Apalagi kalau bukan dengan solat dan zikir. Siti Fatimah yang mengadu keletihan dalam menguruskan rumahtangga, mendapat kekuatan dengan berzikir subhanallah, alhamdulillah dan Allah hu Akbar yang diberikan oleh ayahandanya Rasulullah saw.

Pemikiran Siti Fatimah dilapangkan dengan didikan untuk mencintai akhirat melebihi dunia. Lalu dengan ’tauhidic mindset’ itulah terasa olehnya betapa kecilnya penderitaan dunia berbanding penderitaan akhirat. Justeru, dia rela menerima kesusahan dunia yang sedikit dan sementara demi mengenangkan nikmat akhirat yang lebih baik dan selama-lamanya. Emosinya jadi tenteram ketika kesepian, oleh rasa hatinya yang sentiasa merasai ada Allah yang sentiasa memerhatikannya. Begitulah perasaan orang yang hampir dengan Allah. Imam Ghazali pernah menulikan, “ketika kau kesepian jangan kau katakan aku sunyi… tetapi katakan pada diri, di sisiku sentiasa ada Pemerhati!”   Read the rest of this entry »

 
47 Comments

Posted by di 3 Mei 2011 in Kemudi Hati

 

Label: , , ,

APA YANG ANDA KATAKAN TERHADAP DIRI SENDIRI JAUH LEBIH PENTING DARIPADA APA YANG ORANG LAIN KATAKAN TERHADAP ANDA. OLEH ITU, KATAKAN SESUATU YANG POSITIF KEPADA DIRI SELALU, ITU PETANDA ANDA TELAH BERSANGKA BAIK TERHADAP DIRI SENDIRI…

INGATLAH, BERSANGKA BAIK TERHADAP DIRI SENDIRI ADALAH MODAL UNTUK BERSANGKA BAIK KEPADA ORANG LAIN!

 

Syarat utama bagi kejayaan dalam sesuatu komunikasi (perhubungan) ialah kepercayaan. Yang dimaksudkan dengan kepercayaan dalam perhubungan ialah rasa percaya seseorang terhadap orang yang dihubungi – jika perhubungan itu keluar. Atau kepercayaan seseorang terhadap dirinya sendiri – jika perhubungan itu ke dalam diri sendiri.

 

Sekiranya kepercayaan seseorang itu tinggi terhadap dirinya sendiri, maka ia akan berjaya dalam komunikasi dengan dirinya sendiri.  Sebaliknya, jika kepercayaan seseorang sudah terjejas, apalagi jika sudah pupus, maka sukarlah komunikasi berlaku samada secara dalaman atau luaran.

 

Komunikasi dalaman, sangat berkait dengan kepercayaan terhadap diri sendiri. Sedangkan komunikasi luaran berkait dengan kepercayaan terhadap orang lain. Kita akan gagal berkomunikasi dengan diri sendiri jika kepercayaan terhadap diri sendiri menjadi lemah. Dan begitu juga, kita akan gagal berkomunikasi dengan orang lain jika kita tidak ada sifat saling percaya-mempercayai. Read the rest of this entry »

 
40 Comments

Posted by di 15 Mac 2011 in Kemudi Hati

 

Label: , ,

BERCERITA TENTANG JODOH…

Jodoh seperti rezeki, ia telah ditentukan. Namun, kita tidak tahu apa yang telah ditentukan oleh Allah. Dengan berpegang pada hakikat itu kita diperintahkan-Nya agar berusaha.

Carilah jodoh yang baik, carilah rezeki yang baik dengan jalan yang baik juga. Siapa jodoh kita? Berapa banyak rezeki kita? Dan bila? Itu bukan kerja kita. Itu ketentuan Allah. Milik kita hanya usaha.

Jadi, berusahalah dengan baik, Allah pasti tidak akan mengecewakan kita. Wajib menerima takdir tidak menolak kewajiban untuk mentadbir.

“Dulu saya tidak pernah melihat wajah bakal isteri saya,” kata seorang abang yang sangat saya hormati.

“Pelik tu bang. Bagaimana jodoh abang diaturkan?”

“Ikut pilihan guru agama yang mengajar saya,” jawabnya pendek.

“Mengapa tidak mahu melihat wajahnya? Kan itu dibenarkan oleh syariat? Barangkali sebab waktu itu tidak ada ruangan sosial seperti Facebook dan Twitter?” gurau saya. Read the rest of this entry »

 
252 Comments

Posted by di 9 Februari 2011 in Kemudi Hati

 

Label: , , , , , ,

DIDIKAN INI DEMI CINTA…

DIDIKAN INI DEMI CINTA…

Kalau ditanyakan kepada orang tua, bilakah masanya dalam takah kehidupan ini mereka rasakan terlalu banyak melakukan kesalahan dan kesilapan? Nescaya mereka menjawab, “semasa kami masih muda.” Ya, bila seorang tua menoleh ke belakang, terasa begitu banyak perkara yang sepatutnya dibuat semasa muda, tidak dibuat. Sebaliknya banyak pula perkara yang tidak sepatut dibuat, telah dibuat.

Sayangnya, kebanyakan orang muda tidak menyedari hakikat ini sehinggalah mereka  sendiri meningkat tua. Lalu atas kealpaan itu mereka akan mengulangi kesalahan yang pernah dilakukan oleh bapa, datuk dan moyang mereka pada zaman mudanya. Pendek kata, ramai manusia lambat belajar di ‘universiti kehidupan’ ini. ‘Kurikulum’ pelajaran yang sepatutnya telah difahami di peringkat muda baru difahaminya hanya apabila kita meningkat tua.

Alam adalah sebuah ‘universiti’ yang luas dan besar. Setiap manusia adalah para pelajarnya. Dan manusia terpaksa belajar berterusan. Hidup adalah satu siri pelajaran yang tersusun rapi untuk difahami dan dihayati sepanjang hayat. Mungkin ini juga termasuk dalam maksud “tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.”

Jika difahami, pelajaran-pelajaran ini akan memberi panduan dan suluh kehidupan untuk hidup yang lebih tenang dan bahagia. Tetapi sekiranya pelajaran ini gagal difahami, maka hidup akan huru-hara dan kita akan selalu menghadapi keadaan yang tidak menentu.

Kurikulum pelajaran ini pula tersusun mengikut tahap usia dan tempoh kedewasaan seseorang. Justeru, di peringkat muda ada ‘pelajaran-pelajaran’ tertentu yang perlu difahami benar-benar sebelum menghadapi usia dewasa yang jauh lebih mencabar. Apakah ‘pelajaran-pelajaran’ itu dan apakah cara sebaik-baiknya mempelajarinya?

Itulah salah satu persoalan penting yang mesti dijawab oleh setiap kita. Jangan sampai pelajaran yang sepatutnya ‘selesai’ pada usia muda terpaksa dibawa ke peringkat tua. Kalau begitu keadaannya maka rugilah. Samalah seperti pelajar universiti yang terpaksa ‘refer’  atau ‘repeat’ akibat gagal dalam peperiksaan semester atau tahunan mereka.

Para remaja adalah kelompok manusia yang sedang melalui satu proses transisi. Mereka telah meninggalkan alam kanak-kanak tetapi belum mencapai alam dewasa. Tahap transisi ini tidak stabil. Umpama air (cecair) yang hendak bertukar menjadi wap (gas), maka molekul-molekulnya terlebih dahulu bergerak dengan cepat dan tidak menentu.

Keadaan itu samalah dengan remaja, pada tahap itu jiwa, akal, nafsu, emosi dan lain-lain elemen-elemen dalaman mereka sedang bergolak. Takah usia ini paling tidak stabil – tercari-cari identiti diri, krisis pemikiran, ingin mencuba, perubahan biologi dan macam-macam lagi.

Dan di tahap ini juga para remaja akan menemui pelbagai situasi dan kondisi – suka dan duka, kejayaan dan kegagalan, permusuhan dan kasih-sayang, sempadan dan teladan. Muncul pelbagai individu dalam hidup mereka dengan pelbagai kelakuan dan sikap. Terjadi bermacam-macam peristiwa dengan membawa pelbagai kesan.

Sesungguhnya semua itu tidak berlaku sia-sia melainkan ada ‘pelajaran’ yang dibawanya untuk difahami dan dihayati. Para remaja (malah orang tua sekalipun) mesti dapat membaca ‘mesej’ yang dibawa oleh setiap peristiwa, individu dan keadaan yang berlaku ke atas kita. Jika tidak, kita terpaksa mengulangi pelajaran itu berkali-kali. Read the rest of this entry »

 
59 Comments

Posted by di 24 Januari 2011 in Kemudi Hati, Uncategorized

 

Label: , , , , ,

JANGAN PINTA KEMATIAN AYAH MU!

Konflik antara ibu-bapa dan anak pasti terjadi. Walau bagaimana sabar dan bijaksananya kita mentadbir keluarga, satu ketika masalah ini akan muncul jua. Apatah lagi kita yang masih bermujahadah ini… tetap akan diuji Allah dengan karenah anak-anak.

Anak-anak pelbagai wataknya. Ada yang mudah mendengar, mudah dibentuk. Ada yang lemah, mudah terpengaruh… perlu diperkukuhkan selalu. Ada yang bijak, boleh diharap menjadi pengganti sewaktu diperlukan.

Dalam hal memilih jodoh misalnya, kekadang lebih sukar daripada memilih jodoh anak-anak berbanding memilih jodoh kita sendiri. Begitu juga dalam soal yang lain. Pandangan anak-anak perlu diraikan. Apa yang kita nampak, kekadang ditolaknya… bukan kerana dia derhaka, cuma belum sampai fikir dan congak mindanya ke tempat tuju fikiran kita. Masa perlu dihulurkan, perbincangan perlu diraikan. Jalan kita dahulu mungkin tidak relevan lagi dengan jalannya sekarang.

Apapun, prinsip dan syariat tetap sama. Mutlak sampai bila-bila. Pendekatan menegakannya sahaja yang mungkin berubah dan beza. Kebelakangan ini kerap pula saya menerima rintihan anak tentang saikap ibu-bapa. saya sungguh empati. Betapa kekadang saya juga pekak dan buta daripada rintihan anak sendiri. Kita perlukan hiadayah Allah untuk ketepatan dalam memimpin dan membuat keputusan. Sayang, cinta dan kasih tidak menafikan kebijaksanaan, ketegasan dan keadilan.

Untuk sahabatku di luar sana. Mari berkongsi rasa bersama masalah yang pernah dihadapkan kepada saya  ini. Mudah-mudahan, ada kebaikan yang dapat dipelajari dan diteladani oleh kita semua… Kita  sebagai ibu-bapa, mahupun kita sebagai anak.

Soalan:

Saya seorang pelajar di IPTA. Saya dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Apa yang merisaukan saya ialah semenjak akhir-akhir ini, sifat ayah  sungguh berlainan. Rupa-rupanya dia mempunyai perempuan lain dalam hidupnya. Apa yang saya tahu, dia telah ‘diguna-gunakan’ oleh perempuan itu.

Hubungan ayah dengan kami adik beradik semakin renggang. Ayah sering pulang lewat, malah kadang kala tidak pulang langsung. Pelajaran kami adik beradik juga tidak dipedulikan. Sejak itu saya mula membenci ayah. Perasaan benci ini adakalanya menyebabkan saya mendoakan agar bapa saya mati sahaja. Saya tahu perbuatan saya ini salah, tetapi apakah yang harus saya buat dalam situasi ini?

Jawapan:

Dalam Islam, kita dituntut supaya menghormati ibu dan ayah kita, tidak kira dalam dalam apa jua keadaan sekalipun. Bukan setakat tidak boleh menderhaka, malah jika kita tidak mendoakan kesejahteraan keduanya pun, kita sudah boleh  dianggap anak yang derhaka. Itu kalau kita tidak doakan kesejahteraan mereka, jadi bagaimana pula kalau kita doakan kecelakaan ke atas mereka?

Bermakna itu lebih derhaka. Dan jika anda doakan agar ayah anda mati, maka tidakkah itu bermakna bahawa anda lebih jahat daripadanya? Saya akui masalah ini agak sulit ditangani oleh anda atas kedudukan anda sebagai seorang anak yang dikira masih terlalu muda untuk mengetahui punca sebenar masalah… Namun ini tidak bermakna anda tidak boleh memainkan peranan yang penting untuk setidak-tidaknya tidak menambah masalah lagi. Dan saya tegaskan, bahawa mendoakan supaya seseorang mati, (lebih-lebih lagi ayah anda sendiri) bukanlah sebahagian daripada cara menyelesaikan masalah ini.

 

Anda sendiri yang mengatakan bahawa ayah anda telah ‘diguna-gunakan’. Jika itu memang benar  patutkan beliau yang dipersalahkan? Ya, kalaulah benar dakwaan anda itu, ini bermakna ayah anda hanya menjadi ‘mangsa’ bukan pemangsa. Apabila menjadi mangsa, maka ibu dan keluarga anda turut menerima akibatnya. Kalau demikian, ayah anda wajar dibantu, bukan dibenci. Malah mungkin keadaannya lebih buruk dan teruk daripada apa yang anda deritai.

Jadi sekarang, persoalannya ialah bagaimana ingin ‘menyelamatkan’ ayah anda, bukan bagaimana hendak ‘mematikan’nya? Dan sebagai seorang anak, anda punya banyak cara untuk membantunya. Dan inilah yang akan membawa kepada penyelesaian kepada masalah ini secara tidak lansung. Pertama, sekurang-kurangnya anda perlulah membantu diri anda sendiri terlebih dahulu. Yakni dengan cuba melawan perasaan kecewa, marah dan benci yang ada dalam diri anda itu. Stabilkan diri anda dan jalanilah hidup dengan sebaik-baiknya. Anda perlu faham bahawa masalah adalah ‘rule of life’ – hukum kehidupan yang perlu diterima oleh semua manusia. Read the rest of this entry »

 
18 Comments

Posted by di 11 Januari 2011 in Kemudi Hati

 

Label: , , , ,

JANGAN SOMBONG DENGAN TAKDIR

Kebelakangan ini saya kerap dihujani panggilan telefon menceritakan pelbagai masalah. Terus terang ada masalah yang diluahkan itu, juga masalah yang saya hadapi sendiri. Saya bukan insan serba baik dan sempurna.

elalu saya katakan, saya seorang daie yang sedang bermujahadah – berusaha membaiki diri dan usaha itu dikongsi untuk membaiki orang lain. Di kesempatan ini, saya hulurkan tulisan yang saya cuba alirkan dari hati. Dengan doa dan harapan agar bergunalah untuk dijadikan panduan (ataupun sempadan) buat pembaca.

Kebelakangan ini saya juga diburu waktu dan tugasan baru… Jadi masa untuk memasukkan entri baru kekadang terjejas juga. Maafkan, saya mungkin kelelahan, tetapi tidak pernah melupakan. Insya-Allah.

Terimalah kata pengukuhan dan pencerahan ini…

JANGAN SOMBONG DENGAN TAKDIR

Jika hendak dikirakan ’beriman’ dengan Allah, iblis laknatullah sepatutnya lebih tinggi imannya kepada Allah. Masakan tidak, dia pernah berdialog dengan Allah (dialog yang telah dirakamkan dalam Al Quran). Dia percaya kepada syurga dan neraka. Bukan sahaja percaya bahkan telah melihatnya. Syaitan yakin tentang adanya Hari Pembalasan..  Hendak diukur dari segi ibadah, ya ibadah iblis begitu hebat. Puluhan ribu tahun sujud, rukuk dan membesarkan Allah hingga terlantik sebagai ketua malaikat. Cuma satu… syaitan kecundang kerana tidak dapat menerima takdir Allah.

Takdir yang menentukan Adam dipilih menjadi Khalifah dan dia diperintahkan sujud lambang hormat kepada Allah dalam mentaati Allah. Syaitan tidak boleh menerima takdir ini.. Mengapa dia yang dijadikan daripada api (sedangkan Adam hanya daripada tanah), mengapa dia yang lebih ’senior’ dalam ibadah dan hiraki kepimpinan tidak terpilih menjadi khalifah, sedangkan Adam hanya ’pendatang’ baru yang diciptakan terkemudian?

Iblis sombong kerana tidak menerima ketentuan takdir. Dan dia terhina kerana itu. Lalu kita siapa yang mampu menidak dan meminggirkan takdir? Allah, itu Maha Besar, qudrat dan iradatnya tidak akan mampu kita nafikan. Jika cuba menafikan, kita akan terhina… seperti terhina iblis. Dilaknat dan dimasukkan ke neraka… kerana gugur sifat kehambaannya!

Dalam episod hidup, takdir datang menguji kita. Mengapa aku mendapat suami yang begini? Mengapa isteriku tidak sebegitu? Kenapa ketua ku orang semacam dia? Kenapa anak ku cacat? Mengapa isteri tersayang ku pergi dulu? Kenapa aku tidak kaya-kaya lagi walaupun telah berusaha. Bila masalah melanda kita merasakan kitalah yang paling menderita. Mengapa aku yang tertimpa nasib begini? Mulut berbicara mengaku Allah itu Tuhan kita tetapi mengapa kehendak-Nya kita tidak rela? Benarnya, masalah, ujian dan cabaran dalam hidup itu sangat berkaitan dengan iman.

Iman iblis hancur berderai bila diuji dengan takdir. Ego terpendamnya selama ini terserlah. Terbakar hangus seluruh ibadah yang dibinanya ribuan tahun. Aduh, bagaimana pula kita yang iman hanya setipis kulit bawang dan ibadah yang hanya sekelumit ini? Pujuklah hati, terima takdir itu dengan rela. Katakan,  ya Allah… sungguh sakit, sungguh perit, tapi apakan daya, aku hambaMu, Kau lebih tahu apa yang terbaik untukku berbanding diriku sendiri. Ya Allah, jangan Kau serahkan aku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata. Tadbirku seluruh dan sepenuh sujud pada takdir MU.

Takdir sentiasa mengatasi tadbir. Takdir daripada Allah, sedangkan tadbir hanya dari kita hamba-Nya. Kekadang takdir dan tadbir selari, maka terjadilah apa yang kita inginkan terjadi. Namun acapkali takdir dan tadbir bersalahan, maka terjadilah apa yang kita tidak inginkan. Kita ingin putih, hitam pula yang menjelama. Kita dambakan kejayaan, kegagalan pula yang menimpa. Ketika itu hati akan bertanya, apa lagi yang tidak kena? Semuanya telah kutadbirkan, tetapi kenapa gagal jua? Ketika itu timbullah bunga-bungan ’pemberontakan’ dari dalam diri hamba yang kerdil berdepan dengan Tuhan yang Perkasa. Samada di sedari atau tanpa disedari… Read the rest of this entry »

 
83 Comments

Posted by di 27 November 2010 in Kemudi Hati

 

Label: , , , , , ,

TAK LURUS DI JALAN YANG LURUS

Ahli Jemaah masjid telah menunggu hampir setengah jam. Penceramah yang dijemput masih belum tiba. Anak-anak di ruang masjid telah mula membuat bising. Suasana yang sedia panas meresahkan lagi orang-orang tua yang terus menunggu dengan setia. Menunggu lama untuk mendengar ceramah agama akan mendapat pahala, begitulah agaknya pujuk hati mereka.

“Ustaz ini memang begitu. Selalu lewat,” bisik seorang ahli kariah di sebelah saya.

“Minggu dulu pun macam ni,” balas orang di sebelahnya.

“Tak mengapa. Ceramahnya semangat. Sedap didengar,” pintas seorang lagi. Saya hanya mendengar, walaupun dalam hati sudah berkira-kira untuk meninggalkan majlis. Ia telah memakan masa yang diperuntukkan. Masih banyak lagi kerja yang perlu diselesaikan menunggu giliran.

Hampir 40 minit kemudian baru penceramah datang, lengkap dengan jubah dan serbannya. Dalam ceramah yang berdegar-degar itu dia memperkatakan tentang pentingnya mengikut sunah Rasulullah. Saya mendengar sambil mencatat. Cuba menenangkan hati walaupun hati masih tertanya-tanya mengapa sunnah Rasulullah s.a.w dalam menepati janjinya dan menjaga masa tidak disentuh sekali.

Terbayang urutan sejarah bagaimana rasulullah s.a.w sentiasa datang awal ke Masjidil Haram sehingga baginda dilantik menjadi hakim untuk meletakkan ‘Hajarul Aswad’ yang gugur dari tempatnya dalam peristiwa banjir yang melanda kota Mekah. Begitu juga dengan insiden bagaimana Rasulullah menunggu hampir 3 kali seorang yang berjanji bertemu dengannya tetapi tidak datang. Rasulullah sangat menepati masa dan alangkah baiknya jika sunah menepati masa ini dilaksanakan oleh ustaz yang memakai serban dan jubah itu. Nampak lebih sempurna dan indah.  Read the rest of this entry »

 
59 Comments

Posted by di 7 November 2010 in Kemudi Hati

 

Label: , , ,

MAZHAB YANG PALING POPULAR

KELUAR DARI MAZHAB KING MIDAS!

Berkrisis tentang mazhab? Entahlah, kerana hati kita yang kotor agaknya, perbezaan yang sewajarnya menjadi rahmat bertukar juga menjadi bencana. Padahal bukan semua perbezaan adalah satu pertentangan, jika kita pandai menguruskan perbezaan, ia akan menjadi satu keindahan dan kesempurnaan. Telah berkali-kali ditegaskan bahawa berbeza pendapat bukan masalah tetapi SIKAP kita dalam berbeza pendapat itu yang sering menimbulkan masalah.

Padahal jika diamat-amati, terlalu banyak hal yang kita telah sependapat. Hanya sedikit yang berbeza. Yang sama itu pun kekadang tidak atau belum lagi dilaksanakan, diamalkan dan diperjuangkan. Contoh, riba, tutup aurat, pergaulan bebas, arak, judi dan lain-lain… sudah sepakat kita yakini haram. Tak kira apa mazhab, tidak kira apa aliran, salafi, suni, wahabi dan segala macam… tidak ada yang mengatakan itu halal. Tetapi bagaimana pelaksanaan kita?

Begitu juga perkara-perkara yang halal dan wajib. Ambil contoh sahaja solat…semua aliran dan mazhab menetapkan itu WAJIB. Tetapi bagaimana pelaksanaannya? Sedih, mengikut kajian (yang dikemukakan oleh Datuk Fadillah Khamsah) sudah 80% umat Islam Melayu Malaysia tidak sembahyang. Sepatutnya, pada perkara-perkara yang telah disepakati HARAM dan HALAL inilah yang kita fokuskan untuk berdakwah, mendidik dan akhirnya mengamalkan atau mencegahnya.

Mengapa ini berlaku? Ya, ini gara-gara penangan satu ‘mazhab’ lagi yang menjadi pegangan kebanyakan manusia Islam tidak kira dia itu dari mazhab Maliki, Safie, Hanbali, Hanafi, Sunni, Wahabi, Salafi dan sebagainya… ya mazhab KING MIDAS. Inilah ‘mazhab’ yang menjadi penyebab kepada penyakit Al Wahan – cinta dunia dan takut mati, yang sangat dibimbangi oleh Rasulullah saw kepada umat Islam akhir zaman.

Justeru, pada hari Jumaat yang mulia mari sama-sama kita renungi satu tulisan yang telah saya paparkan dalam buku Nota Hati Seorang Lelaki. Tulisan yang bertajuk: Keluarlah Dari Mazhab King Midas! Read the rest of this entry »

 
26 Comments

Posted by di 29 Oktober 2010 in Kemudi Hati

 

Label: , , , , ,

DATIN OH DATIN!

Minggu ini ada terasa ingin rehatkan pemikiran pembaca dan saya dengan sesuatu yang santai. Insya-Allah, mingggu depan kita boleh berkongsi satu kertas kerja yang telah saya bentangkan pada hujung minggu lalu – DAKWAH KONTEMPORARI DAN CABARANNYA di USIM.

Cerpen Datin Oh Datin ini juga saya tulis lebih 20 tahun yang lalu. Latar dan settingnya, dah lama. Sudah tidak sesuai lagi pada masakini. Dan ketika menulis pun usia saya  masih dalam lingkungkan 20 ‘an. Masih terlalu mentah dan emosi. Tetapi saya ketengahkan juga… mudah-mudahan boleh dijadikan aspirasi dan insprasi baru untuk generasi muda. Pesan saya cuma satu: TUAKAN FIKIRAN ANDA!

DATIN OH DATIN!

Bangun pagi hari itu,Datin Mazidah riang sahaja.Mak Mah dapat melihat jelas kegembiraan itu dari wajah Datin yang berumur awal lima puluhan. Riak-riak gembira membuak-buak, terpancar melalui senyuman yang sentiansa menguntum di bibir bersalut gincu itu. Datin masih dibuai-buai bangga kerana kemampuan dan sanjungan yang diterimanya di Seminar Wanita Kebangsaan dua hari yang lalu. Nama dan isi ucapannya masih diulas di akhbar-akhbar tempatan pagi itu. Dengan teks ucapan yang disiapkan berhari-hari di pejabat eksekutifnya, Datin berjaya memukau para peserta dengan hujah dan pandangan yang serba advance.

Datinlah Women Of The Day pada hari itu. Dari mulut merah menyalanya bersembur butir-butir kata yang mebayangkan dialah yang paling alim dengan segala firman dan hadis, segala falsafah dan pendapat. Perasaan bangga, hebat dan seronok terus membunga dalam diri Datin Mazidah, tokoh dinamik terkenal, contoh wanita yang progresif dan dinamik.
“Mak Mah, tolong tengok-tengokkan makan Suzie.Jangan biarkan dia keluar rumah,”arah Datin kepada orang gajinya.
“Baik Mak Encik,”sahut Mak Mah pendek.
“Saya ada seminar penting tengahari ini.Mungkin sampai malam baru saya balik. Jika Datuk balik,suruh makan sendiri. Jangan tunggu saya.”

Mak Mah angguk. Patuh. Arahan itu dah lali didengarnya pagi demi pagi. Istilah seminar, simposium, kursus, kolakium dan lain-lain program Datin memang sudah basah di telinga Mak Mah. Cuma erti dan maknanya sahaja yang tak pernah difahaminya. Memang dia tak pernah ambil tahu. Mak Mah wanita kolot, orang gaji yang dunianya di celah sempit dapur. Lainlah Datin Mazidah,pemimpin wanita maju yang terbang dari gawang ke gawang. Bergelanggang dalam dunianya yang maha luas.

Kucing Parsi kesayangannya datang mengelus-ngelus hujung kakinya.
“Tinggal dulu Suzie sayang!Main baik-baik.”
Suzielah buah hatinya. Satu-satu yang masih menambat hatinya di rumah. Makan minum Suzie dan sakit demam Suzie lebih dijaganya daripada makan-minum, sakit demam Datuk Murad. Anak-anak dah besar-besar. Sheril dah berumahtangga. Shassa pun begitu. Hanya Dila dan Didi sahaja masih menuntut di luar negera. Datuk Murad? Ah,apa tahunya…Dia dah tua. Datuk hanya mampu menggongong batang-batang kayu golf pagi dan petang. Nak bekerja? Datuk Murad tak larat lagi. Dah pencen.

Datin Mazidah menuju ke bilik tidur terus membuka almari pakaiannya. Mana satu patut dipilih untuk sesuai dengan mood dan taraf majlis yang dihadirinya nanti? Kepala Datin ligat berfikir sambil memerhatikan deretan bajunya yang berbagai fesyen,berwarna-warni dan berbagai-bagai gaya. Dari fesyen Lady D hinggalah fesyen tradisional Cik Siti Wan Kembang atau baju lagenda Puteri Saadong.Almari baju Datin punya ratusan fesyen Timur dan Barat. Dari budaya Timur Jauh hinggalah ke pakaian Barat dan Timur Tengah.Itulah sarung sesumpah untuk menyalut tubuh anggunnya demi menjelmakan berbagai watak. Watak Timur…pilih baju kurung atau kebaya.ke majlis Maulidin Nabi…tentu jubah Mesir atau kain kerudung Indonesianya.

Kalau ada ball dan tari-menari,Datin akan muncul fesyen Joan Collins atau Linda Gray dalam filem Dynasty dan Dallas. Waktu itu Datin Mazidah akan jadi orang Barat pula dengan pakaian yang paling up-to-date. Wah!Hebat Datin Mazidah.Pandai menyesuaikan diri.Masuk kandang kambing,jadi kambing. Masuk kandang lembu…dia mengemboh macam lembu.

Datin Mazidah sudah siap. Bedak-bedak biru ,hijau,merah dan berbagai warna sudah menempel-nempel pada wajahnya. Bulu kening palsunya lentik macam penyabit rumput tukang kebunnya.Wangi-wangian Christian Diornya mengaum hebat hingga Mak Mah di dapur pun tercium keharumannya.

“Pergi dulu Mak Mah. Jangan lupa Suzie,ingat pesan saya pada Datuk.Dan kalau ada orang telefon katakana saya menghadiri ‘Simposium Wanita Dunia Ketiga’di Continental Hotel KL.”
“Baik, Datin,”jawab Mak Mah walaupun lidahnya hampir tergeliat kalau nak menyebut nama Continental tu nanti.

Entahlah, ketika di kampung dulu orang jadi geli-geleman bila disebut nama hotel.Terasa macam ada sesuatu yang jahat dan buruk bila menyebutnya. Hati tua Mak Mah masih curiga dengan sesuatu yang baru dan moden. Dia masih mengekal ciri-ciri tradisional dalam hidupnya. Padanya yang moden penuh palsu dan pura-pura. Tak percaya? Lihatlah bedak,eye shadow dan rough yang terpalit di wajah Datin.Nampak dari jauh cantik. Dari dekat…Eiii, ngeri!   Read the rest of this entry »

 
34 Comments

Posted by di 28 September 2010 in Kemudi Hati

 

Label: , , , ,

SELAMATKAN DIA DARI NERAKA!

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…

Kepada semua pengunjung blog, saya memohon ampun dan maaf  atas kelewatan meletakkan entri baru. Bukan sibuk beraya, tetapi sibuk menguruskan kedua orang tua dan anak-anak yang semuanya sedang bersedia menghadapi peperiksaan. Walaupun saya sering mengingatkan belajar kerana Allah untuk mendapat ilmu, tetapi kelulusan dalam peperiksaan adalah alat yang penting juga untuk mencapai matlamat.

Kepada semua yang masih sudi menikmati tulisan saya seadanya, terimalah coretan buat peringatan bersama… SELAMATKAN DIA DARI NERAKA!
“Jika bersedekah, niatkan atas nama dan bagi pihak isterimu. Bantulah mereka dengan pahala sedekah kerana ramai para isteri yang akan menjadi penghuni neraka!”

Masih terngiang-ngiang kata-kata seorang ustaz sewaktu memberi kuliah di sebuah masjid di Putrajaya baru-baru ini. Sele¬pas itu beliau terus membacakan hadis yang menjadi sandaran hujahnya itu dengan begitu lancar dan fasih.

Pada hari esoknya, saya menyemak hadis itu dengan bantuan seseorang yang sangat saya hormati kepakarannya. Beliau dengan segera memberikan nombor rujukan hadis itu dan sumbernya. Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri r.a. katanya: “Suatu ketika Rasulullah s.a.w. keluar pada Hari Raya Aidiladha atau Aidilfitri menuju ke tempat solat dan melalui sekumpulan wanita. Beliau bersabda: ‘Wahai kaum wanita bersedekahlah. Sesungguhnya aku telah diperlihatkan bahawa kalian adalah majoriti penghuni neraka.’

“Salah seorang wanita yang fasih dan bijak bertanya: ‘Mengapa wahai Rasulullah?’ Beliau menjawab: ‘Kalian banyak melaknat dan durhaka terhadap suami. Dan tidaklah aku menyaksikan orang yang memiliki ke¬kurangan akal dan agama yang dapat meng¬hilangkan akal kaum lelaki yang setia daripada salah seorang antara kalian.’
“Mereka bertanya lagi: ‘Apa yang dimaksudkan dengan kekurangan agama dan akal kami wahai Rasulullah?’

“Baginda menjawab: ‘Bukankah kesaksian seorang wanita sama dengan separuh daripada kesaksian seorang lelaki?’ Mereka menjawab: ‘Benar.’ Baginda berkata lagi: ‘Bukankah apabila wanita mengalami haid maka dia tidak melakukan solat dan puasa?’ Mereka menjawab: ‘Benar.’ Baginda berkata: ‘Itulah (bukti) kekurangan agama¬nya.’” (Riwayat al-Bukhari no. 298) Read the rest of this entry »

 
59 Comments

Posted by di 23 September 2010 in Kemudi Hati

 

Label: , , , , ,

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 1,068 other followers