DERAP KASUTNYA…

Kadangkala saya senyum sendirian membaca tulisan-tulisan lama oleh saya sendiri. Terasa betapa lantang dan vokalnya saya menulis pada masa itu. Kini setelah berusia, saya jadi lebih berhati-hati. Mana yang lebih baik? Entahlah, Allah yang Maha Mengetahui. Namun, yang pasti sewaktu muda-muda dahulu kita terlalu obses dengan pandangan sendiri. Dan memang sinis dan skeptik dengan pandangan orang lain yang berbeza. Setiap yang berbeza kerapkali ditafsirkan sebagai satu pertentangan.

Kini saya jelas, yang berbeza itu indah. Berbeza bukanlah masalah. Tetapi yang kerap menimbulkan masalah ialah SIKAP orang yang berbeza pandangan itu. Kerap kali sikap itulah yang menimbulkan perbalahan, bukan perbezaan itu. Malah pada banyak keadaan, perkara khilaf yang dipertikaikan menyebabkan terkorbannya akhlak budi yang lebih aulawiyat dipertahankan. Pernah agak saya selama setahun saya bingung dengan ‘school of thought’ yang berbagai-bagai aliran – salafi, sunni, sufi, wahabi dan sebagainya. Saya jadi pencari semula seperti pada zaman remaja dahulu…

Sering saya bertanya, dan sering juga saya ditanya. Kekadang oleh sebab kedangkalan ilmu saya banyak berdiam. Cuba terus belajar. Ke sana kemari, mendengar dan meneliti. Pada ketika itu saya berpegang kepada apa yang diyakini dan tinggalkan apa yang diragui. Namun saya tidak pernah menutup pintu untuk mendengar dan berbincang. Tetapi apa pun akhlak dan adab mesti dipertahankan. Jangan dicampur soal personel dan jurusan ilmu dan kaedah berfikir yang sifatnya lebih profesional.  Baca baki entri ini »

MEMORI UNTUK KAKEK

Sungguh terasa mendapat satu penghormatan apabila sahabat saya, Editor Zakaria Sungip dari Galeri Ilmu Sdn. Bhd. menawarkan saya menulis kata penghantar untuk buku memoir guru penulisan saya Pak Cik Nora. Tanpa membuang masa saya menulis… cepat dan seadanya sahaja. Terasa ingatan dan katameluncur bagaikan air daripada sumur kenangan yang tidak pernah kering.

Lalu Pak Cik, di pagi Jumaat ini… ku genggam sebuah doa untuk mu. Semoga kau berbahagia di dunia dan di akhirat nanti. Amin. Pak Cik minta maaf, jika anak Pak Cik ini tidak pandai mengenang budi… Namun, doa untuk Pak Cik sentiasa saya panjatkan, walaupun saya sedar siapalah saya insan yang berdosa yang sedang jatuh bangun dalam mujahadah ini.

Untuk saudara/i pengunjung blog ini, terimalah genta rasaku… buat seorang guru…Memori untuk Kakek (dengarnya buku  DI TENGAH KOTA – MEMOIR SASTERAWAN NORA – ini akan dijual di Pesta Buku KL yang sedang berlangsung sekarang).

Saya masih teringat ketika kali pertama menyerahkan hasil tulisan kepadanya. Saya begitu malu dan takut-takut. Namun semuanya hilang apabila beliau bersuara mesra, “Oh, penulis muda. Orang muda boleh pergi lebih jauh.” Tanpa banyak bicara, beliau terus “mengerjakan” tulisan saya dengan cepat dan cermat. Tanda-tanda merah sewaktu dia menyunting tulisan saya tercalit di sana sini. Saya lihat betapa pengalamannya memberi satu kebolehan yang begitu menakjubkan. Saya sebagai penulis yang baru bertatih melihat bagaimana beliau membetulkan, memperkukuhkan dan merapikan tulisan saya. Kosa katanya, perbendaharaan istilah dan kerapiannya menyusun ayat dan perkataan sungguh mengagumkan.

Itulah detik awal perkenalan saya dengan Pak Cik Nora – seorang penulis, sasterawan dan penyair yang kaya dengan pengalaman. Dan hasil bimbingannyalah cerpen pertama saya tersiar dalam media massa pada waktu itu. Saya tidak dapat bayangkan betapa gembiranya waktu itu apabila cerpen Derap Kasutnya tersiar. Bukan gembira kerana cerpen itu, tetapi gembira kerana seorang yang telah “bernama” sepertinya sudi menyunting bahkan memberi judul baru kepada cerpen saya itu. Baca baki entri ini »

ARMADA HIJRAH

(Kalimah hijrah, seperti juga lain-lain kalimah yang penting dalam Islam, kerap disalah tafsirkan. Mendengar pelbagai bentuk dan nada perbualan antara juruhebah radio dengan pendengarnya semasa memandu pagi tadi (topiknya: Hijrah) menggerak rasa hati untuk menulis sesuatu tentang hijrah yang suci ini.

Sedih, apabila hijrah dikaitkan dengan perkara-perkara “kecil” yang begitu pinggiran sifatnya. Namun, saya berlapang dada… hakikatnya itulah nasib Islam, agama yang paling banyak disalah tafsirkan bukan hanya oleh bukan Islam tetapi oleh orang Islam sendiri.  Dan saya juga pernah tersasar memahaminya.

Justeru, saya rasa terpanggil untuk berkongsi mengenai hijrah. Jika salah, mohon diperbetulkan. Jika benar, alhamdulillah mohon difahami, dihayati dan sama-sama diperjuangkan.)

ARMADA HIJRAH

Hijrah adalah kalimah yang sinonim dengan iman dan jihad. Allah berfirman;
“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dijalan Allah dengan harta dan jiwa mereka, lebih besar derajatnya disisi Allah. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. Tuhan menggembirakan mereka dengan rahmat dan keredaan-Nya dan syurga-syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang abadi, mereka kekal di dalamnya. Sesungguhnya Allah pada sisi-Nya pahala yang besar.” (At-Taubah:20-22)

Ketiga-tiganya tidak boleh dipisahkan sama sekali. Tegasnya, hijrah itu dilaksanakan atas dorongan iman dan berjihad di jalan Allah. Dan ketiga-tiganya menuntut pengorbanan yang besar dari segi harta (masa dan tenaga) serta jiwa. Tidak ada hijrah tanpa pengorbanan. Dan pengorbanan itu bukan untuk kepentingan diri dan orang lain, tetapi semata-mata untuk mendapat rahmat dan keredaan Allah.

Ironinya, kita sering mendengar ungkapan seperti:
“Kita mesti hijrah menuju kejayaan.”
“Bangunkan ekonomi kita dengan semangat hijrah.”

Ya, benar kita perlukan kecemerlangan dalam bidang ekonomi, politik, pendidikan dan lain-lain, namun usaha itu sama sekali tidak boleh disifatkan sebagai hijrah sekiranya faktor iman dan Islam tidak dijadikan dorongan, penentu, pemantau dan panduan dalam mencapainya. Tanpa iman dan Islam menjadi niat dan jalannya maka apakah bezanya pencapaian kita dengan individu, masyarakat dan negara-negara bukan Islam? Mereka menjadi kaya, maju dan kuat tanpa menjadikan akidah, syariat dan akhlak sebagai landasan.

Hijrah tidak boleh dikaitkan berpindah daripada suasana miskin kepada kaya semata-mata. Ini kerana seorang sahabat Rasulullah SAW – Suhaib Ar Rumi RA bertukar daripada kaya kepada miskin akibat berhijrah. Ibnu Hisyam meriwayatkan bahwa ketika Suhaib (RA) berusaha hijrah, kafir Quraisy berkata kepadanya, “Ketika dulu kamu datang kemari, kamu sangat miskin dan tak dipandang sebelah mata. Kini kamu kaya raya. Kami tidak akan relakan kamu pergi membawa kekayaanmu.” Suhaib (RA) menjawab, “Jika kuberikan semua kekayaanku kepada kalian, akankah kalian relakan aku pergi?”. Kafir Quraisy menyetujuinya. Baca baki entri ini »

BILA SEJADAH YANG SUJUD…

Selepas solat Isyak, tiba-tiba saya diminta mengulas satu “peristiwa aneh” yang berlaku sebelum masuk waktu solat asar petang tadi. Dipanggil mendadak begitu kadangkala ada baiknya juga. Kita akan bercakap apa yang terlintas di hati sahaja.

Tanpa boleh merancang atau mengatur ayat dan bahasa, kita akan lebih utamakan “apa” yang hendak disampaikan berbanding “bagaimana” hendak menyampaikannya.

Peristiwa aneh yang dimaksudkan itu adalah sejadah-sejadah di surau kami semuanya dalam keadaan tegak berdiri. Ada antara ahli kariah yang mengatakan sejadah itu seolah-olah sedang sujud. Ada pula yang mengatakan sedang rukuk dan pelbagai tafsiran lagi. Daripada sejadah di mihrab imam di hadapan sehinggalah ke sejadah di barisan (saf) kelima di belakangnya semuanya dalam keadaan begitu. Tidak sangka kejadian aneh yang telah beberapa kali dilaporkan di dada-dada akhbar berlaku pula di surau kami.

Dan sekarang secara tiba-tiba, saya diminta oleh Imam kami mengulas tentang itu. “Supaya, kita semua sekata dalam mentafsir dan bertindak. Ini penting untuk kesatuan jemaah di sini,” kata Imam. Betul juga, bisik hati saya. Selalunya peristiwa aneh begitu akan mengundang pelbagai tanggapan mengikut persfektif dan persepsi masing-masing. Yang percaya akan jadi terlalu obses, manakala yang tidak percaya akan terus memperlecehkannya. Jika salah cara menangani perbezaan itu, tidak mustahil ia boleh menimbulkan perpecahan dikalangan ahli kariah. Baca baki entri ini »

HUTANG ORANG BERJUANG

Sungguh aku begitu kesihan melihatnya. Dia terperangkap dalam dilema. Pada saat dia bertemu dengan ku dan memohon untuk meminjam wang, aku menghulurkannya lagi. Buat kesekian kalinya. Dan dia berkata, “maaf teman… aku kesempitan.”

Aku mengikuti perjalanan hidupnya sejak dulu. Dia memang gigih berusaha. Memang dengan usahanya, dia layak untuk kaya. Sayangnya, dia begitu “pemurah”, hingga sering tergelincir dari batas kemampuannya.

Siapa sahaja yang datang kepadanya dia akan menolong. Kekadang adik-beradik sendiri. Acap kali teman dan taulan. Orang ramai menganggapnya kaya… betapa tidak, dia penulis yang telah mencipta nama. Buku-bukunya terjual dan tercetak berulang kali. Sayangnya, dia kerap “tertipu”. Satu hari dia berbisik padaku, “semua orang ingat aku kaya.”

Namun apa yang orang tidak tahu dia sering berdepan dengan pelbagai kerenah birokrasi syarikat-syarikat penerbitan. Tak kurang juga angkara cetak rompak. Ditambah oleh datangnya “peminjam-peminjam” tidak resmi bertali arus memohon berhutang kepadanya. Dia tidak mampu berkata tidak. Dia terperangkap antara hak-haknya yang tidak ditunaikan oleh orang lain kepadanya dan kemurahan hatinya meminjamkan kepada orang lain.

Pernah sekali aku menasihatinya, “jadilah Aid Al Qarni yang tidak bersedih apabila buku “Jangan Bersedih” tidak mendapat ganjaran royalti yang sewajarnya.”  Baca baki entri ini »

INGAT MATI, TINGKAT PRODUKTIVITI

“Saya risau kalau semua orang ingat mati, produktiviti syarikat ini akan menurun,” kata pegawai tinggi sebuah organisasi. Dia begitu sinis sekali dengan ceramah-ceramah yang menyentuh soal mati.
“Kenapa tuan beranggapan begitu?” tanya saya.

“Bila ingat mati, masing-masing fikir diri sendiri sahaja. Mereka akan asyik solat dan zikir wirid sahaja. Mereka akan tinggalkan kerja. Saya tak setuju langsung ceramah tentang mati ni dibuat dalam organisasi ini. Sorry, saya tak setuju!” katanya berterus-terang.

“Saya rasa tidak begitu. Bila semua ingat mati, makin meningkatkan kualiti dan produktiviti syarikat ini,” kata saya.
“ Kenapa pula?” Kali ini dia pula yang bertanya.
“Orang yang ingat mati sedar dia akan menemui Allah,” jawab saya pendek.
“Apa kaitan hal itu dengan produktiviti?”

“Kalau kita sedar kita akan bertemu Allah kita akan memperelok dan memperbanyakkan ibadah.”
“Itu yang saya kata tadi… bila asyik beribadah kita akan lupa dan lalai bekerja. Habislah syarikat ini.”

Saya tersenyum. Dalam hati tertanya-tanya apakah dia belum faham konsep ibadah yang sebenar atau ada masalah lain yang “bermain” di mindanya.
“Tuan, ingin saya ingatkan konsep ibadah itu luas. Ibadah bukan sahaja solat, zikir dan wirid. Kerja juga satu ibadah.”
Dia merenung saya. Saya bersikap biasa-biasa sahaja.
“Maksud awak saya tak faham konsep ibadah?” tusuknya tiba-tiba.
“Saya Cuma mengingatkan. Ibadah itu terbahagi tiga – ibadah asas, ibadah sunat dan ibadah khusus. Ibadah asas itu, solat, puasa, zakat dan lain-lain rukun Islam. Ibadah sunat itu banyak antaranya zikir, wirid, baca Quran, solat dan puasa sunat.”

“Itu saya tahu,” getusnya.
“Manakala ibadah umum pula adalah seluruh aktiviti hidup kita selain ibadah asas dan ibadah sunat tadi. Termasuklah kita bekerja, berniaga, berhibur, bermesyuarat dan lain-lain.”
Tanpa mempedulikan reaksinya saya terus memberi penerangan.

“Tu yang saya kata tadi. Nanti semua tumpu pada ibadah asas, ibadah umum terpinggir. Pekerja kita ni bukan faham sangat konsep ibadah yang berbelit-belit ni.”
“Kitalah yang mesti memahamkan mereka. Ceramah tentang mati ini perlu dibuat selepas ceramah tentang visi dan misi hidup, konsep ibadah, habluminallah, habluminannas,” pujuk saya.  Baca baki entri ini »

SEKADAR CERITA UNTUK DIRENUNGKAN…

PENCURISudah persungkur baru akur

“Kalau aku dapat pencuri kereta aku, aku akan kerat empat!” Begitu luahan marah seorang kenalan sewaktu kami bertemu minggu lalu.
”Begitu geram, marah?”
”Yalah, dengan kereta itulah aku mencari rezeki, menghantar anak ke sekolah dan balik kampung. Ia seolah-olah nyawa kepada keluarga kami.”
“Sampai nak kerat empat?”
“Confirm! Kalau dapat aku tak lepas,” akuinya terus terang.
Melihat dia marah-marah begitu saya “tersenyum” dalam hati. Betapa tidak, saya memang mengenalinya sejak di IPT lagi. Masih segar dalam ingatan saya perbualan kami lima tahun yang lalu. Ketika itu beliau begitu sinis dengan hukum hudud.
“Bagi aku ayat Quran tentang Hudud perlu tafsiran semula. Realiti dunia berubah.”
Saya terdiam, berfikir bagaimana siswa jurusan Sains dan Matematik itu begitu “arif” dalam ilmu tafsir.
“Mengapa begitu. Syariat itu sesuatu yang evergreen, sesuai untuk setiap zaman dan masa,” balas saya.
“Kejam sangat. Curi sahaja, potong tangan. Habis macam mana pencuri itu nak meneruskan kehidupan?”
Begitulah besarnya simpati beliau kepada pencuri.

Walaupun saya telah cuba jelaskan bahawa sebagai hamba Allah kita perlu patuh dengan segala yang diperintahkan-Nya, namun dia tetap berkeras. Ketika saya bermati-matian menyedarkan bahawa ilmu manusia yang terbatas tidak mampu menjangkau ilmu Allah yang Maha Luas, dia membalasnya dengan berkata:
“Tuhan juga memberi kita akal, kita gunakanlah akal untuk menghasilkan kreativiti dan inovasi bagi menyesuaikan hukum-Nya mengikut peredaran keadaan dan masa.”

Saya masih ingat juga bagaimana reaksinya ketika saya menegaskan bahawa kitalah yang harus tunduk dengan me¬nye¬suaikan keadaan dan masa menurut hukum Allah, bu¬kannya hukum Allah yang diubah me¬ng¬ikut keadaan dan masa. Dia be¬gitu marah. Ketika muzakarah itu hampir menjadi mujadalah dan ada riak-riak yang kami hendak berbalah, maka saya menukar tajuk perbualan. Dalam hati ter¬detik, mudah-mudahan saatnya tiba juga untuk dia memahami hakikat sebenarnya.

Ya, detik itulah yang tiba kini. Saya tidak akan melepaskan peluang untuk memberi pen-jelasan walaupun kekusutan itu telah berusia lima tahun.
“Kau berubah,” kata saya tiba-tiba.
“Berubah apanya?”
“Kau dah menyokong hudud sekarang,” tusuk saya tanpa ber¬selindung lagi.

Dia terdiam. Mungkin fikiran dan ingatannya mula terusik oleh imbasan “muzakarah” kami tentang hudud lima tahun yang lalu. Saya tidak gusar kalau dia menerima hudud tetapi sekadar berbeza pandangan tentang kaedah penjelasan dan proses pelaksanaannya (yang tentunya menagih kebijaksanaan dan tempoh masa), tetapi dia menolak secara total. Itu yang bahaya.
Dia masih diam.

“Tak simpati dengan pencuri kereta kau?”
“Bukan tak simpati tapi…”
“Tapi geram? Marah? Kau te¬rasa dizalimi, dikhianati bukan?”
Sebenarnya bukan sahaja saya simpati bahkan empati dengan kecurian keretanya. Saya sendiri pernah kecurian telefon bimbit – begitu banyak data, maklumat, gambar kenangan serta pesanan ringkas yang menjadi nostalgia hilang bersamanya. Saya dapat merasakan kegeramannya walaupun tidaklah sampai ber¬azam untuk mengerat empat si pencurinya.

“Hudud tak sampailah kerat empat. Hanya setakat kerat sebelah pergelangan tangan. Itu pun dengan syarat yang begitu ketat, teliti dan rapi. Bukan untuk menyeksa tetapi sekadar mendidik pencuri dan menegakkan keadilan buat masyarakat.”
Bila terkena batang hidung sendiri, barulah ramai manusia yang sedar betapa relevannya hukum Allah.
Melihat dia diam, saya me¬nam¬bah lagi:
“Jangan apabila hak Allah dicabar kita diam. Tetapi apabila hak kita sendiri tercabar, barulah kita marah. Jangan hanya apa¬bila kita atau keluarga kita jadi mangsa curi, rompak, ragut, zina dan rogol… barulah kita jadi menyokong hukum Allah!”

SONGKOK 1Songkok vs. Kopiah

“Tolong tukar kepada songkok, kalau tidak payah awak nak dapat projek ni,” cadang seorang kenamaan kepada saya beberapa tahun yang lalu.
“Kenapa dengan kopiah?”
“Awak faham-faham sendiri¬lah,” balasnya pendek.

Saya mengangguk sahaja walaupun hakikatnya saya belum benar-benar faham apa yang di¬maksudkannya.
Apa kena-mengenanya an¬tara kopiah atau songkok yang saya pakai dengan projek yang ditawarkan. Yang penting ia¬lah reputasi dan kompetensi sese¬orang dalam me¬laksana¬kan-nya yang harus menjadi penilaian dan pertimbangan.

Bila saya cuba menjelaskan hakikat itu, tokoh itu berkata, “Ini soal sensitif. Ada orang dalam committee yang menilai tidak senang dengan kopiah putih. Awak tak kan tak faham.”
Sekali lagi saya terpinga-pinga apabila cuba memahami soal “ke¬tidak¬fahaman” mereka dalam hal ini. Di mana rasionalnya? Lebih-lebih lagi, profesionalkah sikap ini?

* * * * *

Satu ¬ketika yang lain, kawan saya yang bersongkok pernah disindir apabila singgah di sebuah masjid di utara tanah air untuk mengerjakan solat jamak.
“Dia dah datang dah…” kata seorang lelaki ahli kariah setempat.
“Musim-musim macam nilah selalunya baru nak jenguk muka,” sampuk seorang lagi.
Kawan saya yang bersongkok itu terpinga-pinga, tidak faham apa maksud sindiran mereka yang berkopiah itu. Dia kebetulan hanya singgah di situ untuk mengerjakan solat. Hanya apabila dia membaca risalah-risalah, iklan-iklan cera¬mah dan poster yang di¬tampal di persekitaran masjid barulah dia faham. Rupanya dengan bersongkok begitu dia dianggap ahli parti politik lawan yang hendak “turun padang” ke kawasan itu. Dan musim itu ialah musim pilihan raya!

* * * * *

KOPIAHSeorang kawan saya yang lain pula meluahkan rasa hatinya betapa terujinya dia dengan memakai kopiah di tempat kerja.
“Saya dilayan dengan begitu curiga oleh bos sendiri,” katanya.
“Mengapa? Hanya dengan ber¬kopiah?” tanya saya ke¬haira¬nan.
Dia mengangguk. Kawan saya disyaki membawa agenda politik ke tempat kerja. Padahal saya tahu beliau berkopiah sejak di sekolah rendah lagi. Dia anak seorang guru agama yang memang dibiasakan oleh bapanya berkopiah sejak kecil. Tidak ada kena-mengena dengan soal politik.

Saya masih ingat betapa praktikalnya memakai kopiah jika kita bermusafir dari satu tempat ke satu tempat. Kopiah senang dilipat dan dibersihkan ataupun dibasuh. Berbanding songkok yang perlu dijaga selalu. Jika terhenyak, apalagi kalau terduduk ia akan mudah terpesok. Namun kopiah juga ada “kekurangannya”. Apabila menghadiri majlis-majlis rasmi umpamanya, songkok kelihatan lebih segak dan manis bila dipadankan dengan baju Melayu (malah dengan pakaian kasual sekalipun).   Baca baki entri ini »

BELAJAR DARI “UNIVERSITI KEHIDUPAN”

air-terjunBerikut saya coretkan mukaddimah daripada buku terbaru saya : Nota Hati seorang lelaki – gugusan kisah tarbiah sanak, suami dan ayah. Saya menyimpan cita-cita agar buku itu dibaca oleh seramai mungkin pembaca. Mudah-mudahan ia dapat dijadikan titian dan titisan dalam laut rasa yang begitu bergelora. Buku ini bukan untuk “saya” tetapi untuk “kita”.  Walaupun buku itu hanya kecil, tetapi cita-cita di sebaliknya besar. Insya-Allah. Ya, Allah permudahkanlah tercapainya harapanku:

Aliran ilmu umpama aliran air. Air akan sentiasa mengalir dari tempat yang tinggi ke tempat yang rendah. Lebih rendah sesuatu tempat itu, maka semakin banyaklah air yang bertakung di situ. Justeru, lembah dan lurah sering bertukar menjadi tasik, sungai dan ngarai. Maka begitu ilmu, perlu “ditakung” dengan hati yang merendah diri. Semakin tawaduk seseorang itu, semakin banyak ilmu yang bakal dimiliki dan diwarisinya.Ya, begitulah jua adab kita belajar dengan kehidupan ini. Jika merendah diri, kita boleh belajar hampir daripada semua orang, keadaan dan peristiwa. Teringat kata Luqman Al Hakim ketika ditanya bagaimana dia mendapat hikmah? Dia menjawab, “aku belajar hikmah daripada orang yang dungu. Jika dia melakukan sesuatu, maka aku tidak akan melakukannya.”

Luqman menjadikan si jahil sebagai “guru” yang mengajarnya erti sempadan pada percakapan dan tindakan. Kita bagaimana? Jangan dilupakan petua dalam pembelajaran, bila murid bersedia, guru akan tiba. Maksudnya, bila kita sentiasa ingin dan bersedia untuk belajar, maka akan muncul “guru-guru” yang mahu mengajar kita.

Pada kisah-kisah yang saya nukilkan nanti ada pengajaran yang tersurat dan tersirat, insya-Allah. Prinsip dalam penulisan saya mudah sahaja – tulislah sesuatu yang memang kita yakini, alami dan rasakan. Perhatikan benar-benar di mana “nilai” didikan (tarbiah) dalam kisah-kisah itu. Padankan segala-galanya dengan kisah-kisah hidup anda sendiri. Bergurulah dengan pengalaman hidup sendiri. Sesetengah ilmu perlu “dirasai” baru boleh difahami, dihayati seterusnya diamalkan dalam kehidupan.  Baca baki entri ini »

PRAKATA BUKU NOTA HATI SEORANG LELAKI…

nota-hati-seorang-lelakiInsya-Allah buku terbaru saya sudah siap dicetak untuk diedarkan di Pesta Buku Antarabangsa, Kuala Lumpur 2009 (KLIBF09) nanti. Saya berdoa, semoga para pembaca akan dapat menimba sedikit sebanyak kebaikan daripadanya. Berikut adalah kata Penerbit buku tersebut ketika memperkenalkan buku saya itu. Kepada Allah jua diserahkan segala urusan…

Gunakanlah prinsip: Ujian hidup adalah satu didikan langsung daripada Tuhan, insya-Allah, kita akan dapat kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi hidup ini. Talian hayat kita akan sentiasa “tersambung” dengan Tuhan. Percayalah, Allah mendidik kita melalui kesusahan, kesenangan, pujian mahupun cercaan.

Bila bertemu kesusahan, Allah mendidik kita tentang sabar. Bila bertamu kesenangan, Allah mengajar kita erti kesyukuran. Bila si miskin datang, itu peluang untuk mengamalkan sifat pemurah. Tetapi bila si kaya menjengah, jangan pula terjejas sifat qanaah. Ingat, Tuhan mendidik kita pada setiap masa, peristiwa dan manusia.

Semua itulah yang terpapar melalui kisah dan peristiwa yang ditulis begitu menarik, jelas dan indah dalam buku Nota Hati Seorang Lelaki ini. Membacanya, seolah-olah melalui lembaran-lembaran kehidupan dengan sorotan mata hati yang seni dan murni.   Baca baki entri ini »

CERITA PASAL MAKAN

makanDalam krisis ekonomi sekarang, isu yang ada kaitannya dengan makanan menjadi topik yang semakin hangat diperbincangkan. Apa tidaknya, ramai yang masih boleh bersabar jika harga barangan lain naik, tetapi jika harga makanan yang naik, semua pihak kelam-kabut. Miss baju baru masih ‘Ok’, tetapi kalau miss sorru, semua ‘Ko’. Graf keresahan masyarakat semakin melonjak bila bilangan pengangguran diramal memuncak.

Ini semua akibat kemelesetan ekonomi yang mulanya melanda Amerika. Bagai domino, bila ekonomi US rebah, menyebabkan semua yang berkaitannya rebah sama. Ironinya, US yang semakin galak menampakkan kecenderungan untuk menjaga ‘keselamatan manusia’, arus pemikiran dan perlakuan, bagi menentu-corakkan perkembangan ekonomi, politik dan sosial dunia itu kini sedang terkial-kial mengatasi masalahnya sendiri.

Sebenarnya, ini bukanlah pertama kali rakyat Malaysia marahkan Amerika. Rekod Amerika memang sudah sedia lama tercemar lantaran sering menyebelahi Yahudi dalam pertikaian Arab-Israel di Timur Tengah. Semuanya itu masih basah dalam ingatan umat Islam. Kemarahan terhadap Uncle Sam kali ini mengingatkan kita kembali kepada percubaan demi percubaan memboikot barang-barang keluaran Amerika yang pernah dilancarkan sebelum ini.

Walaupun usaha itu tidak mendatangkan kesan terhadap Amerika, namun sekurang-kurangnya ia membuktikan bahawa sesuatu masih boleh dilakukan demi menjaga maruah negara dan agama. Memboikot barang keluaran Barat, kalaupun tidak sampai menjejaskan mereka tetapi setidak-tidaknya ia boleh menguntungkan kita. Sekurang-kurangnya wang kita selamat dari terjatuh ke tangan Barat. Baca baki entri ini »