RSS

Arkib Kategori: Tarbiyah

ASALKAN HATINYA BAIK?

Anak muda di hadapan saya terus mengasak saya dengan hujah-hujah logiknya. Senang melihat anak muda yang berani dan berterus-terang begitu. Hujahnya tajam dan menikam.

“Tidak semestinya wanita yang menutup aurat itu baik, “ tegasnya.

“Saya kenal beberapa orang wanita yang menutup aurat… perangai mereka ada yang lebih buruk berbanding wanita yang tidak menutup aurat,” tambahnya lagi.

Saya diam melihat dia berhujah dengan akal dan pengalaman. Namun pengalamannya agak terbatas. Berapa ramai wanita yang dikenalinya dalam usia semuda itu? Dan akalnya juga terbatas – aqal perlu dirujuk kepada naqal. Mesti memahami prinsip ilmu wahyu terlebih dahulu, kemudian barulah kita bebas menggunakan fikiran dan pengalaman tanpa terbabas.

“Sebenarnya, apa yang cuba awak sampaikan?” tanya saya lembut.

“Saya nak tegaskan bahawa wanita yang baik tidak semestinya menutup aurat.”

“Justeru, wanita yang jahat itu ialah wanita yang menutup aurat?” jolok saya melayan pola logiknya berfikir.

“Er, er, bukan begitu. Maksud saya, baik atau buruknya perangai seseorang wanita tidak bergantung pada pakaiannya, samada dia menutup aurat atau tidak.”

“Apa ukuran awak tentang nilai kebaikan seorang wanita?” kilas saya tiba-tiba.

“Jujur, terus-terang, pemurah, lemah-lembut…”

“Itu sahaja?”

“Ya. Pada ustaz pula apa ukurannya?”

“Kita hanya manusia. Akal kita terbatas. Ukuran dan penilaian kita juga pasti terbatas. Jika diserahkan kepada manusia mentafsir apa itu kebaikan, akan celaru dibuatnya.”

“Mengapa?”

“Kerana setiap manusia ada jalan berfikirnya sendiri. Saya bimbang nilai kebaikan akan menjadi suatu yang relatif dan subjektif, padahal kebaikan itu juga seperti kebenaran… ia suatu yang objektif dan mutlak, ” akui saya terus-terang.

“Habis, untuk apa kita diberi akal? Kita harus rasional dan logik!”

Saya cuba senyum lantas berkata,” akal perlu tunduk kepada penciptanya, Allah. Fikiran mesti merujuk kepada Al Quran dan Hadis. Itu kan lebih tepat… Ilmu kita terbatas, ilmu Allah Maha Luas.”

“Jadi akal kita untuk apa?” desaknya lagi.

“Untuk memikirkan apa hikmah kebaikan yang telah ditentukan Allah dan bagaimana melaksanakannya dalam kehidupan.” Read the rest of this entry »

 
81 Comments

Posted by di 11 November 2011 in Tarbiyah

 

Label: , , ,

REHATKAN HATI…

Sungguh, benteng pertahanan terakhir kita kian rapuh. Saban hari saya menerima email atau panggilan yang menceritakan tentang rumah tangga yang hampir runtuh. Padahal saya sendiri masih terkial-kial bermujahadah untuk menjadi ayah, suami dan anak yang baik. 

Kekadang saya tidak dapat memberi jawapan yang baru. Ini tentu menjemukan, kerana sahabat-sahabat perlukan pembaharuan pada jawapan. Apa yang mampu saya luahkan? Selain, mengulang-ulang apa yang pernah dipesankan oleh generasi salafussoleh terdahulu. Juga mengulang-ulang kata-kata yang pernah membujuk hati ketika saya sendiri diuji. 

Sahabat dan saudaraku… jangan pernah mengalah. Patah sayap, terbanglah jua. Jika jatuh, jangan rebah… biar terhenyak tetapi tetap tegak walaupun terpaksa bertongkatkan dagu. Marilah kita berpegang pada janji bahawa kita akan selamanya bersatu dalam munajat dan nasihat. Kerana apa yang kita harap daripada seorang manusia hanyalah dua… munajatnya dan nasihatnya!

Tidak semua yang bertanya dapat saya jawab secara khusus. Ada yang saya baca dan terus doakan. Ada yang saya baca, terus termenung… berfikir dengan kepala yang simpati dan dada yang empati. MasyaAllah, kita sering kalah. Namun, buat sekian kalinya kita berbaiah, kita sekali-kali tidak akan mengalah!

Lalu, diketika saat-saat dirimu dan diriku diuji, sudi apalah kiranya kita REHATKAN HATI...

Mengapa setelah berzikir, solat atau berdoa  hati belum tenang? Sedangkan Allah telah menetapkan dalam Al Quran bahawa dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang? Khususnya ketika menghadapi ujian rumah tangga mengapa hati kita masih resah, kacau dan galau walaupun sudah berbuih mulut meluahkan kalimah-kalimah zikir? Justeru, ramai isteri atau suami mengadu, mengapa hati mereka tidak tenang walaupun telah berzikir ketika menghadapi krisis, ujian dan kesusahan dalam hidup berumah tangga?

Mengapa kita belum mendapat ketenangan sepertimana yang dimiliki oleh pasangan Sayidina Ali dan Siti Fatimah walaupun kita telah berzikir dengan kalimah subhanallah, alhamdulillah dan Allah hu Akbar, sama seperti yang pernah diamalkan oleh mereka? Apa yang tidak kena dengan zikir kita? Bukankah kalimahnya sama? Bukankah jumlah atau bilangannya sama?

Tidak syak lagi kita tidak dapat menghayati maksud tersirat daripada kalimah-kalimah zikir itu. Berzikir tanpa menghayati falsafah dan makna tersirat di sebaliknya, umpama burung kakak yang pandai bertutur. Untuk menghayati makna zikir sehingga meresap ke dalam hati perlukan ilmu, amalan dan latihan. Marilah kita sama-sama kita fahami apakah kesan atau rasa-rasa yang perlu dirasai oleh hati apabila kita mengingati Allah (berzikir).  Antara rasa-rasa itu ialah:

1.      Rasa kehambaan.

Rasa kehambaan ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain sifat kekurangan seorang manusia apabila berdepan dengan ujian daripada Tuhannya. Apabila diuji dengan karenah pasangan, kekurangan harta, anak-anak sakit dan sebagainya, seorang suami atau isteri yang memiliki rasa kehambaan akan sedar bahawa semua itu hakikatnya datang daripada Allah. Firman Allah:

“Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal. (Surah al-Taubah 9: 51).”

Bila menyedari hakikat itu, seseorang akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Hatinya berbisik, “bukankah aku seorang hamba? Aku sewajarnya akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku diuji begini. “ Hatinya tidak akan berkata, “kenapa aku, bukan orang lain?” Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Sebaliknya jika kita ‘memberontak’, hati akan bertambah kacau. Let go, let God – maksudnya lepaskan dan pasrahlah kepada Allah.

Apakah tanda-tanda kita memberontak apabila diuji? Kata Imam Ghazali rahimahullah, “cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah ‘memberontak’ kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya!” Misalnya, seseorang suami atau isteri itu tidak mahu lagi untuk makan dan minum secara teratur, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan rumah atau menjaga anak-anaknya lagi.

Marilah sama-sama kita ingat, apabila ditimpa ujian, kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja’, “Inna lillah wa inna ilaihi raji’un.” Firman Allah:

“Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali. (Surah al-Baqarah 2:156).”

Kalimah ini mengingatkan kita agar kembali merasakan erti kehambaan. Bahawa kita adalah milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini. Dengan ini kita akan dapat menurunkan rasa marah kepada pasangan, anak-anak, mertua atau sesiapa sahaja anggota keluarga kita. Ya, mereka berbuat demikian atas izin Allah jua!

2. Rasa bertuhan.

Rasa kehambaan yang serba lemah, itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Apabila kita rasa lemah, timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Apabila kita rasa kurang, timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Apabila kita dihimpit kesedihan semakin kuat rasa pergantungan, pengharapan, permintaan kita kepada Allah. Mungkin selama ini kita terlalu bergantung kepada suami, isteri atau anak-anak.

Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina dan lemah. Sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa sabar, tenang dan berani menghadapi apa jua masalah dalam rumah tangga. Seorang suami yang paling kuat menghadapi ujian dalam hidup ialah suami yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Firman Allah: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. (Surah Taubah 9:40)”

Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan rasul sanggup berdepan dengan karenah isteri mereka. Nabi Luth, Nabi Ayub, Nabi Nuh misalnya, mampu menghadapi ujian yang paling kritikal dalam rumah tangga mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah. Firman Allah: “Dan pintalah pertolongan dengan sabar dan mengerjakan solat. (Surah al-Baqarah 2: 45)”

Dalam apa jua keadaan – positif mahupun negatif, hati suami atau isteri tetap tenang. Firman Allah:  “Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana. (Surah al-Fath 48:4)”

Apabila hati tenang, berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang dilaporkan oleh Sa’ad bin Abi Waqqas: “Aku hairan dengan orang beriman, sekiranya dia mendapat kebaikan, maka dia akan memuji Allah dan bersyukur, dan sekiranya dia mendapat musibah dia akan memuji Allah dan bersabar. Dan setiap mukmin diganjari dalam setiap urusannya sehingalah diberi pahala pada setiap suapan makan yang diangkat ke mulut isterinya.”

3.      Memahami maksud takdir Allah

Mana mungkin kita dapat mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can’t direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.

Kemudi dalam bahtera rumah tangga kita ialah hati. Hati yang bersifat berbolak-balik (terutamanya apabila diuji) hanya akan tenang apabila kita meyakini sifat kasih sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya tetap bersama kita sewaktu diuji. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan buruk. Walaupun kekadang kita belum nampak kebaikannya, percayalah kebaikannya pasti ada.

Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baiklah kepada Allah, berdasarkan firman-Nya:  “Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya. (Surah Al Baqarah 2: 216)”

Siapa tidak inginkan keharmonian, kasih sayang dan kemakmuran dalam berumah tangga. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, krisis masih berlaku jua, maka bersangka baiklah dengan Tuhan. Mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita kesempitan belanja, maka berusahalah untuk menambah pendapatan, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.  Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.

Dengan ini kita tidak akan merungut, stres dan tertekan. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini: “Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”

Jagalah rumah tangga kita dengan sebaik-baiknya. Carilah jalan damai sehabis daya.  Namun ingatlah jika badai terus melanda, ingatlah itu sudah maktub (tertulis). Jangan rosakkan hati kita dengan kalimah “kalau” atau “jika”. Hayati sabda Rasulullah saw ini: “Oleh itu, hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas. Dan jika engkau ditimpa sesuatu, maka janganlah engkau berkata: “Kalau aku lakukan anu anu, tentulah akan terjadi anu anu, tetapi katalah: “Allah telah takdirkan dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan,’ kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.” (Hadis riwayat Muslim)

4.      Mendapat hikmah apabila diuji.

Hikmah adalah suatu kebijaksanaan mendapat kebaikan di sebalik satu keburukan. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh mehnah – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya. Daripada Abd al-Rahman bin Azhar bahawa Ra­sul­ullah SAW bersabda: “Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa sakit atau demam, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja.”

Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah para suami atau isteri meraih sebanyak-banyaknya pahala dan keredhaan Allah. Rumah tangga adalah medan ‘perjuangan’ melawan nafsu marah, putus asa, buruk sangka, dendam dan lain-lain sifat mazmumah yang mungkin timbul hasil interaksi dan komunikasi antara suami isteri, ibu-bapa dengan anak-anak, mertua dengan menantu.

Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Justeru, hayatilah kata-kata hikmah ini: “Allah melapangkan bagimu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan, dan Allah menyempitkan bagimu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.”

Ya, inilah empat rasa yang sewajarnya ada ketika kita berzikir sewaktu mengharungi ujian dalam berrumah tangga. Bawalah hati kita berehat… dan rehat sebenar ada di dalam zikir. Dan zikir yang paling besar adalah solat. Oleh kerana itulah Rasulullah saw sering menyuruh Bilal supaya azan dengan katanya yang membujuk, “rehatkan kami dengan solat wahai Bilal!”

 
30 Comments

Posted by di 7 November 2011 in Tarbiyah

 

Label: , , , ,

PUASA ITU REVOLUSI HATI

REVOLUSI HATI

Puasa ialah peperangan untuk mengalahkan hawa nafsu yang sentiasa mengajak diri kepada kejahatan. Peperangan yang tidak pernah ada ‘gencatan senjata’ ini sentiasa berlaku dalam diri manusia dan ia menjadi semakin hebat pada bulan puasa. Pada bulan ini, Allah memberi kita pelbagai ‘senjata’ tambahan untuk mengalahkannya. Bukan itu sahaja, ‘mentor’ nafsu yang utama yakni syaitan telah dibelenggu dan tidak boleh membantu nafsu dalam usahanya mengalahkan akal bagi menguasai hati.

Apabila sumber kekuatan nafsu (makan minum) disekat, dan ia diserang bertubi-tubi oleh pelbagai jenis ibadat, sewajarnya hati akan bertambah bersih dan fikiran menjadi semakin jernih. Inilah yang akan membentuk seorang manusia yang baik.      Rasulullah s.a.w. telah menegaskan bahawa di dalam diri manusia ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah  manusia tersebut. Sebaliknya jika jahat daging itu, maka jahat pulalah orang tersebut. Daging itu ialah hati.

Itulah peranan utama hati. Ia umpama raja di dalam kerajaan diri manusia. Jika raja baik, rakyat akan jadi baik. Maka begitulah bila hati baik, secara automatik tangan, kaki, mulut, hidung dan lain-lain pancaindera akan melahirkan kebaikan. Al-Quran memberikan informasi yang sangat banyak tentang hati ini. Read the rest of this entry »

 
9 Comments

Posted by di 14 Ogos 2011 in Tarbiyah

 

Label: , , ,

MELAWAN ARUS


MELAWAN ARUS

“Para Rasul itu bangun memberontak untuk mengubah hati nurani manusia, bukan untuk menukar sistem ekonomi dan pentadbiran. Apabila hati nurani manusia sudah berubah, maka sistem yang lain-lain akan menyusul secara otomatik.” 

(Dariku hanya sebuah cerpen… MELAWAN ARUS… renungkanlah)…

“TOK GURU, kita sudah terkepung. Bala tentera Datuk Sagor sudah sedia menyerang. Mereka tak sabar lagi untuk memerangi kita. Mereka hanya menunggu arahan Tok,” kata Jamil murid kesayangannya.

Dia tenang. Kata-kata Jamil itu sedikitpun tidak menggoncangkan hatinya. Jiwanya teguh. Bagai tiang madrasah kesayangannya yang terpacak kukuh.

Perlahan-lahan Tok Guru Saleh bersuara, “Aku tahu. Bersabarlah. Yang mereka hendakkan aku. Biar aku menyerah. Biar tak ada darah yang tumpah. Kita berserah kepada Allah Taala.”

Sekali-sekala di dalam gelap muncul wajah Tok Guru Imran, sahabat sepengajiannya waktu menuntut ilmu dengan Tok Ku Pulau Lebar empat puluh tahun yang lalu.

“Kerajaan Sagor itu mungkar. Pemerintah jahiliah warisan Abu Jahal kita gulingkan sahaja. Ayuh kita kumpulkan senjata dari sekarang Saleh. Kita amuk dan tegakkan hukum Tuhan atas runtuhan jahiliah itu nanti.”

Masih basah di ingatannya pada kata-kata Imran. Dalam kenangan Tok Guru Saleh masih terbayang raut wajah Tok Guru Imran yang merah, garang dan berapi-api ketika mengajaknya bergabung tenaga melancarkan Perang Sabil ke atas Kerajaan Datuk Sagor.

“Sudah ada di kalangan tenteramu yang menzalimi puasa siang dan malam?” tanya Tok Guru Saleh. Pertanyaan itu memulakan silat lidah antara Tok Guru dengan sepengajian itu.

Tok Guru Imran diam. Pertanyaan itu ternganga tidak berjawab.

“Atau melazimi puasa siang walaupun tak sembahyang malam?”

Tok Guru Imran masih terdiam.

“Atau melazimi sembahyang malam walaupun tak puasa siang?”

Tok Guru Imran masih terus diam.

“Kau belum bersedia. Kalau syaitan dan nafsu belum diperangi, jangan berani memerangi orang lain. Kecundang kita, buruk padahnya. Terhina di dunia, terhina di akhirat. Lagipun itu bukan caranya menegakkan Islam,” syarah Tok Guru Saleh bertubi-tubi. Walaupun kata-katanya bermaksud dalam dan tersirat tetapi tidak ada kasar terluah. Perlahan dan lembut.

Masih terbayang dalam ingatannya  bagaimana murid-murid kanan Tok Guru Imran yang berada di belakang mencebik.

“Usah layani dia Tok. Dia pengecut. Dia gementar dengan pedang-pedang tentera Pulau Delima. Dia redha dengan kemungkaran Datuk Sagor.”

Tok Guru Saleh berdiam diri.

“Kau jumud. Tidak tegas…!” lantang tuduhan Tok Guru Imran kepadanya. Read the rest of this entry »

 
37 Comments

Posted by di 10 Julai 2011 in Tarbiyah

 

Label: , , ,

HIDUP SELAGI HIDUP…

Sebagai penulis saya ingin mesej tulisan saya segera sampai kepada pembaca. Oleh itu antara blog, majalah dan buku saya sering dahulukan penulisan di blog. Begitulah yang saya amalkan sejak dahulu. Tetapi kebelakangan ini saya terpaksa memikirkan semula kaedah itu.

 

Ini kerana tulisan saya di dalam blog kekadang dipetik oleh satu media cetak  sedangkan tulisan itu saya akan berikan kepada media cetak yang lain. Bukan mendahului kehendak komersial tetapi saya perlu berpegang kepada etika, perjanjian dan adab dengan penerbit.

 

Pada dasarnya saya tidak suka terikat dengan mana-mana penerbit. Bagi saya penulis mesti bebas untuk memilih wadah penulisannya sendiri. Di dalam melaksanakan misi dakwah kita tidak boleh mengikat diri dengan mana-mana pihak kerana bagi saya prinsip perkongsian mengatasi persaingan. Jalan-jalan menuju Allah sebanyak urat atau rengut nafas di leher. Masuklah ke negeri Mesir dari pelbagai pintu! Begitu kita dipesankan oleh ungkapan yang masyhur itu selalu.  

 

Kita wajar meraikan kepelbagaian. ‘Kek’ dakwah ini perlu diluaskan. Mudah-mudahan di mana pun jua kita, dakwah melalui penulisan ini dapat diteruskan… umpama air yang sentiasa mengalir, umpama asap yang terus meresap. Lalu apakan daya, saya cuba membongkar kembali tulisan lama-lama. Saya cuba ketengahkan jua kerana merasakan mesejnya sentiasa baru.  Salah satunya tulisan ini…

 

HIDUP SELAGI HIDUP!  

 

Kata bijak pandai, kehidupan umpama satu pelayaran. Cubaan dan ujiannya umpama gelombang yang sangat menggerunkan. Oleh sebab itu bahtera kehidupan mesti kukuh. Kemudinya mesti ampuh. Jika tidak, layar patah dan bahtera akan terolang-aleng lalu tenggelam dihempas gelombang. Jika boleh diumpamakan bahtera itu diri kita, maka kemudinya ialah iman. Kita tidak akan gusar betapapun hebatnya gelombang, jika kemudi di tangan mampu mengawalnya.

 

Maka begitulah dalam menghadapi ujian hidup… kita tidak akan bimbang sekiranya iman di hati tetap mantap. Diri  tidak akan hilang kawalan. Kita akan terus menghadapi segalanya dengan penuh keyakinan. Berpegang kepada prinsip:

“Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.”

 

Dengan iman, kita punya keberanian – hidup selagi hidup! Kita tidak, kita akan menjadi umpama bangkai bernyawa, yang hidup segan, mati tak mahu. Tanpa iman, kita menjadi pengecut – menjadi orang yang berani mati kerana takut hidup… membunuh diri! Dikebumikan pada tahun ini tetapi hakikatnya telah mati lima tahun yang lalu! Read the rest of this entry »

 
20 Comments

Posted by di 13 Jun 2011 in Tarbiyah

 

Label: , , ,

DI MANA KETENANGAN?

Kata pujangga, hidup dimulakan dengan tangisan, dicelahi oleh tangisan dan diakhiri oleh tangisan. Maksudnya hidup ini penuh dengan masalah, kesukaran dan kepahitan. Lihatlah betapa seorang bayi dilahirkan ke dunia dengan tangisan, apabila dewasa nanti hidupnya akan dicelahi oleh tangisan dan akhirnya dia akan mati lalu dihantar ke kubur dengan tangisan juga.

 

Mereka yang pesimis dengan hidup sering mengatakan bahawa hidup hanyalah untuk menyelesaikan masalah (life is to solve problems). Sebaik selesai satu masalah, masalah baru akan menjelama. Tidak lebih daripada itu. Malah ada yang lebih pesimis lagi dengan mengatakan hidup hanyalah untuk menderita!

 

Itu bukan sikap seorang muslim. Jika kita mengutuk hidup bererti kita mengutuk Penciptanya (Allah). Sedangkan Allah tidak menjadikan hidup ini untuk menderita. Maha Suci Allah, Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.  Hakikatnya, kita diciptakan untuk menikmatinya dan kemudian pulang ke akhirat untuk merasai kenikmatan yang abadi. Tetapi kita mesti berjuang untuk itu. Jadi, hidup sebenarnya untuk berjuang, bukan untuk menderita. Berjuang untuk menikmati kebahagian yang sementara demi mencapai kebahagian yang abadi!

 

Hidup di dunia ini penting kerana adanya akhirat. Justeru, kita mesti memanfaatkan kehidupan di dunia sebagai jambatan kebahagiaan akhirat.  Hukama ada berpesan, dunia diciptakan untuk manusia, manusia dicipta untuk akhirat. Soalnya, bagaimana memanfaatkan kehidupan dunia ini untuk akhirat? Apakah yang perlu kita cari dan perjuangan dalam kehidupan yang sementara ini?

 

Dalam hidup yang sementara ini kita dituntut mencari hati yang sejahtera (qalbun salim). Inilah kualiti hidup yang perlu dicari dan dinikmati. Dan ini jugalah ‘syurga dunia’ sebelum syurga akhirat. Malangnya ramai yang pentingkan kuantiti harta berbanding kualiti jiwa. Siang malam, manusia bertungkus-lumus menumpuk harta tanpa memperdulikan kesucian jiwa. Rumah semakin besar tetapi jiwa semakin sempit. Harta semakin melimpah tetapi hati semakin sakit. Read the rest of this entry »

 
43 Comments

Posted by di 29 Mac 2011 in Tarbiyah

 

Label: , , ,

‘FRUST’ DALAM BERCINTA

Siapa yang pernah merasakan tahulah betapa peritnya. Benarlah kata pujangga,“sakit yang paling dahsyat ialah mencintai seseorang, tetapi tidak berbalas.” Aneh sekali derita sakit putus cinta ini… benci, tapi rindu. Dendam tapi sayang. Dunia terasa sempit, dada terasa mencengkam.

Orang yang paling boleh menyakitkan hati kita ialah dia yang pernah paling kita cintai.  Ramai orang yang hancur hidupnya kerana putus cinta. Terlupakah pesan bijak pandai:

“Cintailah sesuatu itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kebencianmu pada suatu ketika, bencilah yang engkau benci itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kecintaanmu pada satu ketika.”

Sesetengahnya hilang kewarasan berfikir. Hilang semangat juang. Malah ada yang sanggup bunuh diri. Benarlah kata orang: “Dunia akan terkejut mendengar seseorang membunuh diri kerana kematian ibunya, tetapi tidak akan terkejut apabila pembunuhan diri itu disebabkan kematian kekasih yang dicintainya.” Justeru, yang minta mati, akibat frust cinta ramai sekali.

(Ingat senikata lagu: Oh, Tuhanku kau cabutlah nyawaku). Buruk sekali keadaan orang yang ‘frust’ dalam bercinta. Inilah salah satu akibat cinta nafsu. Jika kita berani ‘memperkosa’ kesucian cinta, awas ia akan menuntut balas dengan cara yang paling kejam.

Ketahuilah, seseorang pernah gagal dalam percintaan, kemungkinan dia akan terus melihat kebahagiaan itu laksana pelangi. Tidak pernah di kepalanya sendiri, selamanya di atas kepala orang lain. Pesimis. Prejudis. Bagaimana hendak dihadapi segalanya?

Putus cinta adalah bukti bahawa tidak ada cinta sejati kecuali cinta yang diasaskan oleh cinta Allah. Cubalah anda fikirkan, apakah punca pihak sana atau pihak sini memutuskan cintanya? Mungkin kerana hadirnya orang ketiga? Mungkin dihalang oleh orang tua? Mungkin kerana sudah jemu? Macam-macam alasan diberikan. Ketika itu lupa segala sumpah setia, akujanji, lafaz janji yang dimetrai sewaktu sedang ‘syok’ bercinta. Hingga dengan itu mereka yang dikecewakan seolah-olah tidak pernah mengenal orang yang dicintai itu. Dia benar-benar berbeza (seolah-olah dia tidak pernah kita kenali!).

Putus cinta bukanlah pengakhiran segalanya. Ia adalah satu permulaan yang baik jika ditangani dengan positif. Memanglah di awalnya kita rasa sukar menerima hakikat. Tetapi percayalah… kita tetap ada Allah. Semuanya dari Allah. Dan segala yang datang dari Allah ada baik belaka, walaupun belum terserlah kebaikannya pada pandangan kita. Namun yakinlah, pandangan kita terbatas, pandangan Allah Maha Luas. Sesuatu yang kita cintai, belum tentu membawa kebaikan kepada kita. Manakala sesuatu yang kita benci, belum tentu memudaratkan kita. Read the rest of this entry »

 
131 Comments

Posted by di 7 Mac 2011 in Tarbiyah

 

Label: , ,

RESAH SEORANG AYAH

Kerap kali kalau kita jujur kita dituduh bodoh. Bila kita mengalah, kita dianggap lemah. Pada hal, kita inginkan keamanan dan kedamaian tanpa kehilangan hak dan harga diri. Namun begitu sukar untuk mendapatnya!

Paling teruji apabila ada orang lain yang mengikut lorong salah… lalu dia cepat sampai, sedangkan kita di lorong yang betul masih lelah  menapak dan merangkak. Bila yang batil ketawa, yang benar pastinya teruji melihat kegembiraan itu. Dan hampir-hampir ia melepaskan kebenaran itu semula hanya kerana tidak tega melihat kebatilan melonjak ria.

Acapkali duri berselindung di sebalik bunga… lalu kita yang tercium keharumannya alpa akan tusukan bisa di sebaliknya. Huluran tangan yang ikhlas dan lembut kekadang dikilas dalam diam dan dendam. Sering juga baldu yang lembut dan halus  dihamparkan tetapi di bawahnya ada belati tajam yang sedia terhunus.

Namun inilah hakikat, tidak ada keadilan yang mutlak di dunia ini. Justeru, di sana ada akhirat supaya segala topeng kepura-puraan yang selama ini bertahta akan terhenyak dan mendapat pembalasan.

Namun, jika itu yang kita ingatkan kepada yang lain, pasti ada yang mengatakan bahawa itu hanya ‘escapisme’ . Bila kecewa dengan manusia, orang ‘lari’ kepada Tuhan, bila tidak dapat meraih dunia orang mula merindui akhirat, bila terlepas kenikmatan nafsu baru ada yang merintih syurga itu ada!

Bukan, tidak begitu. Keyakinan kepada Allah dan Hari akhirat itu adalah tunjang, teras dan pegangan semasa kita hidup di dunia. Jangan terperangkap oleh ‘etheis’ dalam diri yang mendakwa bahawa manusia itulah yang ‘mencipta’ Tuhan demi ketenangan.

Selalu kita diperingatkan bahawa selesaikanlah urusan kita dengan Allah, barulah Allah akan membantu kita menyelesaikan urusan kita dengan manusia. Dan siapa yang memburu akhirat, dunia akan melutut di kakinya!

Kita tidak selalu benar dalam pendirian dan tindakan… kita hanya manusia. Walaupun sungguh hati kita ingin mengikut jalan Allah, tetapi kerana kealpaan dan kejahilan kita tersasar jua. Kita ingin tenang, tetapi oleh kerana ketipisan iman dan zikir, pendirian kita goyah jua. Ada rasa marah, ada rasa resah… tetapi semua itu adalah ‘bayaran tol’ di lebuh raya mujahadah.

Ya Allah, ampunkanlah kami. Berilah kami kekuatan untuk memaafkan diri kami sendiri dan juga orang lain. Kami masih tidak pandai mensyukuri nikmatMu kerana kami masih mendidik hati dalam menerima ujian-Mu.

Ya Allah, cuma satu… cuma satu… janganlah Engkau serahkan diri kami kepada diri kami sendiri walau sekelip mata. Kutiplah kami ya Allah untuk selalu dibimbing oleh hidayah dan taufik Mu!

Ya Allah, kami sentiasa yakin bahawa kejujuran itu kemenangan dan pilihlah kami untuk menjadi orang yang jujur dan benar… walau apa jua keadaan dan cabarannya! Amin.

(Buat sahabat/saudara ku… marilah kita renung tulisan yang sederhana i

ni: RESAH SEORANG AYAH…)

Ingin kubisikkan resah seorang ayah. Resah kita bersama. Resah warisan lama. Berkesinambungan sejak zaman silam. Imbauan kisah Yaa’qub dan Yusuf Alahaihisalam. Harapan suci seorang ayah memang selalu  teruji. Bayangkan bertapa terkejutnya Yaa’qub menerima khabar kematian Yusuf. Namun, jauh di dalam hatinya tidak pernah gementar. Dia yakin Yusuf tetap  dipelihara Allah walaupun di tangannya baju berdarah.

 

Ah, siapakah tidak tergugah bila berpisah? Dan menangislah Yaa’qub menanggung resah seorang ayah. Matanya menjadi buta… tetapi hatinya terus bercahaya. “Yusufku, Yusufku… demi Ilahi dia pasti kembali.” Lalu terjadilah tribulasi demi tribulasi. Tragedi demi tragedi. Terjual menjadi hamba, terfitnah oleh wanita, terasing dipenjara… Read the rest of this entry »

 
44 Comments

Posted by di 25 Februari 2011 in Tarbiyah

 

Label: , , ,

CINTA DI PERTENGAHAN USIA

CINTA…

DI PERTENGHAN USIA

Ada apa dengan cinta? Untuk apa kita bercinta? Untuk menjawabnya, mari kita fikirkan satu analogi, analogi cinta. Fikirkan tentang sebatang pena. Pena dicipta untuk menulis. Selagi ia digunakan untuk menulis, selagi itulah pena itu berada dalam keadaan selamat dan berguna.

Tetapi sekiranya pena itu digunakan untuk mencucuk, dicampak atau digunakan sebagai pengetuk, maka ia akan rosak. Mengapa?

 

Pena akan rosak sekiranya ia digunakan bersalahan dengan tujuan ia diciptakan. Ia diciptakan untuk menulis, bukan mengetuk atau mencucuk. Pena yang disalahgunakan akan rosak. Apabila rosak, ia akan dibuang ke dalam tong sampah. Ketika itu ia tidak dinamakan pena lagi. Ia dinamakan sampah!

 

Begitulah juga cinta. Cinta dicipta oleh Allah untuk dua insan bernama lelaki dan wanita beribadah kepada-Nya. Selagi cinta berlandaskan dan bermatlamatkan ibadah, yakni selaras dengan tujuan ia diciptakan, maka selagi itu cinta itu akan selamat dan bahagia. Sebaliknya, jika cinta itu diarahkan secara bertentangan dengan tujuan ia diciptakan, maka cinta itu akan musnah dan memusnahkan. Keindahan cinta itu akan pudar dan tercalar. Read the rest of this entry »

 
22 Comments

Posted by di 7 Februari 2011 in Tarbiyah

 

Label: , , ,

CUKUP SEKADAR UNTUK MELIHAT MENTARI…

Saya sering diuji dengan apa yang saya tulis dan ucapkan. Acap kali apa yang saya tulis dalam buku, majalah atau blog mahupun sekadar coretan untuk teman-teman, terjadi pula pada diri saya dan keluarga. Justeru, pernah sampai ke tahap saya rasa takut untuk menulis… takut kalau-kalau apa yang saya tulis akan kembali menimpa dan ‘menguji’ diri saya.

Banyak yang saya tulis adalah apa yang saya telah lalui sendiri. Bukan hari ini, minggu ini bahkan puluhan tahun yang lalu. Ertinya, saya menulis daripada pengalaman sendiri – sama ada yang baik mahupun yang buruk. Tetapi ada juga yang saya tulis berdasarkan pengamatan pada hidup orang lain. Saya tidak melaluinya… tetapi saya selami dengan sikap simpati malah empati. Lantas saya garap kembali dengan fikrah Islami dan fitrah insani. Seadanya! Setakat secebis kemampuan ilmu yang ada.

Pada jurus yang kedua inilah saya sering diuji. Apa yang menimpa orang lain turut menimpa saya. Saya tercari-cari mengapa itu terjadi? Benarkah niat saya untuk berhenti menulis (kerana takut) itu adalah suatu yang tepat dan betul? Begitulah hati saya kerap bertanya-tanya.

Lama juga saya terperuk dalam kemelut rasa yang berbelah-bagi itu sehinggalah pada suatu ketika tiba-tiba saya diterjah oleh satu peringatan yang datang dari dalam diri sendiri. Lalu saya tuliskan dalam diari harian dengan kata:

“Bila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita diperkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia!” Read the rest of this entry »

 
45 Comments

Posted by di 31 Januari 2011 in Tarbiyah

 

Label: , , , , ,

isteriku, apakah itu masih cinta?

Kata orang yang arif, “jadilah orang yang baik, nanti kebaikan akan datang kepada kita.”  Segala kebaikan akan datang kepada kita seperti besi yang tertarik kepada magnet. Sebab itu sering diperkatakan orang, jika kita murah dengan senyuman, kita akan murah rezeki.

Lihat sahaja peniaga yang ramah mesra dan sentiasa tersenyum melayan pelanggan, kedainya akan sering dikunjungi, produknya akan laku, jualannya sentiasa laris.

Kita tidak perlu tahu mekanisme saintifik tentang aura atau gelombang elektromagnetik untuk memahami semua ini.  Atau arif dengan tafsir seribu firman atau al hadis untuk mengamalkannya. Hanya jadilah orang yang baik dan berilah kebaikan.  Insya-Allah, kita akan mendapat kebaikan. Allah itu Maha Baik, DIA tidak akan mengecewakan hamba-Nya yang baik. Setiap saat dan ketika tanya diri kita, apakah hari ini, ketika ini aku sedang menjadi atau sedang berusaha menjadi orang baik yang sentiasa ingin memberi kebaikan…

Tidak kira sejahat mana orang yang kita hadapi atau seburuk mana keadaan yang sedang kita alami, tetapi jangan sekali-kali korbankan ‘kebaikan’ diri kita. Biar kalah, tetapi jangan mengalah dengan kejahatan. Jangan ambil kejahatan menjadi ‘guru’ kita. Maksudnya, cubalah beri kebaikan walaupun sering dibalas dengan kejahatan. Tetapi sekiranya kita kecewa, dan mula membalas kejahatan itu dengan kejahatan yang sama atau yang melebihinya … takziah, kerana pada waktu itu kejahatan telah menjadi guru dalam kehidupan kita. Read the rest of this entry »

 
51 Comments

Posted by di 6 Januari 2011 in Tarbiyah

 

Label: , , , , ,

PESAN TAQWA

Assalamualaikum wbt.

Saudara-saudaraku, maaf saya pohonkan kerana agak lama juga tidak ada entri baru yang saya paparkan dalam gentarasa ini. Saya juga seperti saudara-saudara sering diuji. Antaranya,  l-top yang rosak dan akhirnya tidak boleh diguna lagi, kesihatan yang terjejas, pengurusan pengajian anak-anak, tuntutan tugas di luar kawasan, ceramah dan kuliah di IPT (yang sering saya tangguhkan).

Akhirnya semua itu hampir-hampir ‘melumpuhkan’ pengurusan masa saya pada bulan akhir November dan sepanjang  Desimber 2010.

Saya boleh memberi pelbagai alasan, tetapi biarlah saya akui secara terus-terang inilah kelemahan saya yang saya sedang bermujahadah untuk memperbaikinya.Sikap Istiqamah yang sering tergugah apabila diuji dengan sesuatu yang di luar kebiasaan kerja, tugasan dan rutin.

Namun di celah segalanya itu, saya tetap mendoakan keceriaan dan iltizam daripada seluruh pembaca semua. Kita akan diuji dengan apa yang kita sering tulis dan katakan. Itu bukti Allah mengingatkan kita semasa kita mengingatkan orang lain. Walaupun kekadang kerana itu saya takut untuk menulis, tetapi saya gagahi juga untuk menempuh proses memperbaikji diri. Saudara-saudaraku, marilah pada awal tahun hijrah dan masihi ini, kita perkukuhkan ketaqwaan dengan meneliti segala firman Allah dan hadis yang berkaitan dengannya. Terimalah PESAN TAQWA dari saya ini…

Imej umat Islam yang buruk dan negatif ini perlukan satu usaha pembaikan yang total dan menyeluruh. Usaha ini sangat perlu kerana sudah acap kali Islam terhukum oleh kelemahan umatnya sendiri. Walaupun kita boleh berhujah, kelemahan umat Islam bukanlah bukti kelemahan ajaran Islam, tetapi dunia akan terus tertanya-tanya, “Kalau begitu, di manakah keupayaan Islam dalam memacu kejayaan dan kecemerlangan umatnya?

Sebenarnya apa yang kita cari berada terlalu dekat dengan kita. Setiap minggu kita mendengarkan kekuatan itu dilaungkan oleh khatib-khatib dari mimbar masjid di seluruh dunia pada setiap hari Jumaat. Rahsia kekuatan itu adalah taqwa. Kita perlu kembali kepada taqwa – memahami, menghayati, mengamalkan dan memperjuangkannya. Tidak ada kekuatan lain selain taqwa yang mampu membawa kita keluar daripada belenggu kehinaan ini. Read the rest of this entry »

 
18 Comments

Posted by di 3 Januari 2011 in Tarbiyah

 

Label: , , , ,

TRAGEDI CINTA ISTERI

Dalam episod cinta takdir sering menguji kita. Mengapa aku mendapat suami yang begini? Mengapa dia tidak setia? Bila masalah melanda kita merasakan kitalah yang paling menderita. Mengapa aku yang menerima nasib begini?

Kita merasakan kitalah yang paling malang. Hanya mulut mengaku Allah itu Tuhan tetapi mengapa dengan takdir-Nya kita enggan? Semacam terlupa kata peneguhan di dalam al hadis dan Al Quran bahawa besarnya masalah, beratnya ujian dan hebatnya cabaran… berkadar terus dengan kekuatan iman.

 

Inilah hakikat yang mesti menjadi pegangan dalam menghadapi tragedi cinta di dalam rumah tangga. Tragedi cinta menjadi ujian iman dan tauhid sesetengah kita. Setiap orang ada medan ujiannya masing-masing. Dan untuk isteri yang teruji dengan pasangannya, sematkan di dalam dada… bahawa itulah takdir yang dipilih oleh Allah untuk menguji keimanan kita.

 

Bukankah sudah diungkapkan oleh sejarah, ada isteri yang baik diuji dengan suami yang jahat seperti Siti Asiah isteri kepada Firaun laknatullah. Bujukan Allah cuma satu, bergembiralah dengan pahala di sebalik ujian itu. Tenanglah dengan jani-janji syurga. Ini bukan ‘escapeism’ tetapi itulah iman. Yakinlah, bahawa cinta yang lebih besar sedang menguji cinta yang lebih kecil. Cinta Allah sedang menguji cinta kita kepada isteri atau suami.

 

Dan jika cinta yang kecil itu rapuh, jangan pula cinta yang lebih besar itu roboh. Percayakan janji-janji Allah di akhirat adalah penawar paling mujarab untuk menghadapi keperitan ujian hidup di dunia. Ketika disiksa menjelang kematiannya, Siti Asiah hanya memohon kepada Allah untuk mendapat rumah di dalam syurga. Jadi usah dikorbankan akhirat kita hanya kerana dipersiakan oleh cinta kita di dunia.

 

Bagaimana sekiranya, cinta kita sudah dipersiakan? Pasangan kita seolah-olah menjadi ‘orang lain’. Bukan dia yang kita kenal dahulu. Apakah ketika itu kita akan jadi panasaran? Habis segala laci, meja tulis, kereta atau begnya kita selongkar. Telefon bimbitnya, email, facebook dan apa sahaja milik peribadinya kita bongkar. Mencari dan menghidu kalau-kalau terdapat bukti kecurangannya. Siang malam diamuk gelisah. Kita bagaikan dirasuk.

 

Pada saat genting itu tekanlah butang ‘pause’. Bertanyalah pada diri, apakah kita masih menaruh harapan? Jika jawapannya masih ya, maka nyalakanlah harapan itu – keep hope alife! Berusahalah untuk memperbaiki diri. Dakap cinta Allah erat-erat. Moga perubahan itu membuahkan harapan yang  akan merubah pasangan kita.

 

Tempuhlah jalan-jalan yang baik dan dibenarkan oleh syariat untuk membetulkan keadaan. Jangan cuba membasuh najis dengan air najis. Maksudnya, jangan gunakan jalan yang salah untuk membetulkan kesalahan pasangan kita. Nanti keadaan akan bertambah buruk. Terimalah takdir itu dahulu. Jangan mungkir. Kita tidak mungkin dapat mengawal arah tiupan angin, tetapi kita masih mampu mengawal kemudi pelayaran.

 

Setelah berusaha sehabis daya… istirehatkan hati dan minda. Cuba tenangkan perasaan. Dia bukan segala-galanya dalam hidup yang singkat ini. Harapkan yang terbaik tetapi bersedialah menghadapi yang terburuk. Jika terpaksa kehilangan cinta itu bukan bukan bermakna kehilangan segala-galanya.

 

Buat isteri yang diuji, ambillah masa untuk bersunyi-sunyi dengan Allah. Ketika hati mu telah tenang tuliskanlah surat ini. Surat buat menghadapi tragedi cinta…

 

Suami ku yang disayangi,

Surat ini ku tulis dengan hati yang terus menerus berdoa agar kau dan aku berjaya mengatasi apa jua halangan dalam perjalanan kita mendapat keredaan Allah. Hingga kini aku terus yakin jika kita mencari kebaikan, insya-Allah, Allah akan memberikannya.

Terlebih dahulu ingin aku nyatakan bahawa dalam apa jua pergolakan dan ujian yang telah berlaku sepanjang kita berumah tangga, aku tetap menghormati mu. Walaupun ada masanya sikap dan kata-kataku terlanjur dan terkasar, itu bukanlah kerana aku sudah tidak  menghormatimu apatah lagi membencimu… tetapi semua itu kerana terlalu sayang. Aku tidak mahu kehilangan dirimu sebagai seorang suami seperti mana anak-anak kita juga tidak mahu kehilangan kasih-sayang seorang ayah. Read the rest of this entry »

 
80 Comments

Posted by di 6 Disember 2010 in Tarbiyah

 

Label: , , , , ,

NILAI ITU BUKAN PADA BARANG-BARANG BERNILAI…

Manusia bertindak melakukan atau tidak melakukan sesuatu berdasarkan emosi bukan logik. Begitulah mengikut hasil kajian pakar-pakar psikologi.

Maknanya, apa yang kita rasa itulah yang mendorong kita membuat keputusan dan bertindak, bukan apa yang kita fikirkan. Ini menjelaskan mengapa sesuatu perkara yang telah kita ketahui kebaikannya, tetapi kita gagal melakukannya.

Dan melakukan sesuatu perbuatan walaupun telah kita akui keburukannya. Solat Subuh misalnya, memang telah sedia kita ketahui adalah lebih baik daripada tidur. Muazzin telah menyeru, “sembahyang itu lebih baik daripada tidur.”

Namun mengapa begitu sukar untuk kita bangun melaksanakannya? Mengapa tindakan kita tidak selaras dengan apa yang kita telah ketahui dan fikirkan? Menghisap rokok pula walaupun memang diakui memudaratkan kesihatan tetapi masih ramai yang terus menghisap rokok termasuk sesetengah doktor.

Semua itu menunjukkan dominasi emosi mengatasi logik. Sering kali apa yang kita fikir dan rasa bertentangan. Dan dalam pertentangan ini emosi akan mengatasi logik.  Apakah yang mempengaruhi emosi kita? Jawabnya, nilai! Oleh itu nilai adalah unsur yang sangat penting dalam kehidupan kita. Jika nilai yang kita pegang itu betul, benar dan baik, maka tindakan kita pun akan betul, benar dan baik. Dan sekiranya, tersasar hidup kita seluruhnya akan tersasar jua. Read the rest of this entry »

 
17 Comments

Posted by di 15 November 2010 in Tarbiyah

 

Label: , , , ,

LAWAN HAWA NAFSUMU!

LAWAN NAFSU MU!

Bagaimana keadaan kita jika terlihat seekor lipan di hujung kaki tetapi kemudian terpandang seekor harimau tidak berapa jauh daripada kita? Apakah kita masih memikirkan bahaya lipan atau bahaya harimau. Ya, tentu sahaja kita akan berikhtiar untuk menyelamatkan diri daripada bahaya harimau. Walaupun lipan dekat, tetapi gigitannya tidaklah seganas cengkaman harimau. Begitulah perumpamaan antara bahaya nafsu dengan bahaya-bahaya yang lain. Nafsu akan menyebabkan kita lebih rasa menderita. Bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.

Malangnya, hal yang sepenting itu tidak dititik-beratkan. Kejahatan hawa nafsu, sifat-sifat dan kaedah melawannya hampir tidak pernah dibicarakan. Padahal, nafsu itulah angkara segala kejahatan yang kita deritai kini. Sebut sahaja, apa kejahatannya, pasti dalangnya adalah hawa nafsu.

Kita sibuk memperketat kawalan, disiplin dan undang-undang tetapi membiarkan puncanya berkembang subur dan membiak. Mampukah pagar yang rapuh mengawal binatang buas yang bilangannya kian banyak dan tenaganya semakin kuat? Begitulah bandingannya undang-undang ciptaan manusia dengan kejahatan hawa nafsu. Read the rest of this entry »

 
54 Comments

Posted by di 20 Oktober 2010 in Tarbiyah

 

Label: , , , ,

PUISI HATI DI AIDIL FITRI

Assalamualaikum saudara-saudaraku,

Ramadan sudah di hujung hari. Mudah-mudahan ia tidak di penghujung hati. Ia sentiasa hidup untuk baki hari seterusnya pada 1431 Hijrah ini. Untuk pengunjung Gentararasa, saya ketengahkan kembali sebahagian sajak-sajak  yang pernah saya nukilkan sempena Aidil Fitri. Ada diantaranya telah dijadikan nasyid. Saya ucapkan syukran jiddan kepada semua yang telah mengingati dan mendoakan saya. Saya juga akan sentiasa mendoakan anda. Apa lagi yang kita harap sesama manusia jika tidak doa dan nasihat?

Selamat membaca… semuga ada sekelumit manfaatnya.

IKHLAS DI HARI RAYA

Kita memberi bukan untuk menerima
Menabur budi bukan untuk dianggap berjasa
Moga tulus, putih dan murni hati kita
Memberi adalah kerana-Nya jua

Tidak mengapa jika tidak dikenang
Asalkan segalanya memberi satu ketenangan
Menyebut kebaikan meragut keikhlasan
Bukan kerana kelebihan kita…

Dalam samar mainan rasa
Kekadang datang jua serpihan bangga
Mengharap adanya balasan
Mendamba hadirnya kemasyhuran

Bukan itu yang diburu sejak mula
Ditagih kasih rasa di depan-Mu saja
Bila terasa segalanya dari-Mu
Rebahlah segala dari kita yang hina

Lalu…ke tika Takbir Syawal bergema…
Muhasabahlah tentang keberkesanan puasa kita
Apakah sudah ada keikhlasan…
di puncak taqwa.
Atau sekadar di pinggiran…
lapar dahaga!

Allah hu Akbar!
Allah hu Akbar!
Allah hu Akbar… walillah hil hamd
Oh, syukur kiranya Dikau masih sudi mengizinkan
Kami memuji dan memuja-Mu
Walau dengan lidah dan hati yang berdosa

BERILAH KEMAAFAN ITU

Berilah kemaafan itu
Lepaskan segala belenggu
Tanpa berpaling lagi
Pada dendam dan amarah

Berilah senyuman itu
Ikatkan doa yang suci
Pada salam yang terhulur
Pasti jiwa kan terhibur

Berilah hati itu
Bebaskan segala yang terbuku
Tanpa diguris duka
Pastikan dia bahagia

Berilah apa yang dipinta
Dengan apa yang kau ada
Pasti Tuhan menilainya
Diberi kelapangan jiwa!

TAKUT & HARAP DI AIDIL FITRI

Kekadang mahmudah tidak kecapaian
Hanya dengan tekunnya amalan
Tapi harus ditempa oleh tusukan ujian
Dari kesakitan, kegagalan dan…
persengketaan

Seringkali dosa dan mazmumah
Ditandai oleh perpecahan ummah
Sejauh mana kasih sesama manusia
Dibatasi oleh cinta pada yang Esa
Teguh iman, kukuhlah perpaduan

Kekadang Allah menyempitkan…
Supaya kita tak hanyut dalam kesenangan
Kekadang Dia melapangkan…
Supaya kita tak selalu dipagut kesempitan
Kekadang Dia melepaskan kita dari kedua-duanya
Supaya tidak bergantung kepada sesuatu
selain-Nya!

Ya Allah,
semoga di kemeriahan Syawal nanti
Hati kami tetap di madrasah Ramadan
Dalam alpa dan berdosa… kami takut
Dalam ingat dan taat… kami harap
Takut kemurkaan-MU!
Harap keampunan-MU!

Allah hu Akbar… Allah hu Akbar… Walillahhilhamd!

SEMAI KEBAIKAN TUAI KEREDHAANPada yang empunya harta melimpah
hulurkanlah zakat dan sedekah
Pada yang gagah sihat dan kuat
berilah tenaga dan keringat

Pada yang berbakat dan cendikiawan
murahlah dengan khidmat dan pengajaran
Pada yang miskin dan kesempitan
bersedekahlah dengan senyuman

Semua kita harus pemurah
Memberi bukan untuk bermegah
Tetapi itulah perintah Allah
Sebagai perantara rahmat dan barakah

Di dunia menyemai kebaikan…
Di akhirat nanti menuai keredhaan…
Di sini tempat berkerja memerah tenaga
Di sana tempat berehat menikmati syurga

Ramadan itu medan mujahadah
Agar di Syawal kembali ke fitrah
Perjuangan memang pahit kerana syurga itu manis
Ramadan itu bagai ‘dunia’ – menempuh ujian
Syawal itu umpama ‘akhirat’ – menempah kejayaan!

KEMBARA DI HARI RAYADahulu…
saat indah zaman nubuwwah
Di kanan iman, di kiri ukhwah
Di tapak… kebersihan hati
Di puncak… kecanggihan teknologi

Lalu keindahan Islam pun kembara
dari Makkah ke Madinah
Menuju Asia, Afrika dan Eropah
Jelajah seantero benua!

Ketika itu perilaku ummah dihias mahmudah
Di asas ‘lil Lah’ padu keikhlasan
Gerak kerja cekap dan berkesan
Kukuh seluruh sepenuh itqan

Puasa kita itulah kembaranya
Syawal kita itulah destinasinya
Membina TAQWA dengan yang Esa
Melahirkan AKHLAK sesama manusia
Menjana ITQAN di dalam kerja

Semuga Syawal kali ini
Adalah satu kemenangan
Menyemai kerendahan seorang hamba… di dalam jiwa
Menuai keperkasaan seorang khalifah… di maya pada
Jika tidak…
Kita terus terusan kembara!

Allah hu Akbar, Alllah hu Akbar, Allah hu Akbar!

PERISA HATI DI AIDIL FITRI

Kepelbagaian perisa menjadi satu rasa
Aroma yang berbeza bumbu kelazatannya
Pedas, harum, manis dan pahit bergaul mesra
Dalam resepi warisan sejak dahulukala

Pada kelembutan ketupat dan lemang
Pada keenakan lodeh dan rendang
Bersalut segala kreativiti dan aspirasi
Melahirkan citarasa yang serasi dan harmoni

Begitulah kiasan di Hari Raya
Hari mempertemukan semua yang berbeza
Segala bangsa, budaya dan agama
Buat menjalinkan kesatuan rasa

Berbeza bukan untuk bertentangan
Pelbagai bukan untuk bertikai
Di Aidil Fitri kita dipertemukan
Bagai ramuan dalam satu masakan

Inilah menu hakiki…
Inilah persaudaraan sejati…
Perisa hati di Aidil Fitri!

MAHAR CINTA SYAWAL

Dari medan Ramadan sepenuh perjuangan
Terpamir ketulusan jiwa, kemurnian hati,
kecerdasan fikiran, ketangkasan tindakan…
Ukir semurni tadbir
Tagih sesuci takdir

Dari takbir Syawal seluruh kemuliaan
lambang satu kemenangan
mengatasi kejahatan diri dalaman
menangani angkara musuh luaran
kembali ke fitrah…
kembali kepada Allah!

Hitung syukurmu di istana rahmat-Nya
Renung sukarmu di penjara dosa-dosa
Moga keberkatan Ramadhan…
Agar Kemuliaan Syawal…
Menjadi mahar seorang hamba…
untuk melamar cinta Tuhannya!

BUNGA TANJUNG
(Buat wanita solehah itu…)

Seroja wangi di jambangan
kemboja indah pandangan
anggerik cantik menarik
mawar merah menyala
… cuma Tanjung
di hujung kampung
harumnya sentiasa ada
tawadduknya tetap ketara

Bunga tanjung di hujung daun
Dipagar belantara merimbun
Namun harumnya sampai jua
… ke hujung kampung

Tanjung sepi sendiri
Mengadu sunyi di sisi Ilahi
Dia pilu yang menabur bakti
Tersiksa jiwanyaagar
Bahagia milik bersama
… tetap segar
… tetap mekar

Bunga tanjung mendakap wangi
Terseri di julang sanggul puteri
Gugurnya sebagai gugur serikandi
Bertuah anak yang memanggilnya ibu!
Beruntung suami yang memanggilnya isteri!

PELUANG SAMA NATIJAH BERBEZA

Ramadhan satu nasib tak serupa
Peluangnya sama natijah berbeza

Ramadhan mereka gemilang cemerlang
Mukmin berjasa diawal zaman
Ramadhan kami malam terbuang
Muslim berdosa di akhir zaman

Mereka gembira kerana kedatanganmu
Kami gembira dengan pemergianmu
Malam mereka meriah disimbah Nur al-Quran
Tapi malam kami muram bertemu dengkur

Mereka berlumba mengejar makrufat
Tapi kami lesu diburu nafsu
Hati mereka bercahaya digilap takwa
Jiwa kami gelap didera dosa

Takbir mereka takbir kemenangan
Hadiah mujahadah sebulan ramadhan
Takbir kami lesu tak bermaya
Tanda kalah lemah tak berdaya
Puasa sekadar lapar dan dahaga

MUHASABAH RAMADAN

Hari Raya Hari Kemenangan
Hari Kesyukuran Dilimpahi Kemuliaan
Di Lipatan Seni Mehnah
Ada Maksud Murni Yang Lebih Hakiki

Pada Nafsu Yang Dilentur Lapar Dahaga
Pada fikiran Disinar Wahyu dan Sabda
Pada Hati Bersih Di Solat Tarawih
Apakah Semuanya Telah Dimiliki

Puasa Mengajar Erti Ketabahan
Menghadap Ujian Berlandaskan Iman
Puasa Perisai Yang Sangat Maknawi
Penyinkap Hijab Antara Hamba Dengan Illahi

Puasa Sempurna Menahan Rohani dan Rasa
Puasa Sederhana Menahan Indera dan Juga Anggota
Puasa Biasa Hanya Melawan Lapar dan Dahaga
Lalu Di Manakah Puasa Kita
Adakah Masih Di Tahap Lama

Lalu Muhasabah Di Hujung Ramadhan
Sudahkah Terbangun Jiwa Teguh Dankukuh
Atau Kolam Jiwa Masih Tercemar Keruh
Bersembilu Dosa Duri Angkara

Ketika Bertahmid
Bertakbir
Bertasbih
Terasakah Ita Hamba Illahi
Yang Hanya Mampu Mengukir Tadbir
Sedangkan Padanya Segala Takdir

 
38 Comments

Posted by di 7 September 2010 in Tarbiyah

 

Label: , ,

‘Toxic People’ vs ‘Unsung Hero’

“Belajarlah merasa bahagia dengan membuat kebaikan tanpa diketahui oleh orang lain,“ pujuk saya.
“Senanglah saudara cakap begitu kerana saudara tidak mengalaminya. Jiwa saya tersiksa sungguh. Dulu projek tu sayalah yang memberi idea. Saya juga yang memulakannya. Pada waktu itu mereka melihat sahaja dengan penuh sinis. Tapi saya sejak dulu lagi sudah optimis, projek yang saya ilhamkan itu akan berjaya.”

“Masalahnya?”
“Setelah berjaya saya diketepikan. Mereka yang sinis dahulu beria-ria pula mendabik dada, konon kejayaan projek itu hasil usaha mereka,” ujarnya sedih.

“Allah Maha Mengetahui. Insya-Allah, Allah akan memberi ganjaran atas kebaikan saudara walaupun manusia lain mkelupakannya.”
“Betul macam yang diungkapkan oleh peribahasa lama, lembu punya susu, sapi dapat nama.”
“Biarlah sapi dapat nama, insya-Allah jika ikhlas kita dapat pahala dan keredaan Allah,” pujuk saya terus menerus.
“Saya sakit hati…”

“Saudara, bukan saudara seorang sahaja yang pernah melalui nasib begini, ramai orang telah melaluinya. Jika tidak, tidaklah timbul istilah ‘unsung hero’,” jelas saya.
“Unsung hero?”
“Ya, wira yang tidak dicanangkan atau didendangkan. Dia berjasa tetapi dilupa. Dia berbudi, tetapi dikeji. Pada setiap generasi perjuangan pasti ada golongan yang tidak disebut-sebut namanya, tidak dkenali apatah lagi dipuja, tetapi hakikatnya merekalah orang yang paling banyak berjasa dan berbakti.”
“Kenapa begitu? Adilkah?”

“Allah sedang mengajar saudara,” kata saya hampir berbisik. Mengalih fokus perbualan kepada dirinya dan saya.
“Allah sedang mengajar saya?”
“Allah mengajar saudara melalui mereka.”
“Apa yang Allah sedang ajar saya melalui perlakuan mereka?”
“Allah mengajar saudara tentang ikhlas!” tusuk saya perlahan. Read the rest of this entry »

 
53 Comments

Posted by di 29 Ogos 2010 in Tarbiyah

 

Label: , , ,

BILA DIGERAKKAN HATI UNTUK BERDOA…

Kita berdoa bukan untuk memberitahu Allah apa yang kita hendak kerana tanpa diberitahu pun Allah sedia mengetahui segala sesuatu. Allah Maha Mengetahui segala apa yang kita zahirkan mahupun apa yang kita sembunyikan. Jadi perlu apa lagi kita berdoa? Imam Ibn Ataillah menjawab persoalan ini dengan berkata, “…hendaknya doa permintaanmu adalah untuk menunjukkan sifat kehambaanmu dan menunaikan kewajipan terhadap kemuliaan Tuhanmu.”

Berdoa sebenarnya adalah satu tugas pengabdian. Doa adalah untuk membuktikan sifat kehambaan kita di hadapan Allah s.w.t. Dengan berdoa kita mengakui kelemahan, kemiskinan, kehinaan, kejahilan dan lain-lain sifat kehambaan kita di sisi-Nya. Sebagai hamba kita memerlukan Allah lebih daripada segala-galanya dalam hidup ini. Dan sebagai hamba kita wajib memuliakan Allah setiap masa. Inilah hakikat doa.

Dan Allah berfirman yang bermaksud: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina-dina.” (Surah Ghafir 40: 60)

Oleh sebab itu, sesiapa yang tidak berdoa, boleh dikira sombong terhadap Allah. Dia secara langsung seperti tidak mengakui sifat-sifat kehambaannya yang rendah, miskin, jahil dan hina itu. Dia seolah-olah berasa pandai, kaya, gagah dan mulia dan tidak memerlukan Allah lagi dalam kehidupan ini. Pada hal sebagai hamba Allah dia sebenarnya sangat rapuh untuk menjalani kehidupan di dunia yang penuh cabaran ini.  Read the rest of this entry »

 
40 Comments

Posted by di 16 Julai 2010 in Tarbiyah

 

Label: , , ,

BUKU MUKMIN PROFESIONAL

Alhamdulillah, saya mengucap syukur ke hadrat Allah swt, pada hari ini Insya-Allah, sebuah buku yang sangat besar ertinya kepada saya dan sahabat-sahabat di Fitrah Perkasa telah mula dicetak.

Saya berdoa semoga ada kebaikannya untuk semua. Kepada Allah jua kami berserah… semoga Allah permudahkan jalan kami untuk terus berdakwah dengan niat memperbaiki diri dan orang lain. Amin.

Bagi, pengunjung-pengunjung blog, terimalah prakata dalam buku yang diberi tajuk, Mukmin Profesional: Celik Mata hati ini.

PRAKATA

“Bukan soal mati pucuk tetapi mati akar!”

Tahniah, kerana mula membaca buku ini. Membaca umpama memberi ‘makanan’ pada akal dan memberi ‘cahaya’ bagi hati. Apa yang kita baca akan membentuk diri kita secara langsung. Sering diungkapkan oleh bijak pandai:

“Siapa diri kamu akan datang dicorakkan oleh buku apa yang kamu baca sekarang.”

Insya-Allah, buku ini akan mencorakkan hidup anda ke arah yang lebih baik. Malah keputusan untuk membacanya pun sudah membuktikan bahawa anda telah komited untuk belajar – satu tugas sepanjang hayat – dari buaian sehingga ke liang lahad.

‘When you stop learning, you stop leading’ – apabila kita berhenti belajar, kita berhenti memimpin. Setiap kita adalah pemimpin, sekurang-kurangnya pemimpin kepada diri kita sendiri. Jadi, apa yang anda lakukan sekarang sebenarnya bukan setakat membaca, malah anda sedang memimpin. Ingat selalu, ‘leaders are learners!’ – pemimpin adalah orang yang sentiasa belajar.

Tidak ada noktah dalam membentuk diri ke arah yang lebih baik. ‘Usaha membaiki diri adalah satu kembara yang tidak berhujung’. Sering kali penghujung suatu jalan, membuka satu jalan lain yang lebih luas.

‘In life, what sometimes appears to be the end is really a new beginning’.

Ya, dalam hidup, kadangkala sesuatu yang kelihatan seperti satu pengakhiran sebenarnya adalah satu permulaan yang baru! Berbanding malaikat yang secara tabiinya baik dan kebaikannya statik, manusia pula sebaliknya mempunyai potensi untuk menjadi lebih baik dan sentiasa dinamik.

BERJAYA, CELAKA ATAU TERPEDAYA?

Usaha memperbaiki diri bukan satu suratan (destiny) tetapi satu kembara (journey) yang berterusan. Malah, tidak keterlaluan kalau dikatakan perjuangan memperbaiki diri adalah satu perjuangan nafas panjang (the long breath war). Kita akan sentiasa berubah, sama ada menjadi orang yang lebih baik atau sebaliknya. Jika kita tidak menaik, kita pasti sedang menurun.

Kata hukama: “Orang yang berjaya ialah orang yang hari ininya lebih baik daripada semalam. Orang yang terpedaya ialah orang yang hari ininya sama seperti semalam. Dan orang yang celaka ialah orang yang hari ininya lebih buruk daripada semalam.”

Kita di golongan mana? Berjaya, terpedaya atau celaka? Terpulang pada kita untuk memilihnya. Justeru, sudikanlah buku ini sebagai panduan untuk membuat pilihan dan tindakan. Mudah-mudahan Allah akan membuka pintu hati kita untuk mencari dan mendapatkan kekuatan dengan membacanya. Amin.

Buku ini akan menjelaskan perkara-perkara penting dan teras dengan cara yang mudah dan pantas sama ada dari segi bahasa, perbahasan, dalil atau contoh-contohnya. Insya-Allah! Saya cuba memenuhi apa yang dinasihatkan oleh Fauzil Adhim, seorang pengarang tersohor Indonesia melalui katanya:

“Orang yang hebat menulis masalah berat dengan bahasa sederhana. Orang yang ingin disebut hebat menulis masalah sederhana dengan bahasa berat.” Read the rest of this entry »

 
51 Comments

Posted by di 22 Jun 2010 in Tarbiyah

 

MARI DEMONSTRASI HARI-HARI

Sekadar melihat dari sudut yang berbeza. Bukan sengaja atau saja-saja untuk mencipta kelainan, tetapi sedar bahawa setiap kita ada titik buta (blind spot)  masing-masing.

Dan perbezaan bukan semestinya satu pertentangan, ia hanya satu fitrah – manusia sentiasa unik. Ya, dari dimensi inilah saya melihat demonstrasi anti-Yahudi yang begitu marak sekarang.

Sejak sama-sama solat hajat di surau untuk ahli kariah kami yang turut berada di atas kapal misi bantuan yang diserang Israel itu, saya terus berfikir. Rasa marah, kecewa tetapi terus mengharap silih berganti dalam diri, yang saya pasti turut dirasai oleh kita bersama.

Palestin bukan soal ‘mereka’ tetapi soal ‘kita’. Dan hasil berfikir itu saya tumpahkan dalam sebuah artikel yang sengaja saya imiginasikan dalam bentuk dialog. Ikutilah dialog yang saya nukilkan selepas Subuh pagi tadi :

MARI KITA DEMONSTRASI HARI-HARI!

Setelah pulang daripada demonstrasi anti-Yahudi, seorang Pak Cik berbual dengan saya sewaktu sama-sama menunggu giliran mendapat rawatan di sebuah klinik.
“Puas hati. Kami dah bakar bendera Israel. Hancur luluh dibuatnya. Gambar PM Israel pun banyak yang kami robek-robekkan. Kalaulah tidak mengenangkan undang-undang, kami dah bakar kedutaan Amerika. Tapi kami masih rasional.”
Saya mengangguk-angguk kepala sahaja.

“Tel Aviv akan bergegar minggu ini dengan demonstrasi oleh seluruh dunia Islam. Dijangka banyak lagi siri demonstrasi akan diatur minggu hadapan. Awak jangan lepas peluang.”
Saya mengangguk kepala. Mungkin kerana demam, saya banyak diam. Lagipun saya telah berjanji pada diri, dalam berinteraksi perlu menjadi pendengar.
“Eh, awak tidak ada respons langsung. Baru demam sikit… janganlah begitu. Rakyat Palestin dibom, ditembak dan disekat bekalan makanan dan keperluan. Itu lagi teruk.”

Kali ini saya senyum. Saya bersuara perlahan, “saya sokong tindakan Pak Cik dan demonstrasi menyatakan pendirian kita menentang kekejaman Yahudi.”
“Bagus. Suara saya serak melaungkan takbir semalam. Dada ni sakit-sakit sejak akhir ni.”
“Kenapa Pak Cik?”
“Rokok dik. Semuanya fasal rokok ni.”
“Pak Cik hisap rokok apa?” saya mula teruja untuk berbual.
“Masih Winston. Dah sebati sejak dulu.”
Winston from America?” bisik saya perlahan. Read the rest of this entry »

 
103 Comments

Posted by di 5 Jun 2010 in Tarbiyah

 

Label: , , , ,

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 1,068 other followers