Ramai orang yang mengaku menyintai orang lain – isteri atau suami atau sesiapa sahaja, tetapi hakikat sebenarnya dia bukan menyintai orang itu… tetapi dia menyintai dirinya sendiri!
Sedarlah bahawa cinta dengan memiliki itu suatu yang berbeza. Jangan silap tentang hakikat itu. Ramai pasangan suami isteri ‘terkorban’ cintanya kerana gagal membezakan antara mencintai dengan ‘memiliki’.
Bila kita mencintai seseorang, kita berfikir tentang dirinya, bukan diri kita. Kepentingan sendiri tidak dihiraukan, bahagia kekasih itu itulah yang diutamakan. Ungkapan ini menggambarkan cinta yang sejati.Sebaliknya, jika kepentingan sendiri lebih diutamakan, perasaan, jiwa dan rasa kekasih dibiarkan, maka itu bukan cinta. Itu memperalatkan cinta, namanya!
Mencintai itu membebaskan, manakala memiliki itu cenderung mengikat, membelenggu dan mengawal. Berapa ramai isteri yang ‘mengawal’ suaminya atas nama cinta. Sehingga suami hilang kebebasan dan kemerdekaan dalam hidup seharian. “Bila nak balik?” “Kenapa lambat?” “kalau abang tak balik lagi, saya akan…” Bolehkah itu dikatakan ‘ayat-ayat’ cinta? Maaf, pertanyaan itu lebih mirip kata-kata seorang majikan kepada pekerja, bukan antara isteri dengan suami tercinta.
Suami pula apa kurangnya. Segala gerak-geri isteri dipantau penuh curiga. Setapak isteri melangkah, menggelak cemburu di dalam dada. Prasangkanya sudah ke tahap merimaskan sang isteri. Salah sedikit, marah. Terlanjur sekejap, ugutan. Bila ditanya, mengapa? Sisuami tidak malu mengaku, “kerana saya terlalu cintakannya!” Padahal, jika diamati dan diteliti, itu semua kerana cintakan diri. Kesihan, siisteri menjadi sandera cinta. Dikepung oleh penjara rumahtangganya, dicemeti oleh kata-kata suaminya. Ah, ada benarnya kata bijak-pandai… kekadang perkahwinan itu menjadi pusara percintaan! Baca baki entri ini »






Telah ku katakan sebelumnya, dipercayai lebih utama daripada dicintai. Dan itulah juga ungkapan yang kerap diulang-ulang oleh mereka yang arif tentang cinta. Ramai yang kurang bersetuju dengan kata-kata ini. Masakan begitu, detik hati kita.
Seorang isteri mengeluh mengapa suaminya sudah semakin jarang mengirim pesanan ringkas berisikan kata-kata cinta, sayang, rindu seperti mula-mula kahwin dahulu. Kalau adapun tidak sehangat dan sekerap dulu. Mungkin hanya sepatah OK, “ya” atau “tidak” sahaja yang tertera di layar telefon bimbit. Apakah dia sudah jemu? Atau cintanya sudah berkurang? Begitulah detik hati si isteri. Kadang-kadang suami sudah semakin mahal dengan senyuman. Kata-katanya boleh dikira. Sudah banyak diam. Pujuk rayu? Ah, jauh sekali.
Belajar dari ‘ayam’ tua.













