RSS

Arkib Kategori: Uncategorized

PENGGODA CINTA YANG MALU…

Bertemu lagi di hari Jumaat yang penuh barakah dan maghfirah ini. Marilah kita saling doa mendoakan antara satu sama lain agar sama-sama tidak goyah dan mengalah di jalan mujahadah ini. Walau bertongkat dagu, bergalas siku… merangkak, kita akan teruskan bergerak. Kita yakin kebahagiaan bukan sahaja ada di hujung jalan tetapi di sepanjang jalan. Sebelum sampai, sudah dinilai.

Umpama sipembunuh yang telah diterima taubatnya (walau telah mengorbankan 100 nyawa) ketika mati dalam perjalanan menunju destinasi hijrah dan taubatnya (satu cerita daripada hadis yang cukup terkenal!).  Ingat selalu, Tuhan yang sedang kita berhadapan dengan-Nya ini adalah Allah, yang kasih-sayang-Nya melebih kasih-sayang ibu yang paling mithali!

Seperti kebiasaannya, saya cuma ingin berkongsi. Satu nukilan alam rumahtangga yang biasa-biasa sahaja sifatnya. Sebagai bingkisan hati di pagi Jumaat yang mulia. Pesan saya buat diri dan semua, jadilah…

PENGGODA CINTA YANG MALU

Ada yang bertanya mengapa diri tertanya-tanya juga, kenapa cinta selepas kahwin (yang usianya telah bertahun-tahun) tidak sehangat dulu. Dulu, berpisah terasa rindu… tetapi kini lain sekali. Walaupun masih ada rasa rindu, tetapi tidak lagi sehangat dulu. Rinxdu itukan buah cinta, jika tidak ada rindu ertinya tidak ada buah cinta. Cinta yang tidak berbuah, tentulah cinta yang layu!

Bila berjauhan, ada juga berkirim sms, tetapi tidaklah sekerap dulu. Sekadar bertanya, apa khabar di sana? Macam mana anak-anak? Atau sekadar minta doanya. Tidak ada lagi kalimah cinta berbunga-bunga. Atau pujuk rayu yang sayu-sayu. Ah, biasa-biasa sahaja.

Betulkah selagi cinta itu diburu, ia akan indah. Tetapi bila ia telah dimiliki, keindahannya akan pudar sedikit demi sedikit. Kata orang tua dahulu, bila jauh (masih belum dimiliki) berbau bunga, bila dekat (sudah hari-hari di sisi) keharumannya tiada lagi. Ah, begitukah adat dunia?

Kata sesetengah lelaki (entah species mana), wanita kelihatan cantik selagi tidak menjadi isteri kita. Setelah menjadi isteri, kecantikannya akan hilang. Jika semua lelaki berpandangan begitu, rosaklah dunia. Ini semua gara-gara nafsu yang tidak pernah puas dengan apa yang ada. Kehendaknya tidak terbatas. Kerenahnya tidak kenal puas. Melayani nafsu bagai meminum air laut, semakin diminum semakin haus.  Read the rest of this entry »

 
52 Comments

Posted by di 7 Mei 2010 in Tentang Cinta, Uncategorized

 

Label: , , , ,

SAAT BERPISAH

Sebaik-baik penasihat ialah kematian. Namun, mana mungkin orang yang pernah mati datang kepada kita untuk menasihatkan? Mengingatkan mati, menakutkan. Manusia akan takut pada apa yang tidak diketahuinya.

Semuanya masih misteri. Hanya tinggal Al Quran dan Al Hadis untuk kita rujuk bagi mengetahui tentang kematian. Namun berapa kerat antara kita yang berbuat demikian… Cerita tentang kematian akan mematikan rasa kemanisan menikmati hidup ini. Dan akibatnya, mati terus mati dalam hidup kita!

Jika seseorang mengingati mati, akan mudah hatinya dilentur kepada makrufat dan makrifat. Jika mengingati kematian jiwa akan jeran dan bosan dengan maksiat dan sayyiat (perkara yang buruk). Jika mati itu hidup di dalam hati kita…kita akan mudah memberi dan meminta maaf. Kita akan mudah bersabar dan bertenang dengan karenah insan.  Nikmat dosa akan sirna dengan mengingati mati. Azab taat akan kecil bila teringat saat kembali.

Ketika hatimu jemu dengan ketaatan, mula tergiur dengan kemaksiatan… kenang-kenangkanlah SAAT BERPISAH

Saat perpisahan itu pasti tiba. Dan tidak ada masa yang sesuai untuk saat itu. Kita datang tidak diminta, kita pulang tidak diduga. Bila sanggup hidup, mesti sanggup mati. Bila sanggup datang, mesti sanggup pulang. Kita hanya menghabisi bilah-bilah hari yang telah ditentukan. Tujuan ke sini untuk diuji… tiba masanya pasti kembali!

Mengapa terlalu enggan untuk berpisah? Nikmat sangatkah dunia ini? Padahal senang dan susah bertukar ganti, suka dan duka datang dan pergi. Tidak ada yang kekal lama, semuanya bersifat sementara. Jika mati tidak memisahkan, kesenangan ini pun akan pergi jua. Kata mereka yang arif tentang kehidupan:
“Manusia lahir bersama tangisan, dicelahi kehidupannya oleh tangisan dan akan dihantar ke pusara oleh tangisan.” Read the rest of this entry »

 
61 Comments

Posted by di 3 Mei 2010 in Tarbiyah, Uncategorized

 

Label: , , , ,

REVOLUSI BERUK

Saya senyum sendirian membaca cerpen-cerpen lama yang pernah saya tulis waktu muda-muda dahulu. Begitu polos dan terus sindirannya. Tanpa hiasan hikmah dan belaian indah kata-kata, dahulu saya menyampaikan mesej secara keras dan kejang begitu sahaja. Orang muda… begitulah.

Saya tidak berhenti menulis cerpen sebenarnya. Cuma cerpen-cerpen saya kebelakangan ini, lebih “melo” dan peribadi sifatnya. Lalu saya simpan sahaja untuk tatapan peribadi.

Suka saya berkongsi dengan pengunjung blog… sebuah cerpen yang telah saya tulis lebih kurang 20 tahun yang lalu.  Maafkan saya, jika tulisan ini terlalu satira dan sangat sinikal. Orang muda… memang begitu. Mungkin pendekatannya kasar, tetapi insya-Allah MESEJnya relevan hingga kini.

Terimalah…

REVOLUSI BERUK

Sesungguhnya ilmu itu bukanlah kejahilan

akan tetapi ada ilmu yang bahayanya

lebih daripada kejahilan.

-Imam Al Ghazali

Raja Beruk termenung.Ekor panjangnya melilit di celah batang sambil tangannya yang berbulu itu memegang ranting dahan.

Dia termenung.Anak-anak buahnya bergayutan dari dahan ke dahan,berteriak,menjerit penuh riang.

“Nyet…nyet…nyet,”gegak-gempita,rimba raya ditusuk jeritan beruk-beruk hutan.Tapi Raja Beruk terus termenung…

“Mengapa paduka tuan?”tanya Menteri Beruk.

Diam..tiada jawapan.Raja Beruk terus diam.

“Mengapa paduka tuan?”Tanya Menteri Beruk sekali lagi.

“Aku risau…”sepatah jawab Raja Beruk.

Pokok ketapang tempat semayam Raja Beruk tetap tegap.Buah-buahan hutan hadiah anak buahnya tidak dijamah.

Menteri Besar terus tertanya-tanya.Apa dah jadi pada Rajanya?

Raja Beruk tetap risau.

“Apa khabar utusan-utusan yang kita tugaskan?”

“Sudah seminggu mereka tak balik-balik,Kakap belum balik

dari Selatan.Semik belum balik dari Barat,Koring belum sampai dari Timur…Mana Sigah dari Utara?”keluh Raja Beruk.

“Jangan risau tuanku ,mereka pasti balik”,pujuk Menteri Beruk.

“Itu aku tahu tetapi berapa lama?”bentak Raja Beruk dengan nada tinggi.Marah nampaknya dia,

“Mana manuskrip itu? Cuba bacakan sekali lagi!”perintah Raja Beruk.Memanda Menteri mencapai kertas keramat yang dimaksudkan.Dikeluarkan dari celah banir pokok yang terlindung dengan daun-daun kayu.Dalam hati Memanda Menteri Beruk hot juga.Nak protes depan-depan tak berani. Dia dah jemu sebab kali ini sudah seratus sembilan puluh,manuskrip itu dikeluarkan.Dan dia sudah pasti,pasti..

dia diperintahkan membacanya lagi .

Tiba-tiba…

“Nyet…nyet…ook…ook…”suara garau Raja Beruk bertitah.

Suaranya bergema di kawasan hutan itu.Anak buah yang tadinya bergayutan menjerit ,bergurau,dan bersuka-suka diam serta merta.Semuanya taat perintah.Raja Beruk perintahkan diam.Dia ingin menghayati isi manuskrip itu.Jangan diganggu konsentrasinya.Anak buahnya mesti diam.Dan mereka nampaknya terus patuh.Titah R aja Beruk tetap dijunjung.

Meskipun beruk sama-sama beruk tetapi ia jadi Raja.Dan rakyatnya hanya menerima beruk menjadi raja.Sudah tentu!

“Ini perutusan agung dari datukmu Darwin:asal kami adalah beruk…tetapi sekarang kami dipanggil manusia.Kami bina tamadun hidup yang tinggi,kekayaan dari perut bumi kami gali,kami duduk dalam rumah berhawa dingin dan menikmati makan-minum,tidur baring dan berhibur dengan selesa.Kami bina ia dengan keupayaan kami sendiri.Dengan otak yang telah berkembang.Ekor kami jadi kecil,wajah kami jadi cantik…

Semua penukaran semulajadi dan ini kami tangani dengan revolusi otak dan evolusi fizikal…

“Gunakan otak wahai saudara-saudaraku beruk!Hutan akan musnah,pokok tempat bergayut akan ditebang manusia.Buah kelubi,pisang hutan dan lain-lain milik kamu akan pupus.Teknologi manusia akan menghimpit kamu.Satu dan hanya satu jalan keluar …Beruk-beruk mesti jadi manusia!Jadilah manusia!Jadilah manusia!”

Begitulah isi manuskrip yang dibaca oleh Menteri Beruk.

Mata Raja Beruk jadi bersinar,fikirannya melayang-layang…

Aku…detik hatinya,aku akan memimpin rakyatku untuk satu revolusi.Revolusi besar,hebat dan gagah.Apa dia?Menukar dan memimpin beruk menjadi manusia!Nah, itu misi revolusiku…

Itulah impian Raja Beruk.Mimpi yang dibawanya ketika bergayut.Mimpi yang dibawanya ketika memamah buah kelubi.

Mimpi ketika bermesra dengan permaisuri beruk…mimpinya ingin menjadi manusia.

Anak buahnya memandang Raja Beruk dengan mata terkebil-kebil.Simpati ada,rasa risau pun ada.Selalunya badan sasa Raja Beruk akan kelihatan melompat ke sana ke mari.

Memimpin ketika mencari makan ,mengatur ketika bermain-main dan macam-macam lagi kehebatnnya.Kini Raja Beruk terpesuk ,tunduk dengan wajah murung.Tentu ada sesuau yang difikirkan…Apakah tempat baru ini tidak sesuai?Mustahil.Mereka baru sahaja berpindah ke tempat ini. Read the rest of this entry »

 
39 Comments

Posted by di 27 April 2010 in Iktibar Kisah, Uncategorized

 

Label: , , ,

JANGAN BERTASBIHKAN CINTA!

Selepas menonton filem Ketika Cinta Bertasbih dengan anak-anak di rumah, saya terkesima. Begitu indah dan benar sekali sulaman kisahnya. Puas saya katakan kepada anak-anak, saya inginkan apa yang ada dalam filem itu diterjemahkan dalam keluarga.

Namun, saya cuma mengharap, berdoa dan berusaha… bukan mudah menundukkan fikrah apatah lagi jiwa anak-anak remaja kini walaupun anak kita sendiri.

Seperti saudara-saudara juga saya terus berusaha. Kita tidak akan mengalah. Terus dengan tazkirah, solat jemaah dan belaian-belaian lembut tarbiah. Jika tidak diterima sepenuhnya hari ini, esok, lusa… insya-Allah, akan masuk ke hati mereka jua. Ada yang cepat dan menurut dengan taat. Ada yang menunggu, berfikir dan termanggu. Dan ada kelihatan biasa-biasa sahaja… tanpa reaksi, sukar diteka.

Kepada Allah kita berserah, biarlah semua program-program Islamik ini kita “installkan” dulu dalam fikirah dan jiwanya. Walaupun sekarang semacam tidak diendah, tetapi insya-Allah nanti akan berkesan jua.

Lalu dalam kesyahduan harap dan doa itu, saya titipkan tulisan ini buat anakku dan anakmu… dan mungkin juga untuk kita juga… terimalah …

JANGAN BERTASBIHKAN CINTA!

Isteri disimbah asid! Suami yang dikahwini atas dasar cinta rupa-rupanya pendera. Ini cerita lama dalam versi baru (dulu ada cerita suami disimbah asid). Semua ini mengingatkan saya pada perbualan dengan seorang wanita suatu ketika dahulu.

“Entah kenapa, tiba-tiba dia jadi begini. Sepanjang tiga tahun kami bercinta, tidak pula dia menunjukkan sebarang tanda-tanda yang dia panas baran. Semuanya baik dan lembut belaka. Tapi tak sampai lima bulan setelah berkahwin, baru saya tahu dia begitu panas baran orangnya,” luah seorang isteri.

“Awak mungkin bercinta, tetapi tak kenal…” ujar saya.
“Tiga tahun bercinta masih tak kenal? Mustahil,” balasnya.
“Kenal itu dengan akal dan hati. Mungkin semasa tiga tahun awak berdua bercinta… kurang guna akan dan hati, hanya guna emosi dan nafsu. ”
“Akibatnya ini?”
“Ya, akibatnya ini, bercinta tanpa kenal hati budi.”

Begitulah antara dialog yang pernah berlaku antara saya dengan seorang isteri yang didera suaminya. Akibat cinta tanpa kenal dia menderita. Secara tabiinya, kita perlu kenal baru cinta tetapi kini sudah ramai yang cinta baru kenal. Akibatnya timbullah penyesalan yang tidak sudah-sudah. Akibat salah pilih, suami atau isteri yang disangka boleh memberi bahagia, rupa-rupanya punca derita!   Read the rest of this entry »

 
40 Comments

Posted by di 15 April 2010 in Uncategorized

 

Label: , , , , ,

Di mana DIA di hatiku?

Insya-Allah, pada hari ini sebuah lagi buku hasil tulisan saya kan berada di Pesta Buku KL. Buku Di mana DIA di hatiku ini saya tulis hasil dorongan yang sangat kuat daripada Kak Wan, seorang editor di Alaf 21 Karangkraf. Saya kagum dengan kemesraan, kegigihan dan iltizamnya.

Akhirnya, saya bersetuju untuk menulis… Dan ikutilah petikan bab terakhir daripada buku ini:

Di mana DIA di hatiku?

…. semasa Rasulullah s.a.w dan Sayidina Abu Bakar bersembunyi di gua Thaur, dalam perjalanan untuk hijrah ke Madinah, musuh-musuh Islam sudah berdiri di hadapan pintu gua dan hampir menemui mereka…

Ketika Sayidina Abu Bakar cemas, Rasulullah s.a.w menenangkannya dengan berkata, “jangan takut, Allah bersama kita.” Itulah kehebatan Rasulullah, Allah sentiasa di hatinya.

Sewaktu Da’thur seorang tentera musuh menyerang hendap Rasulullah saw lalu meletakkan pedang ke leher nabi Muhammad saw dan bertanya, “siapa akan menyelamatkan kamu daripada ku?”
Rasulullah saw dengan yakin menjawab, “Allah.” Mendengar jawapan itu gementarlah Da’thur dan pedang pun terlepas daripada tangannya. Itulah kehebatan Rasulullah saw… ada DIA di hati baginda.

Diceritakan bahawa suatu ketika khalifah Umar Al Khattab ingin menguji seorang budak gembala kambing di tengah sebuah padang pasir.
“Boleh kau jualkan kepada ku seekor daripada kambing-kambing yang banyak ini?” tanyanya kepada budak tersebut.

“Maaf tuan, tidak boleh. Kambing ini bukan saya yang punya. Ia milik tuan saya. Saya hanya diamanahkan untuk menjaganya sahaja.”
“Kambing ini terlalu banyak dan tidak ada sesiapa selain aku dan kamu di sini, jika kau jualkan seekor kepada ku dan kau katakan kepada tuan mu bahawa kambing itu telah dimakan oleh serigala, tuan mu tidak akan mengetahuinya,” desak Sayidina Umar lagi sengaja menguji.   Read the rest of this entry »

 
60 Comments

Posted by di 25 Mac 2010 in Uncategorized

 

Label: , , ,

BUKAN CINTA BIASA…

Dipegang jubah suaminya. Matanya yang jernih merenung sayu.
“Apakah ini kerana Allah?” tanya hampir berbisik.
“Ya, wahai isteri ku. Semua ini kerana Allah,” jawab suaminya lalu segera berlalu. Tanpa toleh, tanpa berpaling.

Mendengar jawapan itu Siti Hajar tidak berkata apa-apa lagi. Mata dan hatinya menghantar suaminya Ibrahim AS berlalu pergi. Tega dan redha. Kalau suami ku bertindak meninggalkan aku kerana Allah, aku mesti rela ditinggalkan juga kerana Allah, mungkin itulah rasa hati Siti Hajar sewaktu ditinggalkan Ibrahim.

Itulah sedikit gambaran perpisahan kerana Allah. Nabi Ibrahim AS rela meninggalkan isteri dan anaknya Ismail di bumi yang kering kontang. Satu lembah yang gersang jauh daripada manusia, haiwan dan tumbuhan. Ya, itu semua perintah Allah. Demi cinta khalik yang lebih tinggi dan suci, ditinggalkannya cinta terhadap anak dan isterinya. Itulah hati Nabi Ibrahim. Jika dulu dia diuji dengan bakaran api, kini dia diuji lagi oleh perpisahan dengan anak dan isteri.

Jangan disangka hanya Siti Hajar sahaja yang menderita ditinggalkan, tetapi bayangkanlah juga derita suaminya Nabi Ibrahim yang “meninggalkan”. Kekadang orang yang meninggalkan lebih perit dan sakit penanggungannya daripada orang yang ditinggalkan. Namun apakah pilihan Ibrahim, bila cinta Allah berbicara, cinta yang lain akan membisu seribu bahasa…  Read the rest of this entry »

 
55 Comments

Posted by di 11 Mac 2010 in Uncategorized

 

Label: , , , , , ,

BIARKAN CINTAMU BERKATA TIDAK!

Kerap diungkapkan, cinta itu buta?Apakah benar cinta itu buta? Apakah cinta orang beriman juga buta? Kalau buta yang dimaksudkan itu tidak mampu lagi melihat mana yang hak, yang mana batil, tentulah cinta orang yang beriman tidak buta.

Tidak! Cinta yang suci tidak buta. Orang beriman tetap celik walaupun sedang dilamun bercinta. Mereka masih tahu dan mampu melihat serta menilai yang mana baik, yang mana buruk, yang mana halal, yang mana haram sewaktu bercinta.

Namun sekiranya buta yang dimaksudkan tidak nampak lagi segala kesusahan demi mendekatkan diri kepada yang dicintainya (Allah)… ya, cinta orang beriman memang buta. Orang yang beriman tidak nampak lagi ranjau duri untuk mendekatkan diri kepada Ilahi.

Pernah Sayidina Abu Bakar ra pernah berkata kepada anaknya, “jika aku menemui mu dalam perang Badar dahulu, aku sedikit pun tidak teragak-agak untuk membunuh mu!” Mus’ab bin Umair pula pernah berkata kepada ibunya, “jika ibu punya 100 nyawa dan nyawa itu keluar satu persatu, saya tidak akan meninggalkan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad.”

Ya, cinta orang beriman itu buta. Tetapi bukan buta melulu. Yang buta melulu hanyalah cinta orang yang lemah iman. Cinta itu telah dikotori oleh kehendak nafsu dan bujukan syaitan. Apa sahaja yang disuruh oleh nafsu dan dihasut oleh syaitan akan diikuti. Cinta buta oleh orang yang buta mata hatinya sanggup mengorbankan maruah, harga diri malah membunuh demi cintanya. Memang benar kata pepatah Arab, seseorang itu menjadi hamba kepada “apa” atau “siapa” yang dicintainya.

Kalau sudah cinta, kita jadi “buta” terhadap penderitaan, kesusahan dan segala keperitan demi menyukakan hati orang yang kita cintai. Oleh itu bertuah sekali jika orang atau apa yang kita cintai itu adalah orang yang baik atau sesuatu yang baik, maka kita akan menjadi hamba kepada orang yang baik dan kebaikan.

Sebaliknya, jika yang kita cintai adalah kejahatan atau orang yang jahat… kita akan diperhambai sentiasa kepada kejahatan. Firaun mati lemas kerana diperhamba kuasa. Manakala Qarun ditelan bumi akibat diperhamba harta. Dan berapa ramai negarawan, hartawan dan bangsawan yang kecundang kerana cintakan wanita? Orang mukmin itu sangat cinta kepada Allah. Firman Allah: “Orang mukmin itu sangat bersangatan cintanya kepada Allah.” Al Baqarah 165.

Read the rest of this entry »

 
58 Comments

Posted by di 19 Februari 2010 in Tentang Cinta, Uncategorized

 

Label: , , , ,

PARASIT HATI

Sudah lama aku tidak menulis. Entri dalam genta-rasa sepi. Hujung tahun, biasanya aku sibuk dengan diri ku sendiri. Bermuhasabah tentang masa lalu, menilai masa kini dan merancang masa akan datang. Tulisan-tulisan dalam diari 2009 dan 1430 H diteliti kembali.

Tangis dan senyum silih berganti. Walaupun dicelahi oleh kesibukan oleh program kursus dan ceramah-ceramah yang bertali arus, namun alhamdulillah urusan persiapan pengajian anak-anak dapat juga ditangani secara teratur. Lepas satu, satu. Insya-Allah, menjelang tahun baru mungkin berkesempatan menziarahi cucu.

Sahabat dan saudara-saudaraku, apa khabar? Ku kira kau juga akan sibuk seperti ku. Inilah kehidupan, inilah ujian. Langit kehidupan ini akan sentiasa mendung dengan pelbagai episod dan peristiwa. Hujan, kilat, petir dan guntur akan sentiasa melakarkan suka dan nestapa di kanvas kehidupan kita. Ah, jalan ini, pangkalnya sudah jauh…hujungnya belum tiba. Pernah ku tulis semua ini satu ketika dulu….

Suci Sekeping Hati

Sekeping hati dibawa berlari
Jauh melalui jalanan sepi
Jalan kebenaran indah terbentang
Di depan matamu para pejuang

Tapi jalan kebenaran
Tak akan selamanya sunyi
Ada ujian yang datang melanda
Ada perangkap menunggu mangsa

Akan kuatkah kaki yang melangkah
Bila disapa duri yang menanti
Akan kaburkah mata yang meratap
Pada debu yang pastikan hinggap

Mengharap senang dalam berjuang
Bagai merindu rembulan di tengah siang
Jalannya tak seindah sentuhan mata
Pangkalnya jauh hujungnya belum tiba

Diambang 2010, di mukaddimah 1431 H, enam segmen kehidupan diteliti satu persatu – kerohanian, ilmu, keluarga, kerjaya, kesihatan, kewangan. Ku teliti hati-hati dan ku disuluh sepenuh satu persatu. Kepincangan dan lompang kelihatan di mana-mana. Sabar. Dan aku perlu bangun untuk memperbaikinya. Prestasi dan kemajuan… alhamdulillah, juga kelihatan. Syukur. Dan bangun lagi untuk meningkatkannya.

Di langkah pertama memacu roh hijrah 1431 H dan momentum 2010, aku hanya ingin mengingatkan. Tentang wujudnya parasit… parasit hati!

Awas, parasit yang seperti itu sentiasa ada. Kenali dia dan menghindarlah jauh-jauh tanpa bermusuh. Jangan buka ruang dan peluang untuk dia mencelarukan hidup mu. Jangan biar dia mengelirukan pertimbangan mu. Dia itu pandai berkata dan licik bercerita. Cerita yang memikat. Kata yang mengikat. Dia seolah-olah sahabat terapat… tetapi rencananya busuk sekali. Dalam diam dia bijak melaksanakan dendam. Bagaikan api di dalam sekam!

Mungkin kita tidak pernah menjangka orang yang begini wujud. Jika anda lurus, tulus tetapi tidak berhati-hati… anda akan serahkan segala-galanya kepada dia. Kepercayaan, kesetiaan dan harapan, anda pertaruhkan kepadanya. Dia itu bijak menghulur, tetapi tiba-tiba dia akan menyentak dan anda akan tersentak. Dia kah itu? Mungkin dia berwajah jernih, murah senyuman dan pandai menabur simpati. Lalu anda akan terkesima dalam terpedaya. Sudah nyata tetapi seakan masih tidak percaya. Dia kah itu?

Beringat-ingat, ketika dia bercerita tentang orang lain, satu ketika orang lain pula akan mendengar cerita mu. Dia bijak mengatur bidak, menjolok yang sana untuk menjatuhkan yang sini. Atau menyanjung yang sini untuk memancung yang sana. Di mana pun dia mudah mendapat kawan, kerana simpati, empati dan kata-katanya sangat menawan. Terlalu lama masa untuk mengenal warna dia yang sebenar. Hanya bila anda mula menjarak, barulah rupanya yang sebenar terserlah.

Jangan takut dan rugi untuk menjauhinya. Dia hakikatnya “parasit” pada hati mu dan diri mu. Dia akan sentiasa memperalatkan dan punya dua wajah yang boleh diterima oleh dua atau tiga pihak yang saling bertelagah. Jika permusuhan orang lain menguntungkannya, dia menjadi batu api. Jika perdamaian orang lain memberi manfaat, dia akan kelihatan sebagai juru damai yang begitu cinta keamanan. Tetapi hakikatnya bukan orang lain yang menjadi sasaran kebaikan, tetapi dirinyalah jua yang meraih keuntungan.

Aku menulis ini justeru ada pertanyaan. Aku enggan menulis tentang watak “hitam” dalam kelompok manusia seperti dia. Aku pun bukan “malaikat” yang serba suci dan tidak punya kesalahan. Tetapi berdasarkan ilmu dan pengalaman yang secebis, anda, aku dan kita pasti menemui orang-orang seperti ini dalam pergaulan. Jika tidak setuju, dia senyum, manis seolah-olah setuju. Tetapi belakang kita lain bicaranya. Jadi, jangan ada apa-apa hubungan dengannya… biarkan dia berlalu sebagai “tanda jalan” dalam musafir hidup mu!

Cinta jangan keterlaluan, benci jangan sekali. Namun berhati-hati itu sangat perlu… pembeza antara sangka baik dan waspada. Sangka baik itu dituntut, waspada itu perlu. Jangan tertipu dengan senyuman. Jangan melulu oleh kemarahan. Sebaik-baiknya aturlah perasaan agar sentiasa di pertengahan. Agar diri sentiasa dalam kawalan. Pintalah hidayah, pohonlah taufik, untuk mencari kesetiaan dalam amukkan badai kemunafikan.

Maaf kiranya bicara ku ini dibauri bunga-bunga bahasa. Sengaja ku kelamkan makna di balik sulaman kata-kata. Bukan tidak mahu berterus terang… tetapi sekadar “melembutkan” pendekatan. Ya, mana mungkin air najis akan membersihkan najis? Mana mungkin satu keburukan dihapuskan oleh satu keburukan yang lain? Cuma aku tidak mampu berdiam. Sebagai manusia biasa, hati kita bukankah umpama kuah yang sedang menggelegak? Ada kala dingin seperti salju, tetapi ada masanya bagaikan lahar berapi yang sedia meledak!

Ah, biasa ilmu akan datang memujuk kita. Ditayangkan di depan mata akan keburukan sendiri, lalu ketika itu kaburlah kesalahan orang lain. Teringat pesan Imam Ghazali RHM, jika yang melakukan kemungkaran itu orang muda… kau katakan, dia masih muda. Masih sedikit dosa dan kesalahannya. Berbandingkan kau yang telah tua, yang terlalu pekat oleh maksiat. Dia masih punya masa untuk taubat. Sedangkan kau sudah berada di garis penamat.

Jika yang melakukan kejahatan itu sijahil, kau ingatkan diri mu bahawa dia melakukannya kerana tidak tahu. Sebaliknya jika kau melakukan kejahatan, kau melakukannya dengan ilmu, dalam sedar, dalam tahu. Oleh itu dosa mu adalah terlalu. Takutilah parasit hati… yang berasal daripada hati mu sendiri!

Ya, sekali lagi… pandanglah dulu onar diri mu. Parasit hati itu tidak akan mampu merosakkan mu jika kau sentiasa:
1. Solat berjemaah.
2. Sentiasa berzikir.
3. Berdamping dengan Al Quran.
4. Melazimi taubat dan berselawat.
5. Sering bersedekah.

Itulah perisai hati yang akan melemahkan parasit hati!

 
26 Comments

Posted by di 27 Disember 2009 in Kemudi Hati, Uncategorized

 

Label: , , , , , ,

DEMONSTRASI MELALUI SOLAT SUBUH BERJEMAAH?

ethiopia_muslim_boy_islam_by_ademmmDalam buku Misteri Solat Subuh karangan Dr. Raghib As Sirjani menukilkan, “pernah salah seorang penguasa Yahudi menyatakan bahawa mereka tidak takut dengan orang Islam kecuali satu hal berlaku yakni bila jumlah jemaah solat Subuh menyamai jumlah jemaah solat Jumaat.”

Atas dasar apa dia berkata demikian, tidak pula dinyatakan secara pasti. Namun jika kita sendiri melihat situasi ini lebih dekat, ada logik dan kebenarannya.

Pada tahun 80’an, sewaktu masih menuntut di universiti, terjadi satu tragedi besar dalam dunia Islam. Tentera Soviet Union (yang belum berpecah seperti sekarang) telah menyerang Afghanistan. Pada ketika itu Nur Muhammad Taraki, Babrak Karmal (seingat saya) dan lain-lain tali barut komunis telah menjadi musuh yang “menjemput” tentera Rusia menjajah Tanah Air mereka sendiri. Pelajar-pelajar Islam di universiti tempatan ketika itu telah bangun melancarkan demonstrasi.

Saya masih ingat bagaimana ucapan berapi-api daripada para pemimpin pelajar ketika itu telah membakar emosi dan menimbulkan rasa marah yang amat sangat kepada Komunis Rusia. Bendera Soviet, patung Breznev dan Babrak Karmal telah dibakar. Ucapan yang berapi-api telah disambut oleh jeritan, “Allah hu Akbar! Allah hu Akbar!” telah bergegar di padang tempat kami melakukan tunjuk perasaan.

Rasa-rasanya, kalau dilihat pada semangat yang memuncak, bagaikan semua telah bersedia untuk dihantar ke Afghanistan untuk membantu Mujahidin (waktu itu belum ada Taliban) bagi melancarkan jihad. Bilangan pelajar Islam yang berdemonstrasi saya rasa hampir mencecah ribuan orang.   Read the rest of this entry »

 
20 Comments

Posted by di 14 Oktober 2009 in Iktibar Kisah, Uncategorized

 

Label: , , , ,

MENCARI BUKAN MENANTI MALAM AL QADAR!

1_529193283lSetelah begitu resah, bimbang dan sedih atas kerosakan kaumnya, Rasulullah SAW pergi menyendiri (bertahannuth) di gua Hira’. Baginda nekad. Tidak mahu “kotoran” jahiliyah hinggap pada hati dan dirinya. Hatinya meronta-meronta inginkan kebaikan buat kaumnya, tetapi apa kan daya, baginda tidak punya “senjata” dan “penawar” untuk menghadapi dan mengubatinya.

Sejak berbulan-bulan baginda di situ. Menyendiri, terasing seketika, untuk tidak terjebak dalam kejahilan dan kemusyrikan. Bukan mengalah, tetapi berundur seketika mengatur langkah. Walaupun belum nampak cara tetapi kemahuan sudah ada. Hatinya sebagai wadah itu sentiasa menganga untuk mendapat pimpinan dan bimbingan.

Dan tiba-tiba pada satu malam yang penuh barakah, cahaya dan petunjuk, turunlah malaikat Jibrail membawa wahyu yang pertama. Saat itulah, baginda mula mendapat kekuatan, tenaga dan dorongan yang sangat luar biasa. Segala yang dinanti telah tiba. Segala yang “kosong” telah terisi.

Baginda menjadi Rasul sejak itu… mula dibebankan misi yang amat besar yakni berdakwah, mendidik dan memimpin kaumnya menuju Allah. Kembali ke fitrah. Malam yang bersejarah itu dikenali sebagai malam Al Qadar!

Mulai saat itu, selamat tinggal Hira’. Tidak ada pengasingan diri lagi selepas itu. “Rahib” sudah bertukar menjadi mujahid. Cahaya yang bermula dari dalam gua itu terlalu hebat, terlalu terang… bukan itu gelanggangnya, tetapi semesta alam. Roh iqra’ yang hebat itu disusuli kemudiannya oleh gerak Al Mudathir, lalu baginda pun menguak “selimut” uzlahnya lalu dibesarkan Tuhannya dengan sinar akidah di relung samar Jahiliah.

Apakah malam Al Qadar 1430 H ini akan ditunggu oleh hati seputih Rasulullah saw? Atau hanya diintai dan diramal oleh kebanyakan umat dengan hati yang kotor dan nafsu liar. Apakah al Qadar akan sudi bertamu di wadah hati yang begitu? Padahal hati Rasululah ketika menantinya sudah dikosongkan demi bertamu sebuah hidayah? Berapa lamakah kita telah membenci kemungkaran seperti Rasul membencinya hingga tiba saatnya baginda layak menemui malam yang agung dan hebat itu?  Read the rest of this entry »

 
17 Comments

Posted by di 10 September 2009 in Kemudi Hati, Uncategorized

 

Label: , , ,

TAUHID ITU SEGALA-GALANYA!

Pengurusan stress 1Di hadapan Kaabah… seorang suami berdoa agar Tuhan memperkenankan hajatnya untuk berpoligami. Di tempat yang sama si isteri pula berdoa agar Allah menghalang hajat suaminya. Doa keduanya saling bertentangan. Namun kedua-duanya sama ikhlas. Hati mereka sama-sama suci. Isteri berdoa agar suaminya tidak berpoligami bukan kerana menolak hukum Allah tetapi kerana dirasakan dirinya tidak mampu menanggung ujian. Dia menerima dari segi ilmu dan hukum, tapi apakan daya, diri tidak kuat melaksanakannya… Manakala si suami pula bukan didorong kerakusan nafsu atau hendak berfoya-foya, tetapi benar-benar ikhlas atas sebab-sebab yang syari’e.

Lalu, doa siapakah yang akan diperkenankan Tuhan? Wah, payahnya mengukur kemisterian takdir di neraca fikiran tadbir. Walau hanya andaian, namun hati kecil tetap inginkan kepastian. Bagaimana ya? Mungkin jawapannya begini… jika kedua-duanya sama-sama ikhlas, maka Allah akan tentukan yang terbaik untuk kedua-dua mereka. Jika berpoligami itu yang terbaik untuk mereka berdua maka itulah yang akan ditakdirkan berlaku. Sungguhpun kelihatannya hajat suami yang diperkenankan, tetapi poligami itu cepat atau lambat, pasti akan membawa kebaikan juga kepada siisteri yang tidak mahukannya.

Sebaliknya, jika poligami itu tidak baik untuk keduanya, maka Allah tidak akan takdirkan poligami itu berlaku. Mungkin pada awalnya, hanya si isteri menarik nafas lega kerana doanya diperkenankan, namun insya-Allah, si suami yang gagal berpoligami itu pun nanti akan mendapat kebaikan (walaupun hajatnya tidak kesampaian). Doa siapa yang akan diperkenankan? Itu tidak pasti. Yang pasti ialah apa yang terbaik untuk keduanya akan berlaku.  Read the rest of this entry »

 
12 Comments

Posted by di 1 September 2009 in Kemudi Hati, Uncategorized

 

KOMENTAR TENTANG BUKU DILEMA MELAYU-ISLAM

88434834Sepatutnya perjalanan saya sekeluarga ke JB hujung minggu lalu untuk menghadiri majlis konvokesyen anak yang kedua penuh dengan kegembiraan. Namun sebaliknya berlaku. Fikiran dan perasaan kami sekeluarga masih terusik kenangan sedih atas pemergian Allahyarham Ustaz Asri. Sepanjang perjalanan kami memutarkan nasyid-nasyid seperti kebiasaannya. Apabila tiba kepada nasyid yang dikumandangkan oleh Allahyarham, tanpa disedari air mata mengalir. Sebak. Terlalu sebak. Al Fatehah…

Saya baru pulang. Terlalu banyak “hutang” dengan pengunjung blog untuk ditunaikan. Izinkan saya menumpukan kerja traning dahulu. Saya akan ke Pahang esok. Begitu juga kerja-kerja penyemakan terakhir SOLUSI 11. Pagi tadi saya muncul seketika dalam segmen resensi buku di RTM 1 – mengulas tentang buku NOTA HATI SEORANG LELAKI. Alhamdulillah, sekadar dan setakat diizinkan Allah hari ini saya masih ok, walaupun masih batuk-batuk.

Dalam kesempatan ini saya “paste”kan sahaja pandangan seorang Profesor tentang buku saya DILEMA MELAYU-ISLAM: KURANG FIKIR ATAU KURANG ZIKIR. Saya berdoa kecamuk politik orang Melayu-Islam, akan mereda sedikit dengan kedatangan Ramadan yang mulia. Harapan saya agar sikap cela mencela, remeh meremehkan dan tuduhan liar dapat diminimakan kalau tidak pun dihapuskan langsung.

Berikut saya lampirkan komentar Prof Puan Sri Dr Rohaty:

Saya amat tertarik dengan buku tersebut yang telah diperkenalkan kepada saya oleh Wan Ahmad Jailani Wan Ngah. Ini kerana buku tersebut merupakan satu usaha yang bersungguh sungguh untuk cuba memberi satu penawar kepada racun yang memerbahayakan “Kesehatan mental”orang orang Melayu samada dari puak PAS atau UMNO. Sebagai seorang pendakwah Pahrol sedar apa yang menghinggapi Bangsa Melayu dan Islam .Mungkin boleh saya katakan Pahrol sedih terhadap kemelut yang berlaku :konflik yang sentiasa menjadi batu penghalang kepada perpaduan umat Islam. Read the rest of this entry »

 
20 Comments

Posted by di 17 Ogos 2009 in Uncategorized

 

Label: , , , ,

KENANGAN DI UM (Universiti Mujahadah)

88496203Selepas Subuh tadi, saya membelek-belek kembali buku catatan saya semasa ditahan di Kamunting. Terjumpa banyak lembaran-lembaran tulisan yang tidak pernah saya ketengahkan. Hanya untuk tatapan peribadi. Antaranya, saya bertemu dengan tulisan yang akan saya ketengahkan ini.

Saya akui diantara buku yang banyak saya uliti sewaktu di sana ialah Tafsir Al Azhar oleh Hamka, Pengajaran Hikmah Al Hikam dan huraian oleh Prof. Muhibbudin Al Wali, Hentikan risau dan Mulakan kehidupan oleh Dale Carnargie, dan banyak lagi.

Mari kita kongsikan satu catatan yang saya buat sebaik sahaja habis membaca “Hanya untuk hari ini oleh Dale carnargie”. Catatan yang saya buat sebaik menyapu sampah dan membersihkan longkang di sekeliling kem tahanan (hari itu saya bertugas). Ah, sekadar catatan ringkas. Semuga ada manfaatnya – bukan sekadar mengimbau nostalgia tetapi untuk mendapat “:rasa-rasa” yang melatari peristiwa yang sangat mendidik saya itu.

Saya akui, rasa takut, resah dan “lemah jiwa” yang sering menghantui hidup saya sebelumnya dapat sedikit sebanyak dikikis melalui pengalaman pahit itu. Ya, pahit… tapi ubat. Syukur ya Allah, dalam derita itu saya banyak belajar… ISA adalah UM (Universiti Mujahadah) saya. Inilah catatan itu: HANYA UNTUK HARI INI. Read the rest of this entry »

 
14 Comments

Posted by di 23 Julai 2009 in Iktibar Kisah, Uncategorized

 

Label: , , , , ,

BACALAH… (sekadar satu catatan perjalanan)

83736223Alhamdulillah, saya pulang semula ke Kuala Lumpur setelah 3 hari 2 malam di JB. Masih terbayang-bayang wajah peserta kursus Penghayatan Nilai RAKYAT menerusi Solat. Kebanyakannya muda-muda – aktif, dinamik dan energetik. Kakitangan Bank Rakyat cawangan Masai, Larkin dan Johor Bahru itu sangat responsif. Pengurus-pengurus mereka juga hebat. Tahniah. Benar-benar saya teruja, sayang dan mesra dengan semua mereka. Bertemu tidak lama tetapi hati telah terikat bagaikan sudah lama bersama.
Buku Formula Solat Yang Sempurna (Ustaz Zaharudin), Tentang Cinta, Nota Hati seorang Lelaki, Duhai yang tersayang, Dilema Melayu Islam dan majalah Solusi yang kami bawa semuanya habis terjual. Pesan saya, cuma satu: Baca ya. Saya gembira jika kita berkongsi idea dan rasa. Sebab buku-buku yang saya tulis ada misi yang terlalu ingin saya sampaikan. Bukan manfaat komersial yang jadi pertaruhan tetapi sejauh mana ia menjadi penggerak kepada perubahan kepada cita-cita Islam kita bersama.

Saya pulang ke KL dengan gembira. Terbalas segala keletihan dan kelelahan. Sempat juga menjenguk 2 orang anak di UTM, menantu dan seorang cucu. Perjalanan pulang diisi pula dengan diskusi dakwah bersama ustaz Zaid (seorang da’i) yang begitu aktif berceramah dari surau ke surau, pejabat ke pejabat (yang juga fasilitator utama Fitrah Perkasa).

Saya ingin mendengar suara sebenar masyarakat melalui mereka yang dekat dengan mereka. Dan ustaz Zaid adalah “telinga” masyarakat – tidak kira atasan mahupun marhaen. Bagi saya “alam siber” dengan internet, blog, book face atau apa sahaja… masih belum mampu menandingi suara hati para da’i yang bergelumang dengan kerenah masyarakat.   Read the rest of this entry »

 
11 Comments

Posted by di 20 April 2009 in Uncategorized

 

Label: , , , ,

JIKA BENAR INGINKANNYA BAYAR HARGANYA!

82845097Jika kita tidak dapat mencapai apa yang kita inginkan, penyebabnya cuma dua – pertama, kita tidak benar-benar inginkannya. Kedua, kita tidak membayar “harga” yang sepatutnya untuk mencapai apa yang kita inginkan itu. Begitulah dengan usaha membanteras rasuah yang sedang hebat diperkatakan sekarang.

Kejayaannya terletak kepada dua faktor ini. Apakah kita benar-benar inginkan ia dihapuskan atau keinginan itu hanya “separuh hati”? Dan apakah kita benar-benar tekad untuk menghapuskannya, tidak kira berapa banyak korban yang terpaksa dilakukan. Read the rest of this entry »

 
1 Comment

Posted by di 26 Mac 2009 in Uncategorized

 

Label: , ,

KEMBARA RASA

amanMengembara bersama indera rasa
Menyusur simpang-siur terseni
Dari realiti menuju maknawi
Dari diri menuju Ilahi

Akal melonjak fikir mencari erti
Rasa menghidu emosi bersama memori
Jiwa menahan derita mencabar sabar
Jasad bergerak tangkas berlalu pantas

Kita adalah musafir di alam nyata
Musafir ke alam rasa
Kita adalah kembara yang fana’
Menuju ke alam yang baqa’

 
1 Comment

Posted by di 12 Februari 2009 in Uncategorized

 

Label: , ,

KALAU HATI BAIK, WAJAH SENTIASA CANTIK

ayamBelajar dari ‘ayam’ tua.

“Mengapa dia tidak faham rintihan hati aku?” keluh seorang sahabat rapat kepada saya.
“Bukan aku tidak cinta, tetapi tolonglah berhias diri,” tambahnya lagi.
“Mengapa? Teruji sangatkah?”
“Apa tidaknya… di pejabat aku berdepan dengan berbagai-bagai wanita. Semuanya berhias dan berwangi-wangian.”
“Kau menjaga pandangan?”
“Bukan sahaja pandangan tetapi penciuman. Dunia akhir zaman, kau bukan tidak tahu.”
“Ya, iman kita sering teruji,” balas saya, seakan-akan menumpang keluhannya.
Read the rest of this entry »

 
22 Comments

Posted by di 18 Januari 2009 in Tentang Cinta, Uncategorized

 

Label: , ,

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 1,367 other followers