RSS

DENGAN KUALITI JIWA BUKAN KUANTITI HARTA…

Maaf, kiranya saya membuat para pengunjung blog tertunggu-tunggu entri baru. Agak lama juga saya tidak menulis dalam blog ini. Mengerjakan tiga buku serentak, memang menguji ketabahan dan ketelitian. Itulah yang menjadi hambatan saya dalam beberapa minggu ini. Saya cuba selesaikan tiga buku serentak – sebuah yang agak berat dan ilmiah, satu lagi agak santai dan kreatif, manakala yang ketiga pertengahan diantara keduanya.

Insya-Allah, Mukmin Profesional – Celik Mata hati, Nota fikir untuk Zikir dan R & R Rohani akan terbit tidak lama lagi. Cuma ketentuannya di tangan Allah jua. Disamping itu ada satu tugas asas dan teras yang sangat mencabar. Pembaikan dan penambahan nilai untuk modul Penghayatan Amanah dalam Profesyen yang telah dilaksanakan untuk kakitangan Bank Rakyat. Insya-Allah, banyak penambah-baikan akan dilakukan pada pelaksanaan program latihan yang akan datang.

Saya bersyukur kerana mendapat banyak doa dan dorongan daripada pengunjung. Itu menguatkan jiwa dan semangat saya untuk terus menulis. Saya sering mengingatkan diri, usaha kita mengingatkan orang lain adalah juga usaha kita untuk memperbaiki diri sendiri. Dijauhkan Allah dari bersifat hipokrit. Walaupun kekadang apa yang diingatkan untuk orang lain, terlupa kita padankan pada diri sendiri. Saya, anda dan kita semua hanya INGIN jadi baik, belum benar-benar jadi baik. Kita insan yang sedang bermujahadah.

Baiklah sahabat dan saudara-saudaraku, kali ini mari kita sama-sama telusuri tulisan yang sangat sederhana ini. Semoga sadara/i ikhlas membacanya, sepertimana saya cuba ikhlas ketika menulisnya. Bacalah… dengan kualiti jiwa, bukan kuantiti harta...

Redha Allah terletak pada redha ibu-bapa. Semua orang pernah mendengar ungkapan ini. Namun, berapa kerat yang memahami tuntutannya? Dan berpada kerat pula yang telah menunaikan tuntutannya? Ibu-bapa yang telah tua memang menguji anak-anak. Maklumlah, akalnya sudah lemah, pertimbangannya jadi singkat. Kerenah orang tua sangat menguji anak-anak.

Berapa ramai yang menganggap ibu-bapa yang telah tua sebagai satu liabiliti dalam kehidupan kita. Pada hal mereka sebenarnya adalah satu aset yang sangat berharga dalam kehidupan kita. Menjaga ibu-bapa yang telah tua, bersabar dalam menghadapi kerenahnya sesungguhnya akan membuka pintu kerahmatan dan keberkatan daripada Allah swt.  

Ingatkah lagi kita tentang satu hadis panjang yang menceritakan kepada kita bagaimana tiga orang lelaki terperangkap dalam sebuah gua? Masing-masing memohon pertolongan daripada Allah melalui perantaraan (tawassul) amalan mereka. Salah seorang lelaki tersebut telah memohon kepada Allah melalui perantaraan amalannya yang berbakti kepada orang tua… dan pintu gua itu tergeser, petanda bantuan Allah tiba kerana amalannya terhadap orang tua.

Mengapa tidak kini kita gunakan kaedah yang sama? Bukankah banyak permasalahan dan beban hidup yang berat sedang atau akan kita tanggung? Salah satu kaedah untuk mengatasi dan menangani masalah tersebut ialah dengan berbakti kepada orang tua dan menjadikan kebaktian tersebut sebagai perantaraan berdoa kepada Allah. Dengan syarat kita berbuat demikian dengan hati yang ikhlas.

Berapa ramai penulis yang “terbantut” idea dan mindanya, lalu dia mengangkat tangan berdoa kepada Allah melalui perantaraan ketaatannya kepada ibu-bapanya? Atau ahli perniagaan yang dilanda masalah hutang atau merudumnya jualan, lalu istirahat seketika lantas berdoa meminta bantuan Allah melalui budi-baiknya terhadap ibu-bapa? Atau ahli politik yang diserang kiri dan kanan oleh musuh politiknya, mengambil sedikit masa untuk bermunajat kepada Allah melalui amalan baik terhadap kedua ibu-bapanya?

Ingatlah, ibu-bapa yang tua itu adalah satu aset. Kesusahan, kejemuan dan kebimbangan kita sewaktu menjaga mereka sebenarnya adalah mahar kepada sebuah ketenangan, keberkatan dan kejayaan dalam kehidupan. Namun sebaliknya, jika mengabaikan mereka itulah yang akan membuka kepada pintu kehancuran, keresahan dan kegagalan. Benar seperti yang pernah didendangkan oleh lagu lama, “ayah dan ibu wali-wali keramat.”

Ibu-bapa memang “wali keramat” kerana meminggirkan mereka (apatah lagi kalau sampai ke tahap menderhakai mereka) akan menyebabkan hidup kita terhijab (terhalang). Bukan sahaja kita orang awam ini, bahkan orang-orang Soleh sekalipun jika tersalah laku dengan ibu-bapa akan menerima padahnya. Lupakah kita kepada Juraij, seorang yang amat soleh (rajin uzlah dan beribadah) tetapi tertimpa malapetaka fitnah kerana tidak disenangi oleh ibunya.

Gara-gara begitu asyik dengan solat sunat, Juraij tidak menyahut panggilan ibunya. Ibunya sungguh terasa hati menyebabkan dia berdoa agar Juraij ditimpa fitnah. Benar, tidak lama kemudian Juraij difitnah berzina dengan perempuan jahat menyebabkan dia dihina dan disakiti oleh penduduk-penduduk setempat. Itulah bahananya mengecilkan hati ibu. Justeru, dari segi hukumnya, ajaran Islam menetapkan seseorang yang sedang bersembahyang sunat wajib menyahut panggilan ibunya setelah tiga kali panggilan itu diulang. Kenapa? Padahal solat itu hubungan dengan Allah, sedangkan menyahut panggilan ibu bapa itu hubungan sesama manusia? Apakah hak manusia lebih besar daripada hak Allah?

Tidak, bukan begitu. Sebenarnya itu didikan daripada Allah jua, agar seorang anak menjaga hubungan dengan ibu-bapanya semasa berhubung dengan Allah. Taat kepada Allah dan berbuat baik kepada kedua ibu-bapa ada kalanya dirangkaikan dalam ayat-ayat tertentu dalam Al Quran. Ya, jangan sampai mengejar cinta Allah, dengan mengabaikan cinta terhadap ibu-bapa. Yang setepatnya ialah cintailah ibu-bapa kerana mencari cinta Allah!

Bayangkan jika manusia sesoleh Juraij pun boleh ditimpa kesusahan kerana kesalahan yang boleh dikatakan kecil (berbanding kederhakaan anak-anak zaman ini) terhadap ibunya, apalagi kita. Kebaikan kita tidaklah setinggi dan sebanyak Juraij, sebaliknya kesalahan kita terhadap ibu-bapa kita lebih banyak daripadanya… Bila-bila sahaja kita boleh ditimpa malapetaka akibat kederhakaan ini. Dan mungkin kita tidak sedar, malapetaka itu telah pun menimpa kita.

Intai-intai dan telitilah kembali jalan hidup yang telah, sedang dan akan kita susuri ini. Berapa banyak halangan dan hambatan yang datang melanda. Berapa banyak kali kita kecundang? Apa yang dirancang kekadang sering tidak “menjadi”. Malang dan bencana datang timpa menimpa. Dicari sebabnya, dikaji puncanya, seakan-akan tidak terjumpa… mana tahu semuanya bahana derhaka kepada kedua ibu-bapa.

Dosa kita pada yang lain masih adalah istilah nanti dan tunggu. Tetapi dosa kepada ibu-bapa akan dibalas segera dan tiba-tiba. Sesetengah orang, hanya kerana dia telah menghulurkan bantuan ratusan malah ribuan ringgit sebulan kepada ibu-bapanya, dia telah menunaikan tanggungjawab… Jadi apabila ibu-bapanya “bersuara” sedikit, sudah berani dia membentak. Apa yang tidak cukup lagi? Apa lagi yang ibu hendak? Apa lagi yang bapa tidak puas hati?

Ingatlah, wang ringgit dan harta benda tidak akan mampu membalas jasa atau menebus bakti kedua orang tua kita. Bukan semua perkara dalam kehidupan ini boleh dibeli. Banyak perkara-perkara penting dalam hidup ini tidak boleh dinilai oleh kuantiti material dan fizikal yang kita ada. Antaranya, jasa dan bakti kedua ibu-bapa. Ia hanya boleh “dibayar” oleh kualiti jiwa bukan kuantiti harta.

Maksudnya, budi hanya dapat dibayar oleh budi. Jasa dengan jasa. Budi baik dan akhlak kita yang cantik sahaja dapat menyenangkan hati orang tua pada usia senja mereka. Layani mereka dengan baik, dengarlah cerita mereka (walaupun telah diulang berkali-kali), duduk berbual dengan mereka, membelai atau mengurut badan mereka dan yang paling penting sering menziarahi dan sentiasa berdoa untuk mereka.

Jangan lupa, satu hari kita juga akan melalui apa yang sedang lalui kini. Kita akan mencecah gerbang tua dan mengecap sisa-sisa umur dengan payah dan lelah seperti mereka… bagaimana kita saat itu? Tentukanlah nasib kita itu pada hari ini. Bagaimana? Taat, layan dan belai dengan penuh kasih sayang orang tua kita pada hari ini, insya-Allah anak-anak kita akan mengamalkan sikap yang sama terhadap kita pada akhir nanti.

Cerita dan nasihat ini bukan pertama kali kita dengar… tetapi semuanya diulang lagi kerana kita sering mengabaikan apa yang sering kita dengar. Kita sering menjadi umpama kelekatu yang melanggar lampu yang bercahaya sedangkan di bawahnya sudah begitu banyak kelekatu lain yang terkorban. Berapa banyak ikon anak derhaka dalam cerita rakyat seperti Sitanggang mahupun Malim Kundang yang kita benci dan caci, ironinya kita menjejak mereka tanpa kita sedari.

Sudah dianggap derhaka dengan mendecit perkataan “ah” kepada kedua ibu-bapa. Sudah dianggap melupakan mereka jika kita tidak mendoakan mereka selepas setiap kali mengerjakan solat. Sudah mengecilkan hati mereka jika sudah lama kita tidak menelefon ataupun menziarahi mereka di kampung… Oh, terlalu banyak kesalahan kita terhadap mereka. Dan apakah ini telah menyebabkan tertutupnya pintu kerahmatan dan keberkatan?

Rezeki banyak, tetapi tidak puas. Umur panjang, tetapi dipenuhi dosa. Masa lapang, tetapi hilang manfaat. Kesibukan yang memanjang, keresahan yang tidak berpenghujung mungkin sedang berlaku dalam hidup kita. Anak-anak degil. Isteri atau suami semakin degil dan tidak serasi… Apakah ini semua kerana dosa kita terhadap orang tua? Apakah Allah sedang murkakan kita?

Jika anda bertanya begitu, sila ulang baca ayat pertama pada awal tulisan ini!

 

57 responses to “DENGAN KUALITI JIWA BUKAN KUANTITI HARTA…

  1. Khatijah

    19 Mei 2010 at 12:48 pm

    assalammualaikum wbt Ustaz,
    Semoga ustaz diberkati dan dirahmati Allah swt atas segala curahan ilmu yg disampaikan. Ustaz, jika saya ingin bertanya beberapa isu secara peribadi, bolehkah ustaz berikan saya alamat email?. Banyak perkara yg saya nak belajar,mudah-mudahan ustaz sudi berikannya. Sekian, terima kasih

     
  2. gentarasa

    19 Mei 2010 at 3:09 pm

    Salam Khatijah,
    Emailkan kepada pahrolmohdjuoi@yahoo.com

     
  3. merpati putih Z

    20 Mei 2010 at 1:01 am

    keberkatan itu susah nak diungkai dengan kata…tapi benar benar dapat dirasai dalm lubuk hati orang yg bersih hatinya………

     
  4. rasafah

    30 September 2010 at 1:18 am

    salam alaik ustaz,mohon dicopy artikelnya untuk sebaran risalah di sekolah

     
  5. uya

    12 November 2010 at 9:57 am

    salam , ustaz mohon copy untuk iktibar diri sendiri dan semua. shukron^^

     
  6. Abdullah

    23 November 2010 at 11:21 pm

    saya sangat suke mbaca tulisan ustaz..sgt mbuka minda…mudah2an Allah mpermudahkan sgl urusan ustaz…

     
  7. gentarasa

    25 November 2010 at 9:15 am

    Masya-Allah. Biiznillah.

     
  8. naznim

    8 Disember 2010 at 11:59 pm

    ustaz, mohon kenyataan tajuk dikongsi bersama rakan…tq..

     
  9. lina

    14 Disember 2010 at 2:56 pm

    Redha Allah terletak pada redha ibu-bapa…TERIMA KASIH USTAZ.

     
  10. Hisham

    30 Disember 2010 at 12:31 pm

    Salam Ustaz,

    Saya seorang anak yang gagal membahagiakan kedua ibu bapa. Saya gagal dalam hidup, tidak berjawatan, tidak berharta, tiada kedudukan dalam masyarakat. Saya, isteri dan anak-anak hanya membebankan serta memalukan orang tua, keduanya pesara guru. Mereka menghabiskan wang, tenaga dan masa yang banyak membesar dan memberi pendidikan hingga ke universiti tetapi silap saya memilih untuk berdikari.
    Selepas abang sulung saya, eksekutif bank yang menjadi kebanggaan keluarga kembali ke rahmatullah kerana dibunuh dalam rompakan, saya mengambil keputusan menetap di kampung halaman, sebuah daerah kecil di Pantai Timur Johor. Saya tolak peluang pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan di bandar besar dan luar negeri kerana mahu dekat dengan ibu bapa saya yang masih bersedih dan kecewa. Biarlah adik-adik sahaja yang keluar bagi menjamin masa depan yang lebih baik. Saya berniaga kecil kerana yakin kepada rezeki yang luas dalam perniagaan.
    Tetapi niat ikhlas berbakti dan doa untuk mereka sahaja tidak mencukupi. Saya faham tidak akan terbalas jasa mereka walau apa kebaikan kita buat. Kedudukan, duit, kereta mewah dan glamour hidup ibu kota tetap menjadi ukuran kasih sayang dan redha ibu bapa.
    Kegagalan perniagaan, penyakit dan kemiskinan saya kini menggunungkan kebencian mereka hingga kepada isteri dan anak-anak, di tambah dengan kedudukan isteri saya, menantu yang tidak bersijil dan anak peneroka.
    Dimana kewajarannya ya Ustaz? Adakah kerana tidak redha nya mereka kepada saya maka hidup kami sekeluarga terus nestapa begini. Adakah kerana kebencian mereka maka hanya keburukan hidup yang akan saya tempuh terus-terusan. Adakah kerana umpat keji dan celaan mereka, adik-beradik dan saudara mara maka Allah turut tidak redha dan menjanjikan akhir hayat yang buruk untuk saya?
    Tidak cukup berkualitikah jiwa saya kerana upaya saya sekadar berkhidmat dan berbakti kepada mereka?

     
  11. gentarasa

    1 Januari 2011 at 7:10 am

    Salam saudaraku.
    Itulah ujian yang sering ditegaskan dalam Al Quran. Kekadang diputuskan segala talian di bumi, supaya kita terus berhubung kepada Allah. Anak yang baik, dinilai oleh Allah, bukan oleh ibu-bapanya. Jadi, buatlah kerana Allah, insya-Allah, itu hiburan untuk hati yang kecewa dengan penilaian manusia. Lambat laun orang yang ikhlas akan ketara juga, walaupun tidak kelihatan pada pandangan mata manusia. Jangan mengharapkan pengiktirafan yang segera…Kita perlu kesabaran sebelum, semasa dan SELEPAS melakukan sesuatu kebaikan. Ramai hamba Allah yang tidak bersyukur… dan sudah pasti ramai juga yang tidak kenal siapa orang yang paling bersyukur. Saudara, bersyukurlah kerana saudara telah terpilih untuk berbakti kepada ibu-bapa, melakukan pengorbanan untuknya… itu lebih mahal daripada pujian yang kita dapat setelah melaksanakannya.

     
  12. Nur adrenalin

    1 Januari 2011 at 9:21 am

    Sdr HISHAM,

    1) Agak memalukan krn seorang graduate boleh bputus asa hanya krn masalah kecil dlm kehidupan…masalah besar adalah apabila anda diancam @ diugut bunuh krn menegakkan kalimah Allah spt dialami Rasullullah & sahabat atau rakyat Palestin skrg….
    2) Untuk berjaya & bahagia yg penting adalah ILMU tapi nampaknya dunia skrg menunjukkan org BERLMU pun tak bahagia..
    3) Knp? Kerana mereka hanya memiliki sekeping kertas (Diploma, Ijazah, Master, Kedoktoran) tetapi masih tidak terdidik atau terbimbing dgn ilmu yg dipelajari…
    4) niat menuntut Ilmu silap & mungkin hanya utk menambahkan kemurkaan Allah tanpa disedari spt untuk menunjuk2 atau bermegah…
    5) Muhasabah diri, berazam utk lebih baik dgn tetapkan visi & misi..
    6) Ramai yg berjaya skrg kadangkala tidak mempunyai ijazah pun tapi mereka tahu apa mrk hendak dalam hidup (ada matlamat @ targetted goal), keyakinan, bersemangat, beriltizam, konsisten & paling penting niat mesti ikhlas krn Allah….
    7) Mark Zukerberg (org muda terkaya dunia, pengasas FB) & Bill Gates (org terkaya dunia, pengasas Microsoft) bjaya walaupun tak sempat menamatkan pengajian.
    8) Bila mrk kaya, mrk dermakan kekayaan kepada yayasan utk membantu meningkatkan taraf hidup manusia seluruh dunia dgn program meningkatkan taraf pendidikan kpd lebih baik….
    9) banyakkan membaca bgm kesusahan & rintangan yg dihadapi oleh mrk yg berjaya…
    10) setiap kali sy ditimpa ujian berat sy hanya berkata pd diri sendiri: “Sedangkan Rasulluh kekasih Allah pun diuji dgn hebat,lahirnya tidak pernah melihat bapanya, ibunya meninggalkan baginda ketika kecil, kemudian datuk yg dikasehi, pakciknya, diancam bunuh hingga melarikan diri ke Madinah, tidur di atas pelepah tamar & apabila bangun akan kelihatan bekas di belakang baginda, itulah calon syurga.. sedangkan kita pula tidur di atas tilam empuk, tidak pernah diancam bunuh menikmati makanan yg sedap & hidup di Msia yg aman damai… masihkah kita ada sebab utk terus berputus asa dari rahmat Allah?”….

    Fikirkan lah….

     
  13. noorafidah md din

    11 Februari 2011 at 4:44 pm

    As salam,
    bagaimana pula kaedah menangani nenek saudara yang saya jaga suka mengeluarkan kata-kata yang kesat. Ianya akan terbit jika diingatkan kepada perkara2 yang betul seperti agar sembahyang pada waktunya..
    saya tahu, ini dugaan ALLAH, saya ingin mendapatkan panduan ustaz agar saya tidak tergulung dalam orang2 yang rugi diakhirat. Terima kasih

     
  14. Siti Khadijah

    18 Februari 2011 at 3:01 pm

    Assalamualaikum.

    Saudara Hisham, sabarlah kerana itulah ujian Allah buat saudara. Bersyukurlah kerana saudara di uji sedemikian. Memang betul kata Ustaz tengok balik niat kita berkorban sebenarnya. Adakah kita berkorban untuk dapat pujian IbuBapa, untuk menceriakan IbuBapa selepas kematian abang atau niat kita berkorban kerana Allah. Pada saya kalau pengorbanan kita seikhlas hati kita InsyaAllah kita akan redho dengan apa juga ujian yang mendatang. So bersabarlah dan yakin bahawa pergantungan sepenuhnya pada Allah akan sentiasa memberi kebahagiaan pada hambanya.

     
  15. Hisham

    19 Februari 2011 at 12:53 pm

    Salam,

    Terima kasih Ustaz, Nur adrenalin dan Siti Khadijah.

    Niat yang betul dan baik belum cukup untuk mengikhlaskan khidmat dan bakti kepada kedua orang tua. Saya hanya anggap ia tugasan yang wajib di laksanakan oleh setiap anak kepada ibu bapa.

    Saya redho dan saya terima semua hukuman, tapi bila sudah bertahun berterusan begini, ia mula menampakkan tanda keretakan dalam rumah tangga saya.

    Kesusahan dan tekanan demi tekanan akhirnya membuat jiwa isteri dan anak-anak semakin kacau. Walau pun mereka taat bersolat dan berdoa, ujian dan dugaan menjadikan mereka goyah dan mula memberontak.

    Saya gagal sebagai seorang anak, suami dan ayah. Saya gagal membahagia dan menggembirakan mereka. Jika akhirnya keluarga saya berpecah belah, apa lagi yang tinggal dalam hidup saya?

     
  16. Wan Hasni

    25 Februari 2011 at 3:36 pm

    Assalamualaikum ustaz…barakallahulaka,
    Tertarik saya dengan lontaran-lontaran rasa manjadikan hati ini terasa, terdetik dalam minda, tercari-cari dosa pada kedua ibubapa…moga ustaz mengizinkan saya untuk berkongsi artikel ini dgn org yang berada disekitar saya.

     
  17. Sabariah Ahmad

    9 Mac 2011 at 6:01 pm

    Assalammualaikum Ustaz,

    Lepas bace artikel ni, saya rase banyak dose yang telah saye lakukan terhadap ibubapa saya..bace artikel ustaz dapat membantu saya untuk memperbetolkan kelemahan diri..

     
  18. ana sarina

    17 April 2011 at 11:15 pm

    Assalammualaikum…alhamdulillah artikel ustaz byk meyedarkan saya ttng tanggungjwb insan yg bernama anak..semoga penulisan ustaz dapat memberikan pengajaran pada semua..terima kasih ya ustaz… kata-kata yg cukup memberi kesan terus kedalam jiwa

    boleh saya bertanyakan beberapa soalan jika terdapat sebarang kemusykilan mengenai hukum-hukum agama sama ada berbentuk peribadi ataupun am, ianya sekadar ingin melengkapkan diri yg kekurangan bagi menyempurnakan bekalan di sana nnti. terima kasih ustaz

     
  19. norhayati

    16 Mei 2011 at 12:33 pm

    salam semua,
    saya meminati tulisan ustaz dan komen teman2 yg lain juga saya berharap akan terus mengikuti artikel yg lain selanjutnya. tkasih

     
  20. fiza gerik

    14 Jun 2011 at 10:17 am

    ustaz,tahniah,,,saya selau mengikuti karya-karya ustaz.penulisan ustaz amat meyentuh rasa.

     
  21. mayaorked

    21 Jun 2011 at 1:31 pm

    Salam Ustaz..

    Saya tak pernah meninggalkan solat.Tapi ada ketika hadir perasaan yang begitu berat untuk menunaikan solat. Namun solat tetap saya kerjakan tetapi solat tanpa perasaan kosong. Saya sering mengingati mati dan hari pembalasan tapi sering ia tanpa hadir perasaan takut, gerun dan risau dengan amalan untuk di bawa berjumpa denganNya. Seolah-olah perkara tersebut berlalu tanpa ada makna. Saya sering terfikir adakah tiada perasaan takut dan gerun itu disebabkan ibadah saya yang tidak diterima oleh Allah. Kata orang ia disebabkan jiwa kita kotor dan perlu diperbaiki dengan zikir dan membaca alquran. Saya tahu itu dan saya buat. Tapi kadarnya, saya tidak pasti adakah ia mencukupi atau tidak untuk memberi kesan kepada jiwa saya. Saya tertanya-tanya sebetulnya dimana Dia di hati saya. Di mana silap saya?. Serasa umur berlalu tanpa ada erti dalam ibadah terutamanya solat. Ibadah saya dilakukan seolah-lah melepas batuk ditangga.

     
  22. nurul

    21 Jun 2011 at 4:47 pm

    Assalamualaikum, ustaz…

    Sebgi ank sy cuba sedaya upaya memuaskan hati ibu bapa. Ibu sy selalu bilang utk mendpt keberkatan hidup, saya perlulah memberi duit gaji saya sedikit kpdnya. Walhal sudah berapa kali saya sudah memberitahu yang saya tidak mampu berbuat demikian memandangkan buat masa ini saya adalah ibu tunggal. Bila saya ada rezeki lebih, saya belikan pelbagai barang yg beliau kehendaki. saya akan meraikan beliau pada hari lahirnya cuma yang itu saya masih tak mampu. kadang kala sikap beliau ini sgt memberi tekanan kpd diri saya.
    Apatah lagi beliau suka menyumpah saya bila dia berkecil hati disebabkan sikap berterus terang saya ni. Mungkinkah Allah ambil suami saya disbbkan perkara sebegini. Disebabkan untuk mengelakkan perkara ini berulang lagi, saya byk menjauhkan diri dgn beliau. Sekurang2nya sy dpt mengelak dr ibu sy berkecil hati dgn saya…

     
  23. gentarasa

    22 Jun 2011 at 8:33 am

    Salam maya,
    Tambah ilmu lagi tentang solat. Cari sahabat-sahabat yang seiya sekata dan satu cita-cita. Inilah mujahadah namanya. Tidak ada jalan mudah menuju Allah. Kita perlu berperang dengan diri sendiri. Teruslah berusaha… anda sudah dijalanNya.

     
  24. khatijah

    11 Julai 2011 at 7:20 pm

    setelah saya baca tulisan ustaz buat pertama kalinya ..dengan kualiti jiwa dan bukan harta..saya kembali mendapat kekuatan.kerana saya juga menjaga ibu yg lanjut usia yg banyak kerenahnya..memang betul menjaga ibu yg berusia 93 tahun yg banyak kerenahnya sangat menguji kesabaran anak2…tapi sy sentiasa mohon pd Allah moga sy diberi kesabaran yg palig tinggi dlm mencari keredaan allah…mga Allah juga mengampuni dosa ibu sy yg terdahulu terkini dan terkemudian..amin!!!.

     
  25. hanieda

    16 Ogos 2011 at 3:53 pm

    salam ustaz.. mohon izin untuk share.. terima kasih atas perkongsian ilmu ustaz.. semoga ALLAH merahmati dan memberkati segala urusan ustaz. amin

     
  26. syed hafiz

    3 Oktober 2011 at 12:06 pm

    terbayang wajah ummi saya… mmg benar apa yg ustz tuliskan hgga menitis air mata saye..

     
  27. UMMI

    11 Oktober 2011 at 8:30 pm

    SALAM UTK SEMUA………….
    USTAZ….SAYA MOHON UTK COPY TULISAN INI, UTK SAYA CETAK & BACA….
    LAMAN INI, BENAR2 MENDIDIK HATI SAYA….TERIMA KASIH USTAZ…. SENTUHAN ILMU INI AMAT MENGESANKAN….MG ALLAH BERI RUANG & PELUANG UTK SAYA MEMAHAMI ISI TULISAN 2 YG LAIN………….MOGA SAYA MAMPU JADI ANAK YG MEMBAHAGIAKAN IBU BAPA SAYA…..

     
  28. Wan Noraizon Wanabhalim

    16 Oktober 2011 at 12:02 pm

    subhanallah….alangkah indahnya setiap kata2 yg ditulis dgn penuh keikhlasan ini sekiranya setiap insan yg mempunyai ibu bapa dpt mengambil iktibar dan pedoman di dalam menelusuri hidup di dunia yg penuh dgn cabaran ini.Tahniah di atas perkongsian ilmu yg amat bernilai ini.

     
  29. nur insyirah

    2 November 2011 at 4:14 pm

    salam ustaz…

    saya mohon untuk share artikel ustaz ini ye..

     
  30. Khairudin Maliki

    3 November 2011 at 2:26 am

    ” Apa yang anda belajar dan di mana anda belajar tidaklah penting, tetapi apa yang paling penting adalah apa sumbangan anda kepada masyarakat selepas anda belajar. Ketahuilah… Orang yang paling bagus di antara kalian semua adalah orang yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain dengan kewujudannya. Orang sebegini tidak mengharapkan apa-apa ganjaran atau balasan daripada orang lain di atas kebaikan yang dilakukannya. Bagi mereka, mendapat ‘anugerah-Nya’ yang disembunyikan daripada pengetahuan orang lain iaitu maqam nafsu mutmainah (jiwa yang tenang) atau maqam nafsu mardiyah (hati yang puas) atau maqam nafsu radhiyah (redha dengan kehendak-Nya) itu pun sudah mencukupi. Bagi mereka juga, apalah sangat ganjaran manusia (kenaikan gaji/pangkat/harta) jika nak dibandingkan dengan ganjaran Allah ( mendapat keredhaan-Nya, kasih-sayang-Nya, rahmat-Nya). Kerana itu mereka menjadi ‘luar biasa’ dan tidak jemu2 di dalam mendidik serta mentarbiahkan hati manusia agar kembali kepada Allah SWT. Pesanan saya, jika anda berpeluang menemui orang-orang sebegini, layanlah dia elok2… kutiplah ilmunya banyak2… dan jangan disakiti hatinya… siapa tahu dia mungkin salah seorang wali Allah SWT. Pasal salah satu rahsia yang Allah SWT sembunyikan daripada pengetahuan manusia adalah Allah SWT sembunyikan wali-wali-Nya di kalangan hamba-hamba-Nya. Jangan tak tahu… ho..ho..ho.. Yosh! ” – KM

     
  31. Mashie Mashiemaro

    7 November 2011 at 5:27 pm

    tersentuh Hati saya Ustaz….syukran…
    ustaz saya mohon share ya…

     
  32. msz

    13 November 2011 at 9:26 am

    Tkadih ustaz atas segala panduan..ya, sekiranya segala yg dilakukan untuk mencari redha Allah swt,kita tak rasa kecewa jika tidak dihargai..

     
  33. khadijah

    7 Disember 2011 at 3:04 pm

    salam ustaz setiap kali membaca artikel tulisan ustaz jiwa saya sering tersentuh,saya mohon untuk ambil artikel untuk dikongsi dengan orang lain,terima kasih

     
  34. Hajar Norma

    14 Februari 2012 at 3:39 pm

    Salam Ustaz.

    Alhamdulillah. X pernah jemu membaca hasil tulisan Ustaz.Betapa beruntungnya kite semua dpt ilmu yg begini hebat. Buat sya terus rasa rindu pd ibubapa sya.
    Ya Allah,ampunilah kedua ibubapaku.Peliharala mereka dr azab api neraka.
    Ustaz,terima kasih.Doa sya,Ustaz terus diberi kesihatan dan kelapangan..mendidik kami2 yg mencari2 jalan menuju alam abadi.Menuju redha Allah s.w.t
    Ya Allah…rahmatilah Ustaz,kami,ibubapa kami serta seluruh umat Islam dimuka bumi MU ini.AMin.

     
  35. sue

    22 Mei 2012 at 4:53 pm

    salam ustaz, terima kasih, kata kata yang cukup memberi kesan terus ke dalam jiwa, menyentuh rasa

     
  36. aziba

    26 Mei 2012 at 10:25 am

    Assalammualaikum..

    Ustaz..saya begitu tersentuh..hati..dan airmata ini..mengalir tanpa diduga..dan wajah ibu..terbayang dalam mindaku ketika membaca..coretan ini…moga allah sentiasa merahmati..
    ibuku…dan taniah buat ustaz..kerna coretanmu..mampu membuat setiap insan menyentuh..kedalam jiwa..insan lain.. alhamdulilah..

     
  37. siti nahar

    28 Mei 2012 at 9:35 pm

    Assalamualaikum ustaz,artikal ini sangat menarik,hati saya betul2 tersentuh….seronok membacanya….syukran ustaz….

     
  38. ummirsyad

    14 Jun 2012 at 3:39 pm

    terima kasih atas tulisan ini.membuatkan saya teringatkan ibu yang telah kembalik ke rahmatullah.hanya doa sebagai penyambung kasih anak kepada ibunya.

     
  39. pretty nadjah

    27 Jun 2012 at 1:59 pm

    PERINGATAN buat saya untuk terus berbakti, mendoakan, mengingati mereka selalu. InsyaAllah..

     
  40. muhamadsyarif

    3 Julai 2012 at 4:40 pm

    asaallamuallaikum ustaz : boleh tak terang kan kenapa bumi plastin di gelar bumi islam, mohon tunjuk ajar dari ustaz terimakasih

     
  41. mohd razali

    4 Julai 2012 at 11:17 am

    Terbaik…

     
  42. gentarasa

    4 Julai 2012 at 3:26 pm

    Assalam,
    Kerana di situ ada Masjidil Aqsa, kiblat pertama dan tanah suci umat Islam. Selain di sana juga tempat berjuangnya para Rasul, Nabi dan ulama besar serta mujahid Islam. Wallahua’lam, anakku.

     
  43. aimi

    26 Ogos 2012 at 12:23 am

    Alhamdulillah..ilmu yang sangat bermanfaat untuk saya dan akan dikongsikan untuk semua.

     
  44. azizah

    10 Oktober 2012 at 10:51 am

    Assalam, saya mohon share artikel ustaz. T. Kasih

     
  45. abbysyidah

    11 Oktober 2012 at 11:02 pm

    alhamdulillah…mohon share..terima kasih..

     
  46. Izzati

    2 November 2012 at 8:32 pm

    Salam Ustaz…tulisan yg sangat menarik..Banyak memberi kesedaran..Sya mohon share ye..

     
  47. zainudin bin mohamed

    13 November 2012 at 5:30 am

    Salam uz….tiba-tiba rasa sebak dalam hati bila baca komen sdr. Hisham…saya ada pengalaman
    menjaga seorang ibu yang uzur hingga akhir hayatnya…saya mempunyai ramai adik beradik…kesemuanya sudah berumah tangga..hanya saya seorang jer yang masih bujang…bujang telajak katanya….pada mulanya saya rasa sedikit terbatas apabila menjaga ibu yang sedang uzur dengan segala aktiviti2 saya yang banyak…maklumlah orang bujang,kadangkala nak jugak kuar bersosial dengan rakan2(menonton wayang,main boling,pergi karok @ sekurang2nya pergi ‘ngeteh’….) Mulalah syaitan membisikkan ke dalam hati..’engkau sorang jer yang menjaga ibu kau,sedangkan yang lain lepas tangan…’Ada ketika saya terikut bisikan tadi,tapi bila saya rasa tak ikhlas menjaga arwah ibu,lagi tu lah segala yang sya lakukan menjadi sangat berat…Antara tip yang saya lakukan ialah,saya menganggap saya adalah anak tunggal…tak mempunyai adik beradik…maka selepas tu saya tak akan berfikir nak berkongsi tugas menjaga arwah ibu….akhirnya saya dapat keseronokan menjaga arwah & Rasulullah صلى الله عله وسلم bersabda:

    عن عبدالله بن عمرو بن العاص رضي الله عنهما عن النبي قال: رضا الرب في رضا الوالدين، وسخط الرب في سخط الوالدين – رواه الترمذي وصححه إبن حبان والحاكم

    Daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash رضي الله عنهما, dari Nabi صلى الله عليه وسلم , baginda bersabda: Keredhaan Allah (tergantung kepada) keredhaan kedua ibubapa, dan kemurkaan Allah (tergantung pada) kemurkaan kedua ibubapa (Hadits riwayat at-Tirmidzi, dan dishahihkan oleh Ibn Hibban dan al-Hakim)

    Beberapa tahun sebelum arwah pergi,dia kena strok sebelah badan…agak sukar untuk saya memandikan dan mencuci najisnya…saya sediakan bibik untuknya wlpun dalam hati sering curiga dgn bibik..samada dia ikhlas jaga ibu,tapi saya tiada pilihan…Pada 27/12/2009 arwah tinggalkan kami pada hari Ahad ;10 muharram (sama tarikh arwah di lahirkan)…

    Meski pun arwah dah beberapa tahun tinggalkan saya,tapi saya tetap berbakti kepada arwah ibu,bapa & nenek…antara caranya,saya akan balik ke kampung untuk menziarahi pusara mereka…Moga Allah SWT akan menempatkan arwah2 kesayangan saya bersama-sama hambaNya yang beriman…Amin….

     
  48. احمد فخرالدين افيق

    20 November 2012 at 5:24 pm

    Alhamdulilah antara pengisian yang bermakna buat saya-Jazakallahu khairan kathira

     
  49. Honey Solehah

    22 Januari 2013 at 10:19 am

    Ingatan utk kami semua utk meneruskan cita2 utk menjadi anak yg soleh & solehah…aameen.

     
  50. pulsa listrik

    1 Mac 2013 at 3:08 pm

    It’s a shame you don’t have a donate button!
    I’d certainly donate to this superb blog! I suppose for now i’ll settle for book-marking and adding your
    RSS feed to my Google account. I look forward to new updates
    and will talk about this blog with my Facebook group. Chat soon!

     
  51. umiesolehah

    13 April 2013 at 9:11 pm

    alhamdulillah ust… sy mmang yakin kjayaan kt di dunia dn akhirat ini brgantung redhonya kdua org tua kita. namun sy masih bersedih kerana ibu saya tidak amhu tinggal dgn saya. walau da berkali2 sy mngajak. jauh dari kluarga besar kami ktanya. apa yg mndesak sy ingin mnjga ibu krn setiap kali sy balik ke kampung ibu sllu mluahkan persaany…kecil hati katany… bkn dgn kkak yg mnjga tapi dgn mnantu2 kkak sy xpndai hormat org tua, di buat mcm ank2 kcil… sedih ust.

     
  52. Zuraina binti Ithnin

    16 Julai 2013 at 11:35 am

    Terima kasih ust… baru terbaca atikel ini.. ya… bukan senang mencari Redha Allah… IKHLAS.. untuk saudara hisham.. jgn mengeluh… yakin.. Allah sentiasa ada disisi kita..selagi ada ujian itulah tanda Allah syg hambanya…

    Terima kasih ustaz

     
  53. mamasyafi

    13 Ogos 2013 at 1:40 pm

    Bukan mudah mencari redha Allah…terima kasih ustaz

     
  54. zaleha salim

    22 Oktober 2013 at 8:17 am

    asalamualaikum..syukur atas segala nikmat yg telah ALLAH limpahkan terhadap saya..terima kasih pada ustaz yg memberi peluang pada saya utk berkongsi sedikit pengalaman…pada saudara hisam saya ucapkan setingg2 tahniah…..maafkan saya..saya hanya hamba ALLAH yg penuh kekurangan..trlalu kerdil di bandingkan dengan en hisam…percayalah en hisam anda adalah manusia yg hebat…ALLAH tak akan menguji hambanya jika dia tidak mampu…redha…terima…bersyukur….bila ada menjiwai ke 3 parkara tersebut insyaALLAH rahmat dan keberkatan akan datang ..sehingga anda merasa anda mausia yg tidak layak utk menerima…buruk hina pandangan kita..itulah reseki yg amat brnilai ALLAH beri…sabar redha dan bersyukur pasti rahmat yang menanti …yakinlah anda…dengan rahmat ALLAH sila pm saya ..insyaALLAH,saya akan kongsi pengalaman hidup saya menghadapi ujian ALLAH,,,,dan saya akan cuba membantu anda sekadar apa yg saya boleh….

     
  55. cucunenek

    25 November 2013 at 10:46 pm

    assalam ustaz.. dalam sebuah rumah, tinggal seorang cicit, cucu, nenek, dan ibu nenek (great grandma).. si nenek sangat rajin solat jemaah, baca quran, mengikuti kelas ilmu hampir setiap hari, hubungi dgn jiran sangat baik.. Akan tetapi, di rumah, si nenek selalu berkasar dengan ibu nenek, meninggikan suara ( ibu nenek mulai kurang pendengaran ).. ibu nenek suka mengulang ceritanya berkali-kali, memang mencabar kesabaran si nenek, lalu si nenek akan meninggikan suara sambil menasihati ibu nenek agar pegang tasbih, zikir dan ingat mati.. si cucu memerhatikan suasana tegang ini sambil berdiam diri, protes diam terhadap si nenek, tidak setuju dgn kekasaran si nenek.. tetapi si cucu ni, apabila melayan ibu nenek, pun kesabarannya tercabar, biasanya si cucu akan mengangguk kepala dan segera berlalu, mengelak dari duduk mendengar ibu nenek mengomel berkali-kali.. si cicit keliru.. alquran dibaca, tapi tidak diamal.. mohon ustaz menyedarkan si cucu dan si nenek melalui pandangan ustaz, terima kasih..

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,165 other followers

%d bloggers like this: