RSS

Tag Archives: agama

RESAH SEORANG AYAH

Kerap kali kalau kita jujur kita dituduh bodoh. Bila kita mengalah, kita dianggap lemah. Pada hal, kita inginkan keamanan dan kedamaian tanpa kehilangan hak dan harga diri. Namun begitu sukar untuk mendapatnya!

Paling teruji apabila ada orang lain yang mengikut lorong salah… lalu dia cepat sampai, sedangkan kita di lorong yang betul masih lelah  menapak dan merangkak. Bila yang batil ketawa, yang benar pastinya teruji melihat kegembiraan itu. Dan hampir-hampir ia melepaskan kebenaran itu semula hanya kerana tidak tega melihat kebatilan melonjak ria.

Acapkali duri berselindung di sebalik bunga… lalu kita yang tercium keharumannya alpa akan tusukan bisa di sebaliknya. Huluran tangan yang ikhlas dan lembut kekadang dikilas dalam diam dan dendam. Sering juga baldu yang lembut dan halus  dihamparkan tetapi di bawahnya ada belati tajam yang sedia terhunus.

Namun inilah hakikat, tidak ada keadilan yang mutlak di dunia ini. Justeru, di sana ada akhirat supaya segala topeng kepura-puraan yang selama ini bertahta akan terhenyak dan mendapat pembalasan.

Namun, jika itu yang kita ingatkan kepada yang lain, pasti ada yang mengatakan bahawa itu hanya ‘escapisme’ . Bila kecewa dengan manusia, orang ‘lari’ kepada Tuhan, bila tidak dapat meraih dunia orang mula merindui akhirat, bila terlepas kenikmatan nafsu baru ada yang merintih syurga itu ada!

Bukan, tidak begitu. Keyakinan kepada Allah dan Hari akhirat itu adalah tunjang, teras dan pegangan semasa kita hidup di dunia. Jangan terperangkap oleh ‘etheis’ dalam diri yang mendakwa bahawa manusia itulah yang ‘mencipta’ Tuhan demi ketenangan.

Selalu kita diperingatkan bahawa selesaikanlah urusan kita dengan Allah, barulah Allah akan membantu kita menyelesaikan urusan kita dengan manusia. Dan siapa yang memburu akhirat, dunia akan melutut di kakinya!

Kita tidak selalu benar dalam pendirian dan tindakan… kita hanya manusia. Walaupun sungguh hati kita ingin mengikut jalan Allah, tetapi kerana kealpaan dan kejahilan kita tersasar jua. Kita ingin tenang, tetapi oleh kerana ketipisan iman dan zikir, pendirian kita goyah jua. Ada rasa marah, ada rasa resah… tetapi semua itu adalah ‘bayaran tol’ di lebuh raya mujahadah.

Ya Allah, ampunkanlah kami. Berilah kami kekuatan untuk memaafkan diri kami sendiri dan juga orang lain. Kami masih tidak pandai mensyukuri nikmatMu kerana kami masih mendidik hati dalam menerima ujian-Mu.

Ya Allah, cuma satu… cuma satu… janganlah Engkau serahkan diri kami kepada diri kami sendiri walau sekelip mata. Kutiplah kami ya Allah untuk selalu dibimbing oleh hidayah dan taufik Mu!

Ya Allah, kami sentiasa yakin bahawa kejujuran itu kemenangan dan pilihlah kami untuk menjadi orang yang jujur dan benar… walau apa jua keadaan dan cabarannya! Amin.

(Buat sahabat/saudara ku… marilah kita renung tulisan yang sederhana i

ni: RESAH SEORANG AYAH…)

Ingin kubisikkan resah seorang ayah. Resah kita bersama. Resah warisan lama. Berkesinambungan sejak zaman silam. Imbauan kisah Yaa’qub dan Yusuf Alahaihisalam. Harapan suci seorang ayah memang selalu  teruji. Bayangkan bertapa terkejutnya Yaa’qub menerima khabar kematian Yusuf. Namun, jauh di dalam hatinya tidak pernah gementar. Dia yakin Yusuf tetap  dipelihara Allah walaupun di tangannya baju berdarah.

 

Ah, siapakah tidak tergugah bila berpisah? Dan menangislah Yaa’qub menanggung resah seorang ayah. Matanya menjadi buta… tetapi hatinya terus bercahaya. “Yusufku, Yusufku… demi Ilahi dia pasti kembali.” Lalu terjadilah tribulasi demi tribulasi. Tragedi demi tragedi. Terjual menjadi hamba, terfitnah oleh wanita, terasing dipenjara… Read the rest of this entry »

 
46 Komen

Posted by di 25 Februari 2011 in Tarbiyah

 

Label: , , ,

DAULATKAN AGAMA, MARTABATKAN BANGSA

Walau semudah mana sekalipun falsafah dan kerangka pemikirannya, tetapi apabila sifat takbur dan kepentingan diri serta puak berleluasa, seseorang tidak akan nampak jua kebenaran.

Inilah yang cuba saya peringatkan pada diri dan semua ketika dihadapkan persoalan – Dilema Melayu.

Saya sedar, pemikiran saya dalam buku Dilema Melayu: Kurang Fikir atau Kurang Zikir, tidak mendapat sambutan yang baik sepertimana input-input saya dalam buku Tentang Cinta, Nota Hati, Di Mana DIA di hatiku dan Mukmin Profesional (hanya buku itu yang tidak diulang cetak lebih  daripada sekali), tetapi itu tidak menghalang saya untuk mengutarakan ‘pandangan-pandangan di luar kotak’ demi menyumbang sesuatu kepada masyarakat Melayu-Islam kita.

Saya berdoa semoga akan ada nanti pandangan yang membetulkan, melengkapkan atau memperincikan input yang saya tulis itu. Ketika bergaul dan melihat masyarakat – dari Kelantan, ke Selangor dan Kuala Lumpur – saya merumuskan, siapapun inginkan kebaikan, tetapi tidak semua inginkan kebenaran. Semua bencikan kejahatan, tetapi tidak semua bencikan kebatilan.

Kebenaran itu hanya pada Allah dan diletakkan-Nya pada Islam. Menerima Islam (kebenaran), menjemput datangnya kebaikan dan mengusir segala kejahatan. Malangnya, selimut kepentingan diri dan egoa kerap menutup pintu hati kita daripada menerima Islam secara total .

Sikap ‘separuh-separuh’ inilah musuh yang dihadapi oleh para Rasul. Sikap separuh-separuh dalam akidah inilah yang dinamakan syirik! Kita menerima Allah sebagai Pencipta, tetapi tidak menyerah seluruh pengabadikan kepada undang-undang dan peraturan-Nya.

Dan kemudian ia merebak kepada soal syariat dan akhlak. Akhlak kita hanya berfokuskan ‘kebaikan’ bukan kepada kebenaran. Syariat kita caca marba – yang ‘sesuai’ dan bermanfaat material kita ikuti, yang mana terasa mengikat dan menekan nafsu, kita katakan, “tunggu atau nanti dulu!”

Menerusi blog ini selalu saya sentuhkan persoalan cinta dan keluarga… kerana di sana NUKLEAS segalanya. Namun, sekali-sekala saya tidak dapat menahan diri daripada menyentuh soal masyarakat dan negara.

Saya bimbang, persoalan yang mudah dan jelas, seolah-olah sengaja dikusutkan hanya kerana adanya kepentingan diri dan puak – bukan oleh kepentingan agama, bangsa dan negara. Apakah ada dilema antara agama dan bangsa, Islam dan Melayu? Atau dilema itu hanyalah timbul kerana kejahilan dan kedegilan kita? Sama-samalah kita fikirkan. Namun bagi saya… jika Islam didaulatkan, insya-Allah Melayu akan dimartabatkan. Ikutilah tulisan ini sekadarnya…

DAULATKAN AGAMA, MARTABATKAN BANGSA

Kepentingan agama perlu didahulukan-kepentingan bangsa dan bahasa akan menyusul dengan sendirinya.Dimana kekuatan agama, bangsa dan bahasa? Adakah ketiga-tiganya satu atau terpisah? Jika persoalan ini dapat diselesaikan, maka perjuangan menegakkan islam, kepentingan Melayu dan bahasa, akan lebih jelas. Dan tentunya ini akan dapat mengurangkan konflik atau dilema yang kerap berlaku dalam usaha mendaulatkan agama, memperkuatkan bangsa dan memartabatkan bahasa. Read the rest of this entry »

 
21 Komen

Posted by di 20 Februari 2011 in Politik / Siasah

 

Label: , , , , , ,

USTAZ, ENCIK ATAU PROTAZ?

86379664“Nak panggil encik ke ustaz?”
Saya terkejut. Ada juga pertanyaan semacam itu.
“Panggil apa-apa sahajalah,” jawab saya ringkas.
“Tak boleh begitu…”
“Mengapa?
“Ustaz itu yang orang yang mempunyai latar belakang agama,” balasnya.
“Latar belakang agama?” tanya saya lagi.
Kalau sekadar berlatar belakangkan agama, semua kita memilikinya. Kita orang Islam. Bisik hati saya.

“Kalau ada kelulusan agama, bolehlah kita dipanggil ustaz,” jelasnya lagi.
Saya senyum. Dia semacam begitu naif. Tetapi benarkah begitu?
“Kalau begitu saya bukan ustaz. Saya encik,” jawab saya akhirnya.
“Tapi kenapa encik selalu cakap tentang agama?’
Saya akui kuliah, tulisan atau sajak-sajak yang saya tulis mempunyai “suara” dan “bau” agama. Islam agama saya, salahkah saya bercakap dengan agama saya? Begitu suara hati saya. Tetapi saya pendamkan sahaja. Bimbang kalau-kalau nanti disalah ertikan atau terkasar bahasanya.

“Kenapa… kalau bukan ustaz tidak boleh bercakap tentang agama?”
“Saya dengar begitulah. Tidak autentik. Tidak ada autoriti,” jawabnya terus terang.
“Kenapa begitu ya?”
“Ya lah, kalau kita bercakap agama tetapi tanpa nas dan dalil kita mungkin mengelirukan orang lain.”
“Walaupun sekadar mengajak untuk mengerjakan kebaikan. Contohnya, nak mengajak orang solat, berakhlak baik, rajin bekerja, tinggalkan mengumpat… perlu dalil juga?”
“Mestilah. Bukankah halal dan haram itu pasti ada nas dan dalilnya?”

Saya benar-benar terkejut dengan kefasihan dan kelancarannya berhujah. Dia bukan sebarang. Kelihatan naif, tetapi sebenarnya tajam dan licik gaya berfikirnya.
“Benar, semua itu ada nas dan dalil… tetapi semua orang sedia maklum akan haram atau halanya. Contohnya, majoriti sudah tahu solat itu wajib, mengumpat itu haram. Nas dan dalil bukan masalah utama di sini.”
“Masalahnya apa?”
“Masalah kita bukan tidak tahu wajib atau haramnya sesuatu itu…tetapi kita tidak mahu melakukannya. Tahu solat wajib, tetapi malas melakukannya. Tahu mengumpat itu haram, tetapi suka melakukannya.”  Read the rest of this entry »

 
34 Komen

Posted by di 23 Mei 2009 in Tarbiyah

 

Label: , , , , ,

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,217 other followers