Penghayatan Amanah Dalam Profesion Bank Rakyat 2010
Agak payah juga saya dapat meluangkan masa untuk meletakkan entri baru dalam blog gentarasa. Tidak sangka kerja yang diamanahkan semakin banyak dan kompleks sejak awal tahun lagi. Hari ini saya dan sahabat-sahabat di Fitrah Perkasa buat pertama kalinya melaksanakan modul baru (modul yang ke lima) untuk Bank Rakyat.
Modul yang bertajuk Penghayatan Amanah Dalam Profesion itu dirangka dan diajukan kepada pihak HR Bank Rakyat sejak 3 bulan yang lalu. Selepas 4 modul sebelumnya, Bank Rakyat terus bersama kami untuk melaksanakan modul yang berikutnya. Kali ini cuba lebih verstail dengan pelbagai video klips, sajak, nasyid, peralatan mengajar, simulasi, lakonan…
Alhamdulillah, dalam kesibukan menguruskan persekolahan dan pengajian anak pada awal tahun, ditambah dengan kerja-kerja penulisan dalam Solusi dan buku ditambah pengisian program-program ceramah, akhirnya penulisan blog mendapat keutamaannya juga. Ramai yang mengajukan masalah dan meminta respons, saya berjanji akan menanganinya. Insya-Allah, lambat atau cepat.
Namun, sebagai hamba Allah, saya juga sama dengan saudara-saudari, sentiasa berharap dan berdoa semoga Allah membantu kita. Masih jatuh bangun dalam bermujahadah. Kekadang saya mengajar, banyak kali pula saya belajar. Bertemu berbagai guru… pengajarannya cuma satu, ikhlaslah dalam belajar dan mengajar. Jika tidak ikhlas, kita akan terbabas. Baik setinggi manapun kedudukan kita, samada sebagai pemimpin, hartawan, guru atau sebagainya… tanpa ikhlas, kita akan jatuh. Terhina di dunia dan di akhirat, walaupun pernah di selaputi nama, kuasa, harta dan ilmu.
Jangan persoalkan keikhlasan orang lain, tetapi telek dan beleklah keikhlasan diri sendiri. Rahsia hati yang tidak diketahui oleh sesiapa, melainkan oleh Allah sahaja. Ya Allah, bantulah kami untuk ikhlas. Read the rest of this entry »

Alhamdulillah, saya pulang semula ke Kuala Lumpur setelah 3 hari 2 malam di JB. Masih terbayang-bayang wajah peserta kursus Penghayatan Nilai RAKYAT menerusi Solat. Kebanyakannya muda-muda – aktif, dinamik dan energetik. Kakitangan Bank Rakyat cawangan Masai, Larkin dan Johor Bahru itu sangat responsif. Pengurus-pengurus mereka juga hebat. Tahniah. Benar-benar saya teruja, sayang dan mesra dengan semua mereka. Bertemu tidak lama tetapi hati telah terikat bagaikan sudah lama bersama.
Hujung minggu yang lalu, seorang peserta kursus yang dijalankan oleh Fitrah Perkasa dari Bank Rakyat minta saya menjelaskan apa yang saya maksudkan dengan perkara yang perlu vs perkara yang kita suka dalam hidup dan bagaimana kita perlu mengamalkan prinsip itu dalam kehidupan?












