RSS

Tag Archives: benci

PARASIT HATI

Sudah lama aku tidak menulis. Entri dalam genta-rasa sepi. Hujung tahun, biasanya aku sibuk dengan diri ku sendiri. Bermuhasabah tentang masa lalu, menilai masa kini dan merancang masa akan datang. Tulisan-tulisan dalam diari 2009 dan 1430 H diteliti kembali.

Tangis dan senyum silih berganti. Walaupun dicelahi oleh kesibukan oleh program kursus dan ceramah-ceramah yang bertali arus, namun alhamdulillah urusan persiapan pengajian anak-anak dapat juga ditangani secara teratur. Lepas satu, satu. Insya-Allah, menjelang tahun baru mungkin berkesempatan menziarahi cucu.

Sahabat dan saudara-saudaraku, apa khabar? Ku kira kau juga akan sibuk seperti ku. Inilah kehidupan, inilah ujian. Langit kehidupan ini akan sentiasa mendung dengan pelbagai episod dan peristiwa. Hujan, kilat, petir dan guntur akan sentiasa melakarkan suka dan nestapa di kanvas kehidupan kita. Ah, jalan ini, pangkalnya sudah jauh…hujungnya belum tiba. Pernah ku tulis semua ini satu ketika dulu….

Suci Sekeping Hati

Sekeping hati dibawa berlari
Jauh melalui jalanan sepi
Jalan kebenaran indah terbentang
Di depan matamu para pejuang

Tapi jalan kebenaran
Tak akan selamanya sunyi
Ada ujian yang datang melanda
Ada perangkap menunggu mangsa

Akan kuatkah kaki yang melangkah
Bila disapa duri yang menanti
Akan kaburkah mata yang meratap
Pada debu yang pastikan hinggap

Mengharap senang dalam berjuang
Bagai merindu rembulan di tengah siang
Jalannya tak seindah sentuhan mata
Pangkalnya jauh hujungnya belum tiba

Diambang 2010, di mukaddimah 1431 H, enam segmen kehidupan diteliti satu persatu – kerohanian, ilmu, keluarga, kerjaya, kesihatan, kewangan. Ku teliti hati-hati dan ku disuluh sepenuh satu persatu. Kepincangan dan lompang kelihatan di mana-mana. Sabar. Dan aku perlu bangun untuk memperbaikinya. Prestasi dan kemajuan… alhamdulillah, juga kelihatan. Syukur. Dan bangun lagi untuk meningkatkannya.

Di langkah pertama memacu roh hijrah 1431 H dan momentum 2010, aku hanya ingin mengingatkan. Tentang wujudnya parasit… parasit hati!

Awas, parasit yang seperti itu sentiasa ada. Kenali dia dan menghindarlah jauh-jauh tanpa bermusuh. Jangan buka ruang dan peluang untuk dia mencelarukan hidup mu. Jangan biar dia mengelirukan pertimbangan mu. Dia itu pandai berkata dan licik bercerita. Cerita yang memikat. Kata yang mengikat. Dia seolah-olah sahabat terapat… tetapi rencananya busuk sekali. Dalam diam dia bijak melaksanakan dendam. Bagaikan api di dalam sekam!

Mungkin kita tidak pernah menjangka orang yang begini wujud. Jika anda lurus, tulus tetapi tidak berhati-hati… anda akan serahkan segala-galanya kepada dia. Kepercayaan, kesetiaan dan harapan, anda pertaruhkan kepadanya. Dia itu bijak menghulur, tetapi tiba-tiba dia akan menyentak dan anda akan tersentak. Dia kah itu? Mungkin dia berwajah jernih, murah senyuman dan pandai menabur simpati. Lalu anda akan terkesima dalam terpedaya. Sudah nyata tetapi seakan masih tidak percaya. Dia kah itu?

Beringat-ingat, ketika dia bercerita tentang orang lain, satu ketika orang lain pula akan mendengar cerita mu. Dia bijak mengatur bidak, menjolok yang sana untuk menjatuhkan yang sini. Atau menyanjung yang sini untuk memancung yang sana. Di mana pun dia mudah mendapat kawan, kerana simpati, empati dan kata-katanya sangat menawan. Terlalu lama masa untuk mengenal warna dia yang sebenar. Hanya bila anda mula menjarak, barulah rupanya yang sebenar terserlah.

Jangan takut dan rugi untuk menjauhinya. Dia hakikatnya “parasit” pada hati mu dan diri mu. Dia akan sentiasa memperalatkan dan punya dua wajah yang boleh diterima oleh dua atau tiga pihak yang saling bertelagah. Jika permusuhan orang lain menguntungkannya, dia menjadi batu api. Jika perdamaian orang lain memberi manfaat, dia akan kelihatan sebagai juru damai yang begitu cinta keamanan. Tetapi hakikatnya bukan orang lain yang menjadi sasaran kebaikan, tetapi dirinyalah jua yang meraih keuntungan.

Aku menulis ini justeru ada pertanyaan. Aku enggan menulis tentang watak “hitam” dalam kelompok manusia seperti dia. Aku pun bukan “malaikat” yang serba suci dan tidak punya kesalahan. Tetapi berdasarkan ilmu dan pengalaman yang secebis, anda, aku dan kita pasti menemui orang-orang seperti ini dalam pergaulan. Jika tidak setuju, dia senyum, manis seolah-olah setuju. Tetapi belakang kita lain bicaranya. Jadi, jangan ada apa-apa hubungan dengannya… biarkan dia berlalu sebagai “tanda jalan” dalam musafir hidup mu!

Cinta jangan keterlaluan, benci jangan sekali. Namun berhati-hati itu sangat perlu… pembeza antara sangka baik dan waspada. Sangka baik itu dituntut, waspada itu perlu. Jangan tertipu dengan senyuman. Jangan melulu oleh kemarahan. Sebaik-baiknya aturlah perasaan agar sentiasa di pertengahan. Agar diri sentiasa dalam kawalan. Pintalah hidayah, pohonlah taufik, untuk mencari kesetiaan dalam amukkan badai kemunafikan.

Maaf kiranya bicara ku ini dibauri bunga-bunga bahasa. Sengaja ku kelamkan makna di balik sulaman kata-kata. Bukan tidak mahu berterus terang… tetapi sekadar “melembutkan” pendekatan. Ya, mana mungkin air najis akan membersihkan najis? Mana mungkin satu keburukan dihapuskan oleh satu keburukan yang lain? Cuma aku tidak mampu berdiam. Sebagai manusia biasa, hati kita bukankah umpama kuah yang sedang menggelegak? Ada kala dingin seperti salju, tetapi ada masanya bagaikan lahar berapi yang sedia meledak!

Ah, biasa ilmu akan datang memujuk kita. Ditayangkan di depan mata akan keburukan sendiri, lalu ketika itu kaburlah kesalahan orang lain. Teringat pesan Imam Ghazali RHM, jika yang melakukan kemungkaran itu orang muda… kau katakan, dia masih muda. Masih sedikit dosa dan kesalahannya. Berbandingkan kau yang telah tua, yang terlalu pekat oleh maksiat. Dia masih punya masa untuk taubat. Sedangkan kau sudah berada di garis penamat.

Jika yang melakukan kejahatan itu sijahil, kau ingatkan diri mu bahawa dia melakukannya kerana tidak tahu. Sebaliknya jika kau melakukan kejahatan, kau melakukannya dengan ilmu, dalam sedar, dalam tahu. Oleh itu dosa mu adalah terlalu. Takutilah parasit hati… yang berasal daripada hati mu sendiri!

Ya, sekali lagi… pandanglah dulu onar diri mu. Parasit hati itu tidak akan mampu merosakkan mu jika kau sentiasa:
1. Solat berjemaah.
2. Sentiasa berzikir.
3. Berdamping dengan Al Quran.
4. Melazimi taubat dan berselawat.
5. Sering bersedekah.

Itulah perisai hati yang akan melemahkan parasit hati!

 
26 Komen

Posted by di 27 Disember 2009 in Kemudi Hati, Uncategorized

 

Label: , , , , , ,

BERCERAI KASIH BENCI TIADA!

83266466Siapa kita lima tahun akan datang ditentukan oleh buku apa yang kita baca dan dengan siapa kita bergaul. Begitu kata pakar-pakar psikologi. Kita dibentuk oleh apa yang kita baca – dalam konteks iqra’ imam Ghazali mentafsir membaca dengan akal, hati dan emosi. Maksudnya apa sahaja input yang selalu kita lazimi pada akal, jiwa dan emosi akan membentuk peribadi.

“Buku” dalam ertikata yang luas ialah apa yang kita dengar, lihat, tonton, berinteraksi dan berkomunikasi. Kamu ialah apa yang kamu baca, seperti juga kamu apa yang kamu makan, kerana membaca itu hakikatnya memberi “makanan” pada akal, hati dan emosi.

Baiklah, bukan itu yang ingin saya fokuskan kali ini. Tetapi saya ingin berkongsi bahagian kedua daripada kata-kata pakar psikologi itu – yakni “dengan siapa kamu bergaul.” Sudah lama saya ingin menyentuh persoalan ini, dan telah ramai juga pengunjung blog yang meminta saya menulis tentangnya. Alhamdulillah selepas Subuh ini, ada dorongan yang sangat kuat untuk menulis tentangnya. Mudah-mudahan ada kebaikan buat kita bersama.

Saya ingin menulis sesuatu yang saya dengar, dapati, rasai daripada pengalaman sendiri. Tentunya daripada pengalaman peribadi dan pengalaman orang yang saya temui. Kebetulan karektor saya sebagai “perfect malancholy” – yang umumnya selalu serius, berhati-hati, agak skeptik (kadangkadala prajudis), suka kesempurnaan – selalunya akan menghadapi cabaran yang lebih “besar” dalam perhubungan.  Read the rest of this entry »

 
21 Komen

Posted by di 20 Oktober 2009 in Kemudi Hati

 

Label: , , , , , ,

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,190 other followers