RSS

Arkib Label: cemburu

SEIMBAS TENTANG POLIGAMI…

Saya pernah mendengar secara langsung bagaimana seorang isteri dianiaya oleh suaminya yang berpoligami. Sudahlah selama ini dia membantu suaminya menyara keperluan keluarga (gajinya lebih besar daripada suami), tiba-tiba suami bernikah lain tanpa pengetahuannya.

Dan sejak itu suami jarang pulang ke rumah. Jika pulang pun, hanya sekali-sekala, itupun kerana ‘mengecek’ wang isteri pertama. Isteri yang selama ini berkorban, terus terkorban… bertahan cuma untuk membesarkan anak-anak. Tidak ada kebahagiaan lagi.

Ada pula saya temui lelaki ‘handsome’ yang sihat, kaya, baik tetapi terhimpit oleh masalah ‘dalaman’ apabila isterinya tidak sudi melayaninya lagi. Sukarnya untuk memahamkan isteri akan cabaran-cabaran lelaki yang ingin menjadi muslim sejati dalam dunia yang penuh godaan dan cabaran ini. Isteri tidak pula sudi membantu untuk mengurangkan beban cabaran itu. Bersoleklah, berhiaslah dan jagalah penampilan diri… Berzina? Tidak terlintas sama sekali. Hendak berpoligami? Jangan harap. Alamat perang saudaralah nanti!  

Sekali-sekala saya terjumpa lelaki berpoligami yang begitu bijak dan sabar mengendalikan bahtera rumah tangga. Anak-anaknya ramai tetapi terdidik dengan baik. Isteri-isteri terurus dan terkendali dengan stabil. Perjalanan ‘rumah-rumah’ tangganya yang agak sempurna dan lancar, lebih baik daripada perkahwinan monogami oleh sesetengah lelaki yang lain. Jika demikian, dia layak memimpin beberapa orang wanita, detik hati saya.

Sering saya temui, lelaki yang hidupnya tunggang langgang. Anaknya hanya seorang, isterinya hanya satu… tetapi kendali hidupnya sungguh celaru. Hidup tanpa tanggung jawab. Dia masih tebal dengan budaya hedonisme dan berpeleseran dengan mengekalkan momentum zaman bujangnya. Hati saya tertanya-tanya, mengapa agaknya dia berkahwin? Apa tujuannya? Dia menyiksa dirinya dan orang di bawah tanggungannya. Usahkan berpoligami, bermonogami pun dia tidak layak!

Lalu hati saya berkata… semuanya bergantung kepada iman. Tidak kira poligami atau monogami, lelaki yang beriman dapat mengendalikannya dengan baik. Ada yang berbahagia dengan seorang isteri… ya itulah yang normal. Namun, sekali-sekala terjadi juga yang ‘kadang-kadang’, ‘jarang-jarang’, berbahagia pula dengan dua, tiga atau empat isteri. Allah Maha Mengetahui, di sebalik segala takdirnya, ada bahagia… sekiranya ada iman yang kukuh dan teguh di dada.    

Justeru, apabila ada kalangan pengunjung blog meminta saya menulis tentang poligami, saya persembahkan tulisan di bawah dengan rendah hati… Ya, Allah. Bantulah kami memahami tentang hukum poligami ini. Ya, saya akan menulis lebih panjang lagi tentang subjek ini. Namun buat sementara terimalah tulisan di bawah sebagai muqaddimahnya:  

MENYINGKAP MISTERI BERPOLIGAMI

Poligami, sering dianggap satu subjek yang ‘taboo’. Membincangkannya akan menyebabkan berlakunya pergeseran pendapat yang agak ‘sengit’ dikalangan umat Islam sendiri. Malah sering juga musuh Islam mengambil kesempatan mengecam Islam dan Nabi Muhammad kerana poligami.

Namun, realitinya poligami dalam Islam adalah satu praktik yang telah lama berlaku yakni sejak zaman Rasululullah s.a.w sehinggalah kini. Rasulullah s.a.w, Sayidina Abu Bakar, Sayidina Umar dan lain-lain para sahabat telah mengamalkannya. Ini menunjukan poligami memang boleh diamalkan.

Tindakan Nabi Muhammad saw melarang Sayidina Ali berpoligami tidak bermakna baginda melarang poligami.  Memang benar Rasulullah s.a.w melarang Sayidina Ali menduakan puterinya. Baginda amat marah mendengar ura-ura Sayidina Ali hendak berpoligami lalu masuk ke masjid dan menaiki mimbar sambil berseru: “Beberapa keluarga Bani Hasyim bin al Mughirah (kerabat Abu Jahal) meminta izin kepadaku untuk mengahwinkan puteri mereka (anak Abu Jahal) dengan Ali bin Abi Talib. Ketahuilah aku tidak akan mengizinkan, sekali lagi aku tidak akan mengizinkan. Sungguh tidak aku izinkan kecuali Ali bin Abi Talib menceraikan puteriku terleboih dahulu. Fatimah adalah sebahagian dari diriku, apa yang mengganggu dirinya mengganggu diriku, dan apa yang menyakiti hatinya menyakiti hatiku.”

Namun hadis ini  difahami dan diperjelaskan secara berbeza oleh para ulama. Berdasarkan Imam Nawawi, fokus utama hadis ini bukanlah berkaitan poligami secara umum tetapi ia berkaitan dengan hasrat Sayidina Ali memadukan isterinya Siti Fatimah binti Muhammad saw dengan puteri Abu Jahal.   Ini diperjelaskan lagi oleh sabdanya sebagai kesinambungan daripada hadis yang pertama: ”Dan sesungguhnya aku tidak mengharamkan yang halal dan tidak  pula menghalalkan yang haram, akan tetapi, demi Allah jangan sekali-kali bersatu puteri utusan Allah dengan puteri musuh Allah.” Read the rest of this entry »

 
51 Komen

Posted by di 10 Januari 2012 in Kemudi Hati

 

Label: , , , ,

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,104 other followers