RSS

Tag Archives: ceria

SAYANGI DIRI SEBELUM MENYAYANGI ORANG LAIN

Selagi kita manusia selagi itu kita berbeza. Islam mengiktiraf perbezaan. Perbezaan bukan semestinya satu pertentangan.

Perbezaan adalah rahmat kerana sudut pandang yang berbeza itu memberikan satu perspektif yang lebih holistik.

Setiap individu, kelompok… pasti ada titik butanya masing-masing. Apa yang dilihatnya jelas, mungkin kabur pada pandangan orang lain. Manakala ada yang dilihatnya kabur, jelas pula pada pandangan orang lain.

Dengan menggabungkan pelbagai sudut pandang, ufuk pandangan kita akan lebih luas. Dan ini mengurangkan sikap prajudis dan ketaksuban.  

Manfaatkan persamaan. Uruskan perbezaan. Apapun, adab dan akhlak dalam berbeza pandangan itu sangat penting dan utama dipertahankan.

Adab itu lebih utama dipertahankan berbanding ‘perkara ranting’ yang sedang dipertikaikan. Ramai orang yang bijak, tetapi masih sedikit orang yang berakhlak. Hanya dengan kebijaksanaan dan kasih sayang kita dapat mencari kebenaran… Jika tidak yang kita cari cuma kemenangan. Biar kalah hujah, asalkan ‘menang’ akhlak. Justeru, selamanya manusia  ‘dont care how much you know untill the know how much you care’.

Mudahnya sikap melabel, mempertikaikan akidah, malah hingga ketahap meragui keislaman orang lain yang berbeza disiplin ilmu dengan kita, seharusnya dapat dielakkan. Kekadang saya melihat, soal peribadi sudah mengelabui soal prinsip. Agama di jadikan bukti hujah tetapi kedengkian bersalut dunia itu jugalah yang menjadi motif utamanya. Bukan menuding orang lain, tetapi satu muhasabah buat diri sendiri dan mengingatkan yang lain. 

Pandanglah manusia lain dengan pandangan sayang. Semua muslim bersaudara. Selagi bersaudara kita umpama satu jasad. Melukai hati mereka samalah melukai diri kita sendiri. Sakitnya mesti terasa kerana saraf iman kita sama. Iman itu akar, buahnya kasih sayang. Jika mereka  bersalah sekalipun, mereka masih berhak mendapat kasih sayang kita. Apatah lagi jika sekadar ‘ter’salah.

Kesukaran mendidik diri sewajarnya meningkatkan kesabaran kita mendidik orang lain. Jangan kasar. Jangan marah. Perlembutkan bahasa, lunakkan sentuhan… kemukakan hujah secara ilmiah dengan bujukan dan kemesraan. Begitu Rasulullah saw mengajar kita. Yang benar, mesti diperjuangkan secara yang benar juga. Kesalahan orang lain, jangan diledakkan di khalayak ramai (termasuk laman sosial di internet) tanpa bersemuka dengan yang berkenaan terlebih dahulu. Dan sebelum bersemuka, tanamkan dalam hati… aku berbuat demikian demi kasih sayang dan cintaku kepada saudara muslim ku.

Siapa yang mencari kebaikan, akan bertemu kebaikan. Orang yang baik berhak bertemu dengan orang yang baik sepanjang perjalanan hidupnya. Sekalipun, dia bertemu dengan ‘orang yang jahat’ namun kebaikan jualah yang akan dapat dirasai daripada kejahatan itu. Bukan soal siapa yang kita temui, tetapi siapa kita ketika menemui mereka.

Bertemu dengan orang, seperti bertemu dengan makanan. Ada makanan yang lazat, berzat dan berkat. Ada makanan yang tidak sedap, jangan mencelanya. Tinggalkan dengan baik. Maka begitulah dengan kenalan mu. Jika ternyata, mereka tidak dapat membawa kita menjadi lebih baik… tinggalkan. Tetapi jangan memutuskan. Jarakkan diri, tetapi jangan mencelanya. Dia akan bertemu dengan orang yang lebih baik daripada kita dan kita akan bertemu dengan orang yang lebih baik daripadanya.

Insya-Allah, jika kita berani berbuat demikian, belenggu yang mengikat hati dan diri kita akan terungkai. Kita akan terbang lebih tinggi setelah belenggu itu terungkai. Dia pun akan melonjak lebih jauh tanpa kehadiran kita di sisi. Begitulah, kekadang perpisahan itu lebih baik daripada pertemuan… asalkan tidak ada permusuhan.

Apapun, sayangilah diri sebelum menyayangi orang lain… kerana itu petanda kesempurnaan iman: 

SAYANGI DIRI SEBELUM MENYAYANGI ORANG LAIN

“Ustaz, kerana sayang anak-anaklah saya jadi begini,” kelohnya perlahan.

“Puan telah terkorban,” balas saya juga perlahan.

“Saya terkorban kerana berkorban.” Read the rest of this entry »

 
38 Komen

Posted by di 15 Jun 2012 in Iktibar Kisah

 

Label: , ,

MULAKAN DENGAN CERIA

Percayalah, orang yang cemerlang ialah orang yang ceria. Dia melaksaanakan apa jua aktiviti hidupnya dengan rasa gembira. Sama ada aktiviti yang berkait dengan Allah (habluminallah), mahupun aktiviti yang berkait dengan manusia (habluminannas), semuanya dibuat dengan gembira .

Ceria yang dimaksudkan di sini bukanlah terkinja-kinja atau tertawa terbahak-bahak, tetapi rasa senang, tenang, rasa bebas dan lapang di dalam hati.

Tidak percaya? Cuba imbau kembali hasil kerja kita yang dirasakan paling berkualiti, sama ada  tulisan, masakan, lukisan, persembahan atau apa sahaja… Ingat semula bagaimana hati kita sewaktu menghasilkannya. Insya-Allah, pada waktu itu mesti hati kita dalam keadaan ceria. Mustahil kita dapat menghasilkan satu kerja yang baik sewaktu dilanda perasaan sedih, benci ataupun marah.

Aliran kegembiraan akan mengukir mutu yang tinggi pada hasil pekerjaan kita. Itulah yang dimaksudkan ‘air tangan’ dalam pekerjaan kita. Air tangan itu hakikatnya adalah aliran keceriaan yang mengalir daripada diri kepada pekerjaan kita. Bukan sahaja kerja malah wajah kita juga diukir oleh kegembiraan itu. Kata bijak pandai, “jika hati baik, wajah akan sentiasa cantik.” Salah satu ciri hati yang baik, adalah ceria!

Kata pakar-pakar psikologi dan motivasi, sepuluh minit terawal sebaik sahaja bangun daripada tidur akan menentukan kecemerlangan kita pada hari tersebut. Jangan hendaknya fikiran, perasaan dan hati kita dicemari oleh sesuatu yang buruk, jahat dan kotor. Saranan mereka, senyum, cakap yang baik-baik, rasa yang indah-indah, sebaik sahaja bangun daripada tidur.

Sebagai seorang Islam, kita seharusnya tidak ada masalah untuk merasa ceria sebaik sahaja bangun daripada tidur. Caranya?  Hitung kesyukuran, jangan hitung kesukaran. Islam hakikatnya sudah lama mendidik umatnya agar melihat sisi yang baik-baik, indah-indah dan cantik-cantik sebaik sahaja bangun daripada tidur. Justeru, kita dianjurkan untuk melafazkan doa kesyukuran ini sebaik sahaja bangun daripada tidur: “Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami selepas kematian kami dan kepadaNyalah kami akan dihimpunkan.”

Ya, pertama dan utama, kita mesti bersyukur atas nikmat hidup yang masih dikurniakan Allah.  Cuba kenangkan betapa ramai orang yang pada malam sebelumnya tidur, kemudian tidak bangun-bangun lagi pada hari esoknya kerana telah ‘dijemput’ kematian. Tidur disifatkan oleh para hukama sebagai separuh daripada kematian. Jadi apabila kita diizinkan untuk hidup pada pagi hari, ertinya ‘separuh daripada kematian’ telah diangkat kembali oleh Allah daripada diri kita… Lalu bersyukurlah kerana kita telah hidup semula dengan sepenuhnya! Read the rest of this entry »

 
46 Komen

Posted by di 4 Mei 2012 in Kemudi Hati

 

Label: ,

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,197 other followers