RSS

Tag Archives: cinta Allah

BIARLAH IMAN YANG TERUS BERBICARA…

 

tenangAdakalanya apabila kesedihan memuncak, kita jadi buntu. Jalan ketenangan yang dicari semakin kabur. Di mana dan ke mana hendak dibawa hati? Pada siapa hendak diadukan segala yang menanah di dada. Semua kesayangan dan kepercayaan tidak dapat menolong lagi.

Hanya kita…hanya kita yang tinggal keseorangan, terkontang-kanting untuk merawat luka sendiri. Hati bertanya, mengapa sekuat ini Allah menduga ku? Mengapa seganas ini ombak yang diutus untuk menghempas pantai jiwa ku?

Ingatlah, walau sekuat manapun ujian yang melanda, jangan sampai kehilangan pedoman. Kita ini hamba Allah. Dan ujian itu sesungguh ‘utusan’Nya. Ia adalah satu panggilan yang membisik ke dalam hati untuk kita kembali kepadaNya.

Bukankah kalimah ‘istirja’” setiap kali ujian menimpa itu datang dengan peringatan bahawa kita ini milik Allah dan kepadaNyalah kita akan dikembalikan? Read the rest of this entry »

 
8 Comments

Posted by on 3 March 2016 in Tarbiyah

 

Tags: , ,

Jagalah Allah, Allah akan menjaga mu!

Beberapa catatan saya kongsikan dalam buku saya BEDUK DIKETUK LAGI.

bkt 00100-700x700

 

 

Catatan 1: Allah menjaga auratnya

Kami berbual tidak lama. Ketika dia menghabiskan catatan dalam buku

harian kerjanya, mungkin. Saya pula menunggu giliran untuk masuk melawat ahli keluarga yang sakit.

“Alhamdulillah, sekarang majoriti jururawat beragama Islam menutup aurat,” kata saya kepada seorang jururawat senior yang duduk berdepan dengan tempat saya menunggu.

“Satu perjalanan panjang. Proses yang berliku-liku, akhirnya Allah izinkan kami menutup aurat,” balasnya dengan senyuman.

“Tentu ada kenangan yang manis,”  jolok saya untuk menghidupkan perbualan.

“Memang ada. Sampai sekarang masih menjadi ingatan, aspirasi dan pembakar semangat saya. Maklumlah, ujian pasti datang bertali arus. Tetapi saya dapat kekuatan setiap kali mengenangkan peristiwa itu.”

Diapun mula bercerita. Cerita lama. Telah berlaku lebih kurang 30 tahun yang lalu.

“Ketika itu saya bertugas di hospital besar di sebuah bandar. Pada waktu itu, memakai tudung untuk wanita yang berkarier seolah-olah suatu ‘larangan’. Masyarakat masih memandang serong hukum menutup aurat,” ceritanya semakin rancak.

“Satu hari seorang wanita akhir 20-an, seingat saya, dimasukkan ke dalam wad dan saya antara petugas yang menjaganya. Sakitnya agak kronik.

“Wanita ini sangat baik, tutur katanya lembut dan berakhlak. Dia paling menjaga waktu solat dan sentiasa dalam keadaan menutup aurat. Maklumlah ada juga petugas dan doktor lelaki yang bertugas di dalam wad tersebut. Read the rest of this entry »

 
7 Comments

Posted by on 30 April 2015 in Tarbiyah

 

Tags: , , ,

DERHAKA DALAM CINTA

Aku ingin  mengimbau kisah 15 tahun yang lalu. Begini kisahnya:

imagesMatanya merah. Tangisannya jelas kedengaran. Bahunya naik turun menahan sebak.

“Tak sangka ustaz, kami bercinta sekian lama. Tiba-tiba dia memutuskan. Apa salah saya? Mengapa dia pilih perempuan tu?”

Saya diam. Adik lelaki yang menemaninya juga terdiam.

“Saya tak akan maafkan dia. Sumpah. Habis masa dan usia saya selama ini menantinya. Saya sakit hati ustaz…”

Saya terus diam. Saya beri laluan untuk dia bersuara dan mengalirkan air mata. Biar diluah apa yang dipendam agar tidak bersarang menjadi dendam. Putus cinta memang menyakitkan. Ketika putus cinta harga diri seseorang akan jatuh ke peringkat paling rendah. Demikian, menurut ahli psikologi.

“Saya dendam ustaz. Orang yang paling saya cintai sanggup khianat pada saya. Apa dosa saya ustaz…” katanya bertalu-talu, lebih sayu. Suara yang bercampur esakkan itu sangat menghibakan.

Read the rest of this entry »

 
47 Comments

Posted by on 24 April 2014 in Tarbiyah

 

Tags: , , ,

KATA-KATA SELEMBUT RASA CINTA

Apabila Allah inginkan kebaikan kepada sebuah rumah tangga, maka dberikannya kelembutan dalam interaksi dan komunikasi sesama anggotanya.

Itulah petanda yang sangat ketara dan dapat dirasai bukan sahaja oleh mereka tetapi bagi orang lain yang melihatnya.

Cinta dan kasih sayang umpama mentari, cahayanya boleh dilihat oleh sesiapa sahaja yang punya mata. Bersyukur jika kelembutan itu ada dalam rumah tangga kita, kerana itu petanda kebaikan berada bersama kita. “Orang yang dijauhkan dari sifat lemah lembut, maka ia dijauhkan dari kebaikan.” (HR.Muslim)

Malangnya, kini semakin sering terdengar betapa kelembutan itu semakin hilang. Tutur kata yang kasar, bahasa yang kesat dan suara yang tinggi sudah semakin lumrah di antara suami isteri.

Mengapa suami ku suka membentak? Mengapa sejak akhir-akhir ini isteri ku sudah mula menjerit-jerit? Suaranya menjadi tinggi, bahasanya menjadi kesat sekali, mengapa? Itulah antara keluhan yang samada diluahkan atau dipendamkan dalam sebuah rumah tangga.

Ah, betapa manusia semakin lupa bahawa sifat lemah-lembut itu bukan sahaja diperlukan di dunia, bahkan diperlukan di akhirat. Syurga itu disedikan untuk mereka yang lemah lembut dalam sikap dan tutur kata. Rasulullah saw telah bersabda: “Mahukah aku kabarkan kepada kalian tentang orang yang diharamkan dari neraka atau neraka diharamkan atasnya? Yaitu atas setiap orang yang dekat (dengan manusia), lemah lembut, lagi memudahkan.” (HR. Tirmidzi)

Mengapa frekuensi suara pasangan suami isteri boleh meninggi? Mana bisikan cinta dan luahan rasa yang mendayu-dayu seperti mula-mula dahulu?  Mengapa suara dinyaringkan padahal jarak fizikal antara mereka begitu hampir? Ya, mengapa perlu menjerit dan membentak pada hal mereka cuma duduk bersebelahan? Apakah telinga sudah tuli atau lidah kehilangan tenaga untuk berkata-kata? Read the rest of this entry »

 
23 Comments

Posted by on 20 December 2011 in Kemudi Hati

 

Tags: , , , ,

KEMBALILAH KEPADA FITRAH

Salam Aidil Fitri untuk sahabat dan saudaraku, khususnya para pengunjung blog Gentararasa yang dihormati,

Maafkan saya kerana sudah agak lama juga tidak mengisi entri baru dalam blog ini. Pengisian jadual pada bulan ramadan tahun ini agak berbeza, jadi sekali lagi saya belum berjaya mengatur masa antara ibadah khusus dan umum, habluminallah dan habluminannas, membaca Al Quran dan menulis, berceramah dan bermuhasabah…

Harapan saya cuma satu… semoga kita istiqamah di jalan mujahadah ini. Apapun terjadi, kita terus mendaki. Tidak kira berapa kali kita jatuh, namun kita pasti bangkit kembali. Ramadan yang mulia telah pergi, namun rohnya tetap di sini. Di hati kita. kita akan terus berusaha  untuk mendidik diri. Marilah kita bersama saling kuat menguatkan, doa mendoakan, ingat mengingatkan, dengan sifat kasih dan mengasihi. Walau kita tidak pernah bersua, tetapi kesatuan cita-cita dan rasa… membentuk satu talian yang sukar diberi nama tetapi sangat tinggi makna. Apa lagi kalau bukan kasih mengasihi kerana Allah.

Hari ini hari raya… Hari kembali kepada Fitrah. Hari keluar daripada fitnah (ujian dunia dan manusia) untuk terus terikat dengan syariat. Itulah kemerdekaan yang hakiki. Fikiran dapat menjangkau Pencipta di sebalik penciptaan, nafsu bebas dari belenggu kehendak taraf bawah untuk melonjak ke taraf tinggi dan akhirnya hati bebas daripada sebarang cinta… kecuali cinta Allah dan cinta sesuatu kerana-Nya jua!

Marilah kitan klembali kepada fitrah… dengan mengatur  kehidupan dunia sebagai musafir yang sentiasa merasakan akan kembali kepada Allah. Mulakanlah langkah untuk membuat perubahan dengan berbekalkan dua keyakinan – keyakinan kepada Allah dan keyakinan kepada diri sendiri. Dua keyakinan ini sangat berkaitan antara satu sama lain. Setiap kita mempunyai potensi untuk menjadi orang yang bertakwa.

Potensi dalaman itu sebenarnya ada pada setiap umat Islam. Percayalah kita lebih kuat daripada apa yang kita sangkakan. Jika kekuatan ini benar-benar ‘dioptimumkan’, kita tidak akan terkesan oleh gangguan luaran. Maka hidup ini akan lebih selesa, ceria dan mesra kerana segala-galanya bermula dan terbina dari dalam diri. Kita tidak akan terlalu bergantung kepada keadaan, peraturan dan segala yang bersifat luaran.

Kata hukama, “Jika kita dapat menguasai diri kita, kita akan dapat menguasai dunia.” Ertinya, dengan menguasai diri kita sendiri, pengaruh kita untuk menguasai orang lain, mengubah keadaan dan mencorak suasana luaran itu akan meningkat. Itulah sebenarnya sifat orang bertakwa. Yang hati mereka hanya terikat dengan Allah. Ketika Rasululullah menerangkan tentang takwa, baginda telah bersabda sebagaimana yang dilaporkan oleh Abu Hurairah:

التَّقْوَى هَا هُنَاMaksud: Takwa itu di sini (sambil menunjukkan dadanya). (Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut, jil. 4, hlm. 1986, no. hadith: 2564)

Takut dan cinta mereka yang bertakwa hanya kepada Allah. Keyakinan diri mereka sangat tinggi hasil mengingati Allah, detik kematian dan hari Akhirat. Apa yang mereka takutkan jika mereka merasai Allah sentiasa bersama mereka? When Allah is your friend, who is your enemy? Mereka akan terasa ringannya ujian di dunia apabila mengenangkan azabnya mati. Dan mereka akan yakin menghadapi kesusahan hidup di dunia kerana menyedari itulah bekalan untuk hidup di akhirat nanti. Read the rest of this entry »

 
28 Comments

Posted by on 29 August 2011 in Kemudi Hati

 

Tags: , , ,

DENGAN KEYAKINAN…

Memang benar seperti yang diberitahu oleh Rasulullah SAW, pada akhir zaman orang yang hina (justeru jauhnya hubungan mereka dengan Allah) diangkat dan dimertbatkan ke darjat yang mulia.

Manakala orang yang mulia (kerana akrabnya dengan Allah serta sangat menjaga hukum-hakamNya) telah dianggap hina. Hanya jauhari mengenal manikam – orang yang beriman juga yang menghargai mujahid, syuhada’ dan para solehin.

Justeru, ketika nama dan harta mula melengkari hidupmu… mungkin ketika itu percikan-percikan api jahiliyah mula membakar jiwa mu. Cinta dunia itu kepala segala kejahatan. Bukan mudah untuk meletakan dunia di tangan, iman di hati. Dunia itu umpama gadis yang cantik, di samping kita menjaga agar orang lain tidak menodainya, kita sendiri harus menjaga diri ketika menjaganya.

Ya, berapa ramai orang yang lupa kita terlalu asyik mengingatkan? Berapa ramai yang lalai dengan Allah ketika begitu pantas dan tangkas mengucapkan kalimah cinta-Nya? Mereka hanya umpama tanah yang keras dan kering… mampu menakung air untuk memberi minum orang lain, tetapi hati sendiri gersang dan terbakar kerana kehausan!

Lalu aku ingin mengingatkan diriku dan dirimu… berhati-hatilah ketika berbicara tentang hati. Betapa banyak hati yang lalai kerana dihijab oleh limpahan peringatan. Umpama anak benih yang mati “kelemasan” kerana terlalu banyak disirami air! Atau lilin yang membakar diri… kononnya untuk menerangi orang lain!

Dunia yang diselubungi hedonisme dan materialisme ini tidak sudi berpaling kepada para muttaqin. Dan mereka yang berpegang pada sunnah, akan semakin dilihat asing. Terpinggir. Terpencil… malah dibenci oleh umat Islam sendiri. Para daie yang ikhlas, tidak bermuka-muka… terus bekerja tanpa menggamit nama dan biaya. Mereka hanya mendapat kebahagiaan ketika bekerja tanpa diketahui oleh yang lain. Marilah kita berdoa untuk para mujahidin di seluruh dunia, yang ketika ini sedang dihenyak, dibelasah dan disekat oleh pelbagai tribulasi dan mehnah. Read the rest of this entry »

 
38 Comments

Posted by on 5 April 2010 in Kemudi Hati

 

Tags: , , ,