RSS

Tag Archives: ghaib

BIARKAN SILUNCAI TERJUN DENGAN LABU-LABUNYA!

Kadangkala mendidik secara perlambangan, lebih mengesankan. Menegur secara metafora, kurang menyakitkan. Memperingat secara analogi, lebih melunakkan hati. Begitulah yang saya yakin dalam usaha kita menyedarkan diri sendiri dan orang lain.

Mesej yang baik, perlu disampaikan dengan cara yang baik dan pada ketika yang baik… Namun jika dimarah juga, kita berserah kepada Allah. Kita manusia yang lemah, Allah jua yang memberi hidayah.

Banyak yang berlaku minggu-minggu kebelakangan ini. Banyak persoalan menerjah ruang ingatan. Saya berdoa agar apa yang pernah saya tuliskan dalam buku-buku atau blog kembali ditelaah dan diperhatikan. Di sana mungkin terselit jawapan, samada secara langsung ataupun tidak. Kali ini saya paparkan semula satu tajuk dalam buku “NOTA FIKIR UNTUK ZIKIR”… jadi pohon kembali difikir-fikirkan. Semoga ada zikir (ingat) sejurus selepas itu…

Keceluparan kerapkali mengundang bencana. Kata pepatah, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Terlajak perahu boleh dibelok, terlajak kata buruk padahnya. Begitulah yang terjadi pada Si Luncai. Akibat kata-katanya, dia dimurkai raja.

Apa tidaknya, ketika menghadap raja, terluncur kata dari mulutnya bahawa muka raja mirip wajah arwah bapanya. Raja yang zalim itu terasa dipersendakan. Baginya, mukanya tidak sekali-kali boleh disamakan dengan rakyat biasa … apatah lagi dengan muka arwah bapa Si Luncai yang miskin dan dipandang hina itu. Tanpa mempertimbangkan perkara ini dengan adil dan teliti, raja pun menjatuhkan hukuman. Penghinaan Si Luncai mesti dibayar dengan nyawa. Dan untuk itu, Si Luncai dihukum bunuh secara dicampakkan ke tengah laut.

Namun Si Luncai bukan anak sembarangan. Yang miskin cuma hartanya, bukan minda dan ketangkasan fikirannya. Otaknya bergeliga dengan pelbagai taktik licik untuk menyelesaikan masalah. Walaupun telah dihukum mati, Si Luncai tidak panik. Sebelum dia dibawa dengan sampan untuk dicampakkan ke tengah laut, dia sempat membeli sebiji labu besar. Sejak itu dia menangis berhiba-hiba sambil mengusap-usap labu itu.

Selang beberapa ketika, dua orang pengawal istana pun tiba untuk melaksanakan hukuman. Dengan senjata yang lengkap, mereka berdua bersedia untuk membawa Si Luncai dengan sampan untuk dihumban ke tengah laut. Menyedari kedatangan pengawal itu, Si Luncai pun tambah beria-ia menangis sambil membelai-belai labu airnya. Melihat telatah Si Luncai, dua pengawal kehairanan lalu bertanya, “Kenapa kamu menangis dan memeluklabu ini?”
Si Luncai pun menjawab, “Hamba terkenangkan arwah bapa hamba, bukankah hamba akan berjumpanya sebentar lagi.”
Melihat perilaku Si Luncai itu, kedua-dua pengawal berasa kasihan. Mereka pun membenarkan Si Luncai membawa labu itu bersama dalam sampan untuk menuju ke tengah laut. Sewaktu mereka sedang mengayuh, Si Luncai pun memulakan strategi untuk menyelamatkan diri. Dia berkata, “Sebelum hamba mati, bolehkah tuan hamba berdua menunaikan hajat hamba?”
Seorang daripada pengawal itu menjawab, “Boleh jika hajat itu tidak berat.”

Si Luncai gembira seraya berkata, “Memang tidak berat. Tuan hamba berdua hanya perlu menyanyi satu lagu untuk hamba.”
“Lagu apa?” tanya kedua-dua pengawal itu.
“Mudah sahaja, pengawal yang duduk di belakang hamba hendaklah mengulang kata yang begini, Si Luncai terjun dengan labu-labunya … Manakala tuan hamba yang di hadapan pula membalas, Biarkan, biarkan … .”
“Baiklah,” jawab kedua-dua pengawal itu tanpa mengesyaki apa-apa.
Mereka pun sama-sama menyanyi.
Si Luncai terjun dengan labu-labunya.
Biarkan, biarkan … .

Senikata itu dilagukan berulang-ulang serentak dengan kayuhan sampan. Semakin lama semakin rancak. Setelah agak lama, kedua-dua pengawal itu semakin terleka. Pada saat itulah Si Luncai pun terjun dari sampan untuk menyelamatkan diri. Melihat hal itu, pengawal yang di belakang segera memberitahu kawannya yang di hadapan, “Si Luncai terjun dengan labunya!”

Malangnya, pengawal di hadapan terus menjawab, “Biarkan, biarkan…” Dia menyangka, pemberitahuan itu masih lagi sebahagian senikata lagu yang mereka nyanyikan sebelumnya.

Setelah Si Luncai jauh berenang menyelamatkan diri, barulah pengawal dihadapan itu menyedari kejadian sebenarnya. Tetapi apa boleh buat, Si Luncai telah berjaya menyelamatkan diri. Mereka pun pulang tanpa memberitahu raja hal sebenarnya. Apa tidaknya, jika silap perhitungan, mereka pula akan dihukum. Si Luncai yang telah selamat daripada lemas, lari menyembunyikan diri. Namun dalam hatinya menyimpan dendam yang sangat mendalam kepada raja yang zalim dan angkuh itu. Setiap hari dia memikirkan bagaimanakah caranya untuk membalas dendam. Padanya, raja adil raja disembah, raja zalim, raja disanggah. Setelah beberapa hari lamanya, barulah Si Luncai mendapat idea.

Pada hari yang terpilih itu, Si Luncai pun mengenakan baju serba putih lengkap dengan serbannya sekali. Imej yang dibinanya adalah imej orang alim lagi warak.
Setelah itu dia pun dengan beraninya pergi ke istana raja. Melihat Si Luncai datang, terkejutlah seisi istana, kerana tidak menyangka yang Si Luncai telah ‘hidup’ kembali. Raja pun keluar dan terjadilah pertemuan baginda dengan Si Luncai buat kali kedua.
“Apa yang terjadi kepada kamu?” tanya baginda.
“Alhamdulillah, patik sekarang telah insaf … patik akan menjadi orang alim. Patik tidak perlukan apa-apa lagi dalam hidup ini.”
“Apa yang terjadi kepada kamu?”
“Patik telah sampai ke alam arwah dan bertemu dengan arwah-arwah orang yang telah mati … termasuk arwah ayah patih dan almarhum ayahanda tuanku.”
“Armarhum ayahanda beta? Bagaimana gerangannya di sana?”
“Ampun, tuanku. Almarhum sangat dukacita kerana perbuatan tuanku.”

“Apa yang beta lakukan?”
“Entahlah, almarhum cuma berdiam diri. Katanya baginda ingin bertemu sendiri dengan tuanku untuk memberi nasihat,” kata Si Luncai.
“Bagaimana, bolehkah beta bertemu ayahanda beta?”
“Masakan tidak, hamba yang hina ini pun boleh, apalagi tuanku yang mulia.”

Si Luncai tersenyum dalam hatinya. Perangkapnya sudah mengena. Raja yang zalim tapi bodoh itu akan berjaya ditipunya.
“Bagimanakah cara?” tanya raja.
“Begini … tuanku hendaklah masuk ke dalam laut dalam peti yang dilubangi. Patik dahulu pun begitu juga. Di dasar lautlah akan berlaku pertemuan itu nanti.”
Tanpa berfikir panjang, raja pun bersetuju. Pendek cerita, raja pun dibuang ke laut di dalam peti yang berlubang. Apalagi, air pun masuk dan raja pun mati lemas. Si Luncai lari menyembunyikan diri dan tidak diketahui lagi keadaan dan nasibnya selepas itu.

Apa yang boleh kita pelajari daripada kisah Si Luncai ini? Selain daripada keburukan akibat keceluparan berkata-kata, cerita yang sarat dengan unsur satira ini penuh dengan sindiran dan pengajaran yang sangat tajam dan menusuk hati. Si Luncai adalah ‘gambaran’ orang bawahan yang berdepan dengan kezaliman atasannya. Walaupun tanpa kuasa dan senjata, Si Luncai berjaya mengalahkan raja berbekalkan minda, keberanian dan kemahuan.

Cerita ini juga mengisahkan bagaimana akibat buruk yang boleh menimpa rakyat jika diperintah secara zalim oleh seorang pemerintah yang ego dan dungu. Pemerintah yang begini bukan sahaja berpotensi memporak-perandakan negara bahkan akhirnya memakan diri sendiri. Kisah Si Luncai juga memaparkan bagaimana ‘agama’ dan ‘kerohanian’ boleh dijadikan ‘alat’ untuk mengeksploitasi orang lain demi kepentingan diri dan puak.

Ironisnya, kisah Si Luncai ini relevan sehingga sekarang. Penguasaan ilmu dengan konsep ‘knowledge is power’ (pengetahuan itu kuasa) semakin dominan dalam konteks k-ekonomi sekarang ini. Penguasaan ilmu semakin penting justeru ia sangat dominan peranannya dalam bidang ekonomi, ketenteraan, sosial dan lain-lain. Si Luncai moden boleh jadi mampu menguasai sebuah negara dan dunia dengan ilmunya, justeru ilmu lebih berpengaruh daripada harta dan senjata.

Mungkin falsafah daripada cerita Si Luncai ini boleh diperluaskan dalam konteks negara-negara membangun dalam menghadapi perancangan kotor negara-negara maju. Walaupun kuasa besar itu kuat di sudut ketenteraan, dengan kebijaksanaan kita mampu pula menghadapi perancangan jahat mereka.

Kita tidak memilih strategi ‘hantuk kepala’ yakni berdepan dengan kejahatan secara membabi-buta. Dunia Islam pada dasarnya, belum bersedia untuk berdepan secara terbuka dengan Barat. Iraq, Taliban dan Libya pernah mencuba, tetapi akhirnya kecundang. Apa yang kita pelajari di sini adalah: Jika lemah senjata dan harta, gunakan kekuatan minda dan jiwa!

Namun ada sisi ‘gelap’ dalam cerita Si Luncai ini. Nampaknya agama telah dieksploitasi untuk memperjuangkan kepentingan peribadi atau kelompok. Si Luncai telah menggunakan taktik ini dan angkara ini terus berkesinambungan hingga kini. Agama terus diperalatkan justeru sifatnya yang lebih maknawi dan subjektif serta sukar ‘diukur’. Keislaman selalunya dilihat pada ritual dan kulit, bukan pada ‘substance’ atau isi. Ini dipergunakan oleh Si Luncai untuk menipu raja.

Ya, bagi mereka yang hanya punya keinginan dan semangat (tetapi kurang ilmu asas dan rujukan yang tepat), maka mudahlah ditipu oleh ‘Si Luncai’ moden yang kaya dengan pura-pura. Ramai manusia moden hari ini seolah-olah menjadi ‘raja’ dalam cerita Si Luncai apabila berdepan dengan soal kerohanian.

Malah profesor, doktor, ahli perniagaan serta ahli sains dan ekonomi pun turut terperangkap dengan ‘gula-gula’ kerohanian. Akibat miskin ilmu wahyu dan rujukan yang autentik, akal cuba dipisahkan dengan hati. Kononnya hati sahaja yang mampu menjangkau soal rohani yang berbelit-belit. Dimomokkan seolah-olah akal dan hati saling bermusuhan dan kerohanian adalah subjek yang mesti dituruti dan dipatuhi dengan ‘kosong’ kepala.

Mereka lupa, roh ilmu daripada kalimah awalan Quran – Iqra’ – dan betapa persoalan iman diterangkan oleh Allah sendiri dengan dalil maqru’ah (naqli) dan manzurah (aqli). Justeru pada hakikatnya, akal dan hati adalah gandingan serasi untuk mendapat kebenaran. Tidak ada agama bagi yang tidak berakal!

Kini muncullah ‘Si Luncai’ moden dengan citra alim dan warak, berbaju agama tetapi berhati serigala. Boleh jadi dia muncul dalam gelanggang ekonomi, politik atau sosial. Ceritanya tetap sama … mimpi alam rohani dengan janji-janji murni yang diadun antara realiti dan fantasi. Ada kebenarannya, tetapi melaut kepalsuannya. Dan mereka hakikatnya adalah taukeh ‘skim cepat kaya’ yang menabur saham-saham pengampunan dosa dan jalan pintas ke syurga. Lahiriah indah dan tampak gagah, tetapi isinya adalah strategi biasa ahli siasah (politik) atau tijarah (ekonomi).

Malangnya, kerana abad ke-21 adalah abad ‘lapar rohani’ maka ‘mi segera’ jenama agama ini mudah mendapat pasaran. Sekali lagi strategi ‘Si Luncai’ telah digunakan … kali ini dengan maksud jahat dan sesat. Ramai yang tertipu oleh kelicikan Si Luncai jika tidak punya keberanian, ilmu asas yang kukuh dan dihantui oleh dosa-dosa silam. Ya, jika manusia zaman moden ini mempunyai ilmu asas yang kuat, tidak dibayangi oleh dosa-dosa lampau yang melampau, maka ajakan ‘Si Luncai’ jenama agama tidak akan mendapat sambutan.

Orang yang boleh ditipu hanya orang yang dungu. Orang yang boleh digertak, hanya orang yang banyak salah. Si Luncai tahu itulah hakikat raja yang sedang dihadapinya. Dan kita mesti membuktikan bahawa kita lebih cerdik dan lebih baik dengan memantapkan ilmu, amal dan bertaubat. Tidak ada jalan pintas ke syurga. Biarlah Si Luncai terjun dengan labu-labunya!

 
17 Komen

Posted by di 21 Mei 2010 in Iktibar Kisah, Uncategorized

 

Label: , , ,

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,190 other followers