
Alhamdulillah, sepanjang pengendalikan blog gentarasa ini saya mendapat kerjasama yang baik daripada ramai sahabat-sahabat rapat. Daripada Ustaz Adib yang memulakannya, sehingga Ustaz Faisal yang begitu komited memberi input dan cadangan dari semasa ke semasa. Saya tidak sangka sama sekali, gentarasa sampai ke tahap ini. Walaupun pencapaian ini masih kecil, tetapi ia sudah terlalu besar buat saya. Syukur, medan dakwah semakin terbuka. Dan saya gembira untuk meneruskannya.
Mulanya, saya sekadar ingin berkongsi. Namun kini ia sudah menjadi satu tanggungjawab dan amanah. Pada sahabat-sahabat saya di Fitrah Perkasa dan Telaga Biru, saya sangat menghargai sokongan saudara-saudari. Dalam kesibukan menulis buku (oh ya… buku terbaru saya akan terbit, bercerita tentang mujahadah), mengendalikan program dan berceramah, syukur masih ada tenaga yang direzekikan Allah untuk saya memasukkan entri-entri baru dalam blog ini.
Ramai dan banyak yang telah saya temui dalam hidup ini. Syukur kerana Allah terus sudi menemukan saya pada ramai/banyak kebaikan berbanding keburukan. Ada yang kita sangka kaca tetapi permata, ada pula kaca walaupun pada awalnya kita sangka permata. Yang tidak serasi pergi, dengan ucapan semoga dia menemui yang lebih baik dari kita. Dan kita bersangka baik, yang terbaik untuk kita akan datang mengganti.
Dalam usia yang semakin ke hujung ini, apa yang kita harap ialah yang baik-baik sahaja. Tidak mahu kekecohan, inginkan ketenangan. Berpada-pada dengan apa yang ada tanpa merencatkan usaha untuk mendapat yang lebih berkat. Bersendirian… tidak kesunyian. Di tengah ramai… tidak pula kelelahan. Ada masa untuk tafakur di rumah Allah dengan zikir dan wirid yang istiqamah. Ada masa untuk keluarga dengan pelbagai karenah tetapi tetap sakinah. Konsisten keluar berdakwah dan mentarbiah dengan niat untuk memperbaiki diri sendiri. Dan mendapat rezeki yang secukupnya hingga boleh diagih-agihkan kepada orang lain yang memerlukan.
Satu pesanan yang sering menjadi ingatan: Bergembiralah membuat kebaikan tanpa diketahui oleh orang lain. Jauhilah dari riya’, sum’ah dan ujub. Sedikit amalan, dengan ikhlas lebih baik daripada banyak tetapi dicelahi oleh rasa sombong. Bila berjaya melakukan kebaikan, jangan memperkecilkan orang lain. Justeru, masih ada manusia yang tidak dikenali di bumi tetapi sangat tersohor di langit sana. Kebaikan jangan dianggap jasa, tetapi anggap sahaja penebus dosa.
Buat semua yang membaca… doakan aku, insan kerdil yang sering patah dalam mujahadah ini. Aku ingin segala-galanya indah, ceria dan tenang… namun siapalah aku? Kau, aku dan kita cuma seorang hamba. Pada kita ada tadbir. Tetapi pada Allah segala Takdir. Lalu usaha kita hanyalah… menserasikan tadbir mengikut Takdir!
Terimalah tulisan ini: SERASIKAN TADBIR DAN TAKDIR!
Takdir sentiasa mengatasi tadbir. Takdir daripada Allah, sedangkan tadbir hanya dari kita hamba-Nya. Kekadang takdir dan tadbir selari, maka terjadilah apa yang kita inginkan terjadi. Alhamdulillah.
Namun acapkali juga takdir dan tadbir bersalahan, bertentangan, maka terjadilah apa yang kita tidak inginkan terjadi. Kita ingin putih, hitam pula yang menjelma. Kita dambakan kejayaan, kegagalan pula yang menimpa. Ketika itu hati akan bertanya, apa lagi yang tidak kena?
Ketika itu hatipun merintih… semuanya telah kutadbirkan, tetapi kenapa gagal jua? Ketika itu timbullah bunga-bunga ’pemberontakan’ dari dalam diri hamba yang kerdil berdepan dengan ketentuan Allah yang maha Perkasa. Samada di sedari atau tanpa disedari… kita menyalahkan segala – daripada diri sendiri, orang lain sehinggalah kepada Allah.
Takdir daripada Allah mengandungi banyak hikmah. Ia mengandungi mehnah (didikan langsung dari Allah) yang kekadang tersembunyi daripada pengamatan fikiran biasa. Ilmu semata-mata tanpa iman yang kuat, akan menyebabkan kita terkapa-kapa dalam ujian hidup tanpa pedoman yang tepat.
Justeru dengan akal semata-mata kita tidak akan dapat meringankan perasaan pada perkara-perkara yang tidak sejalan dengan diri dan kehendak kita. Mengapa terjadi begini? Sedangkan aku telah berusaha? Read the rest of this entry »