RSS

Arkib Label: HIDUP

KETAWA YANG AKHIR…

Keyakinan kepada Hari Akhirat sangat penting ketika hidup di dunia. Itulah prinsip yang menjadikan manusia mampu melaksanakan kebaikan walaupun sekiranya tidak mendapat penghargaan atau ganjaran. Dan itulah juga penghalang untuk tidak melakukan kejahatan sekalipun terlepas daripada undang-undang dan pemerhatian orang. Justeru, dunia tidak adil. Acapkali orang baik ditindas dan dizalimi. Manakala orang jahat pula yang disanjung dan dipuja.

Apakah kerana dunia tidak adil kita akan berhenti melakukan kebaikan? Tidak. Orang beriman akan terus membuat kebaikan kerana yakin adanya Hari Ahirat. Di sana setiap kebaikan pasti mendapat balasan. Apa yang lebih diharapkan adalah ganjaran akhirat bukan keuntungan dunia. Hidup di dunia adalah  untuk ‘menanam’ pohon kebaikan sebanyak-banyaknya. Insya-Allah di akhirat nanti akan dituai hasilnya. Mereka yakin, “one who laughs last, laugh best – yang ketawa terakhir ialah ketawa yang terbaik!

Orang beriman celik mata hati. Syurga, pahala, keredhaan Allah dan pengampunanNya jelas tertera di ruang hati. Mereka rela rugi, dicaci dan menderita di dunia yang sementara demi mendapat ganjaran, pujian dan kesenangan di akhirat yang abadi. Dunia ini dirasakan ladang tempat bercucuk tanam. Justeru, mereka adalah orang yang paling sibuk berkerja di dunia. Mereka sentiasa aktif dan produktif. Ya, kecintaan kepada syurga tidak bermakna meminggirkan dunia!  Read the rest of this entry »

 
29 Komen

Posted by di 23 Mei 2012 in Tarbiyah

 

Label: , , , , ,

ANDAI DIA PERGI DULU SEBELUM MU…

Pandanglah wajah orang yang paling kita sayangi… samada ibu, bapa, suami, isteri, anak-anak atau siapa sahaja. Pasti kita akan berpisah dengannya satu hari nanti. Detik itu pasti datang. Itu janji kita sejak dulu… sanggup datang, sanggup pulang. Kita dan dia pasti berpisah oleh takdir yang dinamakan kematian.

Itulah detik yang paling menyedihkan. Sedih bagi mereka atau kita yang ditinggalkan. Dan lebih sedih bagi kita yang mungkin meninggalkan. Tidak kira siapa yang dahulu, siapa yang kemudian – ditinggalkan atau meninggalkan pasti menggetirkan.

Seorang isteri yang kematian suami… ketika seluruh dan sepenuh hati masih bersamanya. Masih banyak yang perlu diselesaikan – anak-anak, cita-cita dan harapan – tetapi ajal maut datang memutuskan segala dan semua yang kita inginkan. Ya, kita cuma hamba. Pada kita cuma tadbir, pada-Nya segala takdir.

Kekadang masih tak puas bermanja dengan ayah dan ibu… tiba-tiba sahaja mereka dipanggil pergi. Hingga lidah kelu dan hati sayu, tidak ada lagi insan yang boleh panggil ibu. Oh, sedihnya apabila ditinggalkan ayah… insan yang paling kita yakini sangat mencintai kita dan kasihnya yang tidak pernah berbelah, tetapi terpaksa berpisah! 

Sekiranya saat ini kita diuji dengan kematian… ditinggalkan oleh yang tersayang. Maka kenangkanlah hidup kekasih Allah, Rasulullah saw. Bukankah baginda telah dididik oleh mehnah paling getir yang bernama kematian? Bukankah ayahnya Abdullah pergi dulu sebelum sempat baginda dilahirkan? Ibunya Aminah menyusul beberapa tahun kemudian.

Tidak sempat bermanja lama dengan datuknya Abdul Mutalib, datuknya pula meninggalkannya. Lalu baginda yang yatim lagi piatu itu dipelihara oleh bapa saudaranya Abu Talib.

Kenangkan zaman kanak-kanak Rasulullah, tanpa ibu-bapa tetapi telah tega menjadi gembala kambing. Padang pasir dan angin kering menjadi sahabatnya. Lukisan alam itulah yang melakarkan jiwa suci dan akal tajamnya hingga mencari-cari makna kehidupan. Tidak sudi dia menjengah jahiliyah. Tidak rela dia dengan maksiat dan dosa. Hatinya berkata, bukan itu kebenaran dan kebahagiaan… lalu dia menyendiri di dalam gua. Jika tidak mampu mengubat, jangan dijangkiti. Lalu baginda lari… menyendiri.

Sejak baginda berkahwin dengan Khadijah, itulah srikandi sejati cintanya. Yang membawa bekal makanan ke gua Hira’. Yang menyelimuti tubuh dinginnya apabila digegar wahyu pertama. Yang memberikan jiwa dan harta untuk dia berdakwah, berjuang apabila digesa oleh surah Mudasthir (orang berselimut) – qum faanzir – bangun dan serulah!  Itulah Khadijah kekasih Rasulullah, insan terhampir ketika semuanya meminggir.

Namun tidak lama, di tahun dukacita itu… Khadijah pergi buat selama-lamanya. Baginda kehilangan dorongan – pada jiwa dan harta. Khadijah tiada lagi.  Pergi ketika kasih dan cintanya masih didambakan. Sudah hilang bisikan yang memberikannya semangat, kasih sayang, pembelaan dan kemesraan. Baginda berdukacita… Namun, selang hanya beberapa bulan satu kehilangan berlaku lagi. Abu Talib pula  pergi.  Sedihnya, dia pamit tanpa syahadah.

Tiada lagi perisai yang melindunginya daripada ancaman fizikal kaum Quraisy. Bila-bila masa sahaja pedang, tombak dan panah kaum jahiliah boleh menerjah. Jika dengan kematian Khadijah, baginda kehilangan dorongan. Dengan kematian Abu Talib baginda kehilangan perlindungan. Tanpa dorongan, tanpa perlindungan, Rasul keseorangan untuk meneruskan perjuangan. Read the rest of this entry »

 
94 Komen

Posted by di 23 Julai 2011 in Iktibar Kisah

 

Label: , , , , ,

HIDUP SELAGI HIDUP…

Sebagai penulis saya ingin mesej tulisan saya segera sampai kepada pembaca. Oleh itu antara blog, majalah dan buku saya sering dahulukan penulisan di blog. Begitulah yang saya amalkan sejak dahulu. Tetapi kebelakangan ini saya terpaksa memikirkan semula kaedah itu.

 

Ini kerana tulisan saya di dalam blog kekadang dipetik oleh satu media cetak  sedangkan tulisan itu saya akan berikan kepada media cetak yang lain. Bukan mendahului kehendak komersial tetapi saya perlu berpegang kepada etika, perjanjian dan adab dengan penerbit.

 

Pada dasarnya saya tidak suka terikat dengan mana-mana penerbit. Bagi saya penulis mesti bebas untuk memilih wadah penulisannya sendiri. Di dalam melaksanakan misi dakwah kita tidak boleh mengikat diri dengan mana-mana pihak kerana bagi saya prinsip perkongsian mengatasi persaingan. Jalan-jalan menuju Allah sebanyak urat atau rengut nafas di leher. Masuklah ke negeri Mesir dari pelbagai pintu! Begitu kita dipesankan oleh ungkapan yang masyhur itu selalu.  

 

Kita wajar meraikan kepelbagaian. ‘Kek’ dakwah ini perlu diluaskan. Mudah-mudahan di mana pun jua kita, dakwah melalui penulisan ini dapat diteruskan… umpama air yang sentiasa mengalir, umpama asap yang terus meresap. Lalu apakan daya, saya cuba membongkar kembali tulisan lama-lama. Saya cuba ketengahkan jua kerana merasakan mesejnya sentiasa baru.  Salah satunya tulisan ini…

 

HIDUP SELAGI HIDUP!  

 

Kata bijak pandai, kehidupan umpama satu pelayaran. Cubaan dan ujiannya umpama gelombang yang sangat menggerunkan. Oleh sebab itu bahtera kehidupan mesti kukuh. Kemudinya mesti ampuh. Jika tidak, layar patah dan bahtera akan terolang-aleng lalu tenggelam dihempas gelombang. Jika boleh diumpamakan bahtera itu diri kita, maka kemudinya ialah iman. Kita tidak akan gusar betapapun hebatnya gelombang, jika kemudi di tangan mampu mengawalnya.

 

Maka begitulah dalam menghadapi ujian hidup… kita tidak akan bimbang sekiranya iman di hati tetap mantap. Diri  tidak akan hilang kawalan. Kita akan terus menghadapi segalanya dengan penuh keyakinan. Berpegang kepada prinsip:

“Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.”

 

Dengan iman, kita punya keberanian – hidup selagi hidup! Kita tidak, kita akan menjadi umpama bangkai bernyawa, yang hidup segan, mati tak mahu. Tanpa iman, kita menjadi pengecut – menjadi orang yang berani mati kerana takut hidup… membunuh diri! Dikebumikan pada tahun ini tetapi hakikatnya telah mati lima tahun yang lalu! Read the rest of this entry »

 
20 Komen

Posted by di 13 Jun 2011 in Tarbiyah

 

Label: , , ,

INGAT MATI, TINGKAT PRODUKTIVITI

“Saya risau kalau semua orang ingat mati, produktiviti syarikat ini akan menurun,” kata pegawai tinggi sebuah organisasi. Dia begitu sinis sekali dengan ceramah-ceramah yang menyentuh soal mati.
“Kenapa tuan beranggapan begitu?” tanya saya.

“Bila ingat mati, masing-masing fikir diri sendiri sahaja. Mereka akan asyik solat dan zikir wirid sahaja. Mereka akan tinggalkan kerja. Saya tak setuju langsung ceramah tentang mati ni dibuat dalam organisasi ini. Sorry, saya tak setuju!” katanya berterus-terang.

“Saya rasa tidak begitu. Bila semua ingat mati, makin meningkatkan kualiti dan produktiviti syarikat ini,” kata saya.
“ Kenapa pula?” Kali ini dia pula yang bertanya.
“Orang yang ingat mati sedar dia akan menemui Allah,” jawab saya pendek.
“Apa kaitan hal itu dengan produktiviti?”

“Kalau kita sedar kita akan bertemu Allah kita akan memperelok dan memperbanyakkan ibadah.”
“Itu yang saya kata tadi… bila asyik beribadah kita akan lupa dan lalai bekerja. Habislah syarikat ini.”

Saya tersenyum. Dalam hati tertanya-tanya apakah dia belum faham konsep ibadah yang sebenar atau ada masalah lain yang “bermain” di mindanya.
“Tuan, ingin saya ingatkan konsep ibadah itu luas. Ibadah bukan sahaja solat, zikir dan wirid. Kerja juga satu ibadah.”
Dia merenung saya. Saya bersikap biasa-biasa sahaja.
“Maksud awak saya tak faham konsep ibadah?” tusuknya tiba-tiba.
“Saya Cuma mengingatkan. Ibadah itu terbahagi tiga – ibadah asas, ibadah sunat dan ibadah khusus. Ibadah asas itu, solat, puasa, zakat dan lain-lain rukun Islam. Ibadah sunat itu banyak antaranya zikir, wirid, baca Quran, solat dan puasa sunat.”

“Itu saya tahu,” getusnya.
“Manakala ibadah umum pula adalah seluruh aktiviti hidup kita selain ibadah asas dan ibadah sunat tadi. Termasuklah kita bekerja, berniaga, berhibur, bermesyuarat dan lain-lain.”
Tanpa mempedulikan reaksinya saya terus memberi penerangan.

“Tu yang saya kata tadi. Nanti semua tumpu pada ibadah asas, ibadah umum terpinggir. Pekerja kita ni bukan faham sangat konsep ibadah yang berbelit-belit ni.”
“Kitalah yang mesti memahamkan mereka. Ceramah tentang mati ini perlu dibuat selepas ceramah tentang visi dan misi hidup, konsep ibadah, habluminallah, habluminannas,” pujuk saya.  Read the rest of this entry »

 
27 Komen

Posted by di 17 November 2009 in Semasa

 

Label: , , ,

KENANGKANLAH SAAT BERPISAH…

amanPagi Jumaat ini datang seperti biasa. Pintu hari dikuak dan sehari lagi kita mendekati saat kematian yang telah ditentukan itu. Peliknya, hati seakan-akan lupa hakikat itu.

Mati seolah-olah “mati” dalam hidup kita. Saban hari orang bersengketa – tentang itu dan ini, berebut kuasa, mengecam dan mendabik dada. Harta, kuasa, nama dan populariti jadi hijab yang menghilangkan bayang-bayang mati yang mengikut kemana sahaja manusia pergi.

Kita tidak tergamak, bermusuhan sesama saudara, sesama sahabat dan sesama Islam kalau kita kita ingatkan mati. Kita tidak akan berdendam, marah, memfitnah dan melakukan pelbagai penganiayaan jika sedar kita sendiri akan menghadap Allah yang mengetahui tentang kita segala dan semuanya. Baik, mulia, agung dan hebat sangatkah kita?

Wahai diriku dan saudara-saudaraku, mari kita kenangkan saat berpisah yang pasti menjengah. Kenangkanlah saat yang dibimbangkan oleh orang-orang yang soleh itu. Hayati apa yang ditangisi oleh Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali RA itu. Mereka mengikut jejak kekasih mereka Rasulullah SAW yang sentiasa mengingati mati. Itulah sumbu bagi pelita kehidupan mereka. Tanpa ingat mati, apalah guna hidup ini…

Hari ini, urut dadamu, pejamkan matamu… istirehat seketika dan katakan: Wahai diri, aku akan mati! Kemudian bukalah mata, dan sematkan di hati bahawa segala ujian hidup ini adalah kecil dan sedikit berbanding apa yang akan dihadapi nanti. Insya-Allah, akan lapanglah hati… dan mulut mampu terseyum dengan segala cabaran yang mendatang. Masakan orang yang melihat singa berhampirannya masih merungut tentang seekor semut yang menggigit kakinya?

Begitulah diriku dan saudaraku, keyakinan kepada kehidupan akhirat akan memberi kekuatan dalam menghadapi kehidupan di dunia. Kenangkanlah saat berpisah kerana… Read the rest of this entry »

 
11 Komen

Posted by di 31 Julai 2009 in Kemudi Hati

 

Label: , , , , ,

MAHKAMAH HATI

rasul suami idamanBukankah kita sering diperingatkan, berani kerana benar, takut kerana salah? Benar itu menjadi sumber keberanian. Salah itu punca ketakutan. Jangan dibiarkan hidup dalam ketakutan, akibat terus menerus melakukan kesalahan.

Bersalah menimbulkan rasa bersalah. Rasa bersalah itu sangat menyeksa selagi tidak ditebus dengan maaf dan taubat. Bersalah dengan manusia pun sudah cukup meresahkan, apatah lagi bersalah kepada Allah.

Mahkamah pengadilan itu ada tiga. Pertama, mahkamah di dunia, yang mana saksi, pendakwa dan hakimnya adalah manusia seperti kita juga. Kekadang, dengan kebijaksanaan dan kelicikan, mahkamah dunia ini dapat diperdayakan. Telah sering kali yang bersalah terlepas, sebaliknya yang benar pula terhukum. Justeru, masyhurlah kata hukama, tidak ada keadilan yang muktamad dan mutlak di dunia ini. Jerung sering bolos, bilis sahaja sering di gilis.

Kedua, mahkamah di akhirat, yang hakimnya Allah yang Maha Adil. Di sana nanti, yang benar akan terserlah, yang salah pasti kalah. Akan ketara segalanya walau bagaimana pandai sekalipun bersilat kata. Tidak payah didatangkan saksi atau pun barang bukti kerana apa yang ada pada diri akan “hidup” untuk menjadi saksi. Kulit, tangan, kaki dan segala anggota akan bercakap. Rupa-rupanya “body” yang kita jaga, elus dan belai kini, akan mendakwa kita di mahsyar nanti. Dan di sanalah nanti akan tertegak keadilan hakiki.   Read the rest of this entry »

 
17 Komen

Posted by di 10 Julai 2009 in Kemudi Hati

 

Label: , , ,

CELIK MATA HATI 2 takah hidup insan

85176757Hidup mesti dilihat mengikut ketetapan Penciptanya. Hanya dengan itu kejayaan dan kebahagiaan yang hakiki dan abadi dapat dimiliki. What you get is what you see – apa yang kita dapat, bergantung kepada apa yang dilihat. Dan tidak ada penglihatan yang paling tepat dan jelas melainkan dirujuk kepada pandangan Allah.
Mereka yang dapat mengikut ketetapan Allah itulah yang dikatakan celik mata hati – melihat hidup dengan penuh kesedaran. Untuk jadi sedar (celik mata hati) kita perlu memahami skrip kehidupan seperti yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Kita tidak minta untuk dihidupkan tetapi hidup ini adalah kurniaan daripada Allah.

Untuk hidup selamat, tenang, dan bahagia, hiduplah mengikut “skrip” Pencipta. Jadilah hamba yang sebenarnya kerana itu akan menentukan bagaimana kita melihat hidup ini. Who you are determines how you see – siapa anda menentukan bagaimana anda melihat (memandang). Jadi, apabila kita merasakan diri kita hamba Allah, maka kita akan melihat hidup ini dari kaca mata Penciptanya (Allah)!

Skrip Kehidupan
Skrip kehidupan inilah jika dilalui dengan penuh iltizam dan istiqamah, akan menghasilkan kemenangan yang bersepadu antara diri dan masyarakat, material dan spiritual, dunia, dan akhirat. Kita akan mendapat apa yang sepatutnya dan sewajarnya yang kita dapat. Sebaliknya, jika apa yang kita lihat tersalah ataupun tersasar, maka apa yang kita dapat juga akan tersasar. Kita akan menyesal di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat kerana kita dapat apa yang sepatutnya “tidak kita dapat”. Terasa benarlah hidup di dunia hanya sia-sia.

Inilah yang digambarkan oleh firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya (dengan keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat masa datangnya – iaitu hari seseorang melihat apa yang diusahakannya, dan (pada hari itu) orang yang kafir akan berkata: “Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan).” (Surah al-Naba’ 78: 40).

Apakah hanya apabila kita berada di dalam kubur, barulah kita akan tersentak (tersedar) dalam memahami apa sebenarnya hakikat hidup ini? Pada waktu itu baru kita faham dan akur tentang apa tujuan kita dihidupkan di dunia. Dan di situ jualah baru kita sedar apa yang paling bernilai dan apa yang tidak bernilai dalam hidup. Pendek kata sewaktu itulah pandangan kita tentang hidup (worldview) akan tepat dan jelas.  Read the rest of this entry »

 
8 Komen

Posted by di 30 Jun 2009 in Tarbiyah

 

Label: , , , , ,

BELAJAR DARI “UNIVERSITI KEHIDUPAN”

air-terjunBerikut saya coretkan mukaddimah daripada buku terbaru saya : Nota Hati seorang lelaki – gugusan kisah tarbiah sanak, suami dan ayah. Saya menyimpan cita-cita agar buku itu dibaca oleh seramai mungkin pembaca. Mudah-mudahan ia dapat dijadikan titian dan titisan dalam laut rasa yang begitu bergelora. Buku ini bukan untuk “saya” tetapi untuk “kita”.  Walaupun buku itu hanya kecil, tetapi cita-cita di sebaliknya besar. Insya-Allah. Ya, Allah permudahkanlah tercapainya harapanku:

Aliran ilmu umpama aliran air. Air akan sentiasa mengalir dari tempat yang tinggi ke tempat yang rendah. Lebih rendah sesuatu tempat itu, maka semakin banyaklah air yang bertakung di situ. Justeru, lembah dan lurah sering bertukar menjadi tasik, sungai dan ngarai. Maka begitu ilmu, perlu “ditakung” dengan hati yang merendah diri. Semakin tawaduk seseorang itu, semakin banyak ilmu yang bakal dimiliki dan diwarisinya.Ya, begitulah jua adab kita belajar dengan kehidupan ini. Jika merendah diri, kita boleh belajar hampir daripada semua orang, keadaan dan peristiwa. Teringat kata Luqman Al Hakim ketika ditanya bagaimana dia mendapat hikmah? Dia menjawab, “aku belajar hikmah daripada orang yang dungu. Jika dia melakukan sesuatu, maka aku tidak akan melakukannya.”

Luqman menjadikan si jahil sebagai “guru” yang mengajarnya erti sempadan pada percakapan dan tindakan. Kita bagaimana? Jangan dilupakan petua dalam pembelajaran, bila murid bersedia, guru akan tiba. Maksudnya, bila kita sentiasa ingin dan bersedia untuk belajar, maka akan muncul “guru-guru” yang mahu mengajar kita.

Pada kisah-kisah yang saya nukilkan nanti ada pengajaran yang tersurat dan tersirat, insya-Allah. Prinsip dalam penulisan saya mudah sahaja – tulislah sesuatu yang memang kita yakini, alami dan rasakan. Perhatikan benar-benar di mana “nilai” didikan (tarbiah) dalam kisah-kisah itu. Padankan segala-galanya dengan kisah-kisah hidup anda sendiri. Bergurulah dengan pengalaman hidup sendiri. Sesetengah ilmu perlu “dirasai” baru boleh difahami, dihayati seterusnya diamalkan dalam kehidupan.  Read the rest of this entry »

 
8 Komen

Posted by di 10 April 2009 in Semasa

 

Label: , , , , , , ,

CARILAH HATIMU!

carilah-hatimuKau mesti mulakan langkah mujahadah ini sekali lagi. Berbekalkan kata pujangga, kebaikan itu kerapkali perlu dimulakan berkali-kali. Tidak ada istilah putus asa dalam mengharap keampunan dan keredhaan Allah. Walaupun berkali-kali mundur dan terbentur, tetapi itu bukan alasan untuk berhenti. Berhenti ertinya mati – mati hati dalam mengharapkan cahaya Ilahi. Hakikatnya itu lebih bahaya daripada matinya jasad yang lahir ini.  Read the rest of this entry »

 
22 Komen

Posted by di 7 April 2009 in Kemudi Hati

 

Label: , , , ,

SELAMAT PENDEK UMUR!

mati“Selamat pendek umur,” saya bergurau.
Sahabat saya agak tersentak, namun tetap senyum. Dia faham, saya hanya bergurau.
“Kenapa pula?” tanyanya. Dia kelihatan ceria. Hari ini ulang tahun hari kelahirannya. Saya meraikan dia dengan belanja makan di restoran berhampiran tempat kami bekerja.
“Yalah… bukankah tarikh mati telah Allah tetapkan di dalam rahim ibu lagi. Ertinya, semakin hari, semakin dekat langkah kita menuju ketetapan itu…”  Read the rest of this entry »

 
13 Komen

Posted by di 2 April 2009 in Kemudi Hati

 

Label: , , ,

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,165 other followers