Kita berdoa bukan untuk memberitahu Allah apa yang kita hendak kerana tanpa diberitahu pun Allah sedia mengetahui segala sesuatu. Allah Maha Mengetahui segala apa yang kita zahirkan mahupun apa yang kita sembunyikan. Jadi perlu apa lagi kita berdoa? Imam Ibn Ataillah menjawab persoalan ini dengan berkata, “…hendaknya doa permintaanmu adalah untuk menunjukkan sifat kehambaanmu dan menunaikan kewajipan terhadap kemuliaan Tuhanmu.”
Berdoa sebenarnya adalah satu tugas pengabdian. Doa adalah untuk membuktikan sifat kehambaan kita di hadapan Allah s.w.t. Dengan berdoa kita mengakui kelemahan, kemiskinan, kehinaan, kejahilan dan lain-lain sifat kehambaan kita di sisi-Nya. Sebagai hamba kita memerlukan Allah lebih daripada segala-galanya dalam hidup ini. Dan sebagai hamba kita wajib memuliakan Allah setiap masa. Inilah hakikat doa.
Dan Allah berfirman yang bermaksud: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina-dina.” (Surah Ghafir 40: 60)
Oleh sebab itu, sesiapa yang tidak berdoa, boleh dikira sombong terhadap Allah. Dia secara langsung seperti tidak mengakui sifat-sifat kehambaannya yang rendah, miskin, jahil dan hina itu. Dia seolah-olah berasa pandai, kaya, gagah dan mulia dan tidak memerlukan Allah lagi dalam kehidupan ini. Pada hal sebagai hamba Allah dia sebenarnya sangat rapuh untuk menjalani kehidupan di dunia yang penuh cabaran ini. Read the rest of this entry »
Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang. Ada orang berkata, “ketika saya dihimpit hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?”












