RSS

Tag Archives: Ikhlas

ANDAINYA HARTAWAN ITU TAHU…

Untuk memberi, kita mesti memiliki dan untuk memiliki kita mesti mencari. Mencari, memiliki dan memberi – adalah tiga jalan untuk mendapat kecintaan Allah dengan memberikan kasih sayang sesama manusia.

Namun, itu mudah dari segi ilmunya… apabila tiba pada tahap melaksanakannya, kita pasti teruji. Kerana mencari, memiliki dan memberi sering terusik ketertibannya.

Sering kita dituntut untuk memberi sebelum memiliki. Adakalanya, baru berusaha… sudah ditagih oleh yang meminta. 

Tahun 1434 H dan menjelang 2013, akan saya usahakan untuk mencari sebanyak-banyaknya supaya dapat memberi sebanyak-banyaknya juga. Saya menjadi serba-salah, untuk ‘tawar-menawar’ apabila diminta untuk memberi kuliah atau ceramah… Niat hati untuk menyampaikan secara percuma belum kesampaian. Bayangkan, dengan cabaran dan hambatan mengurus keluarga dengan keterbatasan masa dan tenaga, kekadang memberi kepada masyarakat terdesak oleh keutamaan memberi kepada keluarga. Bukan untuk bermewah-mewah, cuma ditahap memenuhi keperluan dan kemudahan.

InsyaAllah, mudah-mudahan saya dapat menulis sebanyak-banyaknya dan hasil daripadanya saya tidak payah lagi mengenakan sebarang ‘imbuhan’ untuk berceramah dan berkuliah. Kerana pada saya apa yang paling kita cari dalam hidup ini ialah HATI EMAS… itulah hati yang ikhlas. Hati yang merasakan hidayah Allah itu lebih berharga dari segalanya. Hidayah milik Allah, namun alangkah indahnya jika hidayah itu dilalukan Allah melalui diri kita sebelum sampai kepada orang lain. Seperti yang sering diungkapkan oleh Prof Muhaya, bahagia itu apabila kita membahagiakan! Read the rest of this entry »

 
40 Komen

Posted by di 30 November 2012 in Kemudi Hati

 

Label: , , ,

HATI EMAS

Ramai orang yang punya akal tetapi malangnya ‘tidak berakal’. Maksudnya, mereka tidak menggunakan akal untuk berfikir. Padahal fikir itu ialah pelita bagi hati. Justeru di dalam Al Quran Allah sering mengingatkan manusia agar selalu berfikir, menggunakan akal untuk tadabbur akan ayat-ayatNya dan mengambil ibrah daripada segala kisah yang daripada Al Quran.

Malangnya, sedikit sekali ‘orang yang berakal’ walaupun ramai yang mempunyai akal. Hingga dengan itu ramai manusia yang tidak terasa kebesaran Allah, terlindung oleh keegoaan dirinya. Tidak mahu bersyukur kepada Allah kerana terhijab oleh kudrat dirinya.  

Itu sekadar renungan awal. Seperti mana ada orang yang punya akal tetapi tidak berakal, maka begitulah ramai ‘orang agama’ tetapi tidak beragama. Maksudnya, dia punya latar belakang pendidikan agama – mahir dengan segala wahyu dan sabda, tetapi segala-galanya tidak memberi impak kepada perilaku dan akhlaknya.

Kita sering bertemu dengan orang yang sedemikian. Kita kagum dengan latar belakang kelulusannya, cakap-cakapnya, malah kekadang ceramah-ceramah serta kuliahnya tetapi apabila kita mula mendekatinya… hati kita tertanya-tanya, apakah ini teladan beragama yang sebenarnya?

Kekadang kita terkesima dengan individu-individu yang sederhana dan latar belakang pendidikan agamanya sangat minimum (bukan tidak ada langsung), tetapi lebih warak, istiqamah dan jujur dalam pergaulan. Dia tidak ‘berminyak air’. Apa yang dipaparkannya di hadapan dan di belakang orang sama.

Saya kagum dengan beberapa orang individu yang saya kenali dalam kehidupan ini yang begitu teliti dengan makanan yang hendak diambilnya, wang yang pernah dia berhutang, komen yang hendak dilontarkannya kepada seseorang, sangat menjaga lidah dan tawaduk dalam pergaulan.

Ilmu agamanya tidak tinggi tetapi apa yang ada itu benar-benar diamalkan dan membekas (memberi impak) kepada peribadinya. Ilmu yang banyak tentulah penting. Tetapi bukan semua orang berkesempatan dan punya peluang untuk belajar di peringkat sarjana, master mahupun doktor apatah lagi profesor.

Ramai yang hanya di tahap ‘lepas fardu Ain’… Namun Allah Maha Penyayang, kekadang ada manusia yang diberi ‘hati yang bercahaya’ berbanding ‘otak yang bergeliga’, hingga dengan itu sedikit ilmu yang ada mampu dimanfaatkan seoptimumnya. Read the rest of this entry »

 
74 Komen

Posted by di 24 September 2011 in Iktibar Kisah

 

Label: , , ,

MENGAPA MEREKA LEBIH BAIK?

Usai solat Subuh Jumaat sering menghadiahkan detik terbaik untuk bermuhasabah. Kita undur selangkah ke belakang, untuk melonjak beberapa langkah ke hadapan. Merenung kesilapan dan kesalahan silam, betapa dungunya dan terburu-burunya sikap kita yang selalunya sangat merugikan.

Akibatnya, sering kita kehilangan sahabat terapat. Renggang dengan orang tersayang. Dan yang paling tragis kehilangan rasa hati yang lembut, halus dan beradab.

Namun, segera teringat kata-kata pengukuhan yang bersemi dalam hati (terutamanya akhir-akhir ini), “sebaik sahaja mengambil pelajaran daripada masa silam… lupakan dan pandanglah masa depan – yesterday ended last night!

Jika punya kesempatan carilah ruang untuk memohon maaf, memohon doa dan melakukan amalan-amalan baik sebagai penebus kesalahan silam. Jika tidak, bertekadlah untuk tidak mengulanginya. Jangan jadikan ia trauma yang menghalang pencapaian kita hari ini dan esok.  Menyesal itu baik, tetapi ia bukan belenggu yang menghalang kita untuk mencipta kebaikan dan kecemerlangan baru.

Ya, pagi ini mentari masih bersinar, awan gemawan masih mewarnai dada langit dan udara masih dapat kita hirup seadanya. Alhamdulillah syukur… Apapun yang akan berlaku, asalkan kita dekat dengan Allah, lurus, tulus dan telus dalam hati, kesilapan kita akan diperbaiki. Bukankah kesilapan ini bukti yang kita masih manusia? Lalu kita akan selalu dan sentiasa memperperbaharui taubat. Come what may…  pahit, kita belajar bersabar, manis… kita melatih diri bersyukur.

Hari ini dan hari-hari seterusnya pasti ada air mata dan ketawa, ada mudah dan payah, ada patah dan tumbuh, modal kita cuma satu, hadapilah segalanya sebagai hamba Allah. Mengaku lemah, untuk diperkukuhkan-Nya, mengaku jahil untuk diberikan ilmu, mengaku miskin untuk diperkayakan-Nya. Kita beruasaha melurus segala tadbir, agar mampu menerima setulus segala takdir. Sentiasa mengharapkan yang terbaik, tetapi terus bersedia untuk hadapi yang terburuk.

Pesan ku buat diri dan sahabat-sahabat, kekalkan taubat. Istighfar dan selawat jadikan basahan bibir. Bila terlintas dan terjebak dengan dosa, bertaubat dan terus ‘hukum’ diri dengan melaksanakan satu kebaikan walaupun yang kita tidak suka. Ingat, orang yang sentiasa berlatih untuk berjaya ialah dia yang melaksanakan sekurang-kurangnya 3 perkara yang tidak disukainya (walaupun sangat perlu) dalam satu hari.

Apakah 3 perkara itu? Mungkin minta maaf kepada orang yang kita tidak sukai, mungkin membuat aktiviti yang selama  ini kita tangguhkan atau membuat panggilan kepada orang yang kita berhutang (sudah lebih masa tetapi belum berbayar). Carilah, carilah 3 perkara itu. Mungkin yang bersangkut dengan masa, harta, manusia atau dengan Allah. Ah, matahari telah cerah… mari kita melangkah. Tinggalkan segala resah. Pamitkan segala gelisah.

Hidup untuk memberi, bukan untuk membenci… siap siaganya untuk memberi senyuman, kebaikan, sedekah, kata-kata yang baik atau sekadar mendoakan.Memberi itu lebih membahagiakan daripada menerima. Tangan yang menghulur bunga mawar, pasti berbau harum. Jadilah tangan yang di atas, tangan yang selalu dan banyak memberi!

Ya, mentari kehidupan masih ada. Hari ini… esok? Belum tentu kita masih ada!

Oh, bagi sahabatku yang beberapa minggu dulu telah bertanya, aku hulurkan tulisan ini seadanya. Soalnya lewat SMS, “mengapa orang bukan Islam kekadang lebih jujur dan baik?” Dan inilah jawapanku sekadarnya…

  “Aku hairan mengapa orang bukan Islam lebih jujur dan amanah daripada orang Islam?” kata seorang sahabat saya yang juga seorang jurutera. Saya diam. Memang ada kebenarannya jika dilihat selayang pandang.

“Awak lihat di negara-negara Barat, surat khabar dibeli hanya dengan meletakkan wang di dalam bekas di tepi jalan. Tidak ada orang mengelat untuk membayarnya.”

Cerita yang sama pernah saya dengar daripada kawan-kawan yang pulang dari London. Saya teruja dengan topik perbualan pagi itu. Mengapakah orang bukan Islam lebih baik perilakunya berbanding orang Islam? Jika benar, benarkah itu yang sebenarnya? Read the rest of this entry »

 
49 Komen

Posted by di 13 Mei 2011 in Semasa

 

Label: , , , ,

‘Toxic People’ vs ‘Unsung Hero’

“Belajarlah merasa bahagia dengan membuat kebaikan tanpa diketahui oleh orang lain,“ pujuk saya.
“Senanglah saudara cakap begitu kerana saudara tidak mengalaminya. Jiwa saya tersiksa sungguh. Dulu projek tu sayalah yang memberi idea. Saya juga yang memulakannya. Pada waktu itu mereka melihat sahaja dengan penuh sinis. Tapi saya sejak dulu lagi sudah optimis, projek yang saya ilhamkan itu akan berjaya.”

“Masalahnya?”
“Setelah berjaya saya diketepikan. Mereka yang sinis dahulu beria-ria pula mendabik dada, konon kejayaan projek itu hasil usaha mereka,” ujarnya sedih.

“Allah Maha Mengetahui. Insya-Allah, Allah akan memberi ganjaran atas kebaikan saudara walaupun manusia lain mkelupakannya.”
“Betul macam yang diungkapkan oleh peribahasa lama, lembu punya susu, sapi dapat nama.”
“Biarlah sapi dapat nama, insya-Allah jika ikhlas kita dapat pahala dan keredaan Allah,” pujuk saya terus menerus.
“Saya sakit hati…”

“Saudara, bukan saudara seorang sahaja yang pernah melalui nasib begini, ramai orang telah melaluinya. Jika tidak, tidaklah timbul istilah ‘unsung hero’,” jelas saya.
“Unsung hero?”
“Ya, wira yang tidak dicanangkan atau didendangkan. Dia berjasa tetapi dilupa. Dia berbudi, tetapi dikeji. Pada setiap generasi perjuangan pasti ada golongan yang tidak disebut-sebut namanya, tidak dkenali apatah lagi dipuja, tetapi hakikatnya merekalah orang yang paling banyak berjasa dan berbakti.”
“Kenapa begitu? Adilkah?”

“Allah sedang mengajar saudara,” kata saya hampir berbisik. Mengalih fokus perbualan kepada dirinya dan saya.
“Allah sedang mengajar saya?”
“Allah mengajar saudara melalui mereka.”
“Apa yang Allah sedang ajar saya melalui perlakuan mereka?”
“Allah mengajar saudara tentang ikhlas!” tusuk saya perlahan. Read the rest of this entry »

 
53 Komen

Posted by di 29 Ogos 2010 in Tarbiyah

 

Label: , , ,

ORANG IKHLAS TERTINDAS?

Ramai yang mengeluh, bukan kecewa, tetapi sekadar meluahkan rasa… betapa kebaikan dipersia. Isteri yang setia, dipersiakan suami. Suami yang baik, ditinggalkan isteri. Ibu-bapa yang dipinggirkan anak-anak…

Inilah warna kehidupan yang kita perlu hadapi. Langit tidak selalu cerah. Hidup tidak sentiasa indah. Dipergilirkan antara senang dan susah, agar di hati kita ada sabar dan syukur. Umpama malam dan siang, barulah tercipta keharmonian, keseimbangan…

Lalu di pagi Jumaat ini, saya tulis satu kisah lama… sekadar untuk mengingatkan diri dan pembaca. Satu tulisan untuk membujuk hati sendiri atas satu pertanyaan, orang ikhlas tertindas?

Atau soalan yang lebih “dalam” dan sukar  daripada itu… benar-benarkah kita orang yang ikhlas jika masih merasa tertindas ketika cuba mengikhlaskan hati kita ketika melalukan kebaikan kepada sesorang atau sesuatu pihak?

Ah, ikhlas itu memang rahsia. Rahsia dalam rahsia Allah. Ya Allah, bantulah kami untuk ikhlas…Amin.

Untuk diriku dan dirimu, terimalah tulisan ini sebagai hadiah muhasabah di pagi Jumaat yang barakah ini…

ORANG IKHLAS ITU TERTINDAS?

Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.

“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak berterus-terang.
“Mengapa?” balas saya.
“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.”

Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?

Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?”
Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.
“Oh ramai encik…”
“Bagaimana dengan anak-anak kakak?”

Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.
“Kakak, boleh saya bertanya?”
“Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.

“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?”
Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”

Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”

Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik.
“Maksud encik?”
“Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.”
“Tidak pernah saya terfikir begitu encik…” Read the rest of this entry »

 
83 Komen

Posted by di 9 April 2010 in Tarbiyah

 

Label: , , , , , ,

AMANAH DENGAN REZEKI

Penghayatan Amanah Dalam Profesion Bank Rakyat 2010

Agak payah juga saya dapat meluangkan masa untuk meletakkan entri baru dalam blog gentarasa. Tidak sangka kerja yang diamanahkan semakin banyak dan kompleks sejak awal tahun lagi. Hari ini saya dan sahabat-sahabat di Fitrah Perkasa buat pertama kalinya melaksanakan modul baru (modul yang ke lima) untuk Bank Rakyat.

Modul yang bertajuk Penghayatan Amanah Dalam Profesion itu dirangka dan diajukan kepada pihak HR Bank Rakyat sejak 3 bulan yang lalu. Selepas 4 modul sebelumnya, Bank Rakyat terus bersama kami untuk melaksanakan modul yang berikutnya. Kali ini cuba lebih verstail dengan pelbagai video klips, sajak, nasyid, peralatan mengajar, simulasi, lakonan…

Alhamdulillah, dalam kesibukan menguruskan persekolahan dan pengajian anak pada awal tahun, ditambah dengan kerja-kerja penulisan dalam Solusi dan buku ditambah pengisian program-program ceramah, akhirnya penulisan blog mendapat keutamaannya juga. Ramai yang mengajukan masalah dan meminta respons, saya berjanji akan menanganinya. Insya-Allah, lambat atau cepat.

Namun, sebagai hamba Allah, saya juga sama dengan saudara-saudari, sentiasa berharap dan berdoa semoga Allah membantu kita. Masih jatuh bangun dalam bermujahadah. Kekadang saya mengajar, banyak kali pula saya belajar. Bertemu berbagai guru… pengajarannya cuma satu, ikhlaslah dalam belajar dan mengajar.  Jika tidak ikhlas, kita akan terbabas. Baik setinggi manapun kedudukan kita, samada sebagai pemimpin, hartawan, guru atau sebagainya… tanpa ikhlas, kita akan jatuh. Terhina di dunia dan di akhirat, walaupun pernah di selaputi nama, kuasa, harta dan ilmu.

Jangan persoalkan keikhlasan orang lain, tetapi telek dan beleklah keikhlasan diri sendiri. Rahsia hati yang tidak diketahui oleh sesiapa, melainkan oleh Allah sahaja. Ya Allah, bantulah kami untuk ikhlas.  Read the rest of this entry »

 
16 Komen

Posted by di 13 Januari 2010 in Tarbiyah

 

Label: , , , ,

KALAU BENAR INGIN MENDAHULUKAN RAKYAT!

hedonismeBagaimana hendak melahirkan ahli politik yang benar-benar mendahulukan kepentingan rakyat? Ini memerlukan program pengukuhan yang bertitik-tolakkan sistem keyakinan (tauhid), pandangan hidup (“mind-set”) dan asas nilai yang kukuh. Langkah “back to basic” (kembali kepada fitrah) ini mestilah bermula dengan membina sifat ikhlas dalam diri ahli-ahli politik.

Satu ketika dahulu, gagasan berpolitik sebagai satu ibadah pernah diuar-uarkan. Gagasan itu seharusnya menimbulkan kesedaran di kalangan parti politik untuk bermuhasabah apakah prinsip, pendekatan dan pelaksanaan agenda politik mereka sudah boleh dianggap ibadah?

Kita sangat mengalu-alukan jika saranan itu dibuat dengan hati yang tulus dan serius. Siapa yang tidak inginkan pejuang agama, bangsa dan negara yang ikhlas? Pembinaan sifat ikhlas tentulah bermula dengan meletakkan segala urusan atas niat kerana Allah.

Lalu apa maksudnya “kerana Allah” dalam berpolitik? Sebagai permulaan, tujuan politik itu mestilah dikaitkan dengan tujuan utama manusia dijadikan oleh Allah yakni menjadi hamba Allah dan khalifah di atas muka bumi.

Untuk menjadi hamba Allah, ahli politik mestilah berusaha membawa diri dan masyarakatnya untuk mentaati, membesarkan dan tunduk kepada-Nya. Ini soal akidah. Dan sebagai khalifah ahli politik mesti mampu mengurus, mentadbir serta memakmurkan muka bumi ini secara bijaksana dan profesional berpandukan peraturan (syariat) Allah.

Dalam konsep berpolitik sebagai satu ibadah, Allah mesti menjadi paksi segala dorongan (“God Centred”). Pemikiran dan tindakan dalam mengurus dan memimpin diri, keluarga, masyarakat dan negara mestilah berpandukan syariat. Inilah teras sifat ikhlas, yakni merasakan berbuat atau meninggalkan sesuatu hanya kerana dan untuk Allah.

Keikhlasan hanya akan dapat diperkukuhkan jika iman disuburkan, syariat diamalkan. Pada ketika itu kedudukan dan jawatan dilihat sebagai satu amanah bukan lagi satu anugerah. Politik akan dilihat sebagai satu peluang untuk melaksanakan tugas sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi.

Dengan menghayati konsep tersebut barulah lahir ahli politik yang benar-benar bertanggungjawab (sanggup menanggung dan menjawab di depan Allah apabila dipersoalkan di akhirat kelak). Di akhirat nanti apa yang kita tanggung di dunia, akan disoal dan kita mesti menjawabnya di hadapan Allah.

Bagi ahli politik jenis ini, kerja-kerja politik adalah juga urusan ibadah yang tidak hanya melibatkan soal kepentingan diri dan parti di dunia tetapi berkait terus dengan amanah Allah dan nasibnya di akhirat. Read the rest of this entry »

 
10 Komen

Posted by di 19 Ogos 2009 in Politik / Siasah

 

Label: , , ,

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,222 other followers