RSS

Tag Archives: IMAN

KAYA HARTA MISKIN JIWA

Kita tidak akan mendapat dua perkara pada satu-satu masa. Apabila kita mendapat sesuatu, maka kita akan kehilangan sesuatu yang lain. Justeru pastikan apa yang kita dapat lebih berharga berbanding apa yang kita hilang. Itulah yang sering dipesankan oleh ahli hikmah. Pesanan tentang kehidupan. Itulah inti permasalahan yang saya bincangkan bersama seorang sahabat lama beberapa bulan yang lalu. 

Sepi Dalam Kesibukan

Sungguh, dia kelihatan berbeza sekali hari itu. Sinar matanya yang dulu bercahaya kini redup. Pakaiannya walaupun daripada jenama yang mahal agak kusut. Rambut di bahagian hadapan kepalanya kian jarang. Hampir botak. Dia memang kelihatan lebih kaya, tetapi kehilangan gaya.

“Aku sibuk sungguh tiga empat tahun kebelakangan ini. Perniagaan menjadi-jadi.  Aku semakin diburu masa,” katanya terus terang.

“Sudah lama kita tidak bertemu,” tingkah saya perlahan.

“Bukan kau seorang sahaja, ramai rakan baik aku yang lain pun tidak dapat aku temui. Sibuk.”

“Kau okey?” tanya saya pendek.

Dia diam. Diam yang panjang.

“Tidak tahulah, okey ke tidak.”

Dengan jawapan itu saya tahu dia keliru. Mungkin terlalu keliru sekarang.

“Mesti okey. Rumah-rumah, kereta-kereta dan harta yang kau kumpul sekarang sudah cukup untuk diwariskan kepada anak-anak,” ujar saya.

“Ikut aku belum lagi. Aku mahu cucu-cucu aku juga menikmati harta peninggalanku. Aku mesti berniaga lebih gigih lagi.”

“Baguslah, kita bekerja atau berniaga seolah-olah akan hidup seribu tahun lagi,” dorong saya.

“Tetapi sejak akhir-akhir ini aku kesepian.”

“Kesepian dalam kesibukan? Mana mungkin.”

“Betul. Aku rasa semakin keseorangan.”

“Bukankah rakan-rakan perniagaan kau banyak? Urusan perniagaan kau pun sering membuka ruang untuk keluar negara. Keseorangan, apa maksudmu?”

“Aku tidak ada rakan-rakan seperti kau. Boleh berbual-bual tentang diri, anak-anak dan lain-lain perkara yang lebih intim sifatnya.” Read the rest of this entry »

 
6 Comments

Posted by on 19 January 2017 in Tarbiyah

 

Tags: , , ,

BIARLAH IMAN YANG TERUS BERBICARA…

 

tenangAdakalanya apabila kesedihan memuncak, kita jadi buntu. Jalan ketenangan yang dicari semakin kabur. Di mana dan ke mana hendak dibawa hati? Pada siapa hendak diadukan segala yang menanah di dada. Semua kesayangan dan kepercayaan tidak dapat menolong lagi.

Hanya kita…hanya kita yang tinggal keseorangan, terkontang-kanting untuk merawat luka sendiri. Hati bertanya, mengapa sekuat ini Allah menduga ku? Mengapa seganas ini ombak yang diutus untuk menghempas pantai jiwa ku?

Ingatlah, walau sekuat manapun ujian yang melanda, jangan sampai kehilangan pedoman. Kita ini hamba Allah. Dan ujian itu sesungguh ‘utusan’Nya. Ia adalah satu panggilan yang membisik ke dalam hati untuk kita kembali kepadaNya.

Bukankah kalimah ‘istirja’” setiap kali ujian menimpa itu datang dengan peringatan bahawa kita ini milik Allah dan kepadaNyalah kita akan dikembalikan? Read the rest of this entry »

 
8 Comments

Posted by on 3 March 2016 in Tarbiyah

 

Tags: , ,

Hati, kaki dan kasut…

susun-kasut Kasut atau sepatu cuma alat, yang penting kaki. Kaki pun masih alat, yang penting hati. Apabila hati baik, insya-Allah kaki jadi baik. Apabila kaki baik, sepatu yang dipakainya akan digunakan untuk melakukan perkara yang baik-baik atau pergi ke tempat-tempat yang baik.

Oleh itu nilai kasut bukan pada bahan apa diperbuat, atau secantik dan secanggih mana reka bentuknya, tetapi nilainya terletak pada apa tujuan ia dipakai.

Mudahnya, kasut yang berharga murah akan menjadi tinggi nilainya jika dibawa untuk bersolat di masjid. Sebaliknya kasut yang berharga beribu-ribu ringgit akan menjadi tidak bernilai apabila dipakai untuk melakukan maksiat di hadapan Allah s.w.t.

Sebab itulah, pemakaian kasut bukanlah soal kecil atau perkara yang remeh. Jika demikian, masakan Rasulullah menunjukkan tatacara menggunakannya.

Baginda bersabda:  “Apabila kamu memakai kasut, mulakan dengan kaki kanan. Apabila kamu menanggalkannya, hendaklah mulakannya dengan kaki kiri. Dan hendaklah kamu memakai semuanya (kedua-dua belah) atau menanggalkan semuanya.” (Riwayat Ahmad)

Setiap apa yang ditakrirkan, disebutkan dan ditunjukkan tatacaranya oleh Rasulullah, itu disebutkan sebagai sunnah. Dan tentunya, setiap sunnah Baginda itu bernilai dan berguna untuk diikuti termasuklah dalam soal pemakaian kasut.

Bahkan itulah bukti cinta dan mahabbah kita kepada Rasulullah. Jika sunnah Rasulullah dalam memakai kasut itu dapat diteladani dengan rasa mahabbah kepadanya, insya-Allah itu boleh membawa kita ke jannah.

Justeru, jangan memandang remeh setiap sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah, kerana sudah tentu ia mempunyai hikmahnya yang tersendiri.

Dan ingat, kita bukan hanya berkasut di dunia… tetapi juga bakal berkasut di akhirat. Read the rest of this entry »

 
4 Comments

Posted by on 24 February 2016 in Tarbiyah

 

Tags: , , , ,

MUSLIM VS SAMURAI

 

th (1)“Mengapa orang Jepun sukar menerima Islam?” tanya seorang ahli perniagaan yang juga merupakan kenalan baharu saya.

“Benarkah begitu?” balas saya dengan pertanyaan juga. Saya tidak pasti sebenarnya. Apakah itu realiti atau sekadar andaian. Kali terakhir saya memijak bumi matahari terbit itu kira-kira 20 tahun yang lalu. Dalam tempoh selama itu berbagai-bagai perubahan boleh berlaku. Dahulu hanya ada sebuah masjid di Kobe tetapi sekarang sudah banyak masjid di sana.

“Betul,” jawabnya pasti. “Saya sering berulang alik ke sana dan saya lihat orang Jepun agak payah untuk menerima Islam.

“Sudah cuba berdakwah di sana?” tanya saya.

“Belum secara langsung. Hanya berdakwah melalui perbualan biasa. Dalam urusan perniagaan, saya cuba selitkan sedikit-sedikit nilai Islam. Sayangnya respons daripada mereka kurang memberangsangkan. Entah mengapa.”

Saya terdiam. Jauh di sudut hati, saya sebenarnya masih tertanya-tanya, apakah itu satu hakikat ataupun hanya satu tanggapan yang bersifat peribadi.

 

Sebab Mereka Lebih Baik

“Baiklah, anggap sahaja tanggapan saya itu benar. Apa komen awak?” joloknya seolah-olah dapat membaca keraguan saya. Saya senyum. Terasa bersalah pula meragui pendapatnya. Padahal dia lebih dekat dengan Jepun. Apa tidaknya, dalam tempoh sebulan sahaja dia sudah beberapa kali berulang-alik ke sana.

“Saya rasa puncanya ialah orang Jepun merasakan kehidupan mereka lebih baik berbanding orang Islam. Oleh itu apa perlunya mereka memeluk Islam.”

Akhirnya saya bersuara juga. Mungkin satu tanggapan juga.

“Lebih baik daripada sudut apa? Kalau kecanggihan sains dan teknologi memang ada kebenarannya. Jepun jauh lebih hebat.”

“Bukan itu sahaja, malah sikap dan adab. Mereka jauh meninggalkan kita,” sambung saya. Pada saya orang Jepun bukan sahaja unggul dalam bidang ekonomi dan teknologi tetapi juga keperibadian. Para pelajar mereka diajar dan dilatih dengan adab lebih dahulu sebelum diberi ilmu.

“Contohnya?”

“Contohnya, kebersihan tandas. Pergilah ke mana-mana bandar di Jepun, kebersihan tandas mereka sangat mengagumkan. Jauh lebih bersih daripada tandas awam, malah tandas-tandas di masjid kita. Lapangan terbang mereka misalnya, jauh lebih bersih dan mesra pengguna berbanding lapangan terbang negara-negara Islam seperti lapangan terbang Karachi dan Jeddah.”

“Itu sekadar kebersihan, itu satu sudut yang masih terhad dan terbatas.”

“Bukan sekadar kebersihan tetapi juga tentang kejujuran dan integriti.” Read the rest of this entry »

 
4 Comments

Posted by on 30 December 2015 in Kemudi Hati

 

Tags: , , ,

ISLAMKAH KITA DI JALAN RAYA?

d10z0pat0xn

Jika ingin melihat ‘warna sebenar’ seseorang, berikan dia kuasa. Apabila berkuasa barulah kita nampak diri seseorang yang hakiki dan sejati. Segala sifat mazmumahnya seperti tamak, ego dan marah akan terserlah. Begitu yang kerap dipesankan oleh orang yang bijaksana. Namun, dalam konteks hari ini, jika ingin melihat warna sebenar seseorang, lihatlah bagaimana dia memandu di jalan raya.

Ya, jalan raya menyerlah ‘warna’ kita yang sebenar. Ketika berada di jalan raya, semua sifat mazmumah dalam diri kita akan tercungkil keluar. Pelbagai cabaran dan ujian di atas jalan raya akan menyebabkan sifat sebenar diri kita (yang selama ini terpendam) akan terserlah. Apa ada di dalam hati kita sama ada sifat mahmudah atau mazmumah akan terserlah ketika berada di jalan raya khususnya ketika memandu kenderaan.

Sifat marah misalnya, akan terkeluar apabila ada kenderaan lain memotong kenderaan kita dengan cara yang berbahaya. Jika kita membalas perlakuan itu dengan cara menyumpah, memaki hamun, membunyikan hon dengan kuat tanda tidak puas hati, maka sahlah kita seorang yang pemarah.

Sifat mementingkan diri, akan terkeluar apabila kita memotong barisan atau mengambil laluan kecemasan apabila berlaku kesesakan lalu lintas. Begitu juga dengan sifat ego, apabila kita memandu laju tanpa memikirkan keselamatan orang lain dalam kenderaan yang kita pandu atau kenderaan lain yang sama-sama sedang menggunakan jalan raya.

Begitu juga dengan sifat-sifat mahmudah, akan mudah terserlah ketika kita memandu. Jika kita dengan senang hati, memberi laluan, mengalah dan sabar berdepan dengan kerenah pemandu lain, maka itu menunjukkan kita memiliki sifat sabar, pemaaf dan pemurah. Read the rest of this entry »

 
4 Comments

Posted by on 28 May 2015 in Tarbiyah

 

Tags: , , ,

SAMA ADA BELUM BALIGH, GILA ATAU KAFIR…

poster-kempen-tutup-aurat-3“Saya setuju benar, wanita yang tidak menutup aurat ini sama ada dia gila, belum baligh atau orang kafir,” tekan suaranya dengan nada tinggi.

“Bagaimana dengan wanita itu…” ujar saya sambil menunjuk kepada seorang remaja perempuan yang sedang berjalan tidak berapa jauh di hadapan tempat kami berbual. Remaja wanita itu berbaju T dan berseluar jeans.

“Mengapa?”

“Dia tidak menutup aurat bukan? Tolong nyatakan siapa dia? Dia belum baligh, gila atau kafir?” tanya saya.

“Salah satu daripada tiga golongan itu.”

“Yang mana satu?” asak saya minta kepastian.

“Kafir?” jolok saya. Read the rest of this entry »

 
9 Comments

Posted by on 6 March 2015 in Tarbiyah

 

Tags: , , , , ,

SINGGAH DI DARUL TAQWA

download

Darul Taqwa

(Cerpen pertama dalam buku terbaru: REVOLUSI, terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd.) 

 

 MATANYA digosok-gosok lagi. Dia tidak percaya apa yang dilihatnya.

 “Di mana aku ini?” detik hatinya. Hidungnya masih berair. Tekaknya kesat. Selesemanya masih berat. Masih seperti semalam. Masih menggugat. Kepalanya terus pusing. Dengan kertas tisu, hidung dikesat. Kertas itu kemudiannya dicampak ke tepi jalan. Di mana aku ini?

 Tiba-tiba satu suara menerjah.

 “Assalamualaikum. Pak cik, biar saya tolong kutip kertas itu. Kebersihan separuh daripada iman.” Satu suara menegur dari belakang. Gemersik tapi mengusik. Dia mencari arah datangnya. Dari mana? Dari siapa? Siapa pemilik suara itu?

 

Belum sempat dia memastikan, suara itu menerjah lagi. “Pak cik, biarlah saya kutip. Nanti kalau Pegawai Penguatkuasa Bahagian Taharah datang, pak cik akan didenda.”

 

Dia berpaling bersungguh ke belakang. Kelihatan seorang budak berbaju putih dengan serban melilit kepala. Mereka saling berpandangan. Hatinya bertambah pelik. Itulah pemilik suara itu. Siapa dia? Di mana ni? Dalam keadaan terpinga-pinga, dia mula berfikir. Dia membetulkan tali lehernya. Aku tertidur barangkali dan kini dalam mimpi. Ini mimpi. Teka-teki terus menerkam. Mencengkam kotak fikirannya. Dia terus bingung.

 

Budak itu dipandangnya. Dia perlu mengikut cakap seorang budak? Kepantangannya mengikut cakap budak. Tiada siapa berani menasihati apatah lagi mengarahkan itu ini kepadanya. Dia VIP daerah ini. Denda? Ah, apa perlu ditakutkan. Kalau ada yang mahu mendendanya, biar orang itu datang. Duit ini akan menyelesaikannya, dia yakin.

 

Direnungnya muka budak itu lama-lama. Kemudian dia melihat alam sekeliling. Inikah Kay El? Kay El kota miliknya? Apa sudah jadi? Ini senibina Arab atau Eropah, Jepun atau Melayu? Bangunan pencakar langit berceracakan di sana-sini. Di mana menara berkembar yang menjadi mercu tanda Kay El? Di mana menara telekomunikasi yang menjadi tumpuan pelancong itu? Apakah kedua-duanya sudah ditenggelamkan oleh bangunan-bangunan pencakar langit yang baharu?

 

Kubah-kubah jadi puncak bangunan pencakar langit. Menara kaca dan bangunan kristal yang hebat. Jelmaan daripada unsur senibina yang sangat aneh. Adunan kesenian kubah Masjid Besi dengan kemodenan Burj Khalifa? Lebih cantik, lebih mantap. Ini idea siapa?

 

Dia masih termangu. Seolah-olah patung kaku tetapi kepalanya mula ligat dan berputar … berfikir. Mencari erti daripada realiti yang dilihatnya. Budak tadi masih tercegat di hadapannya. Sama-sama hairan nampaknya. Orang memakai sut terbang berlegar ke sana ke mari di ruang udara. Namun begitu, semuanya terbang mengikut jalur ruang udara yang tersusun, seakan-akan sebuah lingkaran pejalan kaki di awang-awangan. Kereta api laju meluncur bagai peluru terlepas dari rifel. Anehnya, di celah lalu-lintas yang sibuk itu, dia tidak menghidu bau petrol mahupun gas. Juga tidak kelihatan langsung asap berkepul-kepul dari ekzos kenderaan yang lalu-lalang. Dia juga tidak mendengar bunyi bising engin kenderaan yang membingitkan telinga.

 

‘Ini super advance! Teknologi canggih yang hanya layak ditangani oleh manusia unggul,’ bisik hatinya. Dia masih belum mampu berkata-kata. Masih terkejut.

 

Siapa mereka?

 

Di mana aku?

 

Dia terus tertanya-tanya. Read the rest of this entry »

 
42 Comments

Posted by on 21 January 2014 in Politik / Siasah

 

Tags: , , , ,