RSS

Tag Archives: ingat Allah

REHAT DAN RAWATLAH HATI MU…

cvr rnr 3

 

 

 

 

 

Bahagian penutup daripada buku R&R HATI (MUDA BUKAN SEKALI): 

 

Seperti jasad lahir yang perlu makanan, hati juga perlukan makanan. Makanan hati ialah zikrullah (ingat Allah). Tanpa zikrullah, hati akan kelaparan. Jasad yang tidak mendapat makanan, akan menjadi lemah, maka begitu juga hati apabila tidak berzikir, ia akan lemah.  Hati yang lemah tidak akan mampu menerima kebenaran dan melakukan kebaikan. Akal mungkin mengakui, tetapi masih tidak dapat bertindak, kerana hati terlalu lemah. Ada pengetahuan, tetapi kurang kemahuan.

 

Jika terus dibiarkan tanpa zikir, hati akan sakit. “Atau apakah orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya mengira bahwa Allah tidak akan menampakkan kedengkian mereka?.” (Muhammad: 29). Dan  jika berterusan dibiarkan, lama kelamaan hati itu akan mati. Apabila hati mati, terkuncilah ia daripada mendapat kebenaran secara total.  Pada  ketika itulah berlakulah seperti yang dinyatakan oleh Allah melalui firmanNya:” Allah Telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup . dan bagi mereka siksaan yang besar.” (al-Baqarah: 7).

 

Nauzubillah, kita tidak inginkan hati yang mati. Kerana hati yang mati lebih berbahaya daripada jasad yang mati.  Kita inginkan hati yang terus mendapat cahaya daripada Allah. Biarlah cahaya ilmu dan iman terus berada di dalam hati kerana itulah bekalan yang paling penting untuk mendapat keselamatan dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Firman Allah: Maka apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya untuk (menerima) agama Islam lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang membatu hatinya)? ….”(az-Zumar: 22)

 

Untuk itu hati mestilah sentiasa mendapat kerehatan dan rawatan. Jangan dibiarkan hati menjadi terlalu letih dengan urusan dunia, tanpa mendapat kekuatannya semula. Dengan apa hati berehat? Hati berehat dengan solat. Demikianlah yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW apabila ada perkara berat yang mengujinya.  Baginda akan bersabda kepada Bilal: “Wahai Bilal, rehatkan kami dengan solat”. (Ahmad). “Bangun ya Bilal, rehatkan kami dengan solat”. Ya, dengan solat hati berehat, dengan solat hati kembali kuat.

 

Justeru hukama berkata, ““Apabila kamu merasa hidup kamu tidak baik, maka ketahuilah sesungguhnya kerana solat kamu masih belum baik”.Dalam solat, hati yang penat akan tersambung dan terhubung kepada Allah, Tuhan yang Maha Kuat. Pada ketika itulah hati belajar ‘melepaskan’ segala kekusutan yang membelenggunya. Pada Allah jualah diadukan segala keresahan, kerunsingan dan kelemahan diri. Solat ialah talian hayat bagi hati yang kelesuan dan kekeliruan apabila dihentam pelbagai ujian.

 

Let go, let God – belajar melepaskan dan menyerahkan segala urusan kepada Allah. Pada ketika itulah hati yang sendat dengan pelbagai masalah itu melepaskan segalanya kepada Allah yang Maha Perkasa. Ia akan kembali lapang dan tenang. Umpama setitik air yang dilepaskan kembali ke tasik yang luas dan dalam. Maka begitulah hati yang kembali kepada Allah. Ia kembali kepada asalnya. Ia kembali kepada fitrahnya.

 

Hidup ini penat, mari berehat dengan solat. Solat adalah satu tempoh berehat buat seluruh anggota badan, terutamanya hati.  Hati ialah ‘anggota’ manusia yang paling penat kerana dialah yang menjadi penggerak kepada segala perlakuan dan tindakan samada yang zahir atau yang batin. Dialah pemerintah yang paling banyak kerjanya dalam masa sehari, seminggu, sebulan, setahun, malah sampai seluruh hayat. Hati yang bersifat maknawi itu sama seperti jantung yang tidak pernah ‘bercuti’ daripada mengepam oksijan dan darah ke seluruh tubuh.

 

Jika kita perlu memberi kerehatan pada kaki, yang penat berjalan, pada mata yang penat melihat, pada akal yang penat berfikir,  maka begitulah kita perlu memberi kerehatan pada hati yang penat dalam merasai, mempertimbangkan dan membuat keputusan dalam setiap bidang kehidupan. Hatilah yang menjadi sasaran dan tumpuan kepada segala masalah dan cabaran dalam hidup. Sekejap resah, sekejap tenang, sekejap sedih, sekejap gembira. Silih berganti, tidak henti-henti. Perubahannya yang ligat, bagai kuah yang sedang mendidih. Read the rest of this entry »

 
19 Comments

Posted by on 5 April 2016 in Uncategorized

 

Tags: , , ,