Ramai sahabat yang menggiat agar saya mengulas isu-isu politik kontemporari. Tetapi saya belum tergerak untuk itu. Sikap tidak berpihak kepada mana-mana parti politik bukan ertinya saya tidak berpendirian. Tetapi itulah pendirian saya.
Politik terlalu kompleks dan saya tidak punya ilmu, maklumat dan pengalaman mendalam mengenainya. Jadi biarlah saya menulis sesuatu yang benar-benar saya fahami, hayati dan rasai. Biarlah orang yang benar-benar “ahli” menanganinya. Jika tidak, yang keruh akan bertambah hodoh!
Pernah saya mendapat teguran daripada seorang pengunjung blog yang menyifatkan jalur dakwah berbanding siasah yang saya pilih sekarang adalah suatu langkah yang tidak praktikal dan tidak sunnah.
Saya diamkan saja, namun tegurannya saya paparkan. Tentu dia punya sebab untuk berkata demikian, saya hormatinya. Dan saya juga ada sebab untuk bersikap begini. Saya harap pendirian saya juga dapat difahami. Mudah-mudahan kita semakin matang menguruskan perbezaan dan memanfaatkan persamaan.
Sebahagian pandangan politik saya telah saya jelaskan dalam buku DILEMA MELAYU-ISLAM: KURANG FIKIR ATAU KURANG ZIKIR? Insya-Allah, sedikit sebanyak input-input dalam buku itu mula dihadam oleh khalayak. Soal diterima atau ditolak, itu soal kedua. Sekurang-kurangnya saya sudah berbuat sesuatu untuk menyatu padukan saudara seagama dan sebangsa.
Selain itu saya terus melaksanakan berbagai-bagai program latihan dalam agensi swasta, badan-badan korporat dan kerajaan serta tazkirah-tazkirah di surau & masjid. Dengan keterbatasan waktu, saya turut menulis beberapa buah buku dan artikel-artikel di dalam majalah. Mudah-mudahan, dalam usaha memperbaiki diri sendiri… dapat disepadukan untuk menyeru orang lain.
Mudah-mudahan Allah izinkan kita semua memainkan peranan untuk Islam walau di mana, di bidang apa dan sebagai apa jua pun peranan kita dalam masyarakat. Kecil sekalipun jika ikhlas pasti berbekas. Insya-Allah. Read the rest of this entry »
Setelah kembali ke KL malam semalam, saya terus menangani kerja-kerja penulisan seawal pagi ini. Buku Mukmin Profesional: Celik Mata hati sudah 80% selesai. Kali ini buku yang saya tulis agak berat dan sarat dengan seruan, gagasan, panduan dan hujah-hujah yang praktikal.












