RSS

Tag Archives: isteri

PAKSAKAN CINTANYA

th“Ustaz, saya baru sahaja ditimpa kemalangan, “ ujar lelaki muda itu setelah bersalaman dan terus duduk bersimpuh di hadapan saya.

Saya renung matanya. Ada sayu di situ.

“Innalillah wa in nna ilaihi rajiun. Tapi syukur, saudara selamat,” ujar saya sambil memegang lengannya. Saya lihat tidak ada parut pada wajah mahupun tangannya.

“Tetapi sedih sekali ustaz,  isteri saya meninggal dunia.”

“Innalillah wa in na ilaihi rajiun…” balas saya buat kedua kalinya. Saya terus tunduk. Tiba-tiba sebak di hati.

“Isteri dan saya kemalangan. Tetapi dia yang pergi.”

“Tabahlah.”

Saya pegang tangannya erat. Empati menusuk jiwa. Lelaki di hadapan saya ini sangat muda.

Tiba-tiba seorang anak kecil berlari menerpanya. Terus duduk di atas riba. Dari belakang, seorang tua lelaki datang menghampiri kami dengan mendukung seorang anak kecil. Daripada raut wajah kedua kanak-kanak itu saya dapat meneka mereka tentu adik-beradik.

“Dua orang ini anak saya. Ini bapa saya,” katanya sambil menunjuk kepada lelaki tua yang menghampiri kami.  Sebelah tangannya yang lain membelai rambut anak yang di dalam pangkuannya.

“Yang kecil ini masih belum membiasakan diri dengan ketiadaan ibunya. Dia menyusu badan ustaz.”

Saya masih diam. Terus menggenggam tangannya.  Suasana meriah di bahagian belakang masjid tempat kami duduk itu tidak lagi menarik perhatian. Orang lalu lalang  dan aktiviti pameran yang sedang dijalankan itu seolah-olah tidak kedengaran dan kelihatan lagi. Saya tenggelam dalam laut rasa yang sangat menyedihkan.

“Baru dua bulan ustaz…”

Saya mengangguk-angguk kepala lagi. Saya kekal menjadi pendengar. Bukan mendengar dengan telinga,  tetapi dengan mata dan hati. Teringat ungkapan yang selalu saya titipkan buat diri sendiri  dan teman-teman,  “sesetengah masalah bukan untuk diselesaikan tetapi hanya untuk didengari”. Read the rest of this entry »

 
9 Komen

Posted by di 2 Disember 2013 in Uncategorized

 

Label: , , , ,

MAAFKAN AKU WAHAI ISTERI…

etika-suami-isteriMaafkan ku wahai isteri kerana tidak memaafkan mu! Sesungguhnya ketika ini hati ku tidak menentu. Resah dan gelisah. Puas ku cari puncanya, rupanya segala-galanya kerana tidak memaafkan mu. Tidak memaafkan itu sesungguhnya satu dosa. Dosa itu pasti meresahkan.

Benarlah seperti apa yang pernah ditegaskan oleh  Rasulullah SAW:  “Dan dari Wabishah bin Ma’bad RA, ia berkata : “Aku telah datang kepada Rasulullah SAW, lalu beliau bersabda : ‘Apakah engkau datang untuk bertanya tentang kebajikan?’ Aku menjawab : ‘Benar’.

Baginda bersabda : ‘Mintalah fatwa dari hati mu. Kebajikan itu adalah apa-apa yang menenteramkan jiwa dan menenangkan hati dan dosa itu adalah apa-apa yang meragukan jiwa dan meresahkan hati, walaupun orang-orang memberikan fatwa kepada mu dan mereka membenarkannya”. (HR. Ahmad)

Ketahuilah aduhai isteri, sebaik sahaja surat ini di sisi, kau telah ku maafkan. Maafkan aku kerana tidak memaafkan mu. Sesungguhnya, aku acap kali dikuasai ego, sehingga terasa aku lebih ‘besar’, lebih penting dan lebih berkuasa…  sehingga dengan itu aku  tidak mampu memaafkan. Sedangkan aku hakikatnya hanyalah seorang hamba… yang kerdil, lemah dan berdosa. Siapalah diri ku sehingga tidak mampu memaafkan, sedangkan Allah, Tuhan yang Maha Besar itu pun sentiasa memaafkan.

Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Allah Yang Maha Tinggi berfirman: “Wahai anak Adam, sesungguhnya jika kamu berdoa kepada Ku dan mengharapkan- Ku maka Aku akan mengampuni mu atas semua dosa yang kamu lakukan, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, andai kata dosa-dosa mu itu sampai ke puncak langit kemudian kamu meminta ampunan kepada Ku nescaya Aku ampuni dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya kamu datang kepada Ku dengan dosa yang besarnya seisi bumi seluruhnya, kemudian datang menemui Ku dan tidak menyekutukan Aku dengan yang lain nescaya Aku akan datang kepada mu dengan ampunan yang besarnya seisi bumi seluruhnya.”

Sungguh, setelah aku teliti dengan hati-hati segala kesalahan mu isteri… semuanya berpunca daripada kesalahan ku jua. Aku yang masih gagal mendidik mu. Aku yang masih kurang sabar dalam menghadapi kerenah mu. Aku yang masih tidak lunak dalam bertindak dan berkata. Hingga dengan itu, kesalahan mu cuba ku tangani dengan satu kesalahan juga. Malah ada kala dengan satu kesalahan yang lebih besar lagi. Read the rest of this entry »

 
29 Komen

Posted by di 8 April 2013 in Tarbiyah

 

Label: , , , ,

BISU YANG BERSUARA…

535955996_8c791085b0

Kata orang, komunikasi tahap tinggi ialah kemampuan kita mendengar sesuatu yang tidak diperdengarkan. Komunikasi tanpa suara, begitulah istilah yang mungkin paling tepat untuk menamakan komunikasi jenis ini. Mendengar bukan sekadar dengan telinga, tetapi dengan mata dan hati. Berikan hubungan mata, jalinankan rasa hati. Itulah maksud mendengar yang hakiki. Jika tidak, kita masih dikira ‘tuli’ dalam perhubungan sesama suami-isteri.

“Dah berapa kali saya nyatakan… tetapi awak macam tak faham. Tak faham atau tak mahu faham?”

Begitu selalu kita dengar kemarahan seorang suami.

“Dah berapa kali saya cakap baik-baik abang tak mahu dengar. Terpaksalah saya jerit macam ni. Kalau abang tak faham juga tak tahulah… saya bosan!”

Begitu pula luapan kekecewaan seorang isteri.

Semua kata-kata diatas menunjukkan betapa manusia sering gagal ‘mendengar’ kata-kata pasangannya.

 Termenung saya memikirkan. Sebagai suami, saya selalu mengharapkan isteri mendengar kata-kata yang saya luahkan tanpa suara. Namun, saya sedar, mana mungkin saya menerima tanpa terlebih dahulu memberi? Ertinya, setelah saya benar-benar ‘mendengar’, barulah saya didengari.

“Awak sedar tak banyak kemahuan saya yang awak gagal penuhi?” kata suami yang berang.

“Eh, awak kira kemahuan awak saja. Kemahuan saya? Dah berapa banyak awak penuhi? Saya tak dapat apa-apa dari perkahwinan ini!” balas isteri.    Read the rest of this entry »

 
35 Komen

Posted by di 4 Februari 2013 in Tarbiyah

 

Label: , , , ,

SUNYI SEKEPING HATI

 

Sejak awal ketika memasuki masjid saya sudah melihatnya. Cuma kami berdua. Jadi, saya rasa kami saling menyedari kehadiran masing-masing. Selesai solat, dia solat lagi. Kemudian tafakur atau berzikir.

Tak lama kemudian, terus membaca Al Quran. Begitulah keadaannya. Saya tidak ingat berapa lama dia dalam keadaan begitu kerana saya juga sibuk dengan hal sendiri. Memang beginilah rutin pagi saya. Jika terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas, saya akan singgah di mana-mana  masjid untuk iktikaf sambil melaksanakan tugasan atau menulis seadanya.

Beberapa lama kemudian, tanpa saya sedari dia sudah berada di sebelah saya. Setelah saling bersalaman, menegur dan takruf, kami mula berbual.

“Apa yang ustaz tulis dalam blog baru-baru ini telah menimpa saya,” katanya dengan wajah suram. Rupa-rupanya dia mengikuti tulisan dalam buku, majalah, blog dan FB saya.

“Entri yang mana?” tanya saya pinta kepastian.

“Tajuknya, ujian cinta… Kebetulan cinta saya sedang diuji. Sakit.” Read the rest of this entry »

 
63 Komen

Posted by di 22 November 2012 in Uncategorized

 

Label: , , , ,

UJIAN CINTA…

Urutannya tidak seperti biasa. Kali ini agak perlahan dan kurang bermaya. Sambil mengurut, dia bercerita. Cerita sedih yang dialaminya menjelang Hari Raya. “Wak” begitulah panggilan mesra saya kepadanya. Dia seorang pendatang dari negara seberang yang bekerja sebagai buruh binaan di projek perumahan berhampiran dengan rumah saya.

“Saya tidak sangka ustaz, isteri saya buat begini…” katanya sambil mengurut tangan kanan saya. Saya mula mengenali Wak sejak anak lelaki saya tergeliat kakinya dan kami sama-sama mencari tukang urut. Kami temui Wak melalui perbualan dengan seorang kawan tentang adanya seorang tukang urut yang ‘handal’ di pinggir taman tempat kami tinggal. Sejak hari itu, dia akan datang mengurut secara tetap sebulan sekali di rumah saya. Kadangkala bukan kerana sakit, tetapi hanya untuk mengekalkan hubungan saudara seagama.

“Hampir sepuluh tahun saya bekerja di sini, hampir semua hasil pendapatan saya kirimkan kepadanya. Ustaz pun lihat betapa saya begitu berjimat kerana hendak menyenangkan hidup isteri di kampung.”

“Wak memang suami yang setia…” balas saya.

“Malangnya, isteri saya tidak ustaz. Saya dikhianati!” Read the rest of this entry »

 
76 Komen

Posted by di 29 Ogos 2012 in Uncategorized

 

Label: , , , ,

ISTIKHARAH ITUPUN PERLU MUJAHADAH..

Benarlah, rumah tangga ummah ini sedang tergugah. Ertinya, kubu kita yang terakhir sudah ditembusi. Apabila dilaporkan setiap 15 minit berlaku satu perceraian, kita menjadi benar-benar bimbang. Betapa banyak ‘masjid’ yang roboh dalam masa sehari jika setiap 15 minit berlaku satu perceraian?

Akan tercapaikah perintah Allah agar “selamatkan dirimu dan keluargamu daripada api neraka?”. Akan  adakah lelaki yang terbaik sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah, maksudnya”dia yang terbaik ialah yang terbaik dengan keluarganya?” Ramai isteri mahupun suami menghubungi saya, meminta pandangan, saranan dan nasihat… Terus-terang saya katakan saya juga tidak berdaya. Sumbangan saya hanya tulisan dan buku. carilah di situ, Itulah sumbangan kecil saya. Mudah-mudahan, adalah sedikit panduan. Kali ini saya paparkan satu tulisan sebagai peringatan buat diri dan semua pengunjung :

ISTIKHARAH ITUPUN PERLU MUJAHADAH..

 Mengapa sukar benar hidup bersamanya? Mengapa kini dia berubah laku? Kenapa dia tidak seperti yang saya harapkan dulu? Padahal dia ada pilihan saya setelah solat istiharah. Apakah solat istikharah saya itu tersalah. Atau saya tidak faham petunjuk sebenar daripada Allah hasil istikharah saya dahulu? Saya sungguh menyesal.

 Begitulah antara suara rintihan dan kelohan yang kerap kita dengar samada daripada mulut isteri atau suami setelah beberapa lama mengharungi kehidupan rumah tangga. Apabila ‘warna sebenar’ pasangan kita terserlah yakni setelah lima tahun rumah tangga berumah tangga, maka pada waktu itu ada yang ‘reverse’ ke belakang, dirasakannya masalah kini adalah akibat tersalah membuat pilihan pada awal perkahwinan.

 Ini bukan muhasabah yang sehat. Sebaliknya, ini adalah satu musibah yang berat. Tidak ada gunanya ‘menggergaji abuk kayu’. Masa yang berlalu tidak akan berulang kembali. Kesalahan atau kesilapannya tidak akan dapat diperbetulkan lagi. Sebaiknya bersangka baiklah kepada Allah… dia suami atau isteri kita itu ialah takdir yang telah maktub untuk kita. Dia dan kita telah ditakdirkan Allah hidup bersama.

 Jangan ada di dalam hati kita rasa menyesal, rasa terlanjur, yang kita telah tersalah pilih. Tidak sekali-kali. Sekalipun pilihan kita tepat, tetapi kita tetap diuji. Maksudnya, istikharah yang betul dan tepat sekalipun bukanlah jaminan untuk kita tidak diuji. Istikarah kita tetap mengundang musibah… kerana itulah sunnatullah yang tidak berubah-ubah dan tidak sekali-kali bertukar ganti. Hidup dan mati kita adalah untuk di uji. Dunia dan medan rumah tangga hakikatnya adalah medan ujian siapakah diantara kita yang terbaik amalannya.

 Pasrahlah dengan pilihan yang kita telah lakukan lewat istkharah. Kata bijak pandai, setiap perkahwinan dibina atas dasar niat, harapan dan impian yang baik namun setiap pasangan suami isteri bertanggung jawab memupuk, membajaai dan menjaga benih kebaikan itu agar tumbuh menjadi pohon yang rendang. Perkahwinan Nabi Adam dan Siti Hawa yang berlaku di syurga itupun ditakdirkan terdampar di dunia untuk diuji dengan pelbagai kesusahan dan penderitaan.

 Jika sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan…ya itu sekiranya pangkal jalan kita salah. Namun bagaimana jika pangkal jalan kita sudah benar tetapi kita menghadapi masalah di tengah perjalanan? Jawabnya, teruskan perjalanan. Jangan berpatah balik. Namun telitilah satu persatu apa yang kita telah tersalah, belajar daripadanya. Jangan ulangi kesalahan yang sama berulang kali… cukup hanya sekali kerana orang mukmin itu tidak akan terjerumus dalam lubang yang sama dua kali.

 Jangan salahkan istikharah kerana itu sama dengan menyalahkan diri sendiri dan menyalahkan Allah. Apa yang penting, tanamkan di hati, bahawa Istikharah kita telah tepat, cuma setepat manapun pilihan kita hasil petunjuk Allah, kita tetap akan diuji. Ingat selalu, pilihan yang tepat hasil istikharah itu umpama benih yang baik. Ya, benih yang baik sekalipun memerlukan baja, cahaya, air dan dijaga dari gangguang serangga untuk bertunas, berdaun, berbunga dan akhirnya berbuah. Jadikanlah diri kita suami atau isteri yang umpama tukang kebun yang rajin bekerja di kebun cinta! Read the rest of this entry »

 
24 Komen

Posted by di 7 Mac 2012 in Tentang Cinta

 

Label: , , ,

SEIMBAS TENTANG POLIGAMI…

Saya pernah mendengar secara langsung bagaimana seorang isteri dianiaya oleh suaminya yang berpoligami. Sudahlah selama ini dia membantu suaminya menyara keperluan keluarga (gajinya lebih besar daripada suami), tiba-tiba suami bernikah lain tanpa pengetahuannya.

Dan sejak itu suami jarang pulang ke rumah. Jika pulang pun, hanya sekali-sekala, itupun kerana ‘mengecek’ wang isteri pertama. Isteri yang selama ini berkorban, terus terkorban… bertahan cuma untuk membesarkan anak-anak. Tidak ada kebahagiaan lagi.

Ada pula saya temui lelaki ‘handsome’ yang sihat, kaya, baik tetapi terhimpit oleh masalah ‘dalaman’ apabila isterinya tidak sudi melayaninya lagi. Sukarnya untuk memahamkan isteri akan cabaran-cabaran lelaki yang ingin menjadi muslim sejati dalam dunia yang penuh godaan dan cabaran ini. Isteri tidak pula sudi membantu untuk mengurangkan beban cabaran itu. Bersoleklah, berhiaslah dan jagalah penampilan diri… Berzina? Tidak terlintas sama sekali. Hendak berpoligami? Jangan harap. Alamat perang saudaralah nanti!  

Sekali-sekala saya terjumpa lelaki berpoligami yang begitu bijak dan sabar mengendalikan bahtera rumah tangga. Anak-anaknya ramai tetapi terdidik dengan baik. Isteri-isteri terurus dan terkendali dengan stabil. Perjalanan ‘rumah-rumah’ tangganya yang agak sempurna dan lancar, lebih baik daripada perkahwinan monogami oleh sesetengah lelaki yang lain. Jika demikian, dia layak memimpin beberapa orang wanita, detik hati saya.

Sering saya temui, lelaki yang hidupnya tunggang langgang. Anaknya hanya seorang, isterinya hanya satu… tetapi kendali hidupnya sungguh celaru. Hidup tanpa tanggung jawab. Dia masih tebal dengan budaya hedonisme dan berpeleseran dengan mengekalkan momentum zaman bujangnya. Hati saya tertanya-tanya, mengapa agaknya dia berkahwin? Apa tujuannya? Dia menyiksa dirinya dan orang di bawah tanggungannya. Usahkan berpoligami, bermonogami pun dia tidak layak!

Lalu hati saya berkata… semuanya bergantung kepada iman. Tidak kira poligami atau monogami, lelaki yang beriman dapat mengendalikannya dengan baik. Ada yang berbahagia dengan seorang isteri… ya itulah yang normal. Namun, sekali-sekala terjadi juga yang ‘kadang-kadang’, ‘jarang-jarang’, berbahagia pula dengan dua, tiga atau empat isteri. Allah Maha Mengetahui, di sebalik segala takdirnya, ada bahagia… sekiranya ada iman yang kukuh dan teguh di dada.    

Justeru, apabila ada kalangan pengunjung blog meminta saya menulis tentang poligami, saya persembahkan tulisan di bawah dengan rendah hati… Ya, Allah. Bantulah kami memahami tentang hukum poligami ini. Ya, saya akan menulis lebih panjang lagi tentang subjek ini. Namun buat sementara terimalah tulisan di bawah sebagai muqaddimahnya:  

MENYINGKAP MISTERI BERPOLIGAMI

Poligami, sering dianggap satu subjek yang ‘taboo’. Membincangkannya akan menyebabkan berlakunya pergeseran pendapat yang agak ‘sengit’ dikalangan umat Islam sendiri. Malah sering juga musuh Islam mengambil kesempatan mengecam Islam dan Nabi Muhammad kerana poligami.

Namun, realitinya poligami dalam Islam adalah satu praktik yang telah lama berlaku yakni sejak zaman Rasululullah s.a.w sehinggalah kini. Rasulullah s.a.w, Sayidina Abu Bakar, Sayidina Umar dan lain-lain para sahabat telah mengamalkannya. Ini menunjukan poligami memang boleh diamalkan.

Tindakan Nabi Muhammad saw melarang Sayidina Ali berpoligami tidak bermakna baginda melarang poligami.  Memang benar Rasulullah s.a.w melarang Sayidina Ali menduakan puterinya. Baginda amat marah mendengar ura-ura Sayidina Ali hendak berpoligami lalu masuk ke masjid dan menaiki mimbar sambil berseru: “Beberapa keluarga Bani Hasyim bin al Mughirah (kerabat Abu Jahal) meminta izin kepadaku untuk mengahwinkan puteri mereka (anak Abu Jahal) dengan Ali bin Abi Talib. Ketahuilah aku tidak akan mengizinkan, sekali lagi aku tidak akan mengizinkan. Sungguh tidak aku izinkan kecuali Ali bin Abi Talib menceraikan puteriku terleboih dahulu. Fatimah adalah sebahagian dari diriku, apa yang mengganggu dirinya mengganggu diriku, dan apa yang menyakiti hatinya menyakiti hatiku.”

Namun hadis ini  difahami dan diperjelaskan secara berbeza oleh para ulama. Berdasarkan Imam Nawawi, fokus utama hadis ini bukanlah berkaitan poligami secara umum tetapi ia berkaitan dengan hasrat Sayidina Ali memadukan isterinya Siti Fatimah binti Muhammad saw dengan puteri Abu Jahal.   Ini diperjelaskan lagi oleh sabdanya sebagai kesinambungan daripada hadis yang pertama: ”Dan sesungguhnya aku tidak mengharamkan yang halal dan tidak  pula menghalalkan yang haram, akan tetapi, demi Allah jangan sekali-kali bersatu puteri utusan Allah dengan puteri musuh Allah.” Read the rest of this entry »

 
52 Komen

Posted by di 10 Januari 2012 in Kemudi Hati

 

Label: , , , ,

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,190 other followers