RSS

Tag Archives: jepun

MUSLIM VS SAMURAI

 

th (1)“Mengapa orang Jepun sukar menerima Islam?” tanya seorang ahli perniagaan yang juga merupakan kenalan baharu saya.

“Benarkah begitu?” balas saya dengan pertanyaan juga. Saya tidak pasti sebenarnya. Apakah itu realiti atau sekadar andaian. Kali terakhir saya memijak bumi matahari terbit itu kira-kira 20 tahun yang lalu. Dalam tempoh selama itu berbagai-bagai perubahan boleh berlaku. Dahulu hanya ada sebuah masjid di Kobe tetapi sekarang sudah banyak masjid di sana.

“Betul,” jawabnya pasti. “Saya sering berulang alik ke sana dan saya lihat orang Jepun agak payah untuk menerima Islam.

“Sudah cuba berdakwah di sana?” tanya saya.

“Belum secara langsung. Hanya berdakwah melalui perbualan biasa. Dalam urusan perniagaan, saya cuba selitkan sedikit-sedikit nilai Islam. Sayangnya respons daripada mereka kurang memberangsangkan. Entah mengapa.”

Saya terdiam. Jauh di sudut hati, saya sebenarnya masih tertanya-tanya, apakah itu satu hakikat ataupun hanya satu tanggapan yang bersifat peribadi.

 

Sebab Mereka Lebih Baik

“Baiklah, anggap sahaja tanggapan saya itu benar. Apa komen awak?” joloknya seolah-olah dapat membaca keraguan saya. Saya senyum. Terasa bersalah pula meragui pendapatnya. Padahal dia lebih dekat dengan Jepun. Apa tidaknya, dalam tempoh sebulan sahaja dia sudah beberapa kali berulang-alik ke sana.

“Saya rasa puncanya ialah orang Jepun merasakan kehidupan mereka lebih baik berbanding orang Islam. Oleh itu apa perlunya mereka memeluk Islam.”

Akhirnya saya bersuara juga. Mungkin satu tanggapan juga.

“Lebih baik daripada sudut apa? Kalau kecanggihan sains dan teknologi memang ada kebenarannya. Jepun jauh lebih hebat.”

“Bukan itu sahaja, malah sikap dan adab. Mereka jauh meninggalkan kita,” sambung saya. Pada saya orang Jepun bukan sahaja unggul dalam bidang ekonomi dan teknologi tetapi juga keperibadian. Para pelajar mereka diajar dan dilatih dengan adab lebih dahulu sebelum diberi ilmu.

“Contohnya?”

“Contohnya, kebersihan tandas. Pergilah ke mana-mana bandar di Jepun, kebersihan tandas mereka sangat mengagumkan. Jauh lebih bersih daripada tandas awam, malah tandas-tandas di masjid kita. Lapangan terbang mereka misalnya, jauh lebih bersih dan mesra pengguna berbanding lapangan terbang negara-negara Islam seperti lapangan terbang Karachi dan Jeddah.”

“Itu sekadar kebersihan, itu satu sudut yang masih terhad dan terbatas.”

“Bukan sekadar kebersihan tetapi juga tentang kejujuran dan integriti.” Read the rest of this entry »

 
4 Comments

Posted by on 30 December 2015 in Kemudi Hati

 

Tags: , , ,

SOLAT ITU BUANG MASA?


Ustaz Hashim sedang memberikan taklimat awal kepada para peserta kursus Modul Solat yang dijalankan oleh saya dan teman-teman di Fitrah Perkasa

Malam ini saya di UIA Kuantan, untuk berkongsi ilmu dengan saudara/i kita di sana dalam tajuk: MUKMIN PROFESIONAL. Mudah-mudahan Allah akan permudahkan untuk meuar-uarkan gagasan ini.

Mukmin Profesional  yang telahpun dijalankan dalam bentuk program dan modulnya sejak 7 atau 8 tahun yang lalu di pelbagai agensi korporat oleh Fitrah Perkasa Sdn Bhd. adalah satu proses “rebranding” (penjenamaan semula) imej umat Islam yang negatif di mata dunia.

Untuk anda sahabat-sahabat yang setia mengikuti kembara Gentarasa – saya ketengahkan satu tulisan untuk dijadikan bahan fikir dan zikir – solat pada pandangan bukan Islam dan orang Islam sendiri. Marilah membacanya dengan nama Allah…

SOLAT ITU  BUANG MASA?

“Mengapa orang Islam banyak buang masa untuk bersembahyang?” Anda terkejut? Sudah tentu. Ini adalah soalan yang jarang kita dengar. Soalan ini ditanyakan pada saya lebih kurang 15 tahun yang lalu ketika berada di Jepun. Ia diajukan oleh pelajar-pelajar Jepun yang melihat pelajar-pelajar Malaysia solat lima waktu sehari semalam.

Sebelum menjawab soalan ini, saya menyoal kembali pelajar-pelajar Malaysia yang hadir dalam majlis usrah itu:
“Mengapa soalan seumpama ini ditanyakan ketika kamu di sini, tidak di Malaysia?”
Seorang pelajar menjawab, “kerana mereka jarang melihat orang solat.”
Yang lain menjawab, “mereka menyembah berhala mereka sekali-skala. Tidak sekerap dan selama kita umat Islam.”

Saya senyum. Pelajar-pelajar itu berminat sungguh untuk mendalami Islam. Mereka mendekati Islam lebih serius berbanding ketika mereka di Malaysia dahulu. Ketika di perantauan, ramai yang kembali gigih menghayati agama sebagai perisai diri daripada kejutan budaya dan godaan persekitaran yang terlalu mencabar.
“Ada sebab lain?” tanya saya sekadar mengundang reaksi. Mereka diam. Mungkin terus berfikir.

“Orang Jepun sangat menghargai masa. Pengurusan masa mereka sangat efisien. Majoritinya tidak membuang masa…” kata saya meluahkan hasil pemerhatian secara rambang. Memang, ketika di dalam kereta api kebanyakan mereka membaca. Buku-buku dan komik banyak tersusun di bahagian atas syiling kereta api.

“Jadi bagi orang Jepun yang tidak membuang masa, 5 ke 10 minit yang kita luangkan untuk mengerjakan satu waktu solat dirasakan telah membuang masa. Sebab itu mereka bertanya, mengapa kita membuang masa. Sebab itu soalan itu timbulnya di kalangan orang Jepun. Kenapa tidak di kalangan orang kita di Malaysia? ” Read the rest of this entry »

 
27 Comments

Posted by on 22 January 2010 in Zikir & Fikir

 

Tags: , , ,