
Ramadhan telah berlalu, dan kemudian bertamu pula Syawal. Saat-saat ini sesungguhnya menghadiahkan detik yang indah untuk terus bermuhasabah. Beberapa purnama lagi tahun baru akan menjengah, apakah pecutan diri menuju taqwa semakin goyah atau semakin gagah? Ya, hakikatnya hidup perlu dijalani dengan semangat “sentiasa bersedia untuk mati”. Bila hati benci mati, itu petanda jelas bahawa aku dan kamu belum mencintai Ilahi…
Apakah cukup hanya dengan keluhan? Padahal hidup memerlukan kayuhan. Kayuhan amal yang tidak putus-putus dan tanpa jemu-jemu. Kita boleh senyum ketawa dan mesra ketika bersama manusia, namun jauh di sudut hati, biar tetap sedih dan merintih kerana mengenangkan dosa lampau, dosa kini dan dosa akan datang. Sesekali kita boleh tertawa dengan kebodohan diri, tetapi lama kelamaan jika kebodohan itu berulang, hati akan terdera oleh satu pertanyaan: Bilakah lagi aku akan matang?
Malam yang dulu tidurku terganggu. Kira bicara hati tidak menentu. Walaupun yang kukira adalah wang-wang pada nisab dan haul menjelang hujung tahun… tetapi hakikatnya yang kutimbang adalah soal hati. Hati yang masih tamak. Hati yang hanya ingin menerima tetapi begitu sukar memberi. Yang kucongak adalah zakat. Namun hakikatnya, neraca muhasabah ini ialah antara mahmudah dan mazmumah. Aku boleh menipu angka dan timbangan, tetapi mampukah aku menipu diri sendiri? Lebih-lebih lagi mampukah aku menipu Ilahi?
Yang paling penting dalam hidup ini ialah punya hati yang qanaah – hati yang berpada-pada dengan apa yang ada. Sedikit, mencukupi. Banyak, boleh diagih-agihkan. Pernah aku berjanji dengan diri sendiri, agar menjaga keinginan agar tidak melewati batas-batas keperluan. Jangan sekali-kali terjerumus ke jurang pembaziran. Keinginan yang melampaui batas, jika tidak dapat dikawal akan mengundang resah jiwa. Gejolaknya akan terus mengganggu. Sedikit tidak cukup, banyak tidak puas. Aku pernah tersiksa kerana itu!
Kemudian aku tersedar… bahawa kekayaan sebenar bukanlah kerana ‘memiliki’. Kekayaan sebenar bila tidak ‘dimiliki’. Justeru, Allah itulah zat yang Maha Kaya. Benar, milik Allah segala yang ada. Tetapi bukan kerana itu DIA digelar Al Ghani – Yang Maha Kaya. Allah itu Maha Kaya kerana DIA tidak memerlukan segala sesuatu, sebaliknya segala sesuatu yang memerlukan-Nya. Begitulah manusia. Jika inginkan kekayaan sejati, kurangkanlah keperluan terhadap dunia dan manusia … bukan dengan meningkatkan keperluan kepada keduanya.
Pernah aku temui orang kaya yang memilki harta berjuta. Segala-galanya bagai berada di hujung jarinya. Kereta, rumah, hartanah dan wang simpanannya berjuta-juta. Tetapi alangkah sedih, dia begitu miskin di sudut jiwanya. Keinginannya pada dunia sentiasa meluap-luap. Ingin itu, ingin ini. Selepas satu, satu pula keinginannya. Jiwanya sentiasa resah. Dia umpama meneguk air laut, makin banyak diminum semakin haus. Pantang ada kereta model terbaru… dia resah. Pantang ada hartanah yang nak dijual… dia gelisah. Oh, alangkah siksanya sikaya yang hidup dalam kemiskinan itu. Read the rest of this entry »
BERILAH KEMAAFAN ITU
Selepas Subuh tadi, saya membelek-belek kembali buku catatan saya semasa ditahan di Kamunting. Terjumpa banyak lembaran-lembaran tulisan yang tidak pernah saya ketengahkan. Hanya untuk tatapan peribadi. Antaranya, saya bertemu dengan tulisan yang akan saya ketengahkan ini.
Saya memohon maaf kerana sudah beberapa hari saya tidak mengemaskinikan blog. Juga respons daripada pembaca-pembaca yang gagal saya tangani. Saya terlalu dikejar waktu hingga tidak punya kesempatan untuk menulis. Ke utara, ke Selatan dan ke Timur untuk menjalankan program yang berderet-deret. Ditambah oleh “broad band” yang rosak. Mudah-mudahan Allah permudahkan saya bereskan hari-hari ini dengan ibadah dan taubat. Saya lemah… semoga Allah perkasakan dengan sedikit tenaga, idea dan kesihatan untuk terus memperbaiki diri disamping mengingatkan orang lain.












