Maafkan ku wahai isteri kerana tidak memaafkan mu! Sesungguhnya ketika ini hati ku tidak menentu. Resah dan gelisah. Puas ku cari puncanya, rupanya segala-galanya kerana tidak memaafkan mu. Tidak memaafkan itu sesungguhnya satu dosa. Dosa itu pasti meresahkan.
Benarlah seperti apa yang pernah ditegaskan oleh Rasulullah SAW: “Dan dari Wabishah bin Ma’bad RA, ia berkata : “Aku telah datang kepada Rasulullah SAW, lalu beliau bersabda : ‘Apakah engkau datang untuk bertanya tentang kebajikan?’ Aku menjawab : ‘Benar’.
Baginda bersabda : ‘Mintalah fatwa dari hati mu. Kebajikan itu adalah apa-apa yang menenteramkan jiwa dan menenangkan hati dan dosa itu adalah apa-apa yang meragukan jiwa dan meresahkan hati, walaupun orang-orang memberikan fatwa kepada mu dan mereka membenarkannya”. (HR. Ahmad)
Ketahuilah aduhai isteri, sebaik sahaja surat ini di sisi, kau telah ku maafkan. Maafkan aku kerana tidak memaafkan mu. Sesungguhnya, aku acap kali dikuasai ego, sehingga terasa aku lebih ‘besar’, lebih penting dan lebih berkuasa… sehingga dengan itu aku tidak mampu memaafkan. Sedangkan aku hakikatnya hanyalah seorang hamba… yang kerdil, lemah dan berdosa. Siapalah diri ku sehingga tidak mampu memaafkan, sedangkan Allah, Tuhan yang Maha Besar itu pun sentiasa memaafkan.
Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah s.a.w. bersabda, ”Allah Yang Maha Tinggi berfirman: “Wahai anak Adam, sesungguhnya jika kamu berdoa kepada Ku dan mengharapkan- Ku maka Aku akan mengampuni mu atas semua dosa yang kamu lakukan, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, andai kata dosa-dosa mu itu sampai ke puncak langit kemudian kamu meminta ampunan kepada Ku nescaya Aku ampuni dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya kamu datang kepada Ku dengan dosa yang besarnya seisi bumi seluruhnya, kemudian datang menemui Ku dan tidak menyekutukan Aku dengan yang lain nescaya Aku akan datang kepada mu dengan ampunan yang besarnya seisi bumi seluruhnya.”
Sungguh, setelah aku teliti dengan hati-hati segala kesalahan mu isteri… semuanya berpunca daripada kesalahan ku jua. Aku yang masih gagal mendidik mu. Aku yang masih kurang sabar dalam menghadapi kerenah mu. Aku yang masih tidak lunak dalam bertindak dan berkata. Hingga dengan itu, kesalahan mu cuba ku tangani dengan satu kesalahan juga. Malah ada kala dengan satu kesalahan yang lebih besar lagi. Read the rest of this entry »



Tidak akan diketahui kecintaan seseorang sehingga tiba saat berpisah. Tidak diketahui kesabaran seseorang sehingga tiba masanya dia patut marah.












