RSS

Tag Archives: Kaya Sejati

NOTA HATI SEORANG LELAKI EDISI BARU

 

 

 

 

 

 

Mengapa buku ini perlu diulang cetak lagi? Bukankah ia telah dimiliki dan dibaca oleh puluhan ribu pembaca?  Jawabnya, kerana saya merasakan banyak lagi mesej dakwah yang sangat perlu dikongsikan bersama masyarakat. Masih ramai yang belum berkesempatan memiliki dan membaca buku ini. Begitu rasa hati saya.

Justeru, apabila buku ini dihentikan pencetakannya, saya mencari-cari penerbit lain untuk mencetaknya semula. Memang agak payah… bukan semua penerbit ingin mencetak ‘buku lama’. Saya menagih ke sana ke mari. Akhirnya, ada penerbit yang ingin mencetaknya dengan syarat ada bab-bab baru dimasukkan bersama.

Permintaan itu sangat mencabar kerana keadaan kesihatan saya dan juga tugasan yang sedia ada semakin memberat dan bertambah. Mengendalikan sebuah organisasi latihan ketika ekonomi dalam keadaan yang tidak menentu memerlukan tumpuan dan kegigihan yang berganda. Mujur sahabat-sahabat di Fitrah Perkasa Sdn Bhd memberi kerjasama yang sangat baik. Kami berbincang, membuat keputusan dan mengambil tindakan untuk mencari jalan keluar untuk meneruskan usaha dakwah dan tarbiah melalui pelaksanaan program-program latihan kepada organisasi swasta dan kerajaan. Allhamdulillah… sedikit sebanyak sudah ada solusinya walaupun masih banyak yang perlu diusahakan.

Akhirnya permintaan penerbit baru dapat jua dipenuhi. Karya Bestari, melalui En Azli dan Ustaz Hasrul dari Karya Bestari, Karangkraf, sangat membantu. Mereka rela menjejak saya di pejabat, di klinik dan di surau… untuk memenuhi misi penerbitan buku NOTA HATI SEORANG LELAKI edisi baru ini. Saya ucapakan ‘jazakallahu khairan kathira’ atas bantuan mereka. Saya yakin, kalau mereka bekerja ‘kerana gaji’ sahaja… mereka tidak akan seserius itu.

Untuk pembaca baru dan lama, saya hulurkan seadaanya buku lama ini… tetapi tetap dengan mesej yang segar dan bertenaga. InsyaAllah. Berikut adalah satu petikan baru yang telah dimasukkan dalam buku tersebut:

KAYA SEJATI

Satu pagi, selepas usai solat Subuh berjemaah, saya duduk berbual dengan seorang sahabat lama yang kebetulan singgah di masjid kariah saya untuk solat Zuhur. Dari serambi masjid tempat kami berbual kelihatan kereta lamanya yang diletak di tempat letak kereta berhampiran jalan raya di hadapan masjid. Dia masih dengan kereta lamanya. Kereta jenis Proton wira lama berwarna coklat.

“Kau layak untuk menikmati hidup yang lebih baik,” kata saya sambil memegang bahunya. Dia adalah salah seorang sahabat yang sangat saya sanjung. Akhlak dan tutur katanya sangat menyentuh hati. Ibadahnya kemas. Sifat ikram dan hormatnya sangat ketara sejak  usia mudanya.

“Aku sedang menikmati kehidupan ini,” balasnya pendek. Senyum menguntum di bibirnya. Ertinya, dia merasakan hidup yang dijalani sekarang adalah yang terbaik.

“Keretamu tidak bertukar sejak lama. Rumahmu masih begitu-begitu jua. Cara kau berpakaian, jam tangan dan telefon bimbitmu… aduh, mengapa masih yang itu-itu juga?” balas saya terus terang.

“Aku tidak punya wang yang banyak.”

“Mustahil. Pendapatan hasil perniagaan dan penulisan buku-bukumu aku kira sangat lumayan. Lebih daripada cukup.”

“Semuanya telah habis kubelanjakan!” katanya terus terang.

Kata-katanya itu mengingatkan saya kepada luahan rasa oleh anak sulung lelakinya satu ketika dulu.

“Pakcik, duit ayah habis dibelanjakannya untuk sedekah, derma dan lain-lain biaya kerja-kerja kebajikan. Sebenarnya ayah boleh hidup sebagai seorang jutawan, tetapi kerana sikapnya yang terlalu pemurah… menyebabkan cara hidup ayah di bawah kemampuannya yang sebenar,” kata anak sulung sahabat saya itu.

“Bagaimana kamu melihat keadaan ayah?”

“ Maksud pakcik?”

“Apakah dia tertekan dengan cara hidup yang dipilihnya itu?” Read the rest of this entry »

 
6 Comments

Posted by on 2 May 2017 in Iktibar Kisah

 

Tags: , ,