RSS

Tag Archives: KERJA

PRAY HARD, WORK SMART!

“Kami menghadapi masalah dua ekstrem dalam organisasi ni,” kata seorang pengurus bahagian sumber manusia.
“Ekstrem? Fahaman melampau? Militan?” tanya saya bergurau.
“Bukan. Tapi pertentangan antara dua golongan. Satu workaholic dan satu lagi solatholic.”

Saya terkejut dengan istilah itu. Workaholic memang selalu saya dengar tetapi kalau solatholic itulah kali pertama saya mendengarnya.
“Encik tahu apa maksud workaholic?” tanyanya.
“Orang yang gila atau mabuk kerja,” jawab saya merujuk kepada makna yang diberi dalam kamus seperti yang pernah saya baca dahulu.
“Solatholic pula orang yang gila solat!” jelasnya tanpa dipinta.

“Jadi apa masalahnya?’
“Dua golongan melampau ini boleh menjejaskan operasi organisasi ini.”
“Bagaimana?”
“Yang workaholic mabuk kerja hingga tinggal solat. Dan encik tentu tahu apa akibatnya orang yang tinggal solat…”
Belum sempat saya membalas katanya, dia bersuara lagi, “mereka ini kerja beres tetapi ada masalah dengan rakan sekerja yang lain.”

“Yang solatolic bagaimana?”
“Rajin solat tetapi kerja tak beres. Kerja sambil lewa. Bagus beragama tetapi culas kerja.”
“Itu kira tak bagus beragamalah, “pintas saya perlahan.
“Mengapa?”
“Agama itu kan cara hidup yang sempurna? Termasuk solat, kerja dan seluruh sistem hidup. Jadi, orang yang culas kerja ertinya culas juga beragama. Begitu juga orang yang rajin bekerja tetapi malas solat. Itu pun tidak sempurna dalam beragama,” jelas saya agak panjang.

“Bagaimana nak tangani masalah dengan kelompok solatolic ni?”
“Solatholic bukan masalah, “ ujar saya.
“Tak masalah kata awak. Orang ini mabuk sembahyang!”
“Apa maksud dengan mabuk sembahyang?”
“Banyak sembahyang?’
“Kalau begitu tak salah mabuk sembahyang sebab nabi Muhammad pun begitu…” Read the rest of this entry »

 
50 Comments

Posted by on 2 July 2010 in Kemudi Hati

 

Tags: , , , ,

ORANG IKHLAS TERTINDAS?

Ramai yang mengeluh, bukan kecewa, tetapi sekadar meluahkan rasa… betapa kebaikan dipersia. Isteri yang setia, dipersiakan suami. Suami yang baik, ditinggalkan isteri. Ibu-bapa yang dipinggirkan anak-anak…

Inilah warna kehidupan yang kita perlu hadapi. Langit tidak selalu cerah. Hidup tidak sentiasa indah. Dipergilirkan antara senang dan susah, agar di hati kita ada sabar dan syukur. Umpama malam dan siang, barulah tercipta keharmonian, keseimbangan…

Lalu di pagi Jumaat ini, saya tulis satu kisah lama… sekadar untuk mengingatkan diri dan pembaca. Satu tulisan untuk membujuk hati sendiri atas satu pertanyaan, orang ikhlas tertindas?

Atau soalan yang lebih “dalam” dan sukar  daripada itu… benar-benarkah kita orang yang ikhlas jika masih merasa tertindas ketika cuba mengikhlaskan hati kita ketika melalukan kebaikan kepada sesorang atau sesuatu pihak?

Ah, ikhlas itu memang rahsia. Rahsia dalam rahsia Allah. Ya Allah, bantulah kami untuk ikhlas…Amin.

Untuk diriku dan dirimu, terimalah tulisan ini sebagai hadiah muhasabah di pagi Jumaat yang barakah ini…

ORANG IKHLAS ITU TERTINDAS?

Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.

“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak berterus-terang.
“Mengapa?” balas saya.
“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.”

Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?

Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?”
Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.
“Oh ramai encik…”
“Bagaimana dengan anak-anak kakak?”

Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.
“Kakak, boleh saya bertanya?”
“Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.

“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?”
Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”

Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”

Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik.
“Maksud encik?”
“Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.”
“Tidak pernah saya terfikir begitu encik…” Read the rest of this entry »

 
86 Comments

Posted by on 9 April 2010 in Tarbiyah

 

Tags: , , , , , ,