Setelah kembali ke KL malam semalam, saya terus menangani kerja-kerja penulisan seawal pagi ini. Buku Mukmin Profesional: Celik Mata hati sudah 80% selesai. Kali ini buku yang saya tulis agak berat dan sarat dengan seruan, gagasan, panduan dan hujah-hujah yang praktikal.
Program yang saya laksanakan bersama teman-teman di Selesa Beach Resort, Port Dickson semalam memberi saya input-input baru untuk ditangani dan diungkaikan. Alhamdulillah, perjuangan untuk membaiki diri dan ketrampilan yang tidak berpenghujung ini nampaknya sering mendapat pencerahan.
Walaupun kekadang terlalu banyak pengalaman peribadi untuk dikongsi, tetapi saya seboleh mungkin akan menjauhkan diri daripada menulisnya dalam blog ini. Lalu, acapkali sesuatu yang bersifat peribadi itu saya tambah rencah-rencahnya agar lebih kelihatan umum agar lebih mudah dikongsi dan dihayati.
Namun, ingin saya tegaskan apa yang saya tulis hakikatnya ialah usaha saya mengenengahkan kebenaran, yakni kebenaran dari segi prinsipnya dan kebenaran daripada segi kisah dan faktanya.
Kisah yang saya tulis, “Seorang Jurutera di atas bukit” misalnya ialah kisah dialog saya dengan anak lelaki setelah 3 bulan dia bekerja. Kebimbangan hati saya agar anak tidak terjebak dalam rasuah menyebabkan kisah itu saya nukilkan. Orang muda khususnya, bila mula mendapat kerja yang baik dan berpendapatan agak tinggi sedikit akan dilanda pelbagai godaan. Dan kita sedia maklum, ujian kesenangan lebih getir dan bahaya berbanding ujian kesusahan. Dalam sukar masih ramai yang mampu sabar, tetapi dalam senang, ramai yang lupa syukur, lalu kecundang.
Begitu juga apabila ada seorang lagi anak yang berdepan dengan dilema samada memilih bidang pengajian yang lebih sukar dan mencabar atau yang lebih mudah, saya mula bersembang-sembang untuk “membetulkan” persepsinya. Saya ingatkan, jangan mengejar “glamour” . Pandangan diri terhadap diri sendiri lebih penting daripada pandangan orang lain terhadap kita. Ingat kata Ibn Jauzi, petanda orang sakit jiwa ialah apabila dia lebih percaya penilaian orang ramai berbanding pandangan dirinya sendiri.
Sebab itulah ramai orang yang ingin “mempamerkan” betapa dia berjaya dan bahagia walaupun dia sedar jauh di sudut hatinya bahawa dia sebenarnya tidak bahagia. Bergambar di khalayak ramai sebagai pasangan yang bahagia, tetapi bila pulang ke rumah begitu sukar bermesra sekalipun untuk bertegur sapa. Oh, dunia… akulah yang paling bahagia, dabik dadanya di hadapan ramai. Namun ketika sunyi sendiri, dia mengeluh, aduh… deritanya hidupku! Ini bukan cerita artis dan orang berkuasa sahaja, tetapi “orang biasa-biasa” pun ramai yang kena! Read the rest of this entry »
Berikut saya coretkan mukaddimah daripada buku terbaru saya : Nota Hati seorang lelaki – gugusan kisah tarbiah sanak, suami dan ayah. Saya menyimpan cita-cita agar buku itu dibaca oleh seramai mungkin pembaca. Mudah-mudahan ia dapat dijadikan titian dan titisan dalam laut rasa yang begitu bergelora. Buku ini bukan untuk “saya” tetapi untuk “kita”. Walaupun buku itu hanya kecil, tetapi cita-cita di sebaliknya besar. Insya-Allah. Ya, Allah permudahkanlah tercapainya harapanku:












