RSS

Tag Archives: Malam Al Qadr

TANDA LAILATUL QADR PADA DIRI…

gambar-bintang-jatuh-yang-indah-555x416Kata sesetengah riwayat pada malam itu, tidak sejuk, tidak panas. Pada keesokannya, mentari seolah-olah malu untuk bersinar. Teduh sahaja kelihatannya.  Tidak terang dan agak redup. Kata yang lain, ada air yang membeku. Tidak ada salakan anjing. Suasana tenang luar biasa.

Syahdu dan sayu, dakwa sebahagian yang lain. Ada yang lebih yakin, mengatakan pada malam-malam tertentu. Lengkap dengan dakwa dan dalilnya. Pada tahun lalu pernah saya menerima SMS, betapa ada sahabat-sahabat yang merasa kesal kerana “terlepas” malam Al Qadar.

Satu SMS menyatakan,” ramai cakap malam tadi (21 Ramadhan) lailatul Qadar. Saya memang minta sangat nak ketemu dengannya. Tapi malam tadi mengantuk luar biasa. Rasa rugi kalau terlepas!”

Memang rasa kesal akibat terlepas peluang keemasan untuk lebih dekat dengan Allah itu baik. Tetapi jangan terikat dengan Al Qadar, hingga semangat beribadat luntur akibat terlepasnya.

Lalu saya balas SMS itu dengan kata, “ jadilah hamba Allah sejati yang beribadah sepanjang masa, di setiap keadaan dan suasana. Jangan jadi “hamba” malam Al Qadar,  yang kesungguhan ibadah hanya tertumpu pada malam itu sahaja.”

Sayangnya, kita lebih terfokus melihat tanda-tanda mendapat Al Qadar pada alam, pada pokok, air dan lain-lain yang berada di luar diri. Sedangkan tanda mendapat Al Qadar itu ada pada diri sendiri. Bukankah mereka yang bertemu dengan malam Al Qadar amat bertuah kerana doa, taubat dan hajatnya “diangkat” oleh para malaikat lalu dimakbulkan Allah?

Jadi, jika seseorang mendapat Al Qadar tentu jiwanya lebih tenang, akhlaknya menjadi lebih baik dan ibadahnya (sama ada habluminallah dan habluminannas) bertambah lebat dan hebat. Read the rest of this entry »

 
33 Comments

Posted by on 6 July 2015 in Tarbiyah

 

Tags: ,

MENCARI… BUKAN MENANTI LAILATUL QADR

Setelah begitu resah, bimbang dan sedih atas kerosakan kaumnya, Rasulullah SAW pergi menyendiri (bertahannuth) di gua Hira’. Baginda nekad. Tidak mahu “kotoran” jahiliah hinggap pada hati dan dirinya. Hatinya meronta-meronta inginkan kebaikan buat kaumnya, tetapi apa kan daya, baginda tidak punya “senjata” dan “penawar” untuk menghadapi dan mengubatinya.

Bertahun-tahun, baginda di situ. Menyendiri, terasing seketika, untuk tidak terjebak dalam kejahilan dan kemusyrikan Arab Jahiliah. Bukan mengalah, tetapi berundur seketika mengatur langkah. Walaupun belum nampak cara tetapi kemahuan sudah ada. Hatinya sebagai wadah itu sentiasa menganga untuk mendapat pimpinan dan bimbingan.

Dan tiba-tiba pada satu malam yang penuh barakah, cahaya dan petunjuk, turunlah malaikat Jibrail membawa wahyu yang pertama. Saat itulah, baginda mula mendapat kekuatan, tenaga dan dorongan yang sangat luar biasa. Segala yang dinanti telah tiba. Segala yang “kosong” telah terisi.

Baginda menjadi Rasul sejak itu… mula dibebankan misi yang amat besar yakni berdakwah, mendidik dan memimpin kaumnya menuju Allah. Kembali ke fitrah. Malam yang bersejarah itu dikenali sebagai malam Al Qadar!

Mulai saat itu, selamat tinggal Hira’. Tidak ada pengasingan diri lagi selepas itu. “Rahib” sudah bertukar menjadi mujahid. Cahaya yang bermula dari dalam gua itu terlalu hebat, terlalu terang… bukan itu gelanggangnya, tetapi semesta alam. Roh iqra’ yang hebat itu disusuli kemudiannya oleh gerak Al Mudathir, lalu baginda pun menguak “selimut” uzlahnya lalu dibesarkan Tuhannya dengan sinar akidah di relung samar Jahiliah.

Apakah malam Al Qadar 1431 H ini akan ditunggu oleh hati seputih Rasulullah saw? Atau hanya diintai dan diramal oleh kebanyakan umat dengan hati yang kotor dan nafsu liar. Apakah al Qadar akan sudi bertamu di wadah hati yang begitu? Padahal hati Rasululah ketika menantinya sudah dikosongkan demi bertamu sebuah hidayah? Berapa lamakah kita telah membenci kemungkaran seperti Rasul membencinya hingga tiba saatnya baginda layak menemui malam yang agung dan hebat itu?

Apabila bercakap tentang Lailatul Qadar, terdapat berbagai-bagai pendapat tentang tanda-tanda berlakunya malam tersebut. Ada yang mengatakan apabila berlaku Lailatul Qadar, semua pokok menunduk rukuk dan semua sungai membeku dalam kadar waktu yang singkat.

Ada pula keterangan yang mengatakan cuaca pada siang hari menjadi tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk bahana Lailatul Qadar pada malamnya. Pendek kata, ada berbagai-bagai pandangan dan tanggapan. Apakah semuanya benar? Wallahua’lam. Pada hal di dalam Al-Quran atau hadis-hadis Rasulullah saw malam Al Qadar masih kekal tersembunyi dan misteri untuk ditentukan secara pasti. Read the rest of this entry »

 
39 Comments

Posted by on 1 September 2010 in Kemudi Hati

 

Tags: , , , , ,