RSS

Tag Archives: MASALAH

I need You because I love You

imagesAmat besar bezanya antara ungkapan, “aku cinta kamu kerana memerlukan mu” dengan “aku perlukan kamu kerana aku mencintai mu.” Ungkapan kedua lebih murni dan suci sifatnya. Itulah cinta yang ikhlas.

Begitulah sewajarnya cinta kita kepada Allah. Kita mesti memerlukan Allah kerana kita memang mencintaiNya. Jangan kita mencintaiNya hanya pada ketika-ketika kita memerlukanNya.  Itu cinta yang palsu. Cinta yang berfokus pada kepentingan diri bukan kepada Allah,  zat yang mesti kita cintai.

Berapa ramai manusia yang ketika dilanda masalah, susah, gagal, terhimpit, sakit dan miskin, merayu dan merintih kepada Allah. Ketika susah dia memperkemaskan ibadah dan akhlaknya. Panjang doa dan solatnya. Namun sebaik sahaja masalahnya selesai, apa yang dihajati telah tercapai,  dia kembali lalai, kufur dan derhaka. Tuhan diperlukan hanya pada waktu-waktu terdesak sahaja. Apabila senang Tuhan kembali dipinggirkan dan dilupakan. Apakah ini yang dikatakan cinta?

Ibadah orang yang mencintai Allah hanya ketika sedang terdesak sangat rapuh. Apabila Allah memberi apa yang dipohonnya,  dia alpa. Sebaiknya, jika yang dimintanya tidak kunjung tiba dia jadi kecewa, marah dan putus asa. Mengapa Tuhan tidak memperkenankan doa ku? Mengapa setelah lama aku berbuat baik keadaan ku masih begini? Dia seakan mendesak, bahkan memaksa  dan mengugut Tuhan dalam ibadat dan munajatnya.  Luntur dan gugur segala sifat kehambaannya semasa meminta. Hakikatnya dia adalah peminta yang ego. Read the rest of this entry »

 
35 Comments

Posted by on 22 November 2013 in Kemudi Hati

 

Tags: , , ,

SEMUANYA SOAL HATI

cvr soal hati.inddKetika berhias diri di hadapan cermin, Rasulullah s.a.w. menganjurkan kita berdoa: “Ya Allah sempurnakan akhlakku sepertimana Engkau sempurnakan kejadianku.” Secara tidak langsung doa ini mengajar kita bahawa nilai akhlak jauh lebih penting daripada rupa lahir kita.

Ini sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w.: “Allah tidak memandang rupa lahir kamu dan harta kekayaan kamu tetapi Allah memandang hati dan amalan kamu.” (Riwayat Muslim dan Ahmad).

Ini menunjukkan nilai seorang manusia bukan pada wajah lahirnya tetapi pada wajah batinnya.

Ketika manusia jahiliah tenggelam dengan pelbagai kenikmatan dunia, Rasulullah s.a.w. menyampaikan peringatan dan amaran daripada Allah bahawa kehidupan dunia itu tiada apa-apa nilai melainkan mata benda yang menipu daya. Firman Allah yang bermaksud: “Tidaklah kehidupan dunia itu melainkan mata benda yang menipu daya.” (Surah al-Hadid 57:20)

Rasulullah juga memperkukuhkan peringatan itu dengan satu metafora melalui sabdanya yang bermaksud: “Jika kehidupan dunia itu lebih bernilai di sisi Allah melebihi nilai sehelai sayap nyamuk, maka Allah tidak akan memberi minum orang kafir walaupun seteguk air.” (Riwayat Ibn Majah no. 4110)

Hasilnya, orang Islam dapat memanfaatkan kebaikan dunia untuk kebaikan akhirat. Malah dunia itu penting kerana adanya akhirat. Jika semasa orang Islam berasa tertekan dengan kehebatan dan keangkuhan orang kafir yang menindas mereka, Allah memujuk mereka melalui firman-Nya yang bermaksud: “Jangan kamu berasa hina dan jangan kamu berasa takut, kamu adalah tinggi jika kamu beriman.” (Surah Ali ‘Imran 3: 139)

Bahkan Allah menegaskan tidak ada bezanya nilai darjat orang Arab dengan orang ajam (bukan Arab) melainkan taqwa yang dimiliknya. Firman Allah, mafhumnya: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi kamu adalah orang yang bertaqwa.” (Surah al-Hujurat 49: 13)

Oleh sebab itu, Sayidina Bilal yang berkulit hitam, berbibir tebal dan berambut kerinting, tidak berasa hina diri (inferiority complex) kerana Allah dan Rasulullah telah memuliakannya dengan iman dan taqwa. Dengan penuh syukur dia berkata, “Dulu aku hamba, Allah telah bebaskan aku dengan Islam. Dulu aku hina, Allah telah muliakan aku dengan iman.” Read the rest of this entry »

 
24 Comments

Posted by on 17 July 2013 in Buku

 

Tags: , , , ,

MASALAH ITU DIDIKAN ALLAH…

Setiap masalah yang hendak diselesaikan mestilah difokuskan kepada real problem (masalah sebenar) bukan kepada presenting problem (masalah yang zahir). Apabila kita menumpukan kepada real problem ertinya kita sedang berdepan dengan punca masalah yang lebih bersifat dalaman dan ini memaksa kita menyelami soal hati dan perasaan manusia.

Manakala jika kita hanya berlegar-legar di sekitar presenting problem kita hanya terapung di permukaan yakni berdepan dengan akibat sesuatu masalah. Cara kedua ini tidak akan menyelesaikan sesuatu masalah secara tuntas. Mungkin kita berjaya seketika mengubat akibatnya tetapi masalah itu akan berulang lagi kerana punca sebenarnya tidak diatasi. Hendaklah difahami benar-benar maksud saya ini.

Jika kita ingin menyelesaikan sesuatu masalah, terutamanya yang melibatkan soal perhubungan (komunikasi dan interaksi) dengan orang lain kita hendaklah fokuskan langkah-langkah penyelesaiannya kepada ‘lingkungan pengaruh’ kita bukan ‘lingkungan kebimbangan’ kita. Maksud saya, hendaklah kita bertindak pada batas dan keupayaan diri kita sendiri bukan di luar batasan itu.

Hakikatnya, kita hanya mampu mengawal cara berfikir, pertimbangan, keputusan dan tindakan diri kita sendiri bukan fikiran, pertimbangan, keputusan dan tindakan orang lain. Kejayaan mengubah manusia lain bermula dengan kejayaan mengubah diri kita sendiri. Jangan marah kalau orang lain tidak berubah seperti mana kita kehendaki kalau diri kita sendiri juga tidak berubah mengikut apa yang kita kehendaki.

Tegasnya, lihatlah apa yang anda boleh lakukan pada diri sendiri terlebih dahulu untuk menyelesaikan masalah ini kemudian dengan sendirinya pengaruh kita untuk mengubah orang lain akan meningkat.

Untuk berjaya dalam perhubungan sesama manusia kita hendak memahami orang lain terlebih dahulu, barulah orang lain akan memahami kita. ‘First seek to understand than to be understood’ – pertama carilah jalan untuk memahami kemudian barulah kita difahami. Inilah adalah prinsip dalam mana-mana perhubungan. Jika prinsip ini dilanggar, krisis dalam perhubungan akan berlaku. Maksudnya, kita mestilah terlebih dahulu menjadi ‘telinga’ daripada menjadi ‘mulut’.

Dengar, fahami, hayati, simpati dan kalau boleh empati terhadap apa yang selalu diperkatakan oleh orang lain. Jangan terlalu gopoh hendak menyuarakan isi hati, pandangan dan idea kita… nanti kita tidak akan difahami. Tetapi bersabarlah, dengar dahulu apa yang hendak disampaikan oleh orang lain samada yang disuarakan dalam bentuk lisan atau perbuatan. Tidak semestinya mereka benar… tetapi fahamilah kenapa dan mengapa mereka berpendirian begitu.  Read the rest of this entry »

 
39 Comments

Posted by on 3 August 2010 in Kemudi Hati

 

Tags: , , ,