Pandanglah wajah orang yang paling kita sayangi… samada ibu, bapa, suami, isteri, anak-anak atau siapa sahaja. Pasti kita akan berpisah dengannya satu hari nanti. Detik itu pasti datang. Itu janji kita sejak dulu… sanggup datang, sanggup pulang. Kita dan dia pasti berpisah oleh takdir yang dinamakan kematian.
Itulah detik yang paling menyedihkan. Sedih bagi mereka atau kita yang ditinggalkan. Dan lebih sedih bagi kita yang mungkin meninggalkan. Tidak kira siapa yang dahulu, siapa yang kemudian – ditinggalkan atau meninggalkan pasti menggetirkan.
Seorang isteri yang kematian suami… ketika seluruh dan sepenuh hati masih bersamanya. Masih banyak yang perlu diselesaikan – anak-anak, cita-cita dan harapan – tetapi ajal maut datang memutuskan segala dan semua yang kita inginkan. Ya, kita cuma hamba. Pada kita cuma tadbir, pada-Nya segala takdir.
Kekadang masih tak puas bermanja dengan ayah dan ibu… tiba-tiba sahaja mereka dipanggil pergi. Hingga lidah kelu dan hati sayu, tidak ada lagi insan yang boleh panggil ibu. Oh, sedihnya apabila ditinggalkan ayah… insan yang paling kita yakini sangat mencintai kita dan kasihnya yang tidak pernah berbelah, tetapi terpaksa berpisah!
Sekiranya saat ini kita diuji dengan kematian… ditinggalkan oleh yang tersayang. Maka kenangkanlah hidup kekasih Allah, Rasulullah saw. Bukankah baginda telah dididik oleh mehnah paling getir yang bernama kematian? Bukankah ayahnya Abdullah pergi dulu sebelum sempat baginda dilahirkan? Ibunya Aminah menyusul beberapa tahun kemudian.
Tidak sempat bermanja lama dengan datuknya Abdul Mutalib, datuknya pula meninggalkannya. Lalu baginda yang yatim lagi piatu itu dipelihara oleh bapa saudaranya Abu Talib.
Kenangkan zaman kanak-kanak Rasulullah, tanpa ibu-bapa tetapi telah tega menjadi gembala kambing. Padang pasir dan angin kering menjadi sahabatnya. Lukisan alam itulah yang melakarkan jiwa suci dan akal tajamnya hingga mencari-cari makna kehidupan. Tidak sudi dia menjengah jahiliyah. Tidak rela dia dengan maksiat dan dosa. Hatinya berkata, bukan itu kebenaran dan kebahagiaan… lalu dia menyendiri di dalam gua. Jika tidak mampu mengubat, jangan dijangkiti. Lalu baginda lari… menyendiri.
Sejak baginda berkahwin dengan Khadijah, itulah srikandi sejati cintanya. Yang membawa bekal makanan ke gua Hira’. Yang menyelimuti tubuh dinginnya apabila digegar wahyu pertama. Yang memberikan jiwa dan harta untuk dia berdakwah, berjuang apabila digesa oleh surah Mudasthir (orang berselimut) – qum faanzir – bangun dan serulah! Itulah Khadijah kekasih Rasulullah, insan terhampir ketika semuanya meminggir.
Namun tidak lama, di tahun dukacita itu… Khadijah pergi buat selama-lamanya. Baginda kehilangan dorongan – pada jiwa dan harta. Khadijah tiada lagi. Pergi ketika kasih dan cintanya masih didambakan. Sudah hilang bisikan yang memberikannya semangat, kasih sayang, pembelaan dan kemesraan. Baginda berdukacita… Namun, selang hanya beberapa bulan satu kehilangan berlaku lagi. Abu Talib pula pergi. Sedihnya, dia pamit tanpa syahadah.
Tiada lagi perisai yang melindunginya daripada ancaman fizikal kaum Quraisy. Bila-bila masa sahaja pedang, tombak dan panah kaum jahiliah boleh menerjah. Jika dengan kematian Khadijah, baginda kehilangan dorongan. Dengan kematian Abu Talib baginda kehilangan perlindungan. Tanpa dorongan, tanpa perlindungan, Rasul keseorangan untuk meneruskan perjuangan. Read the rest of this entry »





Bagaimana rasa kita bila mulut yang pernah kita suap tiba-tiba menggigit kita? Atau bila seorang yang lemah lembut kononnya datang hendak membantu kita tetapi punya seribu satu rencana rahsia untuk menjatuhkan kita? Atau dia yang begitu memuji memuja bvila berhadapan mata tetapi menikam dengan belati umpatan dan celaan ketika di belakang kita? Atau kita berdepan dengan “pelakon” handalan yang pandai sekali bermuka-muka tetapi penuh dengan strategi dan dendam untuk menghancurkan keperibadian atau karier kita? Jawabnya… JANGAN MARAH!
Pagi Jumaat ini datang seperti biasa. Pintu hari dikuak dan sehari lagi kita mendekati saat kematian yang telah ditentukan itu. Peliknya, hati seakan-akan lupa hakikat itu.
Soal ‘pergeseran’ di kalangan ahli-ahli politik adalah perkara biasa. Namun ia seharusnya terkawal di tahap persaingan sihat dalam amalan demokrasi. Bagi ahli politik yang beragama Islam pula, pergeseran itu tidak boleh sama sekali melanggar prinsip akidah, syariah dan akhlak Islamiah. Malangnya kini pergeseran itu sudah sampai ke tahap ‘terlampau’ sehingga kestabilan negara dan nilai agama mula tercemar. Wajah politik negara sudah tidak harmoni lagi.
Kau mesti mulakan langkah mujahadah ini sekali lagi. Berbekalkan kata pujangga, kebaikan itu kerapkali perlu dimulakan berkali-kali. Tidak ada istilah putus asa dalam mengharap keampunan dan keredhaan Allah. Walaupun berkali-kali mundur dan terbentur, tetapi itu bukan alasan untuk berhenti. Berhenti ertinya mati – mati hati dalam mengharapkan cahaya Ilahi. Hakikatnya itu lebih bahaya daripada matinya jasad yang lahir ini.
“Selamat pendek umur,” saya bergurau.
Minggu lalu saya menerima berita yang mengejutkan. Kematian isteri seorang sahabat lama. Masih dikira muda. Tak dapat saya bayangkan kesedihan sahabat saya itu. Anak-anak masih kecil dan perjalanan seakan masih jauh. Tiba-tiba teman seperjalanan yang sekian lama setia dan bersama “hilang”. Saya resapkan kesedihannya. Saya letakkan diri di tempatnya. Ah, terlalu pedih. rasanya.












