Masih teringat ketika masih kanak-kanak di kampung dahulu. Apabila hujan lebat, kita begitu seronok bermain air. Tidak kira di tepi sungai atau berhampiran tali air. Kita ketawa, gembira dan terjerit-jerit dengan kawan-kawan.
Tetapi tidak lama… ibu akan datang dengan ranting kayu menyuruh kita pulang. Kalau tetap berdegil, kita akan menerima habuan. Apalagi, kita pun menangis. Sewaktu itu kita tertanya-tanya, mengapa ibu menghalang kita berseronok-seronok?
Kini kita telah dewasa, kenangan itu masih basah dalam ingatan. Kita tersenyum. Kenangan itu adalah bukti kasih sayang ibu. Sekarang kita faham, ibu melarang kerana kasih. Ibu merotan kerana sayang. Bukan kerana ibu cemburu, jauh sekali benci apatah lagi untuk mendera. Ibu nampak apa yang kita tidak Nampak. Kita hanya memikirkan suka, ibu memikirkan bahaya. Ya, kerana keprihatinan ibu menjaga kita sewaktu kecil itulah menyebabkan kita masih di sini.
Begitulah dengan ujian-ujian Allah. Ia begitu perit, pahit dan menyakitkan. Kita inginkan kejayaan, Allah berikan kegagalan. Kita inginkan pertemuan, Allah takdirkan perpisahan. Manis yang kita impikan, pahit yang menjadi kenyataan. Mengapa? Jawabnya, itu adalah yang terbaik untuk kita. Ujian Allah umpama ‘rotan ibu’ kepada anaknya yang degil. Ibu merotan kesah kasih sayang, Allah lebih-lebih lagi…kerana kasih sayang Allah jauh lebih tinggi, lebih murni daripada kasih seorang ibu terhadap anaknya.
Sayangnya, kita hamba yang ‘buta’. Kita tidak nampak di sebalik segala keperitan dan kesakitan ujian Allah itu adalah kasih sayang jua. Dahulu kita adalah anak kecil yang tidak memahami di sebalik larangan dan kemarahan ibu. Kini kita adalah hamba yang jahil kerana gagal memahami dan merasai kasih-sayang Allah di sebalik segala ujianNya. Dahulu kita menangis, apabila dipukul ibu. Kini kita ‘memberontak’ dan bertanya, mengapa Tuhan takdirkan kesusahan dan kepedihan ini ke atas diriku? Read the rest of this entry »

Insya-Allah buku terbaru saya sudah siap dicetak untuk diedarkan di Pesta Buku Antarabangsa, Kuala Lumpur 2009 (KLIBF09) nanti. Saya berdoa, semoga para pembaca akan dapat menimba sedikit sebanyak kebaikan daripadanya. Berikut adalah kata Penerbit buku tersebut ketika memperkenalkan buku saya itu. Kepada Allah jua diserahkan segala urusan…












