RSS

Tag Archives: MISKIN JIWA

MISKIN DALAM KEKAYAAN

imagesDalam hidup, lihat dulu apa yang telah kita ada. Syukuri. InsyaAllah, apa yang ada itu akan ditambah oleh Allah. Atau, dengan syukur itu kita akan diberi hati yang tenang. Itulah kekayaan sejati. Mengapa melihat apa yang tiada… lalu hati jadi resah, gelisah dengan sayu. Orang lain kenapa mendapat lebih, sedangkan aku terus-terusan kekurangan? Begitu, gerutu jiwa. Jangan mengenangkan apa yang tidak ada menghilangkan rasa syukur dengan apa yang kita telah ada. Justeru, syukuri apa yang telah ada dan teruslah berusaha untuk memburu apa yang tidak ada. Namun, beringatlah, dalam pemburuan itu, jangan hilang sesuatu  yang lebih berharga. Sesuatu yang tidak ada galang gantinya. Ya, betapa ramai yang memburu kekayaan hilang ketenangan. Memburu kesenangan, hilang kesihatan. Mencari harta, membuang saudara.

Aku perlu mengingatkan diri ku sendiri dan diri orang lain juga. Kuantiti harta jangan cuba menggantikan kualiti jiwa. Kerana kualiti jiwa itu jauh lebih berharga. Nilai diri kita yang hakiki terletak pada sesuatu yang tidak akan dapat dibeli oleh wang dan harta. Itulah iman dan persaudaraan. Iman dan persaudaraan itu lazim berlaziman. Bila hilang salah satunya, maka hilang pula yang kedua. Lalu…apabila kesibukan mencari harta, semakin terasa kehilangan saudara, ketahuilah itulah detik yang sangat berbahaya.  Renggangnya persaudaraan petanda kurangnya iman.  Apa gunanya harta tanpa iman dan persaudaraan? Untuk apa harta itu? Bukankah ia hanya alat untuk memberi ketenangan? Memburu harta tidak salah, tetapi jangan dipinggirkan iman dan persaudaraan dalam pemburuan itu… Nanti, kita bukan lagi memburu harta tetapi kitalah yang diburunya. Waktu itu kitalah yang menjadi mangsa.

Untuk diriku dan dirimu, kutuliskan kesah ini sebagai peringatan: MISKIN DALAM KEKAYAAN   

Kita tidak akan mendapat dua perkara pada satu-satu masa. Apabila kita mendapat sesuatu, maka kita akan kehilangan sesuatu yang lain. Justeru pastikan apa yang kita dapat lebih berharga berbanding apa yang kita hilang. Itulah yang sering dipesankan oleh ahli hikmah. Pesanan tentang kehidupan. Itulah inti permasalahan yang saya bincangkan bersama seorang sahabat lama pada minggu lalu.

 

Sepi Dalam Kesibukan

Sungguh, dia kelihatan berbeza sekali hari itu. Sinar matanya yang dulu bercahaya kini redup. Pakaiannya walaupun daripada jenama yang mahal agak kusut. Rambut di bahagian hadapan kepalanya kian jarang. Hampir botak. Dia memang kelihatan lebih kaya, tetapi kehilangan gaya.

“Aku sibuk sungguh tiga empat tahun kebelakangan ini. Perniagaan menjadi-jadi.  Aku semakin diburu masa,” katanya terus terang.

“Sudah lama kita tidak bertemu,” tingkah saya perlahan.

“Bukan kau seorang sahaja, ramai rakan baik aku yang lain pun tidak dapat aku temui. Sibuk.”

“Kau okey?” tanya saya pendek.

Dia diam. Diam yang panjang.

“Tidak tahulah, okey ke tidak.”

Dengan jawapan itu saya tahu dia keliru. Mungkin terlalu keliru sekarang.

“Mesti okey. Rumah-rumah, kereta-kereta dan harta yang kau kumpul sekarang sudah cukup untuk diwariskan kepada anak-anak,” ujar saya.

“Ikut aku belum lagi. Aku mahu cucu-cucu aku juga menikmati harta peninggalanku. Aku mesti berniaga lebih gigih lagi.”

“Baguslah, kita bekerja atau berniaga seolah-olah akan hidup seribu tahun lagi,” dorong saya.

“Tetapi sejak akhir-akhir ini aku kesepian.” Read the rest of this entry »

 
12 Comments

Posted by on 3 October 2014 in Uncategorized

 

Tags: , , ,