RSS

Tag Archives: muhasabah

APA YANG ANDA KATAKAN TERHADAP DIRI SENDIRI JAUH LEBIH PENTING DARIPADA APA YANG ORANG LAIN KATAKAN TERHADAP ANDA. OLEH ITU, KATAKAN SESUATU YANG POSITIF KEPADA DIRI SELALU, ITU PETANDA ANDA TELAH BERSANGKA BAIK TERHADAP DIRI SENDIRI…

INGATLAH, BERSANGKA BAIK TERHADAP DIRI SENDIRI ADALAH MODAL UNTUK BERSANGKA BAIK KEPADA ORANG LAIN!

 

Syarat utama bagi kejayaan dalam sesuatu komunikasi (perhubungan) ialah kepercayaan. Yang dimaksudkan dengan kepercayaan dalam perhubungan ialah rasa percaya seseorang terhadap orang yang dihubungi – jika perhubungan itu keluar. Atau kepercayaan seseorang terhadap dirinya sendiri – jika perhubungan itu ke dalam diri sendiri.

 

Sekiranya kepercayaan seseorang itu tinggi terhadap dirinya sendiri, maka ia akan berjaya dalam komunikasi dengan dirinya sendiri.  Sebaliknya, jika kepercayaan seseorang sudah terjejas, apalagi jika sudah pupus, maka sukarlah komunikasi berlaku samada secara dalaman atau luaran.

 

Komunikasi dalaman, sangat berkait dengan kepercayaan terhadap diri sendiri. Sedangkan komunikasi luaran berkait dengan kepercayaan terhadap orang lain. Kita akan gagal berkomunikasi dengan diri sendiri jika kepercayaan terhadap diri sendiri menjadi lemah. Dan begitu juga, kita akan gagal berkomunikasi dengan orang lain jika kita tidak ada sifat saling percaya-mempercayai. Read the rest of this entry »

 
40 Komen

Posted by di 15 Mac 2011 in Kemudi Hati

 

Label: , ,

MUHASABAH RAMADAN…

Alhamdulillah dapat juga saya menjenguk dan memasukan entri baru dalam blog ini. Saya hanya memohon kekuatan dari Allah berkat doa saudara-saudara untuk mampu melaksanakan ibadah puasa ini semakin baik dari hari ke hari.

Seperti bulan-bulan puasa sebelumnya, ibadah yang saya jalani ini penuh mujahadah. Selain daripada mengawal mazmumah dan fikiran, saya juga berdepan dengan soal kesihatan. Tetapi alhamdulillah… setakat ini masih terus melangkah walaupun sedikit payah.

Susunan jadual hidup yang sedikit berubah menyebabkan sukar juga meluangkan masa untuk menulis, kecuali menulis untuk Solusi dan buku akan datang (mengenai penghayatan nilai dalam hidup dan berorganisasi). Namun saya yakin, fasa kedua Ramadan yang sedang kita hadapi ini akan memberi satu suntikan baru untuk lebih gagah. Saya doakan semua pembaca diberi kekuatan lahiriah dan jiwa untuk membina taqwa dengan puasa ini. Mudah-mudahan kita berjaya membebas kongkongan kehendak jasad tahap rendah untuk terbang ke daerah tinggi tempat roh dan jiwa yang suci bersemadi.

Buat sasahabat-sahabat terimalah bingkisan ini seadanya: MUHASABAH RAMADAN


Ramadhan datang dan pergi. Apakah kembara hidup kita terus dinaungi oleh teduh keberkatannya? Tahun demi tahun, apakah kita semakin menghampiri takwa yang menjadi tujuannya? Atau ia terus memecut, berlalu… meninggalkan kita yang masih bertatih mengejar kemuliaannya. Manalah tahu nyawa terhenti dan Ramadhan terus tidak sempat kita cecah walau secebis rahmat, keberkatan, maghfirah, apatah lagi Jannah yang menjadi tagihannya.

“Apa perubahan yang kita nak buat tahun ni?” tanya isteri.
Saya termenung, banyak… tapi mampu kah.
“Kita teruskan berbuka bersama di masjid. Kemudian menunggu Isyak, baca Quran dan solat Terawih.”
“Perubahan yang sama sahaja,” kata isteri seakan merungut.
“Itu pun payah kita buat kan?” tingkah saya.

Teringat betapa ada ‘protes-protes’ yang terpaksa saya hadapi sewaktu melaksanakan program perubahan itu dua tahun lalu. Semua pihak terasa kehilangan rutin atau kebiasaan masing-masing dengan pelaksanaan program itu. Along, tak mahu berterusan di mesjid (dari sebelum maghrib hingga selepas terawih) kerana kehilangan rutinnya, nak ‘relaks-relaks’ selepas solat maghrib. Angah pula akan terlepas berbuka dengan makanan kegemarannya – mee goreng mamak, tahu sumbat dan makanan yang pedas-pedas kegemarannya. Makan di masjid, menurut sahaja resipi yang disediakan. Begitu juga anak-anak yang lain, ada sahaja yang terpaksa ‘dikorbankan’ dengan pelaksanaan program sebelum maghrib hingga selesai solat terawih di rumah Allah.

“Awak masih ingat waktu kita mula berubah… daripada berbuka dengan makan nasi kepada berbuka hanya dengan air dan kurma?”
Isteri tersenyum. Sudah lapan tahun tradisi berbuka dengan kurma dan air kami pertahankan. Mulanya susah juga, tapi lama kelamaan dah jadi kebiasaan. Perlahan-perlahan semuanya sudah terbiasa.
“Saya penat hanya mengubah rutin-rutin lahiriah…” keluh isteri.
“Awak rasa macam mana?”
“Saya nak sesuatu yang lebih berkesan… perubahan dalaman. Usia kita semakin senja, takut kita pergi tanpa mencapai tujuan.”
Saya akur. Kebimbangannya kebimbangan saya juga. Apakah puasa kita mencapai tujuan – bertakwa?

“Amal biar sedikit tapi berkekalan. Perubahan biar sederhana, tapi berkesan.”
“Apakah puasa kita telah mencapai takwa?”
“Lihat sahaja tanda-tanda orang bertakwa, apakah sudah ada pada diri kita?”
Sampai di situ, isteri saya terdiam. Bukan mudah mengubah hal-hal dalaman. Kalau hal-hal luaran pun payah untuk diubah.
“Orang bertakwa… mengawal marah.”
“Orang bertakwa… memberi dalam susah dan senang.”
“Orang bertakwa … jika terlanjur melakukan dosa, segera mengingati Allah dan bertaubat kepada-Nya.”
“Orang bertakwa… seorang yang pemaaf.”
Pengertian itu saya sebut berulang-ulang. Mengulang-ulang apa yang telah Allah tegaskan di dalam Al Quran.

Ah, jauhnya Ramadhan daripada kita bila diukur pada hasilnya. Saya masih gagal mengawal marah pada saat-saat yang kritikal. Padahnya, sewaktu itu terasa kita patut ‘melepaskan’ marah, sedangkan orang bertaqwa sentiasa mengawalnya. Pemaaf? Ya Allah! belum lagi. Kadang-kadang hanya kata-kata memberi maaf, tetapi rasa di dalam dada masih menyimpannya.
“Perubahan dalaman ni kita mulakan dalam diri masing-masing. Kita hanya boleh pesan memesan sahaja.”

Dulu di kampung, Ramadhan disambut penuh meriah. Ketika zaman kanak-kanak. Berbuka di surau bersama teman dan kemudian menunggu moreh sambil bermain kejar-kejar. Ketika itu fikiran kanak-kanak kita hanya dapat menjangkau – puasa tak boleh makan-minum, buka, bersahur, ada solat terawih, baca Quran dan kemudian hari raya! Alangkah indahnya. Tapi tahun demi tahun berlalu, kita digamit usia, pengertian makin mendalam… Ramadan bukan lagi tradisi yang datang pergi tanpa isi. Kita diterjah pertanyaan, sampai bila rutin itu perlu berlalu tanpa berkesan pada jiwa?

Dulu, ketika Ramadhan datang, badan masih bertenaga, namun ilmu hanya setakat di permukaan… puasa hanya pada sah dan batal. Kini Ramadan datang, ilmu mula menyelam, namun tenaga semakin kurang. Kesihatan mula terjejas. Ingin bertindak, tapi terbatas. Ya, Allah… bagaimana Ramadhan ku kali ini?
“Buat apa tu bang?” tegur isteri, memintas lamunan saya.
“Tak, bila awak sebut-sebut tentang hal-hal dalaman tu, memaksa saya merenung dalam-dalam.”

Di luar bilik, anak-anak ketawa dengan gurau sendanya. Mereka belum mengerti perlumbaan usia dan amal. Di dalam kami berdua seakan-akan menangisi Ramadhan kami yang hilang… Sambil menunggu Ramadhan yang akan datang. Sempatkah?
PADA RAMADAN INI…

Ramadan ini akan pergi
Namun yang pergi hanya giliran purnama
Bukan rasa dan maknanya
Semuga semuanya masih… di jiwa
yang sentiasa merindui
barakah dan maghfirahnya

(Apakah roh Ramadan ini
akan terus menerangi
… bulan-bulan seterusnya?)

Nanti Syawal bertamu jua
Bersama wajah seindah fitrah
Tasbih, tahmid dan takbir pun diucapkan
Meraikan satu kemenangan
di satu peperangan…
di dalam diri

(Apakah kita berjaya?
atau sekadar menumpang gembira…
di pinggiran kebesaran-Nya?)

Ramadan dan Syawal akan pergi
silih berganti masa
Dan kita bagaimana?
Masih di pelabuhan alpa?
Masih di dermaga dosa?
Dan bahtera kita terus kelelahan
..dihempas ombak keresahan

(Akan tiba saatnya
Ketika Ramadan dan Syawal datang jua
Tapi kita telah tiada…
untuk menyambutnya!)

 
37 Komen

Posted by di 23 Ogos 2010 in Kemudi Hati

 

Label: , , ,

MUHASABAH DI SATU MALAM…

85660565Malam ini aku seolah-olah kembara dalam satu perjalanan yang sunyi. Terlalu sunyi, sehingga degup hati pun dapat dirasakan. Nafas dihela perlahan-lahan. Mencari makna pencapaian dan kejayaan. Apakah aku telah berjaya?

Kata, bijak pandai: Ini soal yang tidak relevan. Justeru menurut mereka, orang yang berjaya tidak sempat bertanya apakah aku telah berjaya seperti mana orang yang bahagia tidak akan bertanya apakah aku bahagia?

Pedulikan kajian dan ungkapan sarjana. Aku kendalikan hidup ku sendiri dan bebas memberi erti dan makna tanpa terikat dengan tesis dan hipotesis. Aku bebas menjadi raja pada diri sendiri selagi terus tunduk sebagai hamba Ilahi. Di mana ukuran kejayaan ku? Aku gagal atau berjaya?

Sering dibisikkan kepada hati, kejayaan itu apabila tercapai tujuan hakiki dalam hidup. Lalu apakah tujuan hidup itu? Ini soalan asas yang sejak dahulu telah diberitahu bahawa tujuan hidup adalah menjadi hamba kepada Allah – IBADAH.

Ah, mudahnya. Tetapi tidak semudah itu apabila istilah ibadah itu hendak ‘ditulis’ dalam kehidupan. Sering sekali tujuan dibayangi keperluan, hingga alat bertukar menjadi matlamat bila memburu nikmat hingga terlupa Pemberi nikmat. Acapkali keperluan hidup (makan, minum, kenderaan, rumah, harta) bertukar menjadi TUJUAN hidup.

Padahal, tujuan itulah yang pertama dan utama. Keperluan itu hanya perkara kedua yang datang selepasnya. Tujuan itu mengabdikan diri kepada Allah penuh seluruh. Manakala makanan, pakaian, kediaman, kenderaan dan harta serta dunia segalanya hanya keperluan hidup. Tujuan itu ialah rasa kehambaan – takut, cinta, harap, taat – seorang hamba kepada Allah. Keperluan itu ialah alat mencapai tujuan. Tujuan itu letaknya di hati. Manakala keperluan itu harus di letakkan di tangan. Apakah hatiku sarat dengan TUJUAN? Atau alpa hanya memburu membanyakkan keperluan di tangan?   Read the rest of this entry »

 
19 Komen

Posted by di 26 Mei 2009 in Kemudi Hati

 

Label: , , , ,

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,191 other followers