RSS

Tag Archives: mujahadah

MAHAR SEBUAH SYURGA

Musuh perkara yang lebih penting ialah perkara yang penting. Kita mesti belajar ‘mengorbankan’ sesuatu yang berharga untuk mendapat sesuatu yang lain, yang lebih berharga. Begitu ditakdirkan oleh Allah. Oleh hukum sunnatullah. Di persimpangan ini kita mohon hidayah, biarlah suluhan hati kita dan pertimbangan akal ini dipandu oleh Allah. Jangan sampai kita tersalah pilih.

Perjalanan malam dan melewati dinihari dari Segamat ke Kuala Lumpur, membulatkan tekad di hati saya untuk serius dan fokus pada penulisan buku. Dan untuk itu, saya perlu ‘mengorbankan’ masa untuk memberi kuliah dan berceramah. Ceramah hanya terhad kepada khalayak yang tertentu , dan buat masa yang tertentu juga. Tetapi buku, punya khalayak yang lebih ramai dan boleh dimanfaatkan untuk masa yang panjang.

Saya kasihan melihat pembantu saya menahan rasa mengantuk membawa saya ke sana ke mari untuk mengisi program ceramah. Walaupun kekadang makannya di sukat (agar tidak mengantuk), minum dari pelbagai jenama minuman bertenaga… namun masakan kita boleh melawan fitrah yang keletihan bila tenaga digunakan secara berlebihan. Puas saya mengurut belakang dan leher, berbual dari topik ke topik, kekadang sama-sama bernasyid atau mendendangkan Asmaul Husna… namun mengantuk menyerang jua.

Jadi, cukuplah… biarlah saya berpada-pada. Saya ingin menumpukan dakwah dan tarbiah melalui tulisan dalam buku-buku, artikel dan blog. Mudah-mudahan dengan ini dakwah akan terus tersebar walaupun tenaga ‘lima puluh’ ini sudah tidak ampuh. Saya berdoa, semoga keputusan untuk ‘mengurangkan’ aktiviti ceramah dan sering keluar kawasan untuk berdialog, berforum dan sebagainya ini direstui Allah. Mudah-mudahan masa yang terluang nanti dapat digunakan untuk lebih bermuhasabah diri, menambahkan ibadah khusus dan menulis… dan menulis.

Untuk sahabat dan saudara/i pengunjung blog Gentarasa… marilah sama-sama kita mengambil peringatan daripada tulisan ini:

MAHAR SEBUAH SYURGA.

Dalam hidup, kita sentiasa berdepan dengan dua perkara. Pertama, perkara yang perlu kita lakukan. Kedua, perkara yang suka kita lakukan. Sudah menjadi “sunnatullah”, kedua-dua perkara itu saling bertentangan antara satu sama lain. Biasanya perkara yang perlu kita lakukan adalah perkara yang tidak suka kita lakukan. Dan perkara yang kita suka lakukan adalah perkara yang tidak perlu kita lakukan.

Untuk berjaya dalam hidup, kita mesti lakukan perkara yang perlu kita buat walaupun kita tidak suka melakukannya. Tidak ada pilihan, paksa diri untuk melakukannya! Lawan godaan dan rangsangan yang menggamit hati kita untuk melakukan perkara yang suka kita lakukan.

Dalam hidup, untuk berjaya dan bahagia kita perlu melakukan perubahan. Kita perlu keluar daripada “zon selesa” menuju “zon mencabar” kerana di zon yang mencabar itulah letaknya kemajuan, perkembangan dan peningkatan dalam kehidupan kita. Zon selesa ialah keadaan yang kita berada sekarang, sementara zon mencabar ialah keadaan yang kita inginkan pada masa depan.

Untuk mencapai apa yang kita inginkan, kita mesti melakukan perubahan. Kita perlu lebih berusaha, menambah ilmu dan berani melakukan langkah-langkah baru dalam kehidupan. Ringkasnya, kita perlu berubah. Tetapi perubahan itu “awkward”– yakni canggung, kekok dan tidak selesa sifatnya.

Oleh sebab itulah ramai yang tidak mahu berubah. Mereka ingin terus selesa di zon selesa walaupun terpaksa menerima nasib atau menanggung keadaan yang sama. Kesannya? Mereka terus gagal, hina, miskin, lemah atau jahil kerana enggan berubah.

Berlakulah apa yang sering diungkapkan:

“Orang yang berjaya ialah orang yang memaksa dirinya berubah manakala orang yang gagal berubah hanya apabila terpaksa!”

Hidup ini adalah perubahan. Kata bijak pandai, yang tidak berubah hanyalah perubahan.  Manusia tidak akan mampu menahan perubahan. Ia mesti berubah, atau dipaksa berubah. Mereka yang berubah dengan rela akan berjaya. Manakala yang berubah dengan terpaksa akan gagal. Read the rest of this entry »

 
37 Komen

Posted by di 4 Julai 2011 in Kemudi Hati

 

Label: , , ,

DI MANA KETENANGAN?

Kata pujangga, hidup dimulakan dengan tangisan, dicelahi oleh tangisan dan diakhiri oleh tangisan. Maksudnya hidup ini penuh dengan masalah, kesukaran dan kepahitan. Lihatlah betapa seorang bayi dilahirkan ke dunia dengan tangisan, apabila dewasa nanti hidupnya akan dicelahi oleh tangisan dan akhirnya dia akan mati lalu dihantar ke kubur dengan tangisan juga.

 

Mereka yang pesimis dengan hidup sering mengatakan bahawa hidup hanyalah untuk menyelesaikan masalah (life is to solve problems). Sebaik selesai satu masalah, masalah baru akan menjelama. Tidak lebih daripada itu. Malah ada yang lebih pesimis lagi dengan mengatakan hidup hanyalah untuk menderita!

 

Itu bukan sikap seorang muslim. Jika kita mengutuk hidup bererti kita mengutuk Penciptanya (Allah). Sedangkan Allah tidak menjadikan hidup ini untuk menderita. Maha Suci Allah, Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.  Hakikatnya, kita diciptakan untuk menikmatinya dan kemudian pulang ke akhirat untuk merasai kenikmatan yang abadi. Tetapi kita mesti berjuang untuk itu. Jadi, hidup sebenarnya untuk berjuang, bukan untuk menderita. Berjuang untuk menikmati kebahagian yang sementara demi mencapai kebahagian yang abadi!

 

Hidup di dunia ini penting kerana adanya akhirat. Justeru, kita mesti memanfaatkan kehidupan di dunia sebagai jambatan kebahagiaan akhirat.  Hukama ada berpesan, dunia diciptakan untuk manusia, manusia dicipta untuk akhirat. Soalnya, bagaimana memanfaatkan kehidupan dunia ini untuk akhirat? Apakah yang perlu kita cari dan perjuangan dalam kehidupan yang sementara ini?

 

Dalam hidup yang sementara ini kita dituntut mencari hati yang sejahtera (qalbun salim). Inilah kualiti hidup yang perlu dicari dan dinikmati. Dan ini jugalah ‘syurga dunia’ sebelum syurga akhirat. Malangnya ramai yang pentingkan kuantiti harta berbanding kualiti jiwa. Siang malam, manusia bertungkus-lumus menumpuk harta tanpa memperdulikan kesucian jiwa. Rumah semakin besar tetapi jiwa semakin sempit. Harta semakin melimpah tetapi hati semakin sakit. Read the rest of this entry »

 
43 Komen

Posted by di 29 Mac 2011 in Tarbiyah

 

Label: , , ,

LAWAN HAWA NAFSUMU!

LAWAN NAFSU MU!

Bagaimana keadaan kita jika terlihat seekor lipan di hujung kaki tetapi kemudian terpandang seekor harimau tidak berapa jauh daripada kita? Apakah kita masih memikirkan bahaya lipan atau bahaya harimau. Ya, tentu sahaja kita akan berikhtiar untuk menyelamatkan diri daripada bahaya harimau. Walaupun lipan dekat, tetapi gigitannya tidaklah seganas cengkaman harimau. Begitulah perumpamaan antara bahaya nafsu dengan bahaya-bahaya yang lain. Nafsu akan menyebabkan kita lebih rasa menderita. Bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.

Malangnya, hal yang sepenting itu tidak dititik-beratkan. Kejahatan hawa nafsu, sifat-sifat dan kaedah melawannya hampir tidak pernah dibicarakan. Padahal, nafsu itulah angkara segala kejahatan yang kita deritai kini. Sebut sahaja, apa kejahatannya, pasti dalangnya adalah hawa nafsu.

Kita sibuk memperketat kawalan, disiplin dan undang-undang tetapi membiarkan puncanya berkembang subur dan membiak. Mampukah pagar yang rapuh mengawal binatang buas yang bilangannya kian banyak dan tenaganya semakin kuat? Begitulah bandingannya undang-undang ciptaan manusia dengan kejahatan hawa nafsu. Read the rest of this entry »

 
58 Komen

Posted by di 20 Oktober 2010 in Tarbiyah

 

Label: , , , ,

MENGAPA SUKAR UNTUK MENCINTAINYA?

Mengapa begitu sukar mencintai Allah? Ya, benar. Memang sukar mencintai Allah. Walaupun kita tahu bahawa Dialah yang sewajarnya kita cintai. Budi-Nya, kasih-sayang-Nya, nikmat-Nya terlalu banyak untuk dimungkiri. Segala kebaikan Allah yang dilimpahkan-Nya ke atas kita melebihi kebaikan manusia. Sekalipun manusia itulah yang paling baik dengan kita.

Hatta kasih ibu yang sejati itupun hanya ‘sekelumit’ jika hendak dibandingkan dengan kasih Allah yang melangit. Ya, sekali lagi kita bertanya kepada hati kita… kenapa sukar benar mencintai-Nya? Walaupun fikiran kita mengiyakannya, iaitu lojik dan patut kita mencintai Allah. Tetapi hati kita masih berat, masih sukar merasainya.

Mengapa hati sedegil itu? Untuk mengetahui kenapa, mari kita bandingkan hati kita dengan fizikal kita. Dalam keadaan badan sihat, kita boleh makan dengan berselera sekali. Hadapkan ayam goreng, asam pedas, tomyam atau apa sahaja masakan yang enak-enak, tentu mulut kita dapat menikmatinya dengan lazat.

Tetapi apa kata kalau badan kita tiba-tiba jatuh sakit? Demam selsema menimpa. Tekak kita jadi pahit, selera kita jadi sempit. Ketika itu, hidangkanlah makanan selazat manapun, insya-Allah mulut kita akan menolaknya. Yang manis terasa pahit. Segala-galanya bertukar menjadi hambar, kelat dan meloyakan.

Kenapa jadi begitu? Apakah makanan itu yang berubah rasa atau mulut kita yang berubah selera? Tidak, makanan tetap sedap. Tetapi bila badan kita sakit, selera kita akan pahit. Begitulah hati kita apabila tidak mahu mencintai Allah. Bukan kerana cinta Allah itu tidak agung, tidak hebat, tidak indah tetapi hati kita yang sakit.

Hati yang sakit tidak akan dapat menikmati keindahan cinta Allah seperti badan yang sakit tidak dapat menikmati kelazatan makanan. Jika perbandingan ini dapat diterima, maka kita boleh mengukur tahap ‘kesihatan’ hati kita.

Rupa-rupanya dalam kehidupan ini ramai manusia (termasuk kita) yang ‘sakit’ hati. Bila kita tidak dapat merasai cinta Allah, sebaliknya lebih cinta selain Allah, maka itulah tandanya hati kita sedang menderita kesakitan. Malah ‘sakit’ hati ini lebih buruk akibatnya daripada sakit fizikal.

Jika sakit fizikal akan menyebabkan kita menderita di dunia, sakit hati akibat gagal mencintai Allah akan menyebabkan kita menderita di dunia dan menderita di akhirat. Jika sakit fizikal berakhir dengan kematian, tetapi ‘sakit’ hati akibat lebih parah. Kita akan menderita selama-lamanya di akhirat.  Read the rest of this entry »

 
56 Komen

Posted by di 27 Jun 2010 in Kemudi Hati

 

Label: , , ,

OBSESI DIRI, RITUAL DAN MUJAHADAH

INSIDEN 1 :

Saya sering ditanya, “mengapa orang yang solat masih melakukan kejahatan? ” Saya jawab, “kerana solatnya tidak berkesan.”

Kemudian saya ditanya lagi, “mana lebih baik solat yang tidak berkesan atau tidak solat langsung?” Saya menjawab, “soalan itu tidak tepat.”  “Apa yang tepat?” tanyanya semula.

“Yang tepat ialah mana yang lebih buruk, solat yang tidak berkesan atau tidak solat langsung.” Langsung tidak solat adalah lebih buruk daripada solat tidak berkesan. Sekurang-kurang dengan mula solat, kita telah menemp[uh satu jalan untuk menyempurnakannya.

INSIDEN 2:

Ada yang bertanya, “mengapa ada orang yang mudah percaya cerita-cerita yang ghaib di luar logik fikiran yang rasional.”

Jawab saya, “orang percaya kepada pembawa cerita, bukan kepada ceritanya.”

“Boleh percayakah kepada pembawa cerita?” tanyanya lagi.

“Lihat peribadinya. Jika berita yang dibertahu oleh orang yang memang terkenal kejujurannya.”

“Seperti Rasulullah saw?”

Saya  menggangguk.

“Kalau orang lain?”

“Lihat nas Quran dan hadisnya.”

“Tapi kalau kita tidak ada ilmu tentang nas dan hadis bagaimana? Nak terima atau tidak cerita ghaib itu?”

“Itu bukan soalannya.”

“Soalan apa?”

“Kita mesti dan wajib belajar tentang  Al Quran dan hadis, bukan berfikir tentang terima atau tidak cerita ghaib itu.”

“Mengapa?”

“Kenal kebenaran dulu, barulah kita boleh mengenal siapa yang cakap benar! Obsesslah pada ilmu, bukan pada obsess pada peribadi! “

INSIDEN 3:

“Bagaimana cara tercepat untuk jadi baik?”

“Tidak ada jalan pintas. Bukan senang nak senang.”

“Susah sangatkah nak jadi baik?”

“Susah nak jadi baik. Tetapi lebih senang daripada nak jadi jahat.”

“Macam mana?”

“Perlu lawan hawa nafsu!”

“Susah lawan nafsu. Kena lawan diri sendiri.”

” Ya begitulah. Membina mengambil masa, meruntuh sekelipa mata.”

“Maksudnya?”

“Jadi baik, perlu mujhadah. Mujahadah itu  pahit kerana syurga itu manis!”

Ya, begitulah saudara-saudari tiga insiden yang saya paparkan. Sebagai pencerahan mari kita lihat tiga kisah pendek sebagai percerahan kepada persoalan yang saya kemukakan itu. Semoga Allah berkati penulisan dan pembacaan kita… Amin.

1. RITUAL TANPA SPIRITUAL

Seorang ketua sami tinggal di dalam sebuah kuil besar dengan seekor kucing kesayangannya. Kedua-duanya sangat akrab. Ke mana sahaja ketua sami pergi, sikucing akan ikut bersama. Keadaan ini menimbulkan masalah pada ketua sami, terutamanya apabila dia hendak menyembah berhala besar di tengah-tengah kuil tersebut. Konsentrasi ketua sami terganggu apabila kucing kesayangannya itu mengelus-ngeluskan badan dan kepala ke badan dan tangannya.  Read the rest of this entry »

 
32 Komen

Posted by di 19 Mei 2010 in Kemudi Hati, Uncategorized

 

Label: , , , , ,

BILA SEJADAH YANG SUJUD…

Selepas solat Isyak, tiba-tiba saya diminta mengulas satu “peristiwa aneh” yang berlaku sebelum masuk waktu solat asar petang tadi. Dipanggil mendadak begitu kadangkala ada baiknya juga. Kita akan bercakap apa yang terlintas di hati sahaja.

Tanpa boleh merancang atau mengatur ayat dan bahasa, kita akan lebih utamakan “apa” yang hendak disampaikan berbanding “bagaimana” hendak menyampaikannya.

Peristiwa aneh yang dimaksudkan itu adalah sejadah-sejadah di surau kami semuanya dalam keadaan tegak berdiri. Ada antara ahli kariah yang mengatakan sejadah itu seolah-olah sedang sujud. Ada pula yang mengatakan sedang rukuk dan pelbagai tafsiran lagi. Daripada sejadah di mihrab imam di hadapan sehinggalah ke sejadah di barisan (saf) kelima di belakangnya semuanya dalam keadaan begitu. Tidak sangka kejadian aneh yang telah beberapa kali dilaporkan di dada-dada akhbar berlaku pula di surau kami.

Dan sekarang secara tiba-tiba, saya diminta oleh Imam kami mengulas tentang itu. “Supaya, kita semua sekata dalam mentafsir dan bertindak. Ini penting untuk kesatuan jemaah di sini,” kata Imam. Betul juga, bisik hati saya. Selalunya peristiwa aneh begitu akan mengundang pelbagai tanggapan mengikut persfektif dan persepsi masing-masing. Yang percaya akan jadi terlalu obses, manakala yang tidak percaya akan terus memperlecehkannya. Jika salah cara menangani perbezaan itu, tidak mustahil ia boleh menimbulkan perpecahan dikalangan ahli kariah. Read the rest of this entry »

 
35 Komen

Posted by di 9 Disember 2009 in Semasa

 

Label: , , , , ,

KEMBARA MATA HATI (1)… (Catatan perjalanan mujahadah dalam Umrah & Ziarah)

84751876Alhamdulillah, syukur, saya telah selamat kembali ke tanah air semula setelah lebih kurang dua minggu di Tanah Suci melaksanakan umrah dan ziarah. Dan di kesempatan ini saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sama-sama mendoakan saya.

Insya-Allah, segala catatan “Kembara Mata Hati” ini akan disiapkan sedikit demi sedikit. Mudah-mudahan dapat juga dikongsi bersama pengunjung blog ini.  Saya cuba amalkan apa yang dikatakan oleh pakar-pakar pendidikan bahawa 95% ilmu terserap ke dalam diri apabila disampaikan.

Maksudnya, belajarlah dengan niat hendak “mengajar” orang lain. Ini juga yang dimaksudkan oleh hadis, sampaikan daripada ku walaupun sepotong ayat. Buat masa ini saya masih berkongsi rasa bersama keluarga sendiri, meneliti kembali catatan-catatan yang kekadang jelas dan samar akibat dilambung oleh pelbagai rasa, suasana dan keadaan.

Saya memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemaskinikan blog ini. Saya cuba-cuba juga mencari waktu dan kesempatan untuk melakukannya semasa berada di Makkah, Madinah mahupun di Kaherah, namun tidak kesampaian. Akur dengan keterbatasan itu, saya mencari hikmah… ya, mungkin saya ditakdirkan untuk fokus semata-mata kepada Allah. Berperang dengan hati sendiri, berhempas pulas di jalan mujahadah. Bukan lupa tetapi belajar melupakan demi mencari satu peringatan!

Sudah menjadi kebiasaan, sebelum melaksanakan sesuatu yang dianggap “besar” saya sering meminta panduan daripada orang “tua-tua” dahulu – tidak kiralah sama ada dia itu “tua” pengalaman, ilmu, akhlak atau usia. Bagaimana seharusnya adab, sikap, rasa hati dan perlakuan saya sebagai tetamu Allah dan Rasul-Nya nanti.

Saya ingin berguru dan mendapat ilmu semaksimumnya daripada mereka. Mudah-mudahan hati dan diri saya terpimpin. Pengalaman ketika menulis beberapa buah buku dan pengalaman menguruskan kerja  dan majlis pernikahan anak sulung saya lebih kurang setahun yang lalu telah banyak mengajar saya betapa panduan daripada orang-orang tua itu sangat berguna untuk mendapat keselamatan, ketenangan dan keberkatan (insya-Allah). Oleh kerana itu saya tidak malu-malu bertanya, kerana ilmu yang ditimba daripada pengalaman tentunya lebih dapat dihayati berbanding apa yang diperolehi daripada pembacaan.

Nama-nama “guru-guru” rujukan saya dalam umrah ini terlalu personal untuk dinyatakan satu persatu. Tetapi sudi apalah kiranya mendengar kata nasihat mereka (yang kekadang pendek atau panjang). Inilah antara panduan-panduan yang saya terima daripada mereka: Read the rest of this entry »

 
23 Komen

Posted by di 17 Jun 2009 in Iktibar Kisah

 

Label: , , , ,

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,219 other followers