RSS

Tag Archives: MUSLIM

KESAN NIKMAT ITU PERLIHATKANLAH!

Apa yang ada di dalam hati dan fikiran akan terserlah melalui lisan, penampilan dan perbuatan. Jika hati dan fikiran baik, maka baiklah segala-galanya, dan begitulah juga jika sebaliknya.

Justeru, Sayidina Uthman Ibn Affan, seorang sahabat yang utama telah menegaskan,”Tidaklah seseorang merahsiakan sesuatu, kecuali Allah akan mengungkapnya melalui raut wajah dan lisannya.”

Maksudnya, air muka dan perkataan kita adalah cerminan apa yang ada di dalam hati kita.

Jika iman yang tersemat di dalam dada kukuh, maka indahlah wajah. Jika ilmu yang terpasak di dalam minda mantap, maka lancar dan sopan jualah pertuturan. Imam Ibnul Jauzi berkata,”Para salafussoleh menilai seorang hamba yang soleh itu dari penampilan dan sikapnya, bukan kerana ilmunya. Ini kerana buah daripada ilmu yang benar ialah penampilan dan sikap yang baik.”

Islam sangat mementingkan nilai estetika. Kamal (sempurna), Jalal (keagungan) dan Jamal (keindahan) adalah antara sifat-sifat kebesaran Allah. Kita sebagai hambaNya, mesti berusaha agar sifat-sifat kebesaran itu diyakini bukan sahaja oleh diri sendiri tetapi juga oleh orang lain. Bagaimanakah caranya?

Paparkanlah kesan nikmat dari Allah yang Maha Agung itu melalui diri kita. Tampilkanlah karakter atau keperibadian yang cantik, indah dan kemas menggunakan seluruh nikmat Allah yang telah diberikannya kepada diri kita. Jadikanlah diri kita sebagai bukti keindahan ciptaan Allah. Semoga dengan itu diri kita dan manusia lain akan merasai betapa Pencipta itu jauh lebih indah daripada segala ciptaan-Nya.    Read the rest of this entry »

 
29 Komen

Posted by di 3 Julai 2012 in Uncategorized

 

Label: , , ,

MENGAPA MEREKA LEBIH BAIK?

Usai solat Subuh Jumaat sering menghadiahkan detik terbaik untuk bermuhasabah. Kita undur selangkah ke belakang, untuk melonjak beberapa langkah ke hadapan. Merenung kesilapan dan kesalahan silam, betapa dungunya dan terburu-burunya sikap kita yang selalunya sangat merugikan.

Akibatnya, sering kita kehilangan sahabat terapat. Renggang dengan orang tersayang. Dan yang paling tragis kehilangan rasa hati yang lembut, halus dan beradab.

Namun, segera teringat kata-kata pengukuhan yang bersemi dalam hati (terutamanya akhir-akhir ini), “sebaik sahaja mengambil pelajaran daripada masa silam… lupakan dan pandanglah masa depan – yesterday ended last night!

Jika punya kesempatan carilah ruang untuk memohon maaf, memohon doa dan melakukan amalan-amalan baik sebagai penebus kesalahan silam. Jika tidak, bertekadlah untuk tidak mengulanginya. Jangan jadikan ia trauma yang menghalang pencapaian kita hari ini dan esok.  Menyesal itu baik, tetapi ia bukan belenggu yang menghalang kita untuk mencipta kebaikan dan kecemerlangan baru.

Ya, pagi ini mentari masih bersinar, awan gemawan masih mewarnai dada langit dan udara masih dapat kita hirup seadanya. Alhamdulillah syukur… Apapun yang akan berlaku, asalkan kita dekat dengan Allah, lurus, tulus dan telus dalam hati, kesilapan kita akan diperbaiki. Bukankah kesilapan ini bukti yang kita masih manusia? Lalu kita akan selalu dan sentiasa memperperbaharui taubat. Come what may…  pahit, kita belajar bersabar, manis… kita melatih diri bersyukur.

Hari ini dan hari-hari seterusnya pasti ada air mata dan ketawa, ada mudah dan payah, ada patah dan tumbuh, modal kita cuma satu, hadapilah segalanya sebagai hamba Allah. Mengaku lemah, untuk diperkukuhkan-Nya, mengaku jahil untuk diberikan ilmu, mengaku miskin untuk diperkayakan-Nya. Kita beruasaha melurus segala tadbir, agar mampu menerima setulus segala takdir. Sentiasa mengharapkan yang terbaik, tetapi terus bersedia untuk hadapi yang terburuk.

Pesan ku buat diri dan sahabat-sahabat, kekalkan taubat. Istighfar dan selawat jadikan basahan bibir. Bila terlintas dan terjebak dengan dosa, bertaubat dan terus ‘hukum’ diri dengan melaksanakan satu kebaikan walaupun yang kita tidak suka. Ingat, orang yang sentiasa berlatih untuk berjaya ialah dia yang melaksanakan sekurang-kurangnya 3 perkara yang tidak disukainya (walaupun sangat perlu) dalam satu hari.

Apakah 3 perkara itu? Mungkin minta maaf kepada orang yang kita tidak sukai, mungkin membuat aktiviti yang selama  ini kita tangguhkan atau membuat panggilan kepada orang yang kita berhutang (sudah lebih masa tetapi belum berbayar). Carilah, carilah 3 perkara itu. Mungkin yang bersangkut dengan masa, harta, manusia atau dengan Allah. Ah, matahari telah cerah… mari kita melangkah. Tinggalkan segala resah. Pamitkan segala gelisah.

Hidup untuk memberi, bukan untuk membenci… siap siaganya untuk memberi senyuman, kebaikan, sedekah, kata-kata yang baik atau sekadar mendoakan.Memberi itu lebih membahagiakan daripada menerima. Tangan yang menghulur bunga mawar, pasti berbau harum. Jadilah tangan yang di atas, tangan yang selalu dan banyak memberi!

Ya, mentari kehidupan masih ada. Hari ini… esok? Belum tentu kita masih ada!

Oh, bagi sahabatku yang beberapa minggu dulu telah bertanya, aku hulurkan tulisan ini seadanya. Soalnya lewat SMS, “mengapa orang bukan Islam kekadang lebih jujur dan baik?” Dan inilah jawapanku sekadarnya…

  “Aku hairan mengapa orang bukan Islam lebih jujur dan amanah daripada orang Islam?” kata seorang sahabat saya yang juga seorang jurutera. Saya diam. Memang ada kebenarannya jika dilihat selayang pandang.

“Awak lihat di negara-negara Barat, surat khabar dibeli hanya dengan meletakkan wang di dalam bekas di tepi jalan. Tidak ada orang mengelat untuk membayarnya.”

Cerita yang sama pernah saya dengar daripada kawan-kawan yang pulang dari London. Saya teruja dengan topik perbualan pagi itu. Mengapakah orang bukan Islam lebih baik perilakunya berbanding orang Islam? Jika benar, benarkah itu yang sebenarnya? Read the rest of this entry »

 
49 Komen

Posted by di 13 Mei 2011 in Semasa

 

Label: , , , ,

‘ISLAMOPHOBIA’ MUSLIM

“Kenapa orang bukan Islam sangat sukar untuk memahami Islam?” tanyanya pemuda itu dengan nada kesal.

“Sebab orang Islam sendiri gagal memahamkan mereka,” jawab saya perlahan.

“Kenapa orang Islam gagal memahamkan bukan Islam tentang Islam?”

“Sebab orang Islam sendiri tidak faham Islam!”

 

“Apa bukti kata-kata awak ni?”

“Buktinya jelas. Lihat sahaja dalam realitinya, apakah masyarakat Islam pada hari ini selamat dan menyelamatkan.”

“Kenapa ke situ pula arah percakapan awak?”

“Sebab Islam itu bererti selamat. Bukan sahaja selamat bahkan mampu menyelamatkan. Maka sudah tentulah secara logiknya umat Islam adalah umat yang paling selamat dan dapat menyelamatkan orang lain.”

 

“Tetapi realitinya tidak begitu kan?”

“Awak boleh lihat dengan mata kepala sendiri. Kita mundur di semua sudut,  samada rohani mahupun jasmani.”

“Maksud awak di dunia antarabangsa?”

“Tak payah. Lihat sahaja di negara kita. Siapa yang terlibat dalam gejala sosial? Siapa yang paling ramai di Pusat Serenti? Siapa yang ketinggalan di bidang ekonomi? Ya, bangsa Melayu Islam,” kata saya.

 

“Awak jangan silap, kelemahan umat Islam bukan bererti kelemahan Islam.”

“Benar. Tetapi umat Islamlah yang menyebabkan berlakunya Islamophobia. Umat Islam yang tidak amalkan Islam secara sepenuh dan menyeluruh,”balas saya. Read the rest of this entry »

 
29 Komen

Posted by di 9 Oktober 2010 in Semasa

 

Label: , ,

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,179 other followers