Saya berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang menjadi pendorong dan pemangkin kepada tulisan-tulisan ini. Dan juga pengunjung blog yang sering memberi kata dorongan.
Saya sentiasa bertanya, untuk apa saya menulis? Namun, jawapan yang sedia di dalam hati sejak dulu sering mengingatkan saya… “aku menulis untuk mengingatkan diri sendiri disamping mengingatkan orang lain.”
Kita sendiri kekadang lambat mendapat manfaat daripada apa yang kita tulis berbanding pembaca. Dan kita harap setelah pembaca mengamalkan, mereka berdoa untuk kita… Begitulah yang pernah dikatakan oleh penulis besar seperti Aid Al Qarni, yang merasakan doa-doa daripada pembaca buku-bukunya lebih bernilai daripada bayaran royalti yang diterimanya.
Saya bukan penulis besar seperti dia… tetapi saya juga mengharap adanya titisan doa daripada orang lain sebagai pencetus hidayah daripada Allah untuk saya yang sedang bermujahadah.
Cukuplah itu sebagai perkongsian rasa. Justeru sebagai manusia, saya juga hendak “didengarkan” setelah selalu “mendengarkan”. Tetapi itu bukanlah cerita peribadi, namun lebih kepada ingin berkongsi. Justeru dalam hidup pembaca sendiri tentu tidak kurang warna-warninya yang dapat dipadankan dengan luahan-luahan ini.
Dan pada kesempatan ini… telusurilah tulisan ini. ia ada detak hati, letusan rasa bila melihat perkembangan semasa. Saya cuba membawa kita jauh semula ke belakang untuk mendepani masalah semasa, kerana sejarah itu sesungguhnya sering berulang. Nikmatilah… BERHALA BATU VS BERHALA NAFSU
Bila manusia tidak kenal Allah, manusia tidak akan mencintai-Nya. Bila manusia tidak kenal Allah, manusia tidak akan takut kepada-Nya. Sedangkan cinta dan takut kepada Allah itu sumbu dan mber kebaikan dalam hidup di dunia ini. Tanpa cinta Allah, manusia tidak akan dapat mengasihi sesama manusia. Tanpa takut kepada Allah, manusia tidak akan dapat dikawal kejahatan dan kelicikan tipu dayanya.
Orang yang mencintai Allah akan lunak, mesra dan sayang kepada sesama manusia. Kerana apa? Kerana Allah menyuruhnya berbuat begitu. Iman kepada Allah adalah asas dan teras untuk berkasih-sayang. Justeru, Rasulullah saw mengingatkan, tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Iman dan kasih sayang itu bagai irama dan lagu – keduanya tidak dapat dipisahkan. Teguh iman, kukuh persaudaraan.
Tidak ada kebaikan kepada Allah melainkan melalui kebaikan sesama manusia. Memberi salam kepada orang lain mengundang kesejahteraan daripada Allah. Menziarahi saudara kita akan dilimpahi kasih-sayang Allah. Membantu menyelesaikan masalah seseorang, Allah janjikan untuk menyelesaikan masalah kita. Tidak ada dikotomi antara hubungan Allah dengan hubungan sesama manusia. Keduanya saling berkaitan dan berdekatan antara satu sama lain.
Lalu, apabila kes dera bayi dan penzaliman terhadap kanak-kanak kembali berleluasa dalam masyarakat kini dan kita ditanya apakah puncanya? Apalagi jawapannya kalau bukan kerana manusia tidak kenal Allah. Tidak kenal Allah menyebabkan kita tidak cintakan Allah. Dan bila tidak cintakan Allah, maka lunturlah kasih-sayang terhadap manusia. Itulah punca dera. Read the rest of this entry »