RSS

Tag Archives: pagi. syukur

MULAKAN DENGAN CERIA

Percayalah, orang yang cemerlang ialah orang yang ceria. Dia melaksaanakan apa jua aktiviti hidupnya dengan rasa gembira. Sama ada aktiviti yang berkait dengan Allah (habluminallah), mahupun aktiviti yang berkait dengan manusia (habluminannas), semuanya dibuat dengan gembira .

Ceria yang dimaksudkan di sini bukanlah terkinja-kinja atau tertawa terbahak-bahak, tetapi rasa senang, tenang, rasa bebas dan lapang di dalam hati.

Tidak percaya? Cuba imbau kembali hasil kerja kita yang dirasakan paling berkualiti, sama ada  tulisan, masakan, lukisan, persembahan atau apa sahaja… Ingat semula bagaimana hati kita sewaktu menghasilkannya. Insya-Allah, pada waktu itu mesti hati kita dalam keadaan ceria. Mustahil kita dapat menghasilkan satu kerja yang baik sewaktu dilanda perasaan sedih, benci ataupun marah.

Aliran kegembiraan akan mengukir mutu yang tinggi pada hasil pekerjaan kita. Itulah yang dimaksudkan ‘air tangan’ dalam pekerjaan kita. Air tangan itu hakikatnya adalah aliran keceriaan yang mengalir daripada diri kepada pekerjaan kita. Bukan sahaja kerja malah wajah kita juga diukir oleh kegembiraan itu. Kata bijak pandai, “jika hati baik, wajah akan sentiasa cantik.” Salah satu ciri hati yang baik, adalah ceria!

Kata pakar-pakar psikologi dan motivasi, sepuluh minit terawal sebaik sahaja bangun daripada tidur akan menentukan kecemerlangan kita pada hari tersebut. Jangan hendaknya fikiran, perasaan dan hati kita dicemari oleh sesuatu yang buruk, jahat dan kotor. Saranan mereka, senyum, cakap yang baik-baik, rasa yang indah-indah, sebaik sahaja bangun daripada tidur.

Sebagai seorang Islam, kita seharusnya tidak ada masalah untuk merasa ceria sebaik sahaja bangun daripada tidur. Caranya?  Hitung kesyukuran, jangan hitung kesukaran. Islam hakikatnya sudah lama mendidik umatnya agar melihat sisi yang baik-baik, indah-indah dan cantik-cantik sebaik sahaja bangun daripada tidur. Justeru, kita dianjurkan untuk melafazkan doa kesyukuran ini sebaik sahaja bangun daripada tidur: “Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami selepas kematian kami dan kepadaNyalah kami akan dihimpunkan.”

Ya, pertama dan utama, kita mesti bersyukur atas nikmat hidup yang masih dikurniakan Allah.  Cuba kenangkan betapa ramai orang yang pada malam sebelumnya tidur, kemudian tidak bangun-bangun lagi pada hari esoknya kerana telah ‘dijemput’ kematian. Tidur disifatkan oleh para hukama sebagai separuh daripada kematian. Jadi apabila kita diizinkan untuk hidup pada pagi hari, ertinya ‘separuh daripada kematian’ telah diangkat kembali oleh Allah daripada diri kita… Lalu bersyukurlah kerana kita telah hidup semula dengan sepenuhnya! Read the rest of this entry »

 
46 Komen

Posted by di 4 Mei 2012 in Kemudi Hati

 

Label: ,

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,254 other followers