Looking for Something?
Posts Tagged for

Pas

MELAYU BELUM MATANG BERPOLITIK?

Author:

cheese-umno-pas-bGaya dan pola politik Melayu masakini begitu celaru dan tidak menunjukkan satu kematangan selaras dengan usia demokrasi di Malaysia. Ini kerana orang Melayu yang hakikatnya telah terpecah kepada dua kelompok besar parti politik (satu kerajaan dan satu pembangkang) telah saling bercakaran tidak kira musim, tempat dan subjek.

Titik persamaan yang boleh menjamin manfaat bersama nampaknya semakin kabur dan luntur dalam lautan api permusuhan, dendam dan hasad dengki yang semakin marak. Cara menyerang lawan begitu aggresif hingga boleh meletakkan situasi pada keadaan ‘kalah jadi abu, menang jadi arang.”

Pertembungan bukan sahaja berlaku di musim pilihanraya tetapi terus berlaku pada setiap masa dan ketika. Pihak yang yang kalah, seolah-olah tidak boleh menerima hakikat dan terus menjolok yang di atas. Manakala pihak yang menang pula, masih tidak puas hati dan terus menghenyak yang di bawah.

Rasanya tidak salah untuk melihat beza gaya politik kita dengan gaya berpolitik di Amerika misalnya. Biasanya apabila terjadi pertandingan merebut jawatan presiden, calon-calon yang bertanding akan begitu agresif berkempen. Dan apabila keputusan diterima tidak begitu memuaskan hati (merujuk kepada kes Al Gore dan George W. Bush dalam pilihanraya Amerika suatu ketika dulu) mereka merujuk kes itu ke mahkamah.

Namun setelah mahkamah memutuskan yang Bush ada pemenang mutlak, Al Gore menerimanya dan bekata, “Bush adalah presiden saya dan rakyat Amerika seluruhnya.” Dan selepas itu serang menyerang tidak berlaku lagi.

Rakyat tidak kira anggota Parti Demokrat ataupun Republikan akan terus berkerja membina negara dengan polisi dan prinsip yang dibuat oleh parti Republikan yang telah diamanahkan membentuk kerajaan. Masing-masing berfikir dan bertindak bagaimana hendak memaksimakan keuntungan rakyat dan keutuhan negara sepanjang tempoh pemerintahan Republikan.

Jika adapun kritikan tetapi ia disuarakan secara matang di meja perundingan yang melibatkan wakil-wakil yang wibawa dan kompeten. Ia tidak melibatkan seluruh rakyat, di seluruh tempat dan di semua perkara. (more…)

BANJIR DOSA YANG MELANDA JIWA

Author:

images“Bencana ini semua angkara dosa!” katanya tegas. Wajahnya kelihatan seperti orang yang sedang marah. Matanya dibulatkan dan tangannya tergenggam.

“Dosa? Dosa apa? Dosa siapa?” balas lelaki di sebelahnya. Lelaki itu berbaju Melayu biru dan bersongkok hitam.

“Eh, jangan cakap begitu. Macamlah seolah-olah kita tidak berdosa.”

“Bukan begitu, saya cuma ingin kepastian. Apa dosanya? Siapakah yang berdosa?”

“Tentang siapa berdosa saya tidak mahu menyentuhnya secara khusus tetapi tentang dosa memang banyak. Dosa tidak melaksanakan hukum Allah yang wajib. Dosa melakukan larangan-larangan Allah,” balas lelaki berkopiah putih.

Saya yang duduk di tepi tiang masjid itu leka menjadi ‘pendengar’. Hari Ahad usai solat Subuh itu saya habiskan untuk duduk-duduk di masjid menunggu matahari naik. Kuliah Subuh yang sepatutnya diadakan seperti biasa ditangguhkan. Ustaz yang mengajar terlibat dalam misi bantuan mangsa banjir di Pantai Timur.

 

Sebab Allah Sayang

“Tengok di Acheh dahulu, angkara dosa dilanda Tsunami,” tingkah lelaki berkopiah putih.

“Eh, kalau mahu diikutkan logik, warga Macau, Las Vegas, Bevery Hills lebih banyak dosanya. Kenapa bandar-bandar itu tidak dilanda Tsunami, gempa bumi atau banjir besar?” balas lelaki bersongkok hitam.

Saya senyum dalam diam. Kedua-duanya memang ahli kariah yang ‘regular’ datang berjemaah di masjid. Walaupun kedua-duanya sejak dahulu selalu ‘bertegang leher’ tetapi akhirnya tenang semula.

“Allah sayang akan orang Islam. Didatangkan bencana supaya kembali semula kepada Allah. Yang kafir Allah biarkan dalam nikmat bersama istidraj. Makin senang makin leka, makin berdosa.” (more…)

SIAPA PEMIMPIN YANG HENDAK KITA PILIH?

Author:

gaya-kepemimpinan-dalam-organisasiKeunggulan sesuatu bangsa bergantung kepada dua faktor utama. Pertama, kekuatan budaya. Kedua, kemampuan pemimpinnya. Tanpa dua faktor ini, sesuatu bangsa akan jatuh walau sekuat mana kekuatan ekonomi dan ketenteraannya. Kedua-duanya merupakan pra-syarat yang mesti dipenuhi jika ingin memartabatkan bangsa. Semakin tinggi dan jauh perjalanan ke arah pencapaian cita-cita bangsa, maka seharusnya semakin kuatlah pula budaya dan wibawa kepemimpinannya.

Dua faktur itu umpama tiang seri pada sebuah rumah. Jika rumah ingin dibesarkan, maka semakin perlulah tiangnya diperkukuhkan. Pembesaran sebuah rumah, tanpa mengukuhkan tiang serinya hanya akan mempercepatkan robohnya rumah itu. Maka begitulah kias ibarat dalam usaha membangunkan kekuatan sesuatu bangsa. Tanpa usaha pengukuhan budaya dan memantapkan kepimpinan, akan tumbang oleh beban cita-cita besarnya.

Namun, bangsa yang sudah alah dan dipermalukan di pentas sejarah sekalipun masih mampu bangun jika kedua-dua faktor itu diperkukuhkan. Apa yang terjadi kepada Jerman dan Jepun, yang pernah mengalami kekalahan seperti yang disifatkan oleh sejarah sebagai ‘The worst defeat in history’? Kebangkitan yang amat menakjubkan. Dalam masa yang relatif singkat, dua negara itu telah bangun sebagai raksasa ekonomi dunia. Budaya Jepun yang kaya dengan nilai ilmu, semangat patriotik, etika kerja yang kuat dan lain-lain itu telah mampu membina semula Jepun dari puing-puing ledakan atom di Hiroshima dan Nagasaki.

Atas kesedaran inilah, kita mesti mempunyai budaya yang sesuai untuk menjadi sebuah bangsa yang maju. Istilah-istilah seperti transformasi, reformasi, Melayu baru dan lain-lain adalah manifestasi pada keinginan yang meluap-luap untuk mengukuhkan budaya Melayu. Sudah dirasakan bahawa, pada jati diri Melayu ada nilai-nilai positif yang perlu digilap untuk lebih menyerlah. Pada masa yang sama ada juga kelemahan yang perlu diatasi. Tegasnya, Melayu sebagai satu bangsa yang ingin maju, wajib berbuat sesuatu untuk meningkatkan lagi darjah kecemerlangan nilai-nilai budayanya yang baik. Soalnya bagaimana proses tranformasi budaya ini hendak dilaksanakan? Siapa yang akan menerajuinya?

Persoalan ini menjadikan faktor kedua (kekuatan pemimpin), menjadi begitu signifikan. Kekuatan pemimpin lebih dominan daripada kekutan budaya untuk menjamin keunggulan sesuatu bangsa kerana hanya pemimpin yang kuat sahaja mampu merubah atau melakukan tranformasi budaya. Seorang pemimpin yang baik ialah seorang ‘culture builder’ yang mampu membina kekuatan budaya bangsanya. Oleh kerana itulah sejak dahulu lagi apabila suatu bangsa muncul sebagai satu bangsa yang unggul, ia mesti diketuai oleh seorang pemimpin yang kuat. Contohnya, Meiji pada bangsa Jepun, Bismark untuk bangsa Jerman, Churchill untuk Inggeris dan George Washington pada bangsa Amerika .

Hakikat ini lebih jelas bila disorot melalui kacamata Islam. Jelas apabila Allah kehendaki sesuatu bangsa itu menjadi kuat dan berdaulat, maka Allah akan utuskan seorang pemimpin kepada bangsa tersebut. Pada umat Arab jahiliyah, Allah utuskan Nabi Muhammad s.a.w. Walaupun, missi kedatangan Rasulullah adalah untuk seluruh manusia, di seluruh dimensi masa, namun tidak dapat dinafikan bangsa Arablah yang pertama dijulang oleh kekuatan kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w.

Begitulah juga nabi Musa a.s. di kalangan Bani Israel, yang kemudiannya memartabatkan Bani Israel setelah sekian lama ditindas oleh bangsa Qibti. Secara ‘Natural Law’ atau Sunnahtullah, jika sesuatu bangsa hendak ditakdirkan menjadi kuat, maka sudahj pasti dianugerahkan buat mereka seorang pemimpin yang bertindak sebagai peneraju, aspirasi dan pemangkin pada proses tranformasi budaya.

Bangsa Melayu juga tertakluk kepada hukum ini. Tahun-tahun yang akan datang perlukan pemimpin yang relevan dengan perubahan dan keadaan semasa. Cabaran-cabaran semasa selalunya menentukan corak kepimpinan pemimpin yang dimaksudkan. ‘Kelembutan dan ketegasan’  Abraham Lincoln, lahir ketika perlunya kesatuan Amerika tanpa dipisahkan oleh permasalahan penghambaan kulit hitam negara Utara dan Selatan. ‘Tangan Besi’ Bismark perlu untuk membentuk satu Jerman yang kukuh dan utuh. Dari segi kerohanian pula, kedatangan Nabi Isa a.s., Nabi Musa dan Nabi Muhammad s.a.w. sangat signifikan ketika nilai-nilai kemanusiaan hancur lebur oleh sifat tamak dan rakus manusia.

Jika hukum ‘situtional leader’ ini terus relevan, maka pemimpin bangsa Melayu abad ke 21 mestilah seorang yang mampu membina kekuatan ekonomi, kemantapan politik dan kesucian Islam di tengah-tengah ledakan era globalisasi dan prasangka dunia Barat yang tidak pernah jera dan reda. Dia juga dia mesti mampu berdepan dengan cabaran keruntuhan etika dan moral di mercu ketinggian sains dan teknologi. Seorang cendikiawan Melayu, Profesor Dr. Siddiq Fadhil pernah menegaskan seorang ‘culture builder’ adalah pemimpin yang boleh dijadikan role-model kepada rakyatnya. Menurutnya, tidak mungkin seseorang pemimpin mampu merubah orang lain, jika dia sendiri tidak mampu mengubah dirinya. (more…)

DAULATKAN AGAMA, MARTABATKAN BANGSA

Author:

Walau semudah mana sekalipun falsafah dan kerangka pemikirannya, tetapi apabila sifat takbur dan kepentingan diri serta puak berleluasa, seseorang tidak akan nampak jua kebenaran.

Inilah yang cuba saya peringatkan pada diri dan semua ketika dihadapkan persoalan – Dilema Melayu.

Saya sedar, pemikiran saya dalam buku Dilema Melayu: Kurang Fikir atau Kurang Zikir, tidak mendapat sambutan yang baik sepertimana input-input saya dalam buku Tentang Cinta, Nota Hati, Di Mana DIA di hatiku dan Mukmin Profesional (hanya buku itu yang tidak diulang cetak lebih  daripada sekali), tetapi itu tidak menghalang saya untuk mengutarakan ‘pandangan-pandangan di luar kotak’ demi menyumbang sesuatu kepada masyarakat Melayu-Islam kita.

Saya berdoa semoga akan ada nanti pandangan yang membetulkan, melengkapkan atau memperincikan input yang saya tulis itu. Ketika bergaul dan melihat masyarakat – dari Kelantan, ke Selangor dan Kuala Lumpur – saya merumuskan, siapapun inginkan kebaikan, tetapi tidak semua inginkan kebenaran. Semua bencikan kejahatan, tetapi tidak semua bencikan kebatilan.

Kebenaran itu hanya pada Allah dan diletakkan-Nya pada Islam. Menerima Islam (kebenaran), menjemput datangnya kebaikan dan mengusir segala kejahatan. Malangnya, selimut kepentingan diri dan egoa kerap menutup pintu hati kita daripada menerima Islam secara total .

Sikap ‘separuh-separuh’ inilah musuh yang dihadapi oleh para Rasul. Sikap separuh-separuh dalam akidah inilah yang dinamakan syirik! Kita menerima Allah sebagai Pencipta, tetapi tidak menyerah seluruh pengabadikan kepada undang-undang dan peraturan-Nya.

Dan kemudian ia merebak kepada soal syariat dan akhlak. Akhlak kita hanya berfokuskan ‘kebaikan’ bukan kepada kebenaran. Syariat kita caca marba – yang ‘sesuai’ dan bermanfaat material kita ikuti, yang mana terasa mengikat dan menekan nafsu, kita katakan, “tunggu atau nanti dulu!”

Menerusi blog ini selalu saya sentuhkan persoalan cinta dan keluarga… kerana di sana NUKLEAS segalanya. Namun, sekali-sekala saya tidak dapat menahan diri daripada menyentuh soal masyarakat dan negara.

Saya bimbang, persoalan yang mudah dan jelas, seolah-olah sengaja dikusutkan hanya kerana adanya kepentingan diri dan puak – bukan oleh kepentingan agama, bangsa dan negara. Apakah ada dilema antara agama dan bangsa, Islam dan Melayu? Atau dilema itu hanyalah timbul kerana kejahilan dan kedegilan kita? Sama-samalah kita fikirkan. Namun bagi saya… jika Islam didaulatkan, insya-Allah Melayu akan dimartabatkan. Ikutilah tulisan ini sekadarnya…

DAULATKAN AGAMA, MARTABATKAN BANGSA

Kepentingan agama perlu didahulukan-kepentingan bangsa dan bahasa akan menyusul dengan sendirinya.Dimana kekuatan agama, bangsa dan bahasa? Adakah ketiga-tiganya satu atau terpisah? Jika persoalan ini dapat diselesaikan, maka perjuangan menegakkan islam, kepentingan Melayu dan bahasa, akan lebih jelas. Dan tentunya ini akan dapat mengurangkan konflik atau dilema yang kerap berlaku dalam usaha mendaulatkan agama, memperkuatkan bangsa dan memartabatkan bahasa. (more…)

KETUANAN IMAN

Author:

Politik sebahagian daripada kehidupan. Dan Islam itu adalah cara hidup. Justeru, bagaimana kita boleh memisahkan daripada politik. Samada seorang pelajar, daie atau siapa sahaja politik pasti ‘menyentuhnya’.

Telah saya nyatakan beberapa pandangan tentang politik lewat buku saya DILEMA MELAYU: KURANG FIKIR ATAU KURANG ZIKIR. Namun, samada bersahaja atau serius saya tetap ditanya dan bertanya tentang perkembangan politik kontemporari di negara kita.

 

 

Sekadar memberi pandangan, maka saya tuliskan sebuah puisi…

‘KETUANAN’ IMAN


Dilema perjuangan  Melayu atau Islam…

satu prajudis atau kenyataan?

Satu realiti atau ilusi?

Mari kita bicarakannya lewat puisi

Berwacana di persada kata nan indah

Merangkai minda disulaman madah

Agar bahangnya tidak begitu menyerlah

Agar dapat segalanya direnungi…

tanpa emosi berapi-api!

 

 

Pertama mari kita fikirkan…

Agama kita sama, syahadah kita serupa

Tapi mengapa mesti berpecah?

 

 

Kedua mari kita renungkan

Bangsa kita sama,  darah kita serupa

Tapi mengapa mesti bertelagah?

Darah dan syahadah boleh terpisah?

(more…)