Filem pendek Perjalanan Hidup Sang Murabbi begitu menggugah jiwa saya. Walaupun pendek dan sederhana serta biasa-biasa sahaja… namun mesejnya melekat di hati.
Ya, kisah perjalanan hidup seorang pemuda yang sangat cintakan dakwah. Selepas menonton di rumah bersama isteri dan anak-anak.. saya mengirim SMS kepada sahabat yang menghadiahkan saya filem tersebut.
SMS itu hanya untuk meluahkan rasa hati dan terima kasih kepadanya. Saya catatkan:
“Syukran kerana memberi ana Sang Murabbi. Persoalan yang ana tagih melalui pelbagai jalan, Allah berikan jawapan jua melalui hadiah ustaz ini.”
“Ana nak hidup dan mati seperti Sang Murabbi itu. Amin. Pergolakan jiwa dan kata-kata hati selepas umrah tempoh hari telah terungkai. Alhamdulillah, syukran sekali lagi!”
Bahang Sang Murabbi itulah yang membakar semangat… makanya, selepas Subuh pagi tadi, hati berdetak kembali untuk memaparkan satu pandangan di tengah kecelaruan sikap, adab dan cakap-cakap dewasa ini. Apa pun yang berlaku di luar sana… tidak akan memadamkan apa yang berkobar-kobar di sini. Hidup hakikatnya mempunyai dua sempadan – harapan dan ajal. Dengan harapan kehidupan terpelihara dan dengan ajal kehidupan berhenti.
Dan dengan harapan itulah kita akan terus berusaha – mengingatkan diri sendiri dan juga orang lain. Kita tidak boleh “menjatuhkan hukuman” selagi hidup ini belum tamat. Yang jahat, diharap menjadi baik. Yang baik, diharap menjadi lebih baik. Berilah harapan… kerana Tuhan pun sentiasa memberi harapan, lalu diancam-Nya siapa yang putus asa dengan kekafiran!
Kali ini saya ingin menyentuh tentang CINTA dalam “keluarga” yang lebih besar yakni cinta dalam sebuah negara. Jangan terlalu cinta, jangan terlalu berci. Ya, beginilah tulisan itu bermula… Read the rest of this entry »
Ramai sahabat yang menggiat agar saya mengulas isu-isu politik kontemporari. Tetapi saya belum tergerak untuk itu. Sikap tidak berpihak kepada mana-mana parti politik bukan ertinya saya tidak berpendirian. Tetapi itulah pendirian saya.












