RSS

Tag Archives: PENDIDIK

GURU PENULISAN KU YANG PERTAMA

kerja-keras-300x204“Siapa guru pertama penulisan ustaz?” tanya seorang siswa sewaktu kami berbual secara santai usai sebuah program tentang penulisan.

Aku terdiam. Satu soalan yang mudah, tetapi tidak semudah itu menjawabnya. Setelah agak lama termenung, aku pun menjawab, “ayah saya.”

“Wah, ayah ustaz pun seorang penulis!”

Aku menggeleng-gelengkan kepala. Menafikan.

“Seorang ulama!”

Aku menggeleng lagi.

“Tidak, tidak. Ayah saya seorang buta huruf. Seorang buruh,” jawab ku perlahan.

“Betul ni ustaz? Pelik. Macam mana boleh begitu, boleh kongsikan dengan saya?” pintanya.

Aku bertanya semula, “betul-betul anak nak tahu?”

Dia mengangguk. Kelihatannya, bersungguh-sungguh.

“Tolong ceritakan ustaz, saya nak jadi penulis macam ustaz.”

“Jangan jadi macam saya. Jadi penulis yang lebih baik. Saya hanya pendakwah biasa,” ujar ku.

“Tolong ceritakan ustaz…”

“Baiklah, saya harap anak sabar mendengarnya…”

Lalu aku pun bercerita:

Ayah ku seorang buruh pengutip dan penyapu sampah. Dia tidak tahu menulis dan membaca. Kehidupan ayah sangat susah sejak kecil lagi. Bayangkan, ayahnya meninggal dunia sewaktu dia dalam kandungan lagi. Ayah menjadi petani sejak berumur 6 tahun. Pada usia 10 tahun dia merantau sehelai sepinggang dari tanah seberang. Datang membawa diri ke Tanah Melayu untuk mencari rezeki. Tanpa harta, tanpa pelajaran.

Di Malaysia, ayah membuat bermacam-macam kerja. Dari tukang kebun, pemandu kereta dan akhirnya menjadi seorang buruh. Kehidupan ayah dilingkungi oleh marhein dari pelbagai bangsa, India, Cina, Serani dan sebagainya. Bahasa dan tingkah laku ayah jadi kasar, sekasar tangan dan kulitnya. Itu semua impak pergaulannya dengan golongan bawahan yang tidak berharta dan berpelajaran.

Namun, suatu yang pasti (yang sejak kecil sudah ku perhatikan), ayah sangat cintakan ilmu. Dia seakan tidak sabar menunggu aku (anak lelaki sulungnya) mampu membaca. Tetapi apakan daya, kemiskinan menyebabkan aku tidak dihantar ke sekolah Tadika. Pada akhir tahun 60’an, ibu-bapa yang berwang sahaja mampu menghantar anaknya belajar ke sekolah Tadika sebagai persediaan ke sekolah rendah.

Namun, masuk sahaja aku ke darjah satu, ayah mula membawa helaian surat khabar lama yang dipungutnya sewaktu bekerja untuk ku baca di rumah.

“Baca!” katanya.

Aku pun membaca merangkak-rangkak. Walaupun pada mulanya terkial-kial, tetapi itulah yang dibanggakan ayah kepada rakan-rakan sekerjanya.

“Anak aku sudah pandai membaca surat khabar,” katanya.

Aku masih ingat, satu hari ayah membawa aku ke sebuah kedai Cina di pekan berhampiran. Urus niaga itu memerlukan tanda tangan. Lalu ayah berkata kepada ku, “kamu tanda tangan!” Itulah tanda tanganku yang pertama dalam hidup. Huruf ‘P’ yang dilengkarkan separuh bulatan. Maklumlah baru darjah satu.

“Tengok, anak gua pandai sain,” kata ayah kepada tauke kedai Cina itu. Aku lihat tauke itu mengangguk-angguk, ya tak ya, sahaja.

Selain itu, ada lagi yang ayah minat. Dia paling suka siaran berita daripada radio. Malangnya, kami tidak punya radio. Jadi, setiap kali siaran berita ke udara, ayah akan membawa aku mendengarnya di rumah jiran sebelah. Kami hanya menumpang duduk di tepi tangga dan ayah minta jiran kami meninggikan kadar suara radio untuk kami tumpang mendengarnya. Read the rest of this entry »

 
61 Comments

Posted by on 20 January 2014 in Kemudi Hati

 

Tags: , , ,