RSS

Tag Archives: penulis

GURU PENULISAN KU YANG PERTAMA

kerja-keras-300x204“Siapa guru pertama penulisan ustaz?” tanya seorang siswa sewaktu kami berbual secara santai usai sebuah program tentang penulisan.

Aku terdiam. Satu soalan yang mudah, tetapi tidak semudah itu menjawabnya. Setelah agak lama termenung, aku pun menjawab, “ayah saya.”

“Wah, ayah ustaz pun seorang penulis!”

Aku menggeleng-gelengkan kepala. Menafikan.

“Seorang ulama!”

Aku menggeleng lagi.

“Tidak, tidak. Ayah saya seorang buta huruf. Seorang buruh,” jawab ku perlahan.

“Betul ni ustaz? Pelik. Macam mana boleh begitu, boleh kongsikan dengan saya?” pintanya.

Aku bertanya semula, “betul-betul anak nak tahu?”

Dia mengangguk. Kelihatannya, bersungguh-sungguh.

“Tolong ceritakan ustaz, saya nak jadi penulis macam ustaz.”

“Jangan jadi macam saya. Jadi penulis yang lebih baik. Saya hanya pendakwah biasa,” ujar ku.

“Tolong ceritakan ustaz…”

“Baiklah, saya harap anak sabar mendengarnya…”

Lalu aku pun bercerita:

Ayah ku seorang buruh pengutip dan penyapu sampah. Dia tidak tahu menulis dan membaca. Kehidupan ayah sangat susah sejak kecil lagi. Bayangkan, ayahnya meninggal dunia sewaktu dia dalam kandungan lagi. Ayah menjadi petani sejak berumur 6 tahun. Pada usia 10 tahun dia merantau sehelai sepinggang dari tanah seberang. Datang membawa diri ke Tanah Melayu untuk mencari rezeki. Tanpa harta, tanpa pelajaran.

Di Malaysia, ayah membuat bermacam-macam kerja. Dari tukang kebun, pemandu kereta dan akhirnya menjadi seorang buruh. Kehidupan ayah dilingkungi oleh marhein dari pelbagai bangsa, India, Cina, Serani dan sebagainya. Bahasa dan tingkah laku ayah jadi kasar, sekasar tangan dan kulitnya. Itu semua impak pergaulannya dengan golongan bawahan yang tidak berharta dan berpelajaran.

Namun, suatu yang pasti (yang sejak kecil sudah ku perhatikan), ayah sangat cintakan ilmu. Dia seakan tidak sabar menunggu aku (anak lelaki sulungnya) mampu membaca. Tetapi apakan daya, kemiskinan menyebabkan aku tidak dihantar ke sekolah Tadika. Pada akhir tahun 60’an, ibu-bapa yang berwang sahaja mampu menghantar anaknya belajar ke sekolah Tadika sebagai persediaan ke sekolah rendah.

Namun, masuk sahaja aku ke darjah satu, ayah mula membawa helaian surat khabar lama yang dipungutnya sewaktu bekerja untuk ku baca di rumah.

“Baca!” katanya.

Aku pun membaca merangkak-rangkak. Walaupun pada mulanya terkial-kial, tetapi itulah yang dibanggakan ayah kepada rakan-rakan sekerjanya.

“Anak aku sudah pandai membaca surat khabar,” katanya.

Aku masih ingat, satu hari ayah membawa aku ke sebuah kedai Cina di pekan berhampiran. Urus niaga itu memerlukan tanda tangan. Lalu ayah berkata kepada ku, “kamu tanda tangan!” Itulah tanda tanganku yang pertama dalam hidup. Huruf ‘P’ yang dilengkarkan separuh bulatan. Maklumlah baru darjah satu.

“Tengok, anak gua pandai sain,” kata ayah kepada tauke kedai Cina itu. Aku lihat tauke itu mengangguk-angguk, ya tak ya, sahaja.

Selain itu, ada lagi yang ayah minat. Dia paling suka siaran berita daripada radio. Malangnya, kami tidak punya radio. Jadi, setiap kali siaran berita ke udara, ayah akan membawa aku mendengarnya di rumah jiran sebelah. Kami hanya menumpang duduk di tepi tangga dan ayah minta jiran kami meninggikan kadar suara radio untuk kami tumpang mendengarnya. Read the rest of this entry »

 
61 Comments

Posted by on 20 January 2014 in Kemudi Hati

 

Tags: , , ,

PESAN BUAT SAHABAT-SAHABAT PENULIS…

Alhamdulillah, walaupun saya tidak kaya harta tetapi kaya sahabat. Sahabat pun tidak ramai, tetapi syukur, yang setia dan seiya sekata terus ada.

Ya, saya punya ramai sahabat setia, termasuk  di kalangan penulis dan penggiat media.

Sejak dulu kami sering bertemu, berbincang dan ‘berusrah’ walaupun masing-masing mempunyai syarikat atau organisasi yang berlainan.

 Seperti mereka, saya sangat suka menulis dan berkongsi idea dengan sahabat-sahabat di kalangan penulis yang mempunyai fikrah dan cita-cita yang sama – berdakwah dan mendidik diri dan masyarakat. Untuk menyebut nama mereka, terasa malu… kerana ada yang sudah menjadi nama besar dalam penulisan Tanah Air. Tetapi biarlah saya sebutkan beberapa nama…

 Saya masih ingat saudara Ahmad Yani (penulis berprofil dari Karangkraf), sekarang editor majalah I yang sering bertemu pagi, petang, siang dan malam untuk merangka majalah Minda. Alhamdulillah akhirnya Minda dapat diterbitkan dan itulah majalah yang membuka ruang untuk saya menulis kembali setelah beberapa bulan ‘berehat’ di Kamunting. Walaupun kini kami jarang bertemu tetapi dari jauh, kelibat penanya tetap saya ikuti. Saya sering berharap dia akan pergi ‘lebih jauh’ dengan menambah pengalaman dan keaslian dalam tulisannya.

 Begitu juga sahabat rapat saya saudara Zakaria Sungib, ‘orang kuat’ Galeri Ilmu. Dia ialah teman rapat sejak dulu dan hingga kini. Berbincang dengannya, menghidupkan jiwa dan rasa. Dia adalah sahabat yang paling memahami cara dan gaya saya menuangkan pemikiran dan rasa ke dalam tulisan. Saya sangat gembira dan lega sekiranya diberitahu bahawa beliaulah yang akan menyunting buku atau artikel saya. Zakaria, tidak banyak ‘bercakap’ (pendiam) tetapi ayat-ayat yang diraut oleh mata penanya sangat tepat dan tajam.

Dengan Zakaria saya, saya sering meminta dan diminta nasihat. Bila berbual dengannya saya merasa bebas kerana bahang persahabatan yang akrab mampu meleburkan dinding-dinding organisasi yang bernuansa komersil. Kami benar-benar duduk sebagai da’i yang memikirkan hala tuju yang sama walaupun dengan kenderaan yang berbeza. Dan tambah rancak jika sahabat lama saya sejak di IPT, Wan Azmin tumpang sekali. Banyak nostalgia yang masih dalam lipatan kenangan, yang menyebar bau harum sebaik sahaja diadakan pertemuan.

 Saya kagum dengan tenaga muda sewaktu mula-mula saya singgah di Telaga Biru, saudara Rohizir Rais – pemuda yang berani, energetik dan konsisten dengan sikap terus terang dan cinta ilmu. Sewaktu menekuni kerja-kerja ‘membidani’ kelahiran Solusi, saya mendapat bantuan yang begitu besar daripadanya. Apa sahaja yang saya minta dan cadangkan, segera dilaksanakannya. Read the rest of this entry »

 
38 Comments

Posted by on 26 July 2011 in Kemudi Hati

 

Tags: , , , ,

MEMORI UNTUK KAKEK

Sungguh terasa mendapat satu penghormatan apabila sahabat saya, Editor Zakaria Sungip dari Galeri Ilmu Sdn. Bhd. menawarkan saya menulis kata penghantar untuk buku memoir guru penulisan saya Pak Cik Nora. Tanpa membuang masa saya menulis… cepat dan seadanya sahaja. Terasa ingatan dan katameluncur bagaikan air daripada sumur kenangan yang tidak pernah kering.

Lalu Pak Cik, di pagi Jumaat ini… ku genggam sebuah doa untuk mu. Semoga kau berbahagia di dunia dan di akhirat nanti. Amin. Pak Cik minta maaf, jika anak Pak Cik ini tidak pandai mengenang budi… Namun, doa untuk Pak Cik sentiasa saya panjatkan, walaupun saya sedar siapalah saya insan yang berdosa yang sedang jatuh bangun dalam mujahadah ini.

Untuk saudara/i pengunjung blog ini, terimalah genta rasaku… buat seorang guru…Memori untuk Kakek (dengarnya buku  DI TENGAH KOTA – MEMOIR SASTERAWAN NORA – ini akan dijual di Pesta Buku KL yang sedang berlangsung sekarang).

Saya masih teringat ketika kali pertama menyerahkan hasil tulisan kepadanya. Saya begitu malu dan takut-takut. Namun semuanya hilang apabila beliau bersuara mesra, “Oh, penulis muda. Orang muda boleh pergi lebih jauh.” Tanpa banyak bicara, beliau terus “mengerjakan” tulisan saya dengan cepat dan cermat. Tanda-tanda merah sewaktu dia menyunting tulisan saya tercalit di sana sini. Saya lihat betapa pengalamannya memberi satu kebolehan yang begitu menakjubkan. Saya sebagai penulis yang baru bertatih melihat bagaimana beliau membetulkan, memperkukuhkan dan merapikan tulisan saya. Kosa katanya, perbendaharaan istilah dan kerapiannya menyusun ayat dan perkataan sungguh mengagumkan.

Itulah detik awal perkenalan saya dengan Pak Cik Nora – seorang penulis, sasterawan dan penyair yang kaya dengan pengalaman. Dan hasil bimbingannyalah cerpen pertama saya tersiar dalam media massa pada waktu itu. Saya tidak dapat bayangkan betapa gembiranya waktu itu apabila cerpen Derap Kasutnya tersiar. Bukan gembira kerana cerpen itu, tetapi gembira kerana seorang yang telah “bernama” sepertinya sudi menyunting bahkan memberi judul baru kepada cerpen saya itu. Read the rest of this entry »

 
19 Comments

Posted by on 19 March 2010 in Semasa

 

Tags: , , ,